Adsense

Isnin, 15 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Maafkan Pencinta!

Posted: 14 Nov 2010 06:15 PM PST

Hip

Single terakhir vokalis Fotograf, Shamrin sebelum meninggal dunia

BERITA kematian bekas vokalis kumpulan Fotograf, Mohd Shamrin Abdul Samad atau Shamrin pada petang Khamis iaitu 11 November lalu, memang mengejutkan.

Tambahan pula pada usia 43 tahun, Shamrin dilihat seorang yang aktif dan cergas. Bahkan pada saat kematiannya, dia dikatakan sedang bermain bola sepak mewakili rakan-rakan artis dalam satu perlawanan bola sepak persahabatan. Malahan, beberapa jam sebelum itu, iaitu pada sebelah pagi hari yang sama, wartawan Hip juga sempat melihat Shamrin membuat persembahan di Balai Seni Lukis Negara (BSKL) sempena pelancaran wang syiling mengenang P Ramlee yang dilancarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Bahkan, kira-kira seminggu sebelum itu, Shamrin juga berkesempatan hadir meluangkan masa di Balai Berita untuk sesi fotografi dan ditemu bual oleh wartawan Hip berkaitan dengan kemunculan album terbarunya.

Dalam temu bual itu, dia memang kelihatan teruja untuk bercerita mengenai lagu-lagu terbaru nyanyiannya.

Apatah lagi, kali ini dia hadir ke industri seni suara dari dua zaman berbeza. Tapi benarlah bak kata pepatah, ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu juga.
Untuk sesi bergambar ini, Shamrin, vokalis kumpulan Fotograf dikenali lewat era 80-an, digandingkan dengan Farah Asyikin Zulkifli yang mula membina nama di persada muzik tanah air sekitar tahun 2000.

Namun perbezaan zaman bukanlah penghalang untuk mereka bersatu. Farah Asyikin sendiri ketika memenuhi sesi fotografi ini mendedahkan 'rahsia besar' betapa satu ketika dulu dia amat meminati Shamrin.

Tidak hanya Farah saja yang meminati kumpulan itu, bahkan minat itu turut dikongsi bersama seluruh ahli keluarga termasuk bapanya. Ketika itu kaset menjadi medium, oleh itu hampir setiap hari halwa telinga mereka sekeluarga dihidangkan dengan lagu Fotograf yang diputarkan oleh bapa mereka.

Dari situ, berputiknya minat Farah terhadap Fotograf. Kelunakan suara vokalisnya Shamrin tambah membuatkan wanita ini yang ketika itu berada di tingkatan lima semakin jatuh hati kepada Fotograf.

Memandangkan keluarga mereka saling bersahabat, Farah berpeluang bertentang mata dengan Shamrin. Tidak disangka lelaki yang dikagumi itu akan berdiri di hadapannya, pertemuan pertama itu membuatkan Farah terpaku tanpa bicara.

"Kali pertama berjumpa, Farah jadi terpaku. Tak sangka penyanyi yang Farah kagumi berada betul-betul di depan mata Farah, kebetulan keluarga kami memang berkawan. Jadi Farah berpeluang bertemu dengan abang Shamrin. Secara peribadi, Farah amat meminati vokal abang Shamrin. Dia juga tidak sombong walaupun ketika itu namanya dikenali.

"Setelah sekian lama tidak berjumpa, kami bertemu kembali di dalam sebuah persembahan. Bermula dari bertegur sapa, terbit idea untuk bergandingan dalam sebuah lagu.

"Kebetulan abang Shamrin pun ada minta Farah buatkan lagu untuknya, dari situ Farah terfikir untuk berduet saja. Farah juga sebelum ini tak pernah menyanyi duet, kiranya abang Shamrin adalah pilihan yang paling tepat memandangkan ramai penyanyi lelaki sudah berduet dengan penyanyi lain.

"Mula-mula memang tak percaya apabila abang Shamrin minta Farah buat lagu untuk dia. Lagu dan lirik, Kamu Aku Satu adalah milik Farah sepenuhnya, tetapi abang Shamrin ada juga bagi idea sana sini pada bahagian korus untuk mencantikkan lagi lagu itu. Pengalaman menghasilkan lagu untuk penyanyi lain memang amat berbeza berbanding buat lagu sendiri. Farah dapat rasakan tanggungjawab lebih berat apabila membabitkan orang lain," kata Farah bercerita panjang lebar mengenai Shamrin.

Sementara penyanyi berusia 43 tahun tetapi masih kelihatan muda ini tidak pernah membataskan dirinya untuk menjalin kerjasama dengan bakat baru. Baginya, setiap muka baru dalam industri wajar diberikan peluang asalkan mereka berbakat.

Malah dia juga tidak menghadapi masalah untuk berduet dengan Farah biarpun kali pertama bergandingan. Sekali pun berbeza genre sementelah dia lebih kepada rock serta berbeza zaman, namun vokal mereka mempunyai keserasian.

"Walaupun suara Farah mempunyai elemen jazz dan soul, tetapi kami boleh masuk. Farah ada gaya yang tersendiri, bagi saya tidak perlulah nak membuat perbandingan antara penyanyi otai dan baru. Zaman sekarang ini kita perlu beri peluang kepada setiap pengkarya yang berbakat," kata Shamrin yang kini bernaung di bawah Alibi Music.

Pernah menanti kepulangan Ringgo

Dalam temu bual ini juga, Shamrin turut meluahkan perasaan rindu terhadap rakan rapatnya, Ringgo iaitu pemain dram Fotograf yang hampir meringkuk di Penjara El-Rodeo 1, Caracas, Venezuela.

Namun sehingga kini berita pembebasan Ringgo atau nama sebenarnya Sham Ahmad masih belum menemui jalan penyudah, sedangkan sebelum ini Ringgo menerusi kiriman emel ada menyatakan yang dia bakal dibebaskan.

Selaku teman rapat, Shamrin menaruh harapan menantikan kepulangan rakan baiknya itu.

Selama ini dia dan Ringgo bersusah payah memperjuangkan nama Fotograf, justeru Shamrin masih mahu menantikan kepulangan Ringgo, jika tiada Ringgo, hasrat untuk menerbitkan album kumpulan Fotograf akan terus terbantut.

"Sepanjang 21 tahun dalam industri hiburan, saya dan Ringgo adalah anggota yang masih terus setia bersama dengan Fotograf. Jadi walau apa sekalipun, saya akan tetap menantikan kepulangannya untuk menghasilkan album terbaru kami.

"Hubungan kami memang akrab kerana hanya kami yang masih kekal dengan Fotograf sedangkan anggota lain pula silih berganti. Sebelum Ramadan yang lalu memang kami sering berhubung menerusi e-mel sekitar tiga minggu sekali. Dia ada beritahu yang dia akan pulang ke tanah air, tetapi selepas dari itu langsung tiada sebarang khabar berita dari dia. Selepas puasa saya ada cuba menghubunginya lagi tetapi gagal," kata Shamrin yang bakal tampil dengan single terbaru secara solo berjudul Maafkan Pencinta.

Aksesori dan Solekan: Elle Rahman (0122582475)


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Fragmen : Maher Zain dan lagu nasyid kita

Posted: 14 Nov 2010 05:58 PM PST

Hip

Maher Zain Mustapha

Maher Zain Mustapha

Penyanyi nasyid perlu tampil dengan imej lebih segar, kontemporari

Maher Zain Mustapha, dilahirkan di Beirut, ibu negara Lebanon pada tahun 1982. Dia memang berdarah Arab tetapi dibesarkan dan mendapat pendidikan di di Stockholm, Sweden. Album pertamanya Thank You Allah memuatkan 13 lagu dengan dua lagu bonus mula pasarkan pada 1 November 2009.

Keluarganya berhijrah ke Sweden ketika Maher berumur lapan tahun. Pada usia lapan tahun, Maher sudah boleh bermain alat muzik iaitu keyboard. Kini Maher adalah lelaki berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Angkasa. Kariernya dalam muzik bermula apabila dia bekerja di studio muzik RedOne, milik seorang penerbit berketurunan Maghribi tetapi sudah lama menetap di Sweden. Daripada RedOne, Maher berpindah ke New York. Tetapi tidak lama. Dia kembali ke Sweden untuk sementara waktu dan dari sini bermulalah satu kesedaran dan jati diri agama bermula secara serius dalam hidupnya. Pada Januari 2009, Maher Zain mula bekerja menyiapkan album dan kemudian menandatangani dengan Awakening Records.

Maher menjelajah ke Timur Tengah dan lima bandar utama di Amerika Syarikat dengan pertubuhan Islamic Relied dan ini seterusnya membawa dia ke Malaysia. Album pertamanya Thank You Allah menduduki tangga pertama dalam carta Amazon World Music dan tempat kesembilan bagi carta kategori lagu-lagu R&B.
Klip videonya The Chonsen One yang bercerita mengenai kehidupan dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w di buat di Los Angeles.

Sebenarnya agak menarik kalau dikaji mengenai kemunculan Maher Zain dalam arena muzik. Dia mengembangkan muzik yang berlandaskan ketuhanan, kerohanian dan kedamaian dengan imej Islam tidak menerusi negara-negara Arab, terutama di tempat kelahirannya. Dia mencipta, menerbitkan dan merakamkan lagu-lagu yang memuji kebesaran Allah itu di negara yang majoriti penduduknya bukan Islam iaitu Sweden. Negara Scandinavia ini memang terkenal menghasilkan produk kumpulan pop, heavy metal dan rock. Kumpulan Abba, Roxette, Ace To Base, Brigit Nilssona adalah penyanyi atau kumpulan muzik terkenal yang berasal dari Sweden.
Maher Zain memang sudah tiba dan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur sebulan yang lalu. Dan penyanyi itu dikatakan mahu kembali ke Malaysia tahun depan.

Ketika di Malaysia, pengeluar kereta nasional Proton, bersetuju tampil menjadi penaja. Kereta Proton menjadi kenderaan rasmi Maher Zain sepanjang berada di Malaysia. Penajaan itu dikatakan menimbul rasa cemburu terhadap penyanyi dan beberapa kumpulan nasyid tempatan.

Memang agak malang bagi penyanyi nasyid kita. Sudahlah susah mendapat tempat untuk lagu-lagu mereka disiarkan oleh radio tempatan, ada syarikat korporat pula lebih berminat menaja penyanyi luar.

Tapi konsep dan pendekatan serta corak persembahan untuk lagu-lagu bercorak ketuhanan dan kerohanian juga sepatutnya berubah, sesuai dengan peredaran zaman. Lihatlah Maher Zain tatkala menyanyikan lagu Insha Allah, Thank You Allah dan Baraka Allahu Lakuma.

Penampilannya ketika membuat persembahan, ternyata berbeza dengan kebanyakan penyanyi nasyid sekarang. Bukanlah hendak merendah imej nasyid, tetapi gaya penampilan dan corak persembahan perlu menepati selera pendengar dan peminat masa kini.

Bagi lagu nasyid - kadang-kadang, bukan soal lagu yang mereka nyanyikan. Imej dan cara pembawaan penting. Kalau kumpulan Rabbani, Raihan dan Hijjaz tampil dengan gaya bersongkok dan baju Melayu, kenapa kumpulan berikutnya harus mengikut gaya yang sama. Sepatutnya, anak muda atau kumpulan nasyid yang muncul selepas ketiga-tiga kumpulan itu mungkin boleh tampil dengan imej yang lebih kasual. Tidak semestinya berkopiah atau bersongkok.

Maher Zain berjaya ke seluruh pelusok dunia dengan memakai topi Beretta, berseluar jeans dan berjaket kulit saja. Walaupun jati diri Arabnya tebal dan pegangan Islamnya kuat, tetapi tidaklah pula tampil dengan memakai igal, jubah atau pakaian tradisional lelaki Arab.

Mendengar suara Ramli Sarip menyanyikan lagu Seruan ketika membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC memang cukup menakjubkan. Lagu dalam muzik rock, Seruan adalah cerita mengenai laungan azan Subuh yang mengajak umatnya mengerjakan solat Subuh ketika sedang lena diulit mimpi.

Ia bukan sekadar itu. Tapi suara atau seruan azan itu sendiri sudah membuatkan menggigil ketakutan dan tertanya-tanya apakah kita sudah menunaikan tanggungjawab kepada-Nya? Tapi Ramli tetap dengan gaya seorang rock!

Oleh itu, lagu-lagu daripada genre nasyid perlu diberikan nafas baru. Vokalis Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim sudah mula merintis pembaharuan lagu-lagu nasyid dengan menyuntik muzik yang lebih kontemporari, padat dan catchy. Mohd Asri sudah mula membawa nasyid melangkau jauh ke hadapan, walaupun dikritik kerana mencemarkan imej dan keaslian muzik nasyid. Tapi lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali sering berkumandang di radio dan mudah diterima kerana corak muzik seperti itulah yang ditunggu-tunggu oleh anak muda.

Antara Maher Zain, Rabbani, Raihan, Hijaz, malahan Ramli Sarip tetap ada persamaan iaitu mesej yang dibawa menerusi lagu nyanyiannya. Apa yang membezakan ialah pendekatan dan cara penampilan. Itulah yang perlu difikirkan oleh mana-mana penyanyi dan kumpulan nasyid sekarang. - zainuri@bharian.com.my


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.