Adsense

Khamis, 13 Januari 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tiada siapa taja

Posted: 12 Jan 2011 01:59 PM PST

Hip

Marsha minta jangan timbulkan cerita bukan-bukan apabila muncul dengan album sendiri

JANGAN ada yang cuba menabur fitnah apabila Marsha Milan Londoh akhirnya muncul dengan album solo dengan menggunakan wang sendiri. Gadis dari Tamparuli, Sabah ini menafikan hidupnya ditaja.

Sebaliknya Yang Pertama terhasil dari titik peluh hampir enam tahun bergelar anak seni. Jika teman seangkatannya seperti Mawi memiliki lima album dalam tempoh tidak sampai dua tahun, malah sudah dilambung pelbagai onak dan duri sebagai seorang penyanyi. Kerjaya nyanyian Marsha pula baru saja hendak bertunas.

Pernah terlintas di hati kecil gadis ini untuk tinggalkan saja bidang nyanyian sebaliknya memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonan yang menjanjikan lebih pulangan kepadanya. Namun, gadis ini memujuk hati dengan menjadikan Adibah Noor sebagai inspirasi.

Jika penyanyi itu sanggup menanti 10 tahun untuk memiliki album pertamanya, jadi kenapa perlu dia cepat mengalah.

"Sekiranya saya ditaja, saya tidak akan buat lima lagu saja. Lebih baik saya ambil kesempatan buat 10 lagu terus. Sebenarnya wang untuk menghasilkan album ini saya kumpul sedikit demi sejak saya masuk ke dalam bidang ini hampir enam tahun lalu.
"Selepas tamat pengajian di AF lagi saya sudah pasang niat untuk menghasilkan album dengan bajet sendiri, kerana saya sedar pada waktu itu Astro mempunyai terlalu ramai artis. Sudah tentu mereka tak mampu melayan semua. Jadi saya pun nekad mengumpul wang sedikit demi sedikit.

"Saya sanggup tidak pakai kereta atau membeli benda yang tidak sepatutnya semata-mata mahu mengumpul wang untuk buat album. Apabila wang yang dikumpul sudah mencukupi dan ada lebih sedikit, barulah saya berani membeli kereta.

"Bagi merealisasikan impian untuk memiliki album, saya memang terpaksa bekerja keras. Memang saya hampir berputus asa untuk tak mahu lagi bergelar penyanyi tetapi semangat dan dorongan yang diberikan pengurus, keluarga, rakan-rakan menyebabkan hasrat itu terbantut. Begitu juga dengan peminat, kekerapan mereka bertanya mengenai album menaikkan semangat saya untuk segera menghasilkannya," kata Marsha yang memperlihatkan kebolehannya sebagai penulis lagu dalam Yang Pertama.

Yang Pertama yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri Marsha Londoh Entertainment sementara edaran oleh Alibi Music Sdn Bhd. Memuatkan sebanyak lima buah lagu, dua darinya adalah nukilan Marsha sendiri iaitu Bila dan Janji yang menjadi soundtrack dokudrama Korban 44.

Tiga lagi lagu yang termuat dalam album itu ialah Ruang Kedua yang menyaksikan dia berduet dengan penyanyi dari Perancis, Julian Caley, Tak Perlu Selamanya dan Bersama Kita.

Menurut gadis keturunan Kadazandusun ini, dia berjinak-jinak dalam penulisan lagu sebelum menyertai AF lagi. Namun lagu ciptaannya hanya disimpan begitu saja. Baru kini dia berani untuk mendedahkan sentuhannya kepada umum.

Bagaimanapun kata Marsha, bukan mudah untuk melihat albumnya wujud kerana terlalu banyak dugaan yang terpaksa ditempuhi. Salah satunya apabila dia ditimpa penyakit bronkitis hampir tiga bulan. Akibat dari penyakit itu, dia terpaksa menunda semua jadual rakaman kerana gangguan kepada suaranya.

Oleh kerana terpaksa menanti kewujudan albumnya dalam tempoh yang lama dan terpaksa melalui pelbagai rintangan, Marsha mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada album ini.

"Buat masa ini, saya mahu berikan tumpuan sepenuhnya kepada Yang Pertama yang akan mula berada di pasaran pada Februari nanti. Sebagai permulaan, kita hanya mencetak sebanyak 1,000 unit dulu. Kita akan mengulang cetak sekiranya sambutan menggalakkan.

"Saya juga ingin memberikan tumpuan kepada album terlebih dulu dan memperlahankan aktiviti lain. Selepas itu, saya berhasrat pula menghasilkan album Inggeris kerana mahu memperluaskan lagi ruang lingkup peminat saya kepada golongan urban pula.

"Saya amat gembira dan berpuas hati akhirnya impian untuk memiliki album tercapai. Sebelum ini terlintas juga perasaan cemburu apabila melihat rakan seperjuangan berjaya memiliki album sendiri contohnya seperti Mawi. Tetapi bila memikirkan dia siapa, dan siapa pula saya, perkara itu menyedarkan saya," kata Marsha.

Jalin hubungan dengan usahawan

Selain teman dan keluarga, teman lelaki yang baru beberapa bulan dikenali turut meniupkan inspirasi kepada wanita manja ini. Lelaki yang berjaya mencuri hati Marsha bergelar seorang usahawan itu turut hadir memberikan sokongan pada pelancaran albumnya kelmarin.

Ditanya sejauh mana seriusnya hubungan mereka, Marsha dalam wajah malu-malu memberitahu, hubungan mereka masih baru. Justeru, masih terlalu awal untuk berbicara lanjut mengenai perhubungan mereka. Bagaimanapun, setakat ini, dia selesa dengan jejaka berkenaan yang banyak memberikan kata-kata perangsang kepadanya.

Ditanya bagaimana pula penerimaan keluarganya kerana mereka berlainan agama, kata Marsha, ibu bapanya bukanlah jenis yang suka mencampuri urusan peribadinya kerana dia bebas untuk berkawan dengan sesiapa saja.

PROFIL: Marsha
Nama: Marsha Lya Milan Londoh
Tarikh Lahir: 6 Disember 1985
Tempat Lahir: Michigan, Amerika Syarikat
Filem: Cun, 4 Madu, Magika, Senario Episode 2: Beach Boys, Saus Kacang, Misi 1511
Drama: Mimi Mencari Cinta, Kum Kum, Awan Dania 3, Seribu Kali Cinta, Saloon, Dottie, K.I.T.A, Hotel Manja, Mega Sekeping Hati, Korban 44, Kerana Karin.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Diana Danielle trauma

Posted: 12 Jan 2011 01:48 PM PST

Hip

Kejadian berlaku pada hari pertama babak aksi penggambaran filem Barajiwa

DIANA DANIELLE berada dalam ketakutan yang amat sangat apabila melihat letupan yang berlaku ketika penggambaran filem Barajiwa di Taman Seputeh, di ibu negara, malam kelmarin.

Bagaimanapun, ibu pelakon muda ini, Norsiah Ramli yang dihubungi enggan menjelas lanjut mengenai kejadian itu memandangkan dirinya tidak menemani pelakon terbabit ketika penggambaran namun mengakui anaknya masih trauma dan terkejut dengan insiden terbabit. "Memang Di (Diana Danielle) agak trauma apabila melihat kejadian itu. Dia memang berada di tempat berkenaan dan sedang membuat persiapan untuk masuk ke dalam set.

"Di berada jauh daripada letupan itu. Syukurlah dia tidak mendapat sebarang kecederaan, tetapi agak trauma juga selepas melihat kejadian itu. Mungkin dia terlalu takut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu," katanya.
Filem Barajiwa adalah arahan Osman Ali dan sudah pun memulakan penggambaran sejak dua minggu lalu.

Insiden mencemaskan ini berlaku pada hari pertama untuk menjayakan babak aksi. Kebakaran di set filem itu juga turut mencederakan seorang pelakon tambahan, Raffi Husin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam, kelmarin, berlaku akibat kesilapan teknikal ketika melakukan babak kebakaran yang sepatutnya hanya dimulakan selepas semua pelakon lari dari kawasan terbabit namun arahan petugas terlalu awal mengakibatkan insiden itu.

Begitupun, bermacam versi timbul sebaik saja kejadian itu berlaku termasuk cerita mengatakan aktres utamanya, Diana Danielle ditimpa kemalangan kereta selain kisah ada di antara pelakon lain parah hingga dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Pengarahnya, Osman Ali, berkata hanya seorang mengalami kesan lecur agak teruk tetapi bukan terbakar sebaliknya disebabkan bahang api yang terlampau kuat, namun bersyukur kerana ketika itu pelakon serta kru lain berada jauh daripada kawasan berkenaan.

Begitupun, dia terkilan kerana sejak dua hari lalu kru dan pelakon sudah berlatih menjayakan adegan terbabit terutama memastikan aspek keselamatan malah turut mendapatkan lesen daripada pihak berkaitan serta mengundang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pemantau.

"Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana latihan untuk babak kebakaran sudah dilakukan berulang kali, lain kalau petugas yang dipertanggungjawabkan kurang tumpuan. Apabila segala-galanya kita pastikan selamat, tentu kita kecewa dengan insiden ini tambahan pula ada yang tercedera.

"Buat masa ini pelakon terbabit masih dalam rawatan akibat kecederaan terkena bahang panas di bahagian muka selain depan dan belakang badannya manakala seorang lagi kru hanya sebagai pesakit luar kerana melecur sedikit pada tangan," katanya.

Sebaik saja kebakaran, penggambaran yang bermula sejam sebelum itu dihentikan malah mereka turut melawat Raffi yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kebetulan keesokannya seluruh produksi berehat sehari.

"Syukur semua anggota produksi diberi perlindungan insuran, begitu juga Raffi. Segala belanja perubatan dan rawatan susulan ditanggung insuran. Kami berharap dia cepat sembuh. Selepas ini kita akan menyambung penggambaran dengan mendahulukan babak yang tidak membabitkan pelakon itu.

"Walaupun yang lain selamat, kesan trauma masih ada kerana terkejut. Ketika kejadian, saya berada dalam bilik kawalan malah berulang kali mengingatkan petugas di luar pastikan segala-galanya selamat dan hanya memulakan kebakaran selepas semua pelakon lari, namun kemalangan tetap berlaku," katanya lagi.

Bagaimanapun, insiden berkenaan memberi pengajaran kepadanya supaya mempertingkatkan lagi aspek keselamatan apatah lagi hingga penggambaran berakhir yang dijadualkan pada 1 Februari, semuanya membabitkan aksi lasak termasuk berlawan senjata.

"Dua minggu sebelum ke lokasi, semua pelakon sudah berlatih dengan juru silat profesional untuk adegan bertarung yang turut membabitkan perlawanan menggunakan parang. Kita akan pastikan di set nanti mereka hanya menggunakan parang tiruan yang sama dengan objek sebenar kerana tidak mahu kemalangan berlaku lagi.

"Saya sendiri akan lebih berhati-hati pada masa depan. Kejadian ini beri peringatan kepada saya. Memang semua kru dan pelakon memberi sepenuh komitmen untuk menjayakan filem aksi ini, sebagai pengarah saya juga memastikan akan meminimumkan segala risiko," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.