Adsense

Ahad, 9 Januari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Jamal serba salah di IB

Posted:

Jamal serba salah di IB

Jamal serba salah di IB

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


JAMAL ABDILLAH sempat mengusik Ahmad Nawab pada Konsert J2011 Legenda di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


AMAL Abdillah bukan sahaja mendapat gelaran Raja Pop tanah air kerana keunggulannya sebagai penyanyi yang masih bertahan selepas terbabit dalam bidang nyanyian sejak 32 tahun lalu.

Malah, rekod persembahannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur juga agak cemerlang selepas tiga kali dia mengadakan konsert di situ pada tahun 2005 dan 2009.

Terbaru Jamal sekali lagi mengadakan konsert di IB menerusi Konsert J2011 Legenda pada 6 Januari hingga hari ini (10 Januari) di mana ia menjadikan konsert ketiganya di panggung tersebut.

Kecemerlangan bekas juara Bintang RTM 1979 itu dapat dilihat apabila lebih 80 peratus tiket konsert habis dijual.

Sungguhpun tiada masalah daripada segi jualan tiket dan sokongan media massa, namun Jamal pada konsert terbarunya itu berdepan masalah dengan pemilihan lagu-lagu dendangannya.

Menurut penyanyi berusia 51 tahun ini, dia berasa serba salah apabila ada di kalangan peminat yang masih mengharapkannya menyanyikan lagu-lagu yang pernah dipopularkannya suatu ketika dulu.

"Dalam hal ini, saya berasa serba salah kalau asyik-asyik menyanyikan lagu-lagu lama atau lagu-lagu popular yang biasa saya nyanyikan pada konsert-konsert sebelum ini.

"Kalau tidak menyanyikan lagu-lagu hits atau lagu-lagu lama saya, nanti orang akan bertanya juga. Begitu juga dalam konsert kali ini. Serba salah saya dibuatnya," komennya.

Penyanyi berasal dari Teluk Intan, Perak itu mengulas tentang pemilihan lagu-lagunya yang dinyanyikannya pada Konsert J2011 Legenda selepas konsert tersebut.

Ramai yang memberi maklum balas mengatakan kurang puas hati kerana Jamal malam itu lebih banyak menyanyikan lagu-lagu yang kurang popular di halwa telinga para penonton.

Bapa kepada dua anak ini contohnya, menyanyikan lagu-lagu seperti Kalipso Tropikana, Lagu Rindu, Secupak Dua Cupak, Tangisan Di Waktu Malam, Perasaan dan Rindumu Rinduku.

Jelas Jamal, dia lebih banyak menyanyikan lagu-lagu seperti itu bukan setakat mahu menampilkan kelainan tetapi juga bagi mengelakkan para peminat bosan.

"Saya terpaksa buat macam ini untuk kelainan. Saya sengaja memilih lagu-lagu yang tidak pernah saya nyanyikan di atas pentas. Kalau lagu-lagunya sama takut orang akan bosan.

"Kebetulan lagu-lagu lama itu adalah lagu-lagu kegemaran saya. Saya minat lagu-lagu itu sejak remaja lagi. Misalnya lagu Rayuan Maut yang pernah dipopularkan oleh S. Effendi," ujarnya.

Boleh dikatakan lebih separuh daripada 29 lagu yang dipersembahkan pada Konsert J2011 Legenda itu merupakan lagu-lagu lama popular pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Bagaimanapun, Jamal sempat menyanyikan beberapa lagu popularnya termasuklah dalam bentuk medley antaranya berjudul Azura, Sepi Seorang Perindu dan Takdir Penentu Segala.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Apabila otai rock bertemu

Posted:

Apabila otai rock bertemu

Apabila otai rock bertemu

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF


PERTEMUAN SEMULA... Barisan vokalis popular kumpulan rock 90-an yang berjaya dikumpulkan pada Konsert Memori Rock KLfm 2010 di Pasar Seni, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


MACAM-macam cara dilakukan oleh pihak penganjur terutama dalam memberikan yang terbaik kepada penonton pada sambutan malam tahun baru.

Baru-baru ini, bertempat di perkarangan bangunan Pasar Seni, Kuala Lumpur, stesen radio KLfm bersama para penyampainya hadir menghiburkan peminat bersama otai-otai rock 90-an pada Konsert Memori Rock KLfm 2010.

Menampilkan para vokalis terkenal seperti Ali (Terrarosa), Bagio (Damasutra), Rahmat (Mega), Isa (Graviti), Nizam (Laksamana), Black (Gamma) dan ramai lagi, persembahan malam tersebut berjaya menggamit kunjungan hampir 1,000 pengunjung.

Ini merupakan acara yang julung kalinya diadakan sekali gus memperlihatkan pertemuan semula para vokalis rock 90-an itu di atas pentas yang sama.

Tirai persembahan dibuka oleh para penyampai stesen tersebut seawal pukul 8.30 malam sebelum Ali mengambil alih pentas dengan lagu berhantunya, Bunga Angkasa dan Gering tepat pukul 9.15 malam.

Percaturan yang dicetuskan oleh salah seorang penyampai stesen itu sendiri iaitu DJ Mimie bermula apabila dia menemubual vokalis kumpulan Utopia iaitu Afee tidak lama dahulu.

Hubungan baik Afee dengan otai-otai rock yang lain melalui Persatuan Audio, Visual dan Artis (PAVA) yang menghimpunkan mereka di bawah satu bumbung memudahkan perbincangan yang membawa kepada konsert tersebut.

Pun begitu, pemilihan nama konsert tersebut mengambil daripada salah satu slot di bawah Kenangan Lalu Kuala Lumpur (KLKL) yang bersiaran setiap Sabtu pukul 5.15 petang iaitu Memori Rock KLfm yang memutarkan lagu-lagu rock era 80-an hingga 90-an selama tiga jam.

Selain membangkitkan memori rock di tempat yang cukup sinonim dengan muzik tersebut di zaman kegemilangannya, ia juga bertujuan mendekatkan para pendengar dengan penyampai KLfm itu sendiri.

Pengurus KLfm, Normah Abdul Aziz ketika ditemui pada konsert tersebut memberitahu, KLKL merupakan antara rancangan yang mempunyai ramai pengikut justeru pihaknya berusaha membawakan konsert tersebut sebagai hiburan para pendengar setia mereka.

Turut bersiaran secara langsung menerusi frekuensi 97.2 fm pada malam tersebut, ia menginjak sehingga ke detik 12 malam menerjah ke ambang tahun baru.

Hatta (Junction) turut menjentik emosi pengunjung yang hadir menerusi lagu hit kumpulan itu Akan Ku Kenang sebelum Black (Gamma) tampil di tengah pentas mempersembahkan lagu Bahang Asmara dan Kembang Terhalang.

Bagio ketika ditemui memberitahu, konsert yang julung kali diadakan seperti itu bagaikan pertemuan semula dia dan rakan-rakannya selepas era kegemilangan muzik rock ditinggalkan hampir 20 tahun.

Bagi dirinya yang pernah berusaha tampil dengan lagu-lagu baru tidak lama dahulu terkekang dengan kekuatan arus muzik moden yang lebih diminati kini.

"Bagaimanapun, alhamdulillah biarpun sudah jauh era itu ditinggalkan namun, peminat tetap ada malah saya sendiri masih menerima banyak undangan persembahan," katanya.

Bagio pada malam tersebut menerima tepukan gemuruh menyanyikan lagu hit Damasutra, Sufi dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi. Malah, peminat yang hadir tidak ketinggalan menyanyi sama.

Sementara itu, Rahmat yang menyampaikan lagu Bayangan Gurauan dan Takdir Dan Waktu ketika ditemui ditemui tidak menafikan lagu Bayangan Gurauan serta Takdir Dan Waktu memberi impak yang besar dalam kerjaya seninya.

Biarpun sudah berbelas tahun meninggalkan kegemilangan rock 90-an namun, lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Mega masih lagi diminati dan diputarkan sehingga kini.

"Kini muzik rock 90-an seakan kembali diminati malah, stesen-stesen radio juga banyak membantu memutarkan kembali lagu-lagu di era tersebut.

"Ia secara tidak langsung mengimbau kembali memori serta mewarnai kembali kepelbagaian genre muzik di negara ini," kata Rahmat.

Dalam perkembangan lain, Rahmat dijangka mengadakan Konsert Solo Rahmat Mega di Singapura pada 19 Februari ini.

Malah, antara Februari atau Mac, dia bakal muncul dengan single solo terbaru. Berbalik kepada Konsert Memori Rock KLfm 2010, antara otai rock yang turut membuat persembahan ialah G-Mie (Screen) menerusi lagu Bila Kau Kata Kau Sayang dan Bila Cinta Di Dusta.

Tidak ketinggalan, Isa dengan lagu Kasih Dirundung Mega dan Kau Salju Cintaku manakala Nizam dengan lagu Curang dan Gugurnya Bunga Cinta, Burn (Meditasi) dengan lagu Demi Rindu Ini serta Biar Pedih Kasih Memanjang.

Afee pula menyanyikan lagu Di Sini Pasti dan Mithali Cintaku sebelum kumpulan Awan tampil menyanyikan lagu Tinggalkan Satu Peluru dan Enter Sandman.

Menghitung detik 12 malam, Hatta sekali lagi tampil diiringi semua artis yang terlibat serta penyampai KLfm menyanyikan lagu Final Countdown.

Kemuncak persembahan, Datuk Shafik& Vee Monet dan kesemua penyampai tampil menyanyikan lagu Rindu Sesama Sahabat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.