Utusan Online - Hiburan |
Posted: Penangan muzik KoreaOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
POPULARITI penyanyi dan pengaruh muzik Korea yang semakin menular kini bagaikan mencipta fenomena baru terhadap perubahan selera muzik anak muda tempatan. Bermula dengan pengaruh drama bersiri dari negara yang cukup terkenal dengan makanan tradisi kimchi itu, kini rebakan muzik perlahan mahupun rancak ala techno dari negara itu seakan menjadi 'kegilaan' remaja tempatan. Konsert yang julung kali diadakan iaitu DiGi Live K-pop Party 2011 yang berlangsung di Stadium Negara baru-baru ini berjaya menghimpunkan tiga artis Korea di atas pentas yang sama. Mereka ialah kumpulan muzik yang semakin mendapat perhatian ramai iaitu Beast, 4Minute dan penyanyi solo, G.Na. Konsert tersebut dibawakan oleh DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) dengan kerjasama Universal Music Malaysia. Biarpun kurang memperoleh publisiti mahupun terpampang mana-mana kisah mereka di media cetak, ketiga-tiga artis tersebut bagaikan sudah cukup popular di kalangan peminat setia mereka. Kesahihan ini dapat dilihat menerusi konsert tersebut di mana lebih 2,500 penonton tidak kira jantina dan peringkat usia hadir menyaksikannya. Mengakui gementar, ini merupakan persembahan pertama bagi kumpulan 4Minute yang dianggotai oleh lima orang wanita cantik lagi seksi serta penyanyi yang selesa berimej rambut panjang, G.Na atau nama sebenarnya Gina Choi. Ini berbeza dengan kumpulan Beast yang dianggotai oleh Yoon DuJun, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seap, Lee Ki Wang dan Sohn Dong Woon apabila ini merupakan persembahan kedua mereka di negara ini. Kali pertama Beast tampil menghiburkan peminat di negara ini ialah pada 26 Jun tahun lalu iaitu pada Beast Shock Of The New Era di KL Live, Kuala Lumpur. Pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur iaitu tujuh jam sebelum berlangsungnya konsert tersebut, G.Na memberitahu dia sebelum ini banyak mendengar tentang Malaysia. "Saya dimaklumkan bahawa peminat muzik Korea ramai di Malaysia dan kedatangan saya ke negara ini tentunya memberi pengalaman terbaik. Sejujurnya, saya sangat gementar. "Melihat peminat menjerit memanggil nama saya membuktikan sokongan mereka kepada saya dan ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada diri saya sendiri," kata G.Na yang mengakui tidak sihat kerana perubahan cuaca. G.Na pada konsert tersebut tampil membuka tirai persembahan dengan gaya ringkas berseluar jeans dan kemeja-T dilengkapi jaket menyanyikan tiga buah lagu hitnya iaitu I Will Get Lost, You Go Your Way, Take A Bow dan Supa Solo. Menyorot persembahan G.Na pada malam tersebut, dia memenuhi masa selama 20 minit dengan nyanyian dan tarian yang memukau biarpun terpaksa berulang kali minum air kerana tidak sihat. Gagal mengawal perasaan gugup barangkali sedikit mengganggu fokus G.Na pada malam tersebut kerana terlupa lirik ketika menyampaikan lagu Take A Bow. Bagaimanapun, sikap jujur dengan penonton yang ditunjukkan oleh G.Na harus dipuji apabila dia segera memohon maaf kepada penonton kerana gagal mengingati lirik lagu tersebut. Kumpulan lima wanita, 4Minute tampil dengan gaya ringkas dan berseluar pendek menyanyikan lima buah lagu termasuk Huh, I My Me Mine, Highlight, Music dan Hot Issues. Menampilkan persembahan yang cukup menarik, 4Minute ternyata bijak menggunakan ruang pentas di kiri dan kanan menandakan ada interaksi dengan penonton di sebelah kanan dan kiri selain mereka yang berada di hadapan pentas. "Malaysia bagus!" Itu kata-kata yang terlontar daripada mulut kelima-lima gadis jelita itu sebaik tampil di pentas ketika sesi sidang akhbar berlangsung. Biarpun ini kali pertama mereka melangkahkan kaki ke negara ini, seboleh mungkin mereka cuba membiasakan diri dengan cuaca panas berbanding cuaca sejuk bersalji di negara mereka kini. Tidak seperti G.Na yang gementar untuk melakukan persembahan. 4Minute memberitahu, mereka telah membuat persediaan dari segi nyanyian dan tarian khas untuk peminat mereka di negara ini. Mereka dianggotai oleh Hyu Nah, Ji Hyun, Ga Yoon, Ji Yoon dan Soh Yeon. "Kami suka pemandangan dan alam semulajadi serta peminat-peminat yang ada di sini. Harapan kami pada masa akan datang ada lebih banyak aktiviti di Malaysia," kata salah seorang anggota 4Minute. | ||
Cheongsam hijau selebriti popular Posted: Cheongsam hijau selebriti popularOleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA BARISAN selebriti dan model yang terlibat dalam Green Cheongsam Showcase di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini. SELEBRITI dan fesyen memang tidak dapat dipisahkan lagi kerana ia saling berkait rapat antara satu sama lain. Menerusi fesyen, serlahan gaya seseorang selebriti dapat diterjemah. Malah ada di antara mereka mempunyai jalur fesyen tersendiri yang seakan menjadi ikutan dan perhatian ramai. Bercakap tentang selebriti dan fesyen, baru-baru ini bertempat di The Weld, Kuala Lumpur, lebih 30 selebriti yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan juga model terkenal terlibat dalam Green Cheongsam Showcase. Memperagakan busana rekaan pereka fesyen tempatan, penglibatan selebriti ini juga selain memberi sokongan terhadap perkembangan fesyen tempatan ialah menarik minat ramai serta menambah glamor bagi acara tersebut. Antara artis yang terlibat ialah Nasha Aziz, Eja, Pushpa Narayan, Erra Fazira, Faezah Elai, Mislina, Intan Ladyana, Irma Hasmie, Suki, Zahnita, Amber Chia, Fazura, Farah Diya, Julia Zigler, Juliana Evans, Azharina , Jasmine Michael dan ramai lagi. Manakala antara pereka fesyen yang terlibat pula ialah Alvin Tay, Ariff Shukor, Bill Keith, Carven Ong, Daniel & Leslie, Keith Kee, Rizman Ruzaini, Razman Razmi, Riffai, Salikin Sidek, Wanpa, Wan Huzairil, Faizel Azraff dan Von Jolly. Ini kali ketiga pertunjukan fesyen yang melibatkan selebriti diadakan di The Weld. Kali pertama ialah sekitar tahun 2006 di mana puluhan selebriti terlibat dalam menggayakan kebaya berwarna biru. Malah, pada tahun 2008, The Weld sekali lagi menganjurkan pertunjukan fesyen melibatkan selebriti dengan pakaian bertemakan batik. Menurut wakil penganjur dan publisis The Weld, Bill Bora, kesinambungan pertunjukan yang melibatkan selebriti daripada pelbagai bangsa itu dalam masa yang sama adalah sebagai menyahut kempen 1Malaysia. Katanya, selebriti yang hadir pada pertunjukan yang berlangsung antara 12 hingga 14 Januari lalu itu tampil menggayakan busana rekaan daripada pereka fesyen yang sering bekerjasama dengan mereka sepanjang penglibatan seni. "Tema Green Cheongsam yang kami pilih pada tahun ini adalah kerana tidak lama lagi masyarakat Cina bakal menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan kami rasa pemilihan tema pakaian cheongsam amat bertepatan. "Menghimpunkan hampir 30 selebriti terkenal tempatan daripada berbilang bangsa memperlihatkan pakaian amnya fesyen cheongsam itu sendiri bukan hanya terhad kepada masyarakat Cina sahaja. "Seperti baju kurung, kebaya dan sari, rekaan cheongsam bersifat universal dan boleh digayakan oleh sesiapa sahaja," katanya. Kebiasaannya, apabila bercerita tentang Tahun Baru Cina, warna merah bagaikan menjadi kemestian bagi masyarakat Cina. Bagaimanapun, jelas Bill Bora, pemilihan warna hijau adalah berdasarkan kepercayaan Feng Siu masyarakat Cina sendiri berteraskan penulis Feng Siu terkenal, Lilian Too yang menyatakan warna tersebut mampu memberi kesejahteraan kesihatan dan kekayaan untuk tahun ini. Melengkapkan keanggunan cheongsam yang digayakan, para selebriti turut menggayakan barang kemas berteraskan jade dan mutiara yang amat sesuai dipadankan dengan cheongsam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |