Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Dana RM3.5 juta buat Kursi P Ramlee

Posted: 18 Oct 2012 03:50 PM PDT

Penggiat seni perlu buat penyelidikan, beri kesedaran kepada generasi baru

Kerajaan memperuntukkan dana RM3.5 juta bagi pelaksanaan Kursi P Ramlee di bawah Pusat Penyelidikan, Kecemerlangan dan Kesarjanaan Artistik, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Kursi yang diwujudkan menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) itu adalah bermatlamat untuk mencapai kecemerlangan seni melalui penyelidikan pada peringkat pasca siswazah, sarjana (MA) dan doktor falsafah (PhD).

Pengajian menjejak pemikiran beliau perlu dicanai dan digilap kerana perjalanan yang memberi makna ini memerlukan segala daya yang dimiliki, akal, pancaindera dan ilham kerana banyak karyanya meneroka akal, perasaan sambil mencuit kalbu dan curahan rasa," - Datuk Seri Dr Rais Yatim

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata penyelidikan dalam bidang seni bukan saja bermatlamat mencapai kemajuan, tetapi memberi kesedaran kepada generasi baru berkaitan sejarah seni budaya negara.

"Penyelidikan suatu keperluan dalam kerjaya seni dan budaya. Penggiat atau pengamal seni dan budaya perlu membuat penyelidikan bagi mendalami bidang kepakarannya untuk menjadikan hasil atau produk diperakui, disanjungi serta menjadi rujukan semua golongan masyarakat.

"Rasionalnya penggunaan nama Allahyarham Tan Sri P Ramlee bagi penubuhan kursi ini adalah satu penghormatan terhadap jasa dan sumbangan beliau.

"Pengajian menjejak pemikiran beliau perlu dicanai dan digilap kerana perjalanan yang memberi makna ini memerlukan segala daya yang dimiliki, akal, pancaindera dan ilham kerana banyak karyanya meneroka akal, perasaan sambil mencuit kalbu dan curahan rasa," katanya ketika merasmikan pelancaran Kursi P Ramlee dan penubuhan Pusat Penyelidikan, Kecemerlangan dan Kesarjanaan Artistik di ASWARA, semalam.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Sri Kamaruddin Siaraf; dan Rektor ASWARA, Dr Hatta Azad Khan.

Lambang ketinggian industri seni

Menerusi dana itu, calon yang ingin menduduki Kursi P Ramlee akan diberikan Zamallah P Ramlee, iaitu bantuan kewangan RM10,000 bagi calon MA dan RM20,000 (PhD).

"Seorang penyelidik juga boleh mengakhiri setiap penyelidikan dengan produksi (filem cereka dan dokumentari), pementasan (teater, muzikal, seni tari, muzik dan lagu), atau penerbitan buku secara bercetak atau elektronik.

"Pusat ini juga akan menjadi tapak untuk menemukan penggiat, pengamal, ahli akademik dan pelajar pasca siswazah dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dengan kesarjanaan dalam seni," katanya yang menganggap Kursi P Ramlee sebagai lambang membawa industri seni ke peringkat lebih tinggi.

Pada majlis sama, Rais juga berkata, KPKK akan melancarkan Pesta P Ramlee berlandaskan karya agung seniman itu, dengan perinciannya akan diumumkan kelak.
Rais turut memberi pengiktirafan kepada penerima pertama Kursi P Ramlee, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Abdul Rahman Ahmad Hanapiah atau Wiramanja, yang menghasilkan transkrip 40 filem P Ramlee untuk diserahkan kepada perpustakaan ASWARA.

Orkestra RTM terpilih sertai Festival Jazz Jakarta

Posted: 18 Oct 2012 03:43 PM PDT

Orkestra RTM sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila diundang menyertai Festival Jazz Antarabangsa Jakarta (JIJF) 2012 atau Jakjazz, yang bermula hari ini sehingga 21 Oktober, di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia.

Festival yang turut disertai artis dan pemuzik dari 10 negara itu sudah dimulakan sejak 1988 dan muncul sebagai penganjuran festival muzik tertua di republik terbabit.

Pemimpin orkestra yang juga Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail, berkata jemputan ke JIJF membuktikan pemuzik tempatan kini sebaris pemuzik terhebat dunia.
"Bukan senang untuk kita menempatkan diri pada festival itu jika tidak menepati kriteria mereka inginkan. Selain pengalaman mengadakan konsert besar dan berprestij, penerbitan album juga dititikberatkan untuk penilaian," katanya ketika dihubungi HIP, semalam.

Menurutnya, peluang itu akan terus dimanfaatkan bagi menonjolkan kehebatan pemuzik dengan lagu jazz ciptaan komposer tempatan di samping menjadi landasan bagi menimba pengalaman.

"Tahun ini ialah tahun kedua kita diundang, seiring dengan artis serta kumpulan muzik terkenal seperti Jeff Lorber, Eric Marienthal, Incognito, Jeremy Monteiro dan Mezzoforte. Turut serta ialah tokoh jazz Indonesia seperti Indra Lesmana dan Idang Rasjidi.

"Persembahan selama 75 minit itu sudah pasti akan menjadi detik bersejarah kerana kami akan ditempatkan di pentas utama pada Sabtu ini, jam 5.30 petang, sebelum persembahan kumpulan ternama dari Barat," katanya yang menyertai festival itu bersama 20 pemuzik dan kru penerbitan RTM.
Orkestra RTM yang kini sudah berusia 50 tahun akan menampilkan penyanyi terkenal Indonesia, Sierra Soetedjo, dengan mempersembahkan lagu ciptaan Mokhzani seperti Tribute, Dawn in KL, Peace, selain ciptaan Alfonso dan Jimmy Boyle seperti jauh-Jauh, Air mata Berderai dan banyak lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen