Harian Metro: Rap |
Posted: 21 Jan 2011 07:11 AM PST IMPIAN...Jang Hyuk ingin ikut jejak pelakon Korea bina nama di Hollywood. HOLLYWOOD menjadi penanda aras kerjaya seni seseorang dan pastinya pencapaian cukup prestij jika mereka itu berstatus artis Asia. Sememangnya bukan mudah untuk memperoleh peluang menjejakkan kaki ke dalam industri perfileman dan muzik terbesar dan paling berpengaruh di dunia itu.
"Ramai artis Korea berjaya membuktikan mereka mampu menjejakkan kaki ke Hollywood dan memberi persembahan membanggakan sama ada dalam filem mahupun nyanyian. "Saya juga memasang impian sama dan berharap satu hari akan mencapainya. Hollywood, adalah puncak kepuasan kerjaya seseorang artis kerana ia adalah industri hiburan terbesar dan tentunya satu pengalaman yang hebat dapat bekerja dalam produksi yang efisyen, serba moden dan canggih. "Cuma buat masa sekarang saya belum bersedia kerana sedar banyak kelemahan perlu diperbaiki khususnya pertuturan dalam bahasa Inggeris. Saya perlu belajar terlebih dulu dan apabila sudah bersedia tentunya saya akan mencari peluang ke Hollywood," katanya. Jang Hyuk atau nama sebenar, Jung Yong Joon, berada di Kuala Lumpur selama sehari Selasa lalu, untuk promosi drama terbarunya, Midas, selepas melakukan promosi yang sama di Singapura sebelum itu. Drama untuk Astro B.yond (saluran 33) itu baru saja menjalani penggambaran dua minggu lalu dan satu pertemuan istimewa bersama Jang Hyuk diaturkan SPE Networks - Asia dan One Networks - Asia, di Hotel Ritz Carlton, Bukit Bintang, baru-baru ini. Hampir tidak dapat mengecam wajahnya kerana pemuda berkulit segar ini lebih tampan di luar berbanding melihat wajahnya di kaca TV. Orangnya juga bertubuh kecil tidaklah seperti digambarkan di layar skrin. Awal-awal lagi pihak media diingatkan supaya tidak bertanya hal peribadi kerana Jang Hyuk langsung tidak berminat memperkatakannya melainkan soal kerja. Bercerita mengenai Midas yang mula ditayangkan di Astro B.yond pada 23 Januari ini, Jang Hyuk yang mengahwini pengajar pilates, Kim Yeo-jin kini mempunyai seorang anak, memegang watak sebagai peguam cara hebat bernama Dohyun. Namun, mahu mencari kehidupan lebih selesa, Dohyun menyertai sebuah syarikat konglomerat terkenal di Korea Selatan dan bertukar kerjaya kepada bidang kewangan. Di sini bermula kehidupan baru Dohyun dan akhirnya membawa pertemuan dengan Inhe lakonan Kim Hee-Ae, yang cukup terkenal menerusi My Husband's Woman. Jang Hyuk berkata, dia tertarik untuk membintangi drama itu kerana selepas 14 tahun menimba pengalaman dalam bidang lakonan, ini pertama kali dia memegang watak peguam. Tambahan pula, dalam kebanyakan drama mahupun filem lakonannya, penonton agak skeptikal akan dirinya yang sering memainkan watak-watak lelaki jahat. "Watak Dohyun ini berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Saya amat teruja memainkan watak ini. Tidak mahu lakonan kelihatan kosong, saya membuat sedikit kajian mengenai bidang guaman, memerhati karektor mereka selain menyelami topik perbualan yang sering dibualkan mereka. "Saya dibantu oleh rakan-rakan yang bekerja dalam bidang profesional. Bagaimanapun, pengamatan ini hanya sebagai panduan saja selebihnya kejujuran dalam lakonan perlu lahir dari dalam," katanya. Beralih pada topik lain, Jang Hyuk turut ditanya bagaimana dia mengekalkan popularitinya meskipun wajah bintang K-Pop kini mengambil alih layar skrin dan layar perak. Mengakui tidak pernah berasa tergugat, pelakon yang pernah meraih pelbagai anugerah percaya seorang pelakon yang hebat dan mampu menghayati setiap watak, mereka akan kekal lama walaupun kehadiran pelakon muda silih berganti. Bukan itu saja, penerima anugerah 'West Hollywood International Film Festival' yang pernah menghasilkan album rap dengan judul TJ Project pada 2000 juga tidak melihat akan ada perkara lain dilakukannya selain menghambakan diri pada bidang lakonan. "Setiap drama atau filem dilakonkan memberi pengalaman berbeza-beza dan saya berpeluang menjadi orang lain. Apabila penonton menghargai dan memuji lakonan saya manakala pengarah pula memberi kepercayaan, itu adalah kejayaan paling besar pada saya. "Saya tidak pernah mengejar anugerah cukuplah penonton dan peminat menghargai hasil lakonan saya," katanya. PROFIL NAMA: Jeong Yong-joon |
Posted: 21 Jan 2011 07:00 AM PST Mengangkat budaya tradisi tempatan memerlukan sokongan ramai pihak. Paling penting, generasi muda harus sentiasa didedahkan dengan tradisi agar tidak mati ditelan zaman. Atas kesedaran itu, Swatari di bawah Pak Ngah Production, meneruskan usaha mendidik generasi baru dengan membuka kelas tarian tradisional.
Ini bukan kali pertama kelas tarian dikendalikan Datin Sharifah Mahani Syed Kassim isteri komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dibuka kepada orang ramai, malah ia sudah masuk musim kelapan. Sharifah mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang tarian serta pernah bertugas sebagai pereka tari Kompleks Budaya Negara (KBN) dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (kini Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan).
Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan tarian tradisional boleh menyertai kelas asas tari yang turut dikendalikan. Menurut Sharifah, Swatari sudah bergiat aktif di bawah naungan Pak Ngah Production sejak lapan tahun lalu dengan pelajar lebih kurang 1,500 kanak-kanak dan dewasa. Mereka datang dari sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. "Untuk kelas kita mempunyai dua tahap pembelajaran iaitu peringkat asas dan lanjutan. Ia dikendalikan lima tenaga pengajar terlatih. Bagi menambah ilmu dipelajari, sesekali kami akan menjemput tenaga pengajar mahir untuk berkongsi kemahiran dan pengalaman dimiliki," katanya. Tambah Sharifah, pelajar yang mengikuti kelas tarian di Swatari berpeluang membina kerjaya dalam bidang ini, memandangkan mereka sering membuat persembahan kebudayaan di dalam dan luar negara. "Setakat ini kami mempunyai 30 penari dewasa dan 50 kanak-kanak dalam kumpulan utama. Mereka diberi latihan hingga berada di tahap terbaik. Dibimbing pereka tari sepenuh masa, Zulfaqar Awaludin dibantu 20 penari tetap dan berpengalaman. "Swatari ditubuhkan dengan tujuan menarik minat generasi masa kini untuk mengenali lebih dekat kesenian dan kebudayaan menerusi program pembelajaran jangka pendek untuk asas tarian joget, zapin dan inang. "Tahun lalu Swatari meraikan ulang tahun yang ke-10 penubuhannya. Syukur dalam tempoh itu Swatari menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dalam usahanya memperkembangkan lagi budaya dan warisan tempatan kepada generasi muda yang turut diharapkan mampu menjadi pelopor kepada budaya tradisi ini," katanya. Kecemerlangan Swatari juga turut menyerlah apabila memenangi pelbagai anugerah antaranya apabila memenangi kategori Persembahan Terbaik Juara Lagu Ke-17 bagi lagu Nirmala yang didendangkan Datuk Siti Nurhaliza. Swatari turut mengharumkan nama negara di luar apabila menang piala emas dalam kategori persembahan terbaik di Asia Pasific Youth Arts Festival yang berlangsung di Shenzhen, China dan turut mewakili Malaysia untuk Dream Stage of Asian Children Festival di Tokyo, Jepun pada 2008. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |