Adsense

Ahad, 14 November 2010

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Anjou enggan seksi lagi

Posted:

Anjou enggan seksi lagi

Anjou enggan seksi lagi

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
Gambar IZHAM JAAFAR


MAHU fokus pada dunia lakonan dan peragaan, Anjou tidak mahu hidupnya kelam kerana kontroversi yang telah lama berlalu.


BILA berbicara mengenai pelakon drama Anak Pontianak, ramai yang hanya dapat membayangkan kontroversi yang menyelubungi artis muda ini.

Oh, pelakon pontianak yang ada gambar lucah tu ya! Itulah jawapan yang sering terpacul apabila ditanya pada mereka sama ada kenal pada empunya nama Zarina Anjoulie atau nama sebenarnya Anjoulie Lavocah.

Daripada gambar lucahnya yang tersebar di dalam alam maya, imej seksi berparti yang dikatakan melampau hinggalah kes dia ditahan pihak berkuasa berkenaan kes dadah yang sudah selesai itu.

Walaupun sudah empat tahun di dalam industri seni ini, Zarina Anjoulie terus diselubungi bayangan seorang artis yang mempunyai reputasi yang kurang enak.

Kontroversi gadis berusia 24 tahun ini lebih meletup dan dibicarakan berbanding kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Namun, apabila melihat kelibat artis berkenaan di pentas peragaan Festival Fesyen Islam (IFF) yang berlangsung di Hotel JW Mariott, Kuala Lumpur baru-baru ini, ramai yang terkejut melihat si seksi itu manis menutup aurat.

Lengkap bertudung menutupi setiap sudut aurat malah disertai jubah yang indah membaluti tubuhnya, tiada siapa menyangka pada mulanya dialah artis yang penuh kontroversi itu.

Melihat sisinya yang lain pada majlis itu, ada yang tertanya-tanya adakah dia sudah mendapat seru untuk ke arah itu ataupun Zarina yang mesra disapa Anjou masih Anjou yang seksi, hanya bergaya mengikut arahan si pereka.

"Saya mengaku penampilan saya hari ini hanyalah sekadar menjalankan tugas saya sebagai model bagi koleksi busana Khadani Sdn. Bhd.

"Saya mengagumi rekaan Khadani kerana gabungan jubah dan corak batik ini membuatkan si pemakai kelihatan elegan walaupun menutup aurat.

"Malah saya ada berangan andai kata saya mahu bertunang ataupun bernikah suatu hari nanti, saya mungkin akan cuba mencari busana yang sesuai di Khadani.

"Soal sudah mendapat hidayah atau tidak saya rasa tidak perlulah dibicarakan sebab itu antara saya dengan Tuhan dan saya percaya ianya perlukan keikhlasan tanpa paksaan sesiapa.

"Saya mula memperagakan pakaian Khadani sejak berumur 19 tahun lagi namun, ini adalah pertunjukan fesyen terbesar saya bersama mereka.

"Mungkin sebelum ini tidak ramai yang perasan. Yalah, bila saya pakai seksi barulah para wartawan lebih perasan bukan?

"Asal berjumpa sahaja, mesti ditanya tentang imej seksi seperti tiada cerita lain yang mahu dicanang.

"Janganlah tanya tentang saya seksi atau apa. Saya dah muak dengan soalan itu dan saya yakin pembaca di luar sana pun dah tak larat dengar cerita-cerita yang tidak membangun ini," ujar Anjou yang seperti sudah menjadi rutin menjawab soalan sedemikian.

Tak pernah tukar nama

Saat mendengar ada pihak media yang memperlekehkan dirinya yang konon menukar namanya agar bunyi lebih glamor, Anjou hanya mampu ketawa.

Ya, akui Anjou, memang dia ada memaklumkan kepada sebuah majalah yang namanya ialah Anjoulie Lavocah.

Tetapi dia tidak pernah menukar nama seperti yang digembar-gemburkan kerana itu adalah nama yang tertera di dalam kad pengenalannya.

"Ayah sayakan orang Ireland, Lavocah adalah nama keluarga kami. Kalau nak tengok kad pengenalan saya pun tiada masalah.

"Bukannya saya reka nama saya supaya kelihatan hebat tetapi itu memang nama betul saya, tak salah rasanya saya menggunakan nama itu.

"Saya tidak marah. Mungkin inilah bayarannya bila bergelar artis, semua perkara akan menjadi perhatian," terangnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Normala tidak buta lagi

Posted:

Normala tidak buta lagi

Normala tidak buta lagi

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
muzlina.bakar@utusan>com.my
Gambar ZULKARNAIN SAIDIN


NORMALA turut membantu Muhammad Noor Zabiq berniaga di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.


BENARLAH kata pepatah Melayu, berpantang maut sebelum ajal dan kerana berpegang pada itulah Normala Omar yang buta mata kirinya dan kabur mata kanannya pada Ogos lalu tidak pernah berputus asa berusaha.

Meskipun doktor meramalkan peluang untuknya melihat amat tipis tetapi ibu kepada lima orang anak ini tidak mahu mengalah.

Sokongan padu daripada suami tercinta, aktor Zulkifli Zain, 64, dan anak-anak Norzizi, 34, Norzaza, 29, Norzazila, 27, Nozazleen, 24, dan Muhammad Noor Zabiq, 20, memberi semangat untuk Normala berusaha mendapatkan kembali penglihatannya.

"Sebenarnya bila cerita kak Ala buta keluar Mega pada 24 Ogos lalu bukan sahaja peminat terkejut malah keluarga di Kedah juga risau.

"Pada hari itu dan hari-hari berikutnya abang Joey (panggilan buat suami) banyak menerima panggilan daripada peminat yang mahu membantu.

"Semua itu amat kami hargai kerana rupa-rupanya dalam kesusahan ramai yang masih sayangkan kita. Namun syor seorang kawan agar Kak Ala (panggilan manja dirinya) cuba meminum jus buah-buahan yang diimport dari luar negara memberi kesan yang cukup bererti.

"Bayangkan setelah 12 botol kak Ala minum jus buah-buahan itu, mata kanan kak Ala yang kabur mula nampak dan sebelah kiri yang dulunya gelap kini mula nampak samar-samar," cerita Normala Omar dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Normala, 53, mula hilang penglihatan pada pagi 13 April lalu setelah terjaga daripada tidur selepas dikejutkan oleh bunyi telefon bimbit untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Ujian kehilangan penglihatan Normala difahamkan berpunca daripada penyakit kencing manis yang dihidapi oleh aktres yang namanya pernah masyhur menerusi filem Sesejuk Air Mata Ibu sekitar tahun 1980-an.

Bukan saja kencing manis, bahkan Normala juga pengidap darah tinggi sejak usianya mencecah 40 tahun.

Kesilapan dan kelalaian Normala mengabaikan pemakanan yang betul (biarpun mengetahui mengidap kencing manis) membuatkan artis yang cukup peramah itu terpaksa akur dengan nasib yang menimpanya hari ini.

Normala yang mesra disapa Kak Ala mengakui, tidak pernah ambil berat mengenai kesihatan dan pemakanan yang seimbang walaupun dia disahkah mengidap kencing manis yang serius.

Apa saja hidangan yang ada di depan mata, dijamahnya. Akibatnya kedua-dua kornea mata Normala berdarah sehingga menyebabkan dia buta.

Berdasarkan pemeriksaan doktor pada 17 April lalu, mata kirinya gagal diselamatkan kerana telah rosak teruk.

Sementara mata kanannya pula, kata doktor, diharap dapat diselamatkan apabila menjalani pembedahan.

Asalnya juga, Normala menjalani pembedahan pada 29 Julai lalu. Berdasarkan prosedur pembedahan, hanya tuan punya badan saja yang boleh memberi kebenaran dan menandatangani borang pembedahan itu.

Bagaimanapun, disebabkan tiada jaminan daripada doktor terhadap harapan untuk kedua-dua matanya kembali pulih menyebabkan Normala memilih untuk menangguhkan pembedahan dan berusaha cara lain.

"Walaupun kawan yang mengesyorkan jus buah-buahan itu tidak memberi seratus peratus jaminan namun Kak Ala tidak pernah putus asa.

"Setiap pagi dan malam Kak Ala amalkan. Alhamdulillah pada pertengahan September lalu mata kanan Kak Ala yang kabur semakin jelas penglihatannya.

"Bukan itu sahaja, malah mata kiri Kak Ala yang berdarah dan buta, akhirnya mula dapat melihat cahaya yang kabur.

"Apabila pergi untuk pemeriksaan pada awal Oktober lalu, doktor sendiri terkejut dengan perkembangan terbaru dan memberitahu mata Kak Ala tidak perlu dibedah.

"Bagaimanapun pada 9 Disember ini Kak Ala akan berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan mata dan mudah-mudahan mata akan semakin jelas penglihatannya," kata Normala sambil memandang mesra suaminya, Zulkifli yang sibuk membantu anak bungsu mereka, Muhammad Noor Zabiq berniaga lempeng pisang dan bubur lambuk di tapak perniagaan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

Menurut Normala, sejak penglihatannya semakin pulih, dia kini cuba membantu rakan-rakan artis yang sakit dengan mengesyorkan meminum jus buah-buahan berasaskan buah beri.

"Setiap kali berjumpa mereka saya membawa artikel yang tersiar di Mega sebagai menjelaskan keadaan saya dulu dan sekarang.

"Memang tiada jaminan semua penyakit akan sembuh dengan meminum jus ini, namun kak Ala memberi semangat kepada mereka untuk berusaha seperti mana kak Ala.

"Allah tidak akan mengubah nasib seseorang jika kita tidak berusaha sendiri. Alhamdulillah beberapa rakan artis yang sakit mahu mencubanya," cerita Normala lagi.

Sejak penglihatannya semakin pulih, Normala juga kini semakin menjaga pemakanannya agar pisang tidak berbuah dua kali.

"Cukuplah pengalaman buta hampir lima bulan. Kini Kak Ala mengamalkan pemakanan yang sihat demi memastikan kencing manis dan darah tinggi Kak Ala tidak membahayakan kesihatan dan penglihatan," kata Normala.

Selepas penglihatannya semakin elok, Normala juga mendapat tawaran berlakon dan dijangka akan ke lokasi penggambaran bulan depan.

"Walaupun tak banyak babak, tapi Kak Ala amat bersyukur dan menganggap tawaran ini sebagai pembuka jalan untuk Kak Ala teruskan karier dalam bidang lakonan," kata Normala sambil memeluk anaknya Nozazleen dan Muhammad Noor Zabiq.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.