Adsense

Selasa, 2 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Awal selesa, Scha selektif

Posted:

Awal selesa, Scha selektif

KETIKA memegang status bujang dalam kehidupan masing-masing, ternyata pasangan popular Ahmad Awal Ashaari, 31, dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 29, atau Scha sudah bertapak kukuh dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, setelah bergelar pasangan suami isteri, kelibat kedua-duanya semakin berkurangan di kaca televisyen. Berbanding Scha yang masih lagi sesekali tampil menerusi beberapa buah drama dan telefilem.

Ketika ditemui semasa majlis pelancaran produk makanan House Of Mini di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Awal memberitahu dia kini sudah semakin selesa bergelar pengacara.

"Selepas berakhirnya program Fuhh!! pada awal tahun ini, saya memang mencari program lain yang bersesuaian. Kemudian saya ditawarkan sebagai pengacara undangan untuk rancangan Melodi.

"Pada asalnya saya sekadar menggantikan Zizan yang secara kebetulan mempunyai komitmen lain. Akhirnya, setelah beberapa kali mengacara, saya mendapat tawaran menjadi pengacara secara tetap," ujarnya.

Menurut Awal, pembabitannya dalam dunia pengacaraan kini semakin bertapak kukuh apabila dia muncul pula dengan sebuah program bual bicara berjudul Awal Lagi yang sudah bersiaran sejak bulan Jun lalu di TV9.

"Saya bersyukur kerana kerjaya sebagai seorang pengacara terus berkembang dan diterima peminat. Malah, program yang melibatkan saya seperti Fuhh!!, Melodi dan Awal Lagi mendapat maklum balas positif peminat.

"Bagi saya ini semua merupakan satu rezeki dan kejayaan peribadi buat diri saya. Selain pembabitan sebagai pengacara Melodi diterima, saya gembira kerana program Awal Lagi akan memasuki musim kedua," jelasnya.

Ditanya adakah kesibukannya sebagai seorang pengacara membuatkan dia kini mahu melupakan bidang lakonan, Awal menjelaskan dia sebenarnya masih lagi minat berlakon.

Ujarnya, dia masih lagi ada mendapat tawaran daripada beberapa penerbit untuk berlakon drama, tetapi terpaksa ditolak kerana bertembung dengan jadualnya sebagai pengacara.

SELEPAS empat bulan berkahwin, Awal dan Scha mula menyusun semula perjalanan karier mereka.


"Bukannya saya sudah terlalu memilih setiap tawaran yang diterima. Saya cuma risau sekiranya tidak dapat memberikan komitmen yang baik kerana biasanya tempoh penggambaran sesebuah drama mengambil masa yang lama, sedangkan saya ada tugas lain iaitu sebagai pengacara.

"Minat terhadap bidang lakonan masih lagi ada dan buat masa sekarang saya sedang menantikan tawaran yang sesuai seperti berlakon telefilem. Namun, setakat ini saya tidak mendapat sebarang tawaran berlakon telefilem," ujarnya.

Awal menyatakan dia masih mahu berlakon kerana minat yang mendalam dan tidak kisah tentang watak yang diberikan, malah menegaskan dia mahu terus berlakon bukan mengejar anugerah semata-mata.

Urus sendiri

Sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam dunia hiburan sebagai seorang pelakon dan pengacara, Awal telah menggunakan khidmat Azlina Merican yang bertindak sebagai pengurusnya.

Namun begitu, Awal mengakui dia kini tidak lagi menggunakan khidmat pengurusnya sejak dua bulan lalu dan segala perjalanan kariernya sekarang diuruskan oleh dirinya sendiri.

"Pada mulanya memang agak kekok kerana selama ini segala urusan kerjaya diuruskan oleh pengurus dan saya jarang ambil tahu tentang sebarang tawaran berlakon atau mengacara kerana segala persetujuan dibuat oleh pengurus saya.

"Sekarang ini saya sudah mula menilai dan memilih setiap tawaran yang diterima. Lagipun ia merupakan satu kebaikan buat diri saya sendiri kerana lebih bebas membuat sebarang keputusan," jelasnya.

Enggan mendedahkan terdapat salah faham yang timbul dengan bekas pengurusnya memandangkan mereka sudah lama bersama, pengacara yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu yakin perjalanan kariernya tetap berjalan seperti biasa.

SCHA AL YAHYA dan Awal Ashaari masih dalam fasa bulan madu. Mereka masih menanti berita gembira untuk menimang cahaya mata.


"Buat masa sekarang saya tidak ada sebarang perancangan mencari pengurus baharu dan selesa bergerak sendiri. Sekiranya jadual saya semakin padat, barulah saya akan cari pengurus yang akan menguruskan kerjaya seni saya dan Scha," ujarnya.

Jaga batas

Sementara itu, Scha yang ditemui pada majlis yang sama mengakui sudah semakin kurang berlakon sejak bergelar isteri kepada Awal Ashaari selama empat bulan.

Menafikan status dirinya sekarang sebagai salah satu punca tawaran lakonan yang diterima semakin berkurangan, Scha sebaliknya menegaskan dia sekarang perlu lebih selektif.

"Apabila sudah menjadi seorang isteri, tentu perlu ada batasan tertentu dalam lakonan, misalnya karakter yang saya lakonkan dalam sesebuah drama, telefilem atau filem.

"Dengan status sekarang saya perlu menjaga hati banyak pihak seperti suami, keluarga sendiri dan keluarga mentua. Kalau ada tawaran yang melebihi batasan yang ditetapkan memang saya akan tolak," ujarnya.

Menurut Scha, selain faktor tersebut dia banyak menolak tawaran lakonan yang diberikan kerana perlu membawakan watak yang hampir sama, sedangkan dia ingin melakonkan watak yang berbeza.

"Saya tidak kisah kalau sekadar membawakan watak yang kecil, asalkan berbeza dengan watak yang pernah dilakonkan sebelum ini. Jadi, dengan cara sedemikian saya mampu perbaiki sebarang kelemahan dan meningkatkan lagi mutu lakonan saya," ujarnya.

Apabila ditanya sama ada dia teringin untuk bergandingan dengan Awal selepas kali terakhir melakukannya menerusi telefilem Prebet Jamilah, pelakon itu mengakui cukup sukar sekiranya mereka berlakon bersama-sama.

Bagaimanapun, Scha memberitahu dia sudah mempunyai idea untuk menerbitkan sebuah program bual bicara yang menggandingkan mereka sebagai pengacara, namun ia masih lagi dalam peringkat awal perancangan.

Kareena enggan jawab isu peluk Islam

Posted:

Kareena enggan jawab isu peluk Islam

KAREENA KAPOOR dan Saif Ali Khan.


SEMAKIN dekat hari perkahwinannya pada 16 Oktober ini, Kareena Kapoor terus menjadi buruan media di India. Selain persoalan tentang persiapan kahwin dengan aktor Saif Ali Khan, Kareena juga dihimpit beberapa soalan sensasi, termasuk isu adakah dia akan memeluk agama Islam selepas menjadi isteri Saif.

Sewaktu diajukan persoalan tersebut, ternyata aktres yang ditemui dalam satu majlis baru-baru ini dilihat kurang senang. Dengan tegas dia yang dikhabarkan telah bersedia membawa nama Khan selepas berkahwin berkata: "Ini adalah soalan yang salah (tukar agama). Saya tidak akan menjawabnya."

Kareena merupakan penganut agama Hindu, sementara Saif merupakan seorang Muslim. Bagaimanapun ada laporan yang mendakwa Saif tidak memaksa Kareena untuk memeluk Islam selepas berkahwin.

Dalam pada itu, aktres berusia 32 tahun tersebut juga enggan menjawab sebarang persoalan tentang majlis perkahwinannya. Katanya, biar majlis itu berlangsung terlebih dahulu, baru dia akan memberi sebarang kenyataan.

"Buat masa sekarang saya tak mahu bercakap apa-apa tentang majlis tersebut. Apa yang saya tahu, saya akan memakai baju kahwin warna merah, kerana ia warna kegemaran saya," ujarnya sebelum berlalu pergi.

Dendam Sarakit cabar Zain

Posted:

Dendam Sarakit cabar Zain

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

PERTAMA kali berganding, Zain dan Fouziah membawa peranan sebagai suami isteri.


PELAKON Zain Hamid yang lebih dikenali sebagai Zain Ruffedge nampaknya semakin aktif dalam bidang lakonan berbanding nyanyian. Bapa kepada seorang anak itu memberitahu buat masa ini dia lebih selesa bekerja di belakang tabir pembikinan sebuah album dan lagu.

Sedar realiti kerjaya nyanyiannya tidak seperti awal kemunculan kumpulan Ruffedge, kata Zain dia menerima apa sahaja rezeki yang datang kepadanya.

"Tawaran berlakon semakin banyak, jadi lebih baik saya menumpukan satu bidang terlebih dahulu. Bidang nyanyian tetap cinta saya yang pertama, tetapi disebabkan saya sudah terbiasa menyanyi dalam kumpulan, rasa kurang selesa pula untuk bergerak secara solo.

"Perancangan untuk kembali ke pentas nyanyian itu memang ada, tetapi belum tiba masanya. Bagi saya bidang lakonan dan nyanyian tidak banyak bezanya, janji saya mencari rezeki yang halal," katanya yang kelihatan sedikit susut.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangannya sebagai pelakon, Zain yang bakal muncul dengan filem Pengapit, KL Zombi dan Ngorat yang akan ditayangkan pada Oktober ini turut diberi kepercayaan oleh pengarah Fairuz Loy untuk memegang watak utama sebagai Rafiq dalam drama bersiri Dendam Sarakit.

Merupakan sebuah naskhah seram, dia berganding dengan pelakon Fouziah Gous yang menjadi isterinya bernama Sarakit.

Menurut Zain, dia sebenarnya tidak suka menonton drama atau filem seram sejak berusia 10 tahun kerana bimbang terbawa-bawa ketika tidur, justeru terlibat dalam drama Dendam Sarakit merupakan cabaran untuk dirinya.

"Saya bukan penakut, cuma saya tidak suka elemen terkejut yang ada dalam drama dan filem seram. Saya terima tawaran berlakon dalam drama ini kerana skripnya cukup menarik.

BARISAN pelakon Dendam Sarakit bergambar pada majlis sidang akhbar drama bersiri tersebut di Sri Pentas, TV3, Petaling Jaya baru-baru ini.


"Pada peringkat awal drama ini tidak ada hantu langsung, hanya pada penghujung cerita sahaja baru hantu muncul. Alhamdulillah, sepanjang penggambaran tiada kejadian pelik berlaku kepada saya," ujarnya yang menjalani penggambaran di Betong, Thailand.

Bercakap mengenai gandingan sulung dengan Fouziah Gous, Zain menyifatkan pelakon jelita itu cukup profesional meskipun mereka tidak pernah bekerjasama sebelum ini.

"Dalam drama ini kami menjadi suami isteri. Saya sangkakan mungkin sukar mencipta keserasian memandangkan kami tidak pernah kenal antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, sangkaan saya meleset apabila Fouziah bijak memberi lakonan dan keserasian. Tidak sukar untuk kami berlakon, semuanya berjalan dengan lancar," luahnya.

Drama Dendam Sarakit berkisar tentang pasangan suami isteri iaitu Sarakit dan Rafiq yang berjanji untuk sehidup semati walau apa pun halangan mendatang. Namun, cinta Sarakit tidak kesampaian apabila dia ditimpa musibah kerana dirogol dan dibunuh ketika sedang hamil.

Apabila qarin Sarakit dipuja oleh Dina (Sharifah Sakinah) bagi tujuan menambat hati Rafiq, dia kembali membalas dendam terhadap orang-orang yang menyebabkan kematiannya.

Selain Zain dan Fouziah, drama yang menjalani penggambaran selama 32 hari itu turut dibintangi Sharifah Sakinah, Noniswara, Adam Shah dan Saiful Nizen telah mula ditayangkan pada 27 September lalu pada setiap Khamis, pukul 10 malam dalam slot Seram di TV3.