Adsense

Jumaat, 19 Oktober 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Tak pandai cipta gosip

Posted:

Tak pandai cipta gosip

DALAM kalangan pelakon wanita tanah air, dia jarang sekali menjadi bahan gosip panas - baik di dada akhbar mahupun televisyen.

Jika ada pun, ia tidak menimbulkan kontroversi besar-besaran sehingga heboh diperkatakan di peringkat nasional.

Sememangnya pada tahun lepas, namanya menjadi sedikit 'panas' ekoran kontroversi impak kemunculannya memperaga gaun kuning pendek yang dikatakan agak seksi ketika membuat kemunculan sempena acara fesyen MASiF 2011 pada 15 hingga 17 September.

Namun selepas itu, namanya seolah-olah suram sehingga timbul persoalan adakah ia disebabkan popularitinya sudah semakin pudar.

Ketika ditemui pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, Wan Sharmila atau nama ringkasnya, Lala bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Bagi dirinya, dia lebih selesa menumpukan perhatian kepada kerjaya lakonannya berbanding gosip murahan.

"Saya ini jenis yang tidak pandai cipta gosip, lebih-lebih lagi kalau melibatkan diri saya sendiri.

"Kalau hidup saya penuh dengan gosip, mungkin saya bukan Lala yang orang kenal sekarang sebaliknya saya akan jadi orang lain," katanya yang mengakui lebih suka berdiam diri dan memberikan fokus kepada lakonan.

Diam tidak diam, penglibatannya dalam dunia lakonan sudah mencecah angka lima tahun.

Namun menurutnya, sejak hari pertama dia melibatkan diri dalam dunia lakonan, dirinya tidak putus-putus meraih tawaran berlakon walaupun kadangkala watak yang ditawarkan sekadar picisan.

"Saya rasa bersyukur hingga ke saat ini walaupun tidak diberikan watak yang besar atau popular, namun peluang untuk muncul di kaca televisyen sentiasa ada dan itu sudah memadai bagi saya sebab tidaklah saya terus tenggelam dari mata penonton," katanya.

Akuinya, kesibukan jadual harian kadangkala menyebabkan dirinya tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi.

"Selagi ada tawaran (berlakon), saya tidak akan tolak sebab bukan senang nak bina nama dan kepercayaan pengarah untuk menggalas sesuatu watak," ujarnya.

Dalam pada itu, seringkali apabila menonton drama Melayu yang menampilkan lakonan figura ini, pasti penonton sudah dapat meneka watak yang dilakonkannya.

Jelak jadi gedik

Namun menurut pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Mohamed ini, semuanya bergantung kepada rezeki meskipun kadangkala dia berasa jelak dengan watak sebegitu.

"Tidak dinafikan watak yang diberikan kadangkala memberi kesan kepada kita bila orang ingat watak yang dibawa dengan karakter sebenar saya sama sahaja," katanya.

Terbaharu, Lala, 31, tidak lagi diberi watak perempuan gedik, sebaliknya dia menghidupkan karakter yang mencabar menerusi filem arahan Faizul A. Rashid, Bisikan Syaitan.

Ia bakal mula ditayangkan pada 25 Oktober ini.


LALA dan Azam merealisasikan karakter pasangan kekasih dalam filem Bisikan Syaitan.


"Ini merupakan kali pertama saya melakonkan aksi-aksi mencabar dan ia ternyata berbeza daripada lakonan saya sebelum ini yang memerlukan saya untuk menjadi gedik.

"Sebenarnya, saya sudah lama teringin untuk membawa watak berat seperti ini, cuma tidak pernah diberi peluang.

"Apabila pengarah memberitahu saya bakal melakonkan watak ini pada tahun lepas, saya sangat teruja dan Alhamdulillah, saya mampu mengharunginya," ujarnya.

Dalam filem itu, dia yang memegang watak sebagai seorang gadis naif bernama Kamilia bergandingan dengan pendatang baharu, Azam Pitt sebagai pasangan kekasih.

Kamilia merupakan mangsa perjanjian syaitan angkara antara abangnya sendiri, Kamil (lakonan Fizz Fairuz) dan kakak iparnya, Suraya (Nabila Huda).

Bercerita tentang Azam Pitt, menurut pelakon genit ini, dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan bersama jejaka tersebut memandangkan sebelum ini mereka pernah bergandingan dalam drama TV.

"Saya sudah ada pengalaman bekerja dengan Azam tetapi kali ini lain sedikit memandangkan saya dan dia bergandingan sebagai sepasang kekasih.

"Namun, kami banyak berbincang untuk mendapat keserasian watak yang dibawakan," ujarnya mengakhiri bicara.

Diana Amir ada alasan

Posted:

Diana Amir ada alasan

Oleh MUHAMMAD IZWAN MOHD. ISA


KETIDAKHADIRAN Diana Amir pada majlis tayangan perdana filem, PE3 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor, Isnin lalu menimbulkan pelbagai spekulasi.


KETIKA menghadiri majlis pelancaran filem, PE3 arahan Farid Kamil di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, kelibat salah seorang pelakon utama filem tersebut iaitu Diana Amir, tidak kelihatan.

Tindakan aktres itu secara tidak langsung telah menimbulkan banyak spekulasi daripada pelbagai pihak.

Ada yang menganggap Diana Amir sudah besar kepala memandangkan pelakon filem Aku Masih Dara itu juga pernah tidak hadir ke sesi tayangan perdana filem X, beberapa bulan lalu.

Ada juga yang berpendapat ketidakhadiran Diana pada majlis tayangan filem PE3, Isnin lalu itu kerana berkecil hati ekoran gambarnya tidak turut menghiasi poster filem tersebut.

Kosmo! menghubungi Diana untuk mendapatkan komen lanjut mengenai isu tersebut.

Kosmo!: Kenapa Diana mengambil keputusan untuk tidak menghadiri majlis pelancaran filem PE3, sedangkan Diana merupakan salah seorang pelakon utama filem itu?

DIANA: Ya, saya mengaku tidak hadir ke majlis tayangan perdana filem PE3 kerana sejujurnya, saya segan. Ketika menjalani penggambaran filem tersebut, saya masih lagi tidak bertudung. Jadi, agak kekok untuk menonton semula lakonan saya tersebut.

Adakah ini bermakna disebabkan batasan imej terkini Diana yang bertudung, ia menghalang anda hadir ke majlis itu?

Memang benar dan saya juga tidak menghadirkan diri ketika majlis pelancaran filem X atas sebab yang sama.

Adakah Diana kecewa apabila gambar Diana telah dikeluarkan dari poster filem berkenaan?

Saya telah diberitahu mengenai perkara ini, malah David Teo juga menyokong tindakan mengeluarkan gambar saya dari poster filem itu. Dia juga enggan perkara ini menjadi isu yang besar setelah poster filem PE3 dikeluarkan.

Apakah komen Diana jika ada sesetengah pihak mengatakan Diana adalah seorang pelakon yang tidak profesional dan cerewet?

Sebagai seorang manusia biasa, kita memang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Saya faham persepsi orang ramai terhadap diri ini. Saya yakin peminat juga faham prinsip baharu hidup saya sekarang.

Sebelum ini, mungkin saya tidak terlalu peka dengan keseluruhan jalan cerita atau plot sesetengah filem sebelum sesi penggambaran bermula. Walau bagaimanapun sekarang, saya harus cerewet dalam memilih skrip atau watak yang bersesuaian dengan diri saya.

Tidak gusar dilabelkan sebagai diva oleh penerbit atau pengarah lain?

Seperti yang saya katakan tadi, saya yakin semua orang faham dan hormati prinsip hidup saya. Saya kini bertudung dan saya juga pasti penerbit dan pengarah di luar sana mengerti akan batasan pergaulan diri ini ketika sesi penggambaran.

Begitu juga dengan tawaran berlakon, selagi tidak melanggar prinsip hidup serta selari dengan imej saya, Insya-Allah saya akan melakonkan watak yang diberikan sebaik mungkin.

Masih mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan?

Saya masih mencintai bidang lakonan. Saya masih akan menerima tawaran berlakon jika watak yang ditawarkan bersesuaian dengan saya.

Perkembangan terkini Diana?

Sekarang saya sedang mengembangkan karier saya dalam bidang pengacaraan. Buat masa ini, saya agak sibuk mengacara sebuah rancangan hiburan baharu di TV9, SIS (Suara Intelek Swadarya) yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Lohan bangga aksi ghairah

Posted:

Lohan bangga aksi ghairah

BINTANG sensasi, Lindsay Lohan kebelakangan ini kelihatan ligat bekerja dan terkini, dia akan muncul bersama sebuah filem yang memperlihatkan aksi ghairahnya iaitu The Canyons.

Memegang watak Bella, seorang bekas model, Lohan telah berbogel selain melakonkan babak seks .

Lohan yang telah menonton filem tersebut sebelum ia mula ditayangkan nanti melahirkan rasa puas hati dengan kerja kerasnya.

"Ia (filem) sangat hebat! Saya menontonnya bersama ibu. Walaupun dia (ibu) sukar menerimanya, tapi filem itu sangat menarik.

"Jelas sekali Paul Schrader (pengarah) melakukan kerjanya dengan baik," komen Lohan kepada HollywoodNews.com.

The Canyons memaparkan kisah sebenar kehidupan bintang porno, James Deen. Ia diselitkan dengan beberapa babak mengghairahkan.