Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Dapat restu ibu

Posted:

Dapat restu ibu

EPISOD pelayaran bahtera Farid dan Diana sebagai suami isteri kini sudah bermula.


AKHIRNYA pelakon filem Lagenda Budak Setan, Farid Kamil, 31, berjaya menyunting aktres muda, Diana Danielle Danny Beeson, 21 sebagai suri hatinya secara sah Sabtu lalu.

Majlis akad nikah di Hotel Flamingo by The Lake, Ampang, Selangor itu berjalan lancar dan dengan sekali lafaz sahaja, Diana yang juga pelakon filem Magika itu kini sah menjadi milik Farid.

Diana dinikahkan dengan berwali hakim disebabkan usahanya untuk mencari bapa kandung gagal selepas beberapa perkara dilakukan termasuk membuat notis di akhbar tidak berjaya menemui bapanya, seorang yang berbangsa Inggeris.

Pada majlis itu, ibu Diana, Norsiah Ramli, 49, enggan ditemu bual dan sebak apabila ditanya perasaannya melepaskan anak tunggalnya itu.

"Saya tidak bersedia untuk cakap apa-apa lagi sekarang," ujar Norsiah sambil mengesat air matanya dan berlalu pergi ke khemah jamuan makan.

Usaha media beberapa kali untuk mendekati ibu tunggal itu juga gagal dan seorang wakil perunding perkahwinan di situ, menyatakan supaya media menghormati pendirian Norsiah untuk tidak mendesaknya memberi komen lagi.

Pada majlis sidang akhbar akad nikah berkenaan pula, pengantin perempuan iaitu Diana sendiri turut diajukan persoalan mengenai sikap ibunya itu.

Kata Diana yang mesra dengan panggilan Dee, semua pihak kena faham dengan sikap ibunya kini yang tidak mahu lagi terdedah dengan publisiti.

"Mama sudah lama tidak terdedah dengan dunia publisiti seperti dahulu dan semua pihak kena faham pendiriannya," jelasnya.

Bagi Dee, apa yang penting bagi dirinya adalah dia faham perasaan ibunya itu dan ibunya itu juga faham apa yang tertulis dalam hatinya.

"Saya gembira apabila mama merestui hasrat saya yang ingin berkahwin awal. Saya dan Farid sangat sayangkan mama dan kami akan bersama-sama menjaganya nanti," katanya.

NORSIAH (kiri) merestui Diana yang ingin berkahwin awal. Paling kanan ialah ibu Farid, Sharifah Bardah.


Dedah rahsia

Bagi Farid pula, menyunting Dee sebagai suri di hatinya adalah perkara yang ingin dilakukan setelah setahun mengenali gadis itu, sejak empat tahun lalu.

Perkara itu disebabkan sikap Dee yang berfikiran matang dalam usia muda.

Ujarnya, ketika usia Dee masih mentah, dia sudah dapat merasakan ingin memperisterikan gadis itu tetapi atas nasihat keluarga yang mahu mereka bercinta terlebih dahulu.

"Saya suka Dee, sebab tidak pernah ada kawan (kacukan) mat saleh. Kalau ikutkan, selepas setahun berkawan saya hendak kahwin dengan dia tetapi dia muda sangat lagi ketika itu, jadi kami bercinta dahulu. Lagi pun (ketika itu) Dee belum dapat seru lagi," ujarnya berjenaka.

Pasangan itu yang terkenal dengan sikap mengunci mulut mengenai perihal perincian episod percintaan mereka itu sebelum ini, akhirnya mendedahkan segala-galanya pada majlis akad nikah berkenaan.

Ujar pelakon filem Tujuh Perhentian itu, dia pertama kali berjumpa Dee ketika majlis anjuran butik pakaian Lord's Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur pada tahun 2008.

"Saya jumpa mamanya dahulu bertanyakan sama ada Dee sudah solo atau tidak dan tidak sangka sebenarnya Dee ada di belakang saya. Saya berjalan dengan Dee hingga ke pintu masuk majlis itu," ujarnya.

Selepas itu kata Farid, dia tidak bertemu lagi dengan Dee sehinggalah dia menelefon sendiri pelakon filem Idola itu untuk menawarkan watak untuk satu filem yang akan diarahkan olehnya.

"Dia (Dee) tanya saya berapa babak dia akan (berlakon), saya cakap sedikit sahaja. Selepas itu bermula episod berkenalan kami," ujar Farid yang tidak menghalang Dee aktif berlakon dan menyanyi selepas bergelar isterinya.

FARID sedia pikul tanggungjawab membimbing Diana selepas mereka disatukan.


Dalam pada itu, pasangan itu turut disoal media tentang sikap mereka sebelum ini yang sering menolak untuk bergambar bersama-sama.

Dee menjelaskan, perkara itu dilakukan untuk menjaga hubungan mereka agar berkekalan dan ternyata ia telah berjaya.

"Kami nekad untuk berahsia untuk tidak terlalu terbuka bagi menjaga hubungan ini, saya bersyukur perancangan itu berjaya," ujar Dee tidak ralat mengenai akad nikah itu tanpa kehadiran bapanya yang gagal dikesan.

Farid pula berkata, apabila terfikir untuk memperisterikan Diana, dia nekad untuk tidak menghebohkan hubungan mereka bukan disebabkan pantang larang.

"Saya harus simpan hubungan itu dan momen itu biarlah kami sahaja yang tahu," ujarnya yang gembira tidak lagi perlu menyembunyikan hubungan mereka.

Bulan madu

Pasangan ini pada awalnya merancang untuk berbulan madu sambil menunaikan ibadat umrah di Mekah tetapi terpaksa menunda niat mereka itu atas sebab kelulusan visa.

"Saya diberitahu bulan Disember visa hanya diberikan kepada orang tentu sahaja, jadi kami tukar ke Istanbul, Turki. Mungkin selepas itu kami akan backpackers ke Mekah," ujar Dee.

Ditanya mengenai anak pula, Dee berkata, dirinya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk memikul tanggungjawab itu walaupun pada usia muda.

"Bagaimanapun, kami merancang untuk tiada mempunyai anak dalam masa terdekat ini. Mungkin dua, tiga tahun lagi," ujarnya yang mengimpikan mempunyai anak yang ramai.

Pada majlis akad nikah itu, Dee menerima mas kahwin sebanyak RM10,000 dan wang hantaran RM20,000 dalam bentuk pelaburan emas daripada Farid.

Dee menerima lima dulang hantaran termasuk motosikal mini Kawasaki KSR 110, telekung dan senaskhah al-Quran, cincin jenama Tiffany & Co, wang hantaran dan sirih junjung.

Untuk Farid daripada Dee pula, tujuh dulang hantaran iaitu tepak sirih, cincin dan dompet, sebuah album gambar, motosikal mini jenis Kawasaki, produk wangian Hugo Boss, majalah Polo International dan manisan.

Sharnaaz berani kerana benar

Posted:

Sharnaaz berani kerana benar

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


S. BALDEV dikatakan sudah menghantar surat saman kepada Sharnaaz dua minggu lepas.


KALAU sudah cinta apa sahaja sanggup dilakukan. Itu yang didakwa berlaku kepada pelakon semakin meningkat naik Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya Sharnaaz Basir Ahmad, 27, apabila dia dikhabarkan sanggup meninggalkan set penggambaran filem Darah Panas terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd. pada 5 Oktober lalu semata-mata kerana ingin bertemu penyanyi bersuara hebat, Shila Amzah.

Tidak cukup isu meninggalkan lokasi penggambaran kerana ingin bertemu kekasih hati, Sharnaaz juga dikhabarkan sudah mula membuat perangai pada hari pertama penggambaran filem arahan Arjin Uppal itu.

Pelakon drama Bukan Bidadari itu juga didakwa menolak dan mencengkam leher penolong pengarah Darah Panas iaitu Mohd. Hafiz Mat Ishak kerana marah menunggu lama mendapatkan pakaian penggambaran dan terpaksa menyudahkan penggambaran lewat, sedangkan dia harus bertemu Shila yang bakal ke China untuk menyertai pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai sebelum ini.

Akibat daripada perbuatan itu, penerbit Darah Panas, S. Baldev telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Sharnaaz dan meminta pelakon berasal dari Georgetown, Pulau Pinang itu memohon maaf secara terbuka dalam media.

Menerusi syarikat guaman, Shook Lin & Bok, Advocates & Solicitors, surat saman sudah diserahkan kepada Sharnaaz kira-kira dua minggu lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini, dakwa Baldev yang popular menerusi filem-filem terbitannya seperti Akhirat, Kerat, Kecoh Betul, Rasuk dan Kerat 14 itu, dia belum menerima jawapan balas terhadap tuntutan daripada Sharnaaz.

SHARNAAZ mendakwa dirinya tidak berhak difitnah oleh S. Baldev.


Kosmo! segera menghubungi Sharnaaz, kelmarin untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku.

Tidak mengelak tetapi Sharnaaz ternyata kurang senang untuk memberi sebarang komen lanjut berhubung perkara itu.

Berjaya memujuk aktor yang pernah menafikan persoalan media mengenai tohmahan mengatakan dia seorang yang panas baran itu sebelum ini, Sharnaaz akhirnya sudi memberikan komen biarpun secara ringkas.

Menurutnya, buat masa ini dia tidak menerima sebarang surat saman mahupun surat tuntutan daripada pihak Baldev biarpun ia dikhabarkan sudah dihantar kira-kira dua minggu lalu.

"Saya tidak terima apa-apa surat saman daripada dia (Baldev)," tegas Sharnaaz.

Ditanya adakah semua dakwaan Baldev terhadap dirinya itu benar belaka, luah Sharnaaz, ia adalah fitnah semata-mata.

Tambahnya, jika apa yang didakwa Baldev itu benar, panggil sahaja semua kru produksi dan para pelakon untuk bercakap.

Sharnaaz juga secara jujur tidak mahu memberi komen panjang berhubung perkara itu kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Ungkapnya, dia tidak takut menerima surat saman daripada Baldev kerana dia yakin tidak melakukan sebarang kesalahan seperti yang didakwa.

"Berani kerana benar. Saya tidak cakap bahawa saya 100 peratus betul tetapi dia (Baldev) juga tiada hak untuk bercakap buruk dan bercakap fitnah mengenai saya," jelasnya.

Ditanya sama ada dia ingin memohon maaf dalam media sepertimana yang diminta Baldev, tegas Sharnaaz: "Saya hanya memohon maaf kepada orang yang saya buat salah dengan dia sahaja."

Isu pembatalan konsert pada saat-saat akhirSami Yusuf pertahankan diri

Posted:


Sami Yusuf pertahankan diri

Isu pembatalan konsert pada saat-saat akhir
Sami Yusuf pertahankan diri

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL

SAMI sedang melayan seorang peminat Malaysia pada sesi ramah mesra di KL Sentral, Kuala Lumpur pada 2 November lalu.


GELOMBANG fenomena penyanyi bertaraf antarabangsa, Sami Yusuf di Malaysia juga berlegar dengan pantas seperti fenomena Maher Zain yang melanda peminat muzik tempatan.

Ditambah pula dengan pakej rupa dan bakat serta lagu-lagu berunsur keislaman yang dinyanyikan, membuat peminat seperti teruja dan tidak sabar untuk melihat figura berketurunan Iran yang dibesarkan di London sejak usia tiga tahun itu beraksi di atas pentas secara langsung.

Keterujaan tersebut bagaimanapun pernah menjadi kekecewaan buat peminatnya di Malaysia pada bulan Julai tahun ini.

Ini kerana konsert sulung Sami di Stadium Malawati, Shah Alam yang sepatutnya diadakan pada 13 sehingga 15 Julai tahun ini dibatalkan gara-gara isu kontrak.

Walaupun begitu beberapa hari lepas, Sami sekali lagi telah menghadirkan diri ke Malaysia - bukan bagi mengadakan konsert tetapi hanya untuk pelancaran albumnya keempat dan terbaharunya, Salaam.

Sehubungan itu, ramai yang menganggap kehadiran penyanyi tinggi lampai ini, adalah sebagai 'hadiah' untuk mengambil hati peminat di Malaysia yang telah dikecewakan beberapa bulan lalu.

Ternyata, anggapan tersebut salah, dan Sami yang ditemui di Hotel The Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kelmarin, Kosmo! terus diajukan dengan persoalan yang berbangkit daripada pembatalan konsertnya itu.

Apakah perasaan Sami kembali ke Malaysia buat kali kedua?

SAMI: Saya sebenarnya teruja untuk berada di Malaysia sekali lagi. Saya juga berasa gembira berada di sini bagi melancarkan album baharu saya. Ia merupakan pelancaran sedunia yang saya lakukan dan anda yang berada di sini sekarang merupakan antara yang pertama mendapat album baharu saya ini. Berkenaan dengan konsert, saya bakal mengadakan konsert di Kaherah, Mesir pada 25 Januari ini.

Boleh beritahu apakah alasan Sami membatalkan konsert di Malaysia pada saat-saat akhir sebelum ini?

Saya pasti soalan ini akan ditanya, dan isu ini telah pun menjadi kes mahkamah. Untuk menjawab soalan ini , saya perlu serahkan kepada pihak pengurusan ETM International bagi mewakili diri saya, yang diwakili pegawai perhubungan awam, Nabila Khan (berada di sebelah Sami).

NABILA KHAN: Malangnya, dalam kes ini, telah wujud satu isu tentang pelanggaran kontrak antara pihak ETM International dan pihak penganjur konsert di sini (Malaysia). Oleh kerana isu tersebut, dengan berat hati, kami perlu menghentikan konsert tersebut. Kami telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi dan ia boleh didapati di laman web rasmi kami, www.etminternational.org. Kini, kes ini sedang diuruskan oleh peguam kami di mana sememangnya kami tidak dapat memberi komen dengan selebihnya terhadap isu ini.

Berbalik kepada Sami, adakah anda ada perancangan untuk mengadakan semula konsert di Malaysia?

SAMI: Sudah semestinya, insya-Allah jika diizinkan-Nya, pasti saya akan hadir semula dan berjumpa dengan peminat saya di sini.

Mungkinkah Sami sudah memilih tarikh yang telah dibincangkan untuk konsert di sini?

Belum lagi sebenarnya. Ingin saya beritahu di sini, kehadiran kami ke Malaysia kali ini adalah berdasarkan kemanusiaan. Saya dengan merendah diri dan berasa dihargai kerana dijemput dan berada di sini sekali lagi. Saya juga berterima kasih dengan layanan yang diberikan di sini, dan ingin saya beritahu, saya bukanlah seorang yang gemarkan populariti. Saya seorang yang lebih kepada ingin meluahkan karya saya melalui lagu-lagu nyanyian saya. Dengan populariti yang dimiliki kini, saya tidak melihat diri saya sebagai seorang selebriti dan saya juga tidak akan menggelarkan diri saya sebegitu.

Masih tentang isu pembatalan konsert di Malaysia sebelum ini, Nabila selaku wakil ETM International sudahpun menjawab bagi pihak Sami, tetapi apa pula jawapan anda sendiri tentang persoalan kenapa konsert tersebut dibatalkan secara tiba-tiba?

Saya bukan seorang penyanyi bebas kerana saya mempunyai syarikat pengurusan yang menguruskan saya. Jadi apa yang mereka minta pada saya, saya harus mengikut kehendak mereka. Pada saat itu, mereka meminta saya membatalkan konsert tersebut kerana isu pelanggaran kontrak, dan saya terpaksa ikuti permintaan mereka. Walaupun berat hati melakukannya, namun saya perlu akur dengan keputusan tersebut.

Adakah dengan mengadakan pelancaran album kali ini, ia seperti salah satu cara Sami meminta maaf kepada peminat yang kecewa disebabkan pembatalan konsert tersebut?

Tidak juga kerana sebenarnya, kami mahu mengadakan sebuah majlis pelancaran bersama (sedunia) di bahagian Timur Tengah dan Asia Tenggara. Apa yang terjadi, disebabkan masalah birokrasi yang kini sedang berlaku di Mesir, pihak penganjur di sana telah menangguhkan pelancaran ini dan ETM International mengambil keputusan untuk meneruskan pelancaran album ini di Malaysia. Apa yang terjadi ini sebenarnya, memang bukan salah saya. Dengan merendah diri dan sepenuh hati, saya meminta maaf kerana pembatalan konsert tersebut. Ia di luar bidang kuasa saya dan ini tidak pernah berlaku sepanjang 10 tahun karier saya. Insya-Allah kami berharap akan kembali lagi ke sini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan