Adsense

Sabtu, 15 Januari 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Wawa tampil anggun mewah

Posted: 14 Jan 2011 06:43 AM PST

SAAT indah diimpikan personaliti televisyen Azwaliza Azman atau Wawa, 30 untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan hati Abdul Kadir Abdul Rashid, 32, semakin hampir. Pasangan yang bertunang pada November 2009 akan bernikah pada 22 Januari ini, jam 3 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Segala persiapan sudah dilaksanakan dan Rap dijemput menyaksikan bagaimana pasangan merpati dua sejoli ini meneliti kerja-kerja terakhir sebelum tiba hari bersejarah buat mereka.


Perbincangan dilakukan dengan Pengarah Kreatif Cosry Wise (M) Sdn Bhd, Putra Aziz membabitkan baju bakal digayakan pada majlis resepsi. Cantik dan tampak mewah di kala Wawa mengacu gaun yang bercirikan kebaya moden.

Selain majlis pernikahan dan resepsi di PWTC, pasangan itu merancang mengadakan majlis resepsi di rumah bagi membolehkan sahabat taulan meraikan mereka sementara Hotel Shangri-La buat tetamu khas. Untuk itu beberapa pasang baju sudah pun ditempah.

"Di majlis itu nanti kebanyakan pakaian saya direka Freda, pereka fesyen yang turut bertanggungjawab menghasilkan baju untuk majlis merisik dan bertunang. Malah baju pernikahan nanti, dia juga yang hasilkan," katanya menceritakan perancangan dibuat.

Wawa sendiri berusaha memastikan segala perancangan berjalan lancar seperti apa yang dimahukan. Lebih penting bagi pembaca berita Buletin Utama dan pengacara majlis itu, dia mahu tetamu bakal meraikan mereka berasa selesa dan seronok.


Menceritakan lebih lanjut mengenai majlis bakal berlangsung, jelas Wawa memandangkan kedua-duanya sibuk dengan urusan kerja dan perniagaan, pada peringkat awal mereka merancang untuk mengadakan majlis secara sederhana dan ringkas.

Kadir sendiri sebelum ini menjadi pengurus kumpulan Ruffedge kini sibuk mengendalikan perniagaan dibina keluarga.


"Susah kalau majlis diadakan secara kecil-kecilan kerana saya mahupun Kadir mempunyai saudara-mara dan kenalan yang ramai. Contoh sewaktu kami mengadakan majlis pertunangan. Pada awalnya saya mahu mengadakan ia secara ringkas dan sederhana, namun sebaik rakan-rakan tahu mereka semua mahu datang dan meraikan saya.

"Kehadiran mereka secara tidak langsung menjadikan majlis itu nampak meriah dan besar," katanya.


Latar keluarga yang pelbagai juga menyebabkan Wawa dan Kadir mengadakan beberapa majlis resepsi khas.

Jelas Wawa ibunya, Jamilah Ahmad berdarah kacukan Cina, dan biasanya keluarga belah ibunya sangat tertarik dengan adat istiadat perkahwinan Melayu begitu juga dengan bapanya Azman Abdullah yang masih mempunyai ramai keluarga berketurunan India dan Cina.


Sementara Kadir pula Abdul Rashid yang keluarga berasal dari utara India sementara ibunya Ailleen Jamaluddin datang dari keluarga besar.

Waktu sama datuknya, V.K Abdul Majeed mempunyai perniagaan permaidani dan sudah tentu punya ramai kenalan dan rakan niaga.

"Saya pula anak bongsu dari tiga beradik sudah tentu dengan latar keluarga begitu susah untuk kami mengadakan majlis secara sederhana dan kecil.

"Kata ibu, ini adalah perkahwinan terakhir dalam keluarga kami jadi mahu atau tidak majlis harus dilakukan dalam suasana semeriah mungkin.

"Begitu juga dengan Kadir. Sebagai anak sulung daripada tiga berada ini adalah majlis pernikahan dan perkahwinan pertama dalam keluarganya.

"Secara peribadi bagi saya kecil atau tidak bukan persoalannya, apa yang lebih penting restu dari keluarga dan tetamu lebih kami harapkan. Doakanlah kebahagiaan rumah tangga bakal kami bina nanti," katanya.


Bercerita lanjut mengenai persiapan, jelas Azwa mengikut perancangan dia mahukan majlis resepsi bertemakan perkahwinan dalam taman. Namun ia agar sukar untuk dilaksanakan secara menyeluruh. Begitupun menurut selebriti berwajah manis itu, ia mungkin dapat direalisasikan dalam salah satu majlis resepsi bakal dilaksanakan.


"Saya tidak melantik mana-mana perunding perkahwinan kerana lebih gemar melakukan semuanya sendiri. Lagipun susah kalau mengharapkan orang. Bimbang kalau ia tidak berkenan di hati akan menimbulkan rasa kurang senang. Masa majlis pertunangan pun begitu juga segalanya saya buat. Namun mujur saya ada rakan-rakan di TV3 membantu terutama bahagian Komunikasi Korporat yang kebetulan memang rapat dengan saya.

"Mereka sudah biasa mengendalikan majlis besar jadi sudah tentu kemahiran mereka saya gunakan untuk membantu menguruskan majlis pernikahan dan persandingan nanti," katanya.


Menyorot kisah percintaan pasangan ini, kedua-duanya mula berkenalan di kedai menjual telefon bimbit. Pada peringkat awal Wawa menjelaskan dia agak berat untuk menerima Kadir. Namun atas usaha Kadir dan bantuan rakan sekerja Wawa, akhirnya mereka dipertemukan. Kedua-duanya mengakui pada permulaannya mereka memulakan hubungan sebagai kawan sehinggalah apabila berasa selesa mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Mungkin benar kata orang, perasaan tidak suka boleh bertukar kepada sayang dan rindu. Itulah juga yang saya rasakan kini. Pada saya Kadir seorang lelaki budiman.

"Dia menyayangi saya sepenuh hati dan saya bertuah kerana dipertemukan Allah dengan lelaki sepertinya. Rasa tanggungjawab ditunjukkan kepada saya itu lebih penting.


"Bayangkan dulu sepanjang kami berkawan apabila saya habis kerja lewat, Kadir akan datang ke pejabat dan menghantar saya pulang dari pintu pagar Sri Pentas sampailah ke pintu pagar rumah.

"Apabila saya selamat masuk dalam rumah barulah dia beredar. Ia dilakukan saban hari dan pada saya susah untuk mencari lelaki baik seperti Kadir.


"Wang ringgit pada saya bukanlah keutamaan kerana ia boleh diperoleh selepas kita hidup bersama. Saya sendiri selama ini hidup berdikari dan membina kerjaya dari bawah, namun untuk mencari seorang suami saya melihat seorang lelaki itu perlu ada kepimpinan dalam merencana hidup.


"Kerana kalau perkara itu ada, bermakna dia boleh mengemudi keluarganya. Ciri-ciri itulah yang saya nampak ada pada Kadir," katanya.


Bagi Kadir yang turut bersama Wawa melihat persiapan dilakukan menjelaskan, kebijaksanaan dan dorongan diberikan penyampai berita Buletin Utama itu kepadanya agar berjaya dalam bidang perniagaan diceburi menyebabkan dia berasakan Wawa adalah wanita paling sesuai untuk dijadikan suri hidup.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ahmad Dhani pengetua AF9?

Posted: 14 Jan 2011 06:27 AM PST

PERSOALAN masih belum terjawab membabitkan desas-desus pemilihan pengetua dan pengacara bagi rancangan realiti TV popular Akademi Fantasia musim sembilan (AF9).

Sebelum ini angin bertiup kencang menyatakan komposer terkenal Indonesia, Erwin Gutawa bakal menjadi pengetua.


Namun menurut sumber dari seberang, Erwin awal-awal lagi menyangkal perkara itu dengan mengatakan tidak pernah menerima apa-apa tawaran daripada produksi AF9. Malah dia tidak berminat untuk menjayakannya.

Satu lagi nama disebut-sebut, ketua kumpulan Dewa iaitu Ahmad Dhani. Menurut sumber dalaman, kehadiran pencipta lagu dan penyanyi itu ke Malaysia baru-baru ini bagi menjayakan rancangan akhir Tari Menari dan Konsert Ria 2010, sebenarnya turut berserta dengan perbincangan bagi menyuntingnya menjadi pengetua. Begitupun pengesahan belum diperoleh. Sewaktu sidang akhbar pertama rancangan itu diadakan baru-baru ini, pihak pengurusan Astro Ria mengambil tindakan 'tutup mulut' dan memberikan jawapan secara rawak tanpa menjurus kepada mana-mana individu.


Pada majlis sidang akhbar bagi mengumumkan tarikh dan lokasi uji bakat AF9 itu, Pengurus Saluran Astro RIA, Azlin Reza Azmi enggan mengulas panjang apabila ditanya mengenai pemilihan pengetua dari seberang. Namun dia mengakui, orang yang dipilih adalah individu sangat popular di rantau Asia Tenggara. Beberapa wakil media meluahkan rasa kurang setuju dengan keputusan Astro sekiranya memilih individu dari Indonesia. Ini kerana langkah itu membelakangkan ramai lagi penggiat seni tempatan. Mempertahankan keputusan bakal diambil, jelas Azlin, sebelum ini pemilihan Ramli MS dan Ramli Sarip juga dari luar, kedua-duanya berasal dari Singapura.


Mereka yang pernah diberi mandat sebagai pengetua AF ialah Datuk Freddie Fernandez (AF1), Ramli MS (AF2), M Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4), Ramli MS (AF5), Roslan Aziz (AF6), Datin Seri Tiara Jacquelina (AF7) dan Norman Abdul Halim (AF8).

Begitu juga dengan pengacaranya. Pada tahun ini Aznil Nawawi disebut-sebut bakal kembali mengendalikan konsert dan diari di mana sewaktu pengacara popular itu meletakkan jawatan, ia digalas A.C Mizal dan Sarimah Ibrahim.


Ditanya mengenai perkara itu, Azlin menyatakan, rancangan itu akan dikendalikan pengacara popular dan tidak mustahil sekiranya Aznil kembali mengendalikan AF9 memandangkan ini adalah musim terakhir sebelum ia menutup tirai secara rasmi dan digantikan dengan satu program realiti TV lain.

"Ini adalah Akademi Fantasia terakhir dan selepas ini tidak akan ada lagi Akademi Fantasia. Kami akan menggantikannya dengan satu rancangan menampilkan konsep berbeza. "Pada kami, sudah tiba masanya Akademi Fantasia ditutup kerana setiap perkara yang bermula pasti akan berakhir. Untuk musim terakhir ini, kami akan cuba menggabungkan semua elemen menarik yang pernah ada dalam Akademi Fantasia termasuklah bekas pelajarnya akan dijemput untuk menjayakannya," katanya.


Jelas Azlin, pada musim ini buat pertama kalinya Astro Ria memperkenalkan uji bakat secara online untuk AF9. Bermula 13 hingga 27 Januari, orang ramai boleh menghantar klip video nyanyian mereka di laman sesawang menerusi www.akademifantasia.com.my.


"Seiring dengan perkembangan teknologi, uji bakat secara online akan memudahkan orang ramai untuk turut serta. Selain menjimatkan masa, peserta juga dapat menambahkan keyakinan diri dan mengumpul peminat sendiri dengan muat naik video tersebut ke laman web, facebook dan youtube yang popular penggunaannya pada masa kini. "Selain itu, peserta yang dipilih tidak perlu bersusah payah untuk beratur sebagaimana sebelum ini. Mereka yang dirasakan layak akan dipanggil untuk mengunjungi dua lokasi uji bakat iaitu di Hotel Promenede, Kota Kinabalu dan Stadium Nasional Bukit Jalil bagi sesi pemilihan kedua dan ketiga," katanya. Uji bakat di Sabah dilakukan pada 28,29 dan 30 Januari sementara di Bukit Jalil pada 11,12 dan 13 Februari. Syarat-syarat penyertaan masih lagi sama dan had umur penyertaan adalah 18 hingga 45 tahun. Tahun ini juga senarai lagu untuk dinyanyikan mereka yang mahu uji bakat turut ditambah daripada 20 kepada 40 jenis lagu pelbagai rentak. Untuk mengetahui lanjut mengenai sesi uji bakat diadakan mereka yang berminat boleh melayari www.akademifantasia.com.my. Mengimbas kembali kejayaan AF, juara musim pertama ialah Vince, Zahid, Mawi, Faizal , Mila, Stacy, Hafiz dan Shahir. Pengacara pula, Aznil mengendalikan program itu selama lima musim kemudian diambil alih AC Mizal (dua musim) dan tahun lalu gandingan Sarimah dan Jimmy Shanley.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.