Adsense

Isnin, 15 Oktober 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Amar Asyraf Bikin Orang Keliru

Posted: 15 Oct 2012 07:52 PM PDT

Amar Asyraf mengakui masih berdepan kesukaran untuk menonjolkan diri selepas hampir dua tahun menceburi bidang seni.
KUALA LUMPUR: Pelakon baru Amar Asyraf mengakui sering disalah anggap oleh segelintir pihak yang menyangkanya sebagai pelakon Amar Baharin atau Ammar Alfian Aziz kerana persamaan pada pangkal nama mereka.
Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin, 26, berkata, keadaan itu berlaku kerana populariti nama Amar itu yang terlebih dahulu "dibawa" oleh dua aktor tersebut.
"Saya akui orang ramai masih tidak mengenali siapa Amar Asyraf. Banyak pihak sering keliru dan tersalah anggap kerana mereka sangka saya adalah Amar Baharin atau Ammar Alfian Aziz kerana persamaan pada pangkal nama kami.
"Namun, saya tidak berkecil hati kerana maklumlah saya orang baru dalam bidang lakonan berbanding mereka. Cuma, saya berharap selepas ini orang ramai akan menyedari kewujudan saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bekas graduan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) ini berkata, dia masih berdepan kesukaran untuk menonjolkan diri selepas hampir dua tahun menceburi bidang seni.
"Saya pun tidak tahu di mana silapnya kerana sampai ke hari ini, saya perhatikan populariti itu agak perlahan dan susah sikit.
"Malah, saya sering tidak mendapat apa-apa tawaran lakonan mungkin disebabkan nama saya yang masih tidak dikenali umum," tuturnya.
Ditanya apakah perancangan bagi melonjakkan populariti diri, Amar berkata, dia hanya berserah kepada nasib dan rezeki, selain memastikan mutu kerjanya disenangi dan mendapat perhatian khalayak.
"Menjadi popular dan dikenali memang penting tetapi saya seperti tidak kisah mengenai aspek itu selama ini. Malah, saya selesa bergiat aktif di pentas teater jika tiada tawaran lakonan.
"Mungkin sebelum ini saya agak memilih tawaran yang diberikan kerana kecenderungan itu kuat kepada dunia teater.
"Namun, selepas ini saya perlu imbangi perkara itu dan kena banyak bersabar sementara menunggu peluang saya untuk menyerlah tiba," ujarnya yang bakal muncul dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman.
Siri itu akan disiarkan bermula 29 Oktober ini pada setiap Isnin pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).
Selain menantikan tayangan filem Qada pada tahun depan, pemuda yang berasal dari Melaka ini juga sedang mengacarakan program berjudul Dinamik di TV2.
- ---

Dira Abu Zahar Muncul Selepas Kontroversi Reda

Posted: 15 Oct 2012 07:42 PM PDT

Dira memberitahu tindakan menyepikan diri adalah jalan terbaik bagi menjernihkan semula kekecohan membabitkan nama dan reputasinya sebelum ini yang tercemar.
PETALING JAYA: Pelakon Dira Abu Zahar berkata sudah tiba masanya untuk dia aktif semula dalam bidang seni selepas kontroversi dirinya reda berhubung kes pergaduhan di disko dan percubaan membunuh diri pada April lalu.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 28, berkata, tindakan menyepikan diri adalah jalan terbaik bagi menjernihkan semula kekecohan membabitkan nama dan reputasinya sebelum ini yang tercemar.
"Bagi saya, tindakan kurang aktif dalam bidang seni banyak membantu dalam menjernihkan semula kekeruhan yang timbul ekoran kontroversi pergaduhan itu.
"Sekurang-kurangnya, sepanjang beberapa bulan ini, kekecohan itu beransur reda dan sekarang saya mahu menumpukan semula kepada kerjaya seni seperti biasa," katanya.
Bagaimanapun, Dira berkata, tindakan berdiam diri itu bukan kerana dia mahu lari daripada kontroversi terbabit tetapi secara kebetulan dia sibuk dengan urusan keluarga dan pengajian di Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing (Limkokwing) dalam bidang Sarjana Filem Digital dan Televisyen.
"Secara kebetulan, selepas kontroversi itu tercetus saya sibuk dengan urusan keluarga kerana kami baru berpindah ke rumah baru beberapa bulan lalu.
"Saya pula baru memulakan pengajian di Limkokwing, jadi sebab itu saya tidak dapat terima tawaran kerja buat seketika," jelasnya.
Bercerita mengenai kemunculan semula dalam lakonan, Dira berkata, peluang berlakon di bawah arahan Ahmad Idham buat julung kali dalam filem Lari adalah permulaan yang baik untuk kembali aktif.
"Tawaran dalam filem ini adalah yang pertama kali saya berpeluang memegang watak utama selepas lima tahun jadi pelakon.
"Pertama kali bekerjasama dengan Ahmad Idham, saya berasa seronok dan langsung tidak tertekan walaupun Lari adalah filem aksi yang menuntut ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.
"Ini kerana pendekatan yang digunakannya begitu terbuka dan kami sering berbincang sebelum memulakan penggambaran," katanya yang bakal muncul dalam drama bersiri terbaru Ini Kisah Perempuan di TV1, tidak lama lagi.
- ---

Farid Kamil Dan Diana Danielle Nikah 3 November

Posted: 15 Oct 2012 07:41 PM PDT

Farid mengumumkan berita gembira itu pada majlis pra tonton filem PE3 terbitan Metrowealth Movie Productions di sini, pada malam Isnin.
PETALING JAYA: Setelah berteka teki mengenai tarikh perkahwinan, pasangan pelakon Farid Kamil, 31, dan Diana Danielle, 21, akhirnya mengesahkan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 3 November depan.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Farid pada pra tonton filem PE3 terbitan Metrowealth Movie Productions di sini, pada malam Isnin.
"Syukur, hubungan kami mendapat restu keluarga. Insya-Allah kami akan bernikah pada 3 November ini. Doakanlah kebaikan perkahwinan kami," katanya ringkas.
Dalam pada itu, Farid memberitahu dia memilih bulan November untuk melangsungkan perkahwinan kerana Diana dilahirkan pada 21 November.
"Ini secara tidak langsung saya dapat meraikan hari jadinya," katanya.
Mengulas lanjut, Farid memberitahu majlis pernikahan tersebut akan berlangsung di Hotel Flamingo, Ampang, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun menurutnya, mereka masih belum menghadiri kursus perkahwinan dan akan melakukannya dalam masa terdekat ini.
Sebelum ini Diana dan Farid membuat kejutan apabila bertunang dalam diam pada 1 September lalu.
Sebelum ini, pasangan tersebut membuat kejutan apabila bertunang dalam diam pada 1 September lalu.
Majlis yang diadakan di Damansara dekat sini itu dilakukan secara sederhana dan hanya dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Pada majlis berkenaan kedua-dua pihak pada mulanya merancang untuk mengadakan majlis pernikahan selepas setahun bertunang.
Diana dan Farid menyulam cinta selama tiga tahun dan hubungan mereka pernah putus tetapi disambung semula.
Farid sebelum ini pernah bercinta dengan Irma Hasmie tetapi hubungan itu tidak kekal sementara Diana pula dengan pengarah dan aktor Syamsul Yusof.
- ---

Hans Isaac Dedah Hubungannya Dengan Neelofa Serius

Posted: 15 Oct 2012 01:37 AM PDT

Hans Isaac
PETALING JAYA: Aktor dan produser Hans Isaac mengakui hubungannya dengan pelakon Neelofa adalah serius tetapi mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan kisah tersebut kerana berasa serik dengan kegagalan hubungan cintanya sebelum ini.
Pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac, 41, ini berkata, sudah tiba masanya dia menyimpan sebahagian kisah peribadi untuk dirinya sendiri kerana dia sudah banyak berkongsi perkara peribadi dan kisah cinta sepanjang 20 tahun bergelar anak seni.
Hans berkata, atas dasar itu dia lebih selesa untuk tidak bercerita lebih lanjut mengenai hubungannya dengan aktres muda itu demi kebaikan semua pihak.
"Saya tidak nafikan kami memang berkawan secara serius pada waktu ini. Cuma, saya tidak mahu bercerita lanjut mengenai sejauh mana perkembangan hubungan kami kerana ia terlalu peribadi buat saya.
"Cukuplah, saya sudah serik untuk berkongsi kisah peribadi kerana selama 20 tahun bergelar artis, terlalu banyak saya berkongsi cerita hubungan cinta dengan kekasih-kekasih terdahulu tetapi akhirnya saya juga yang dipertikaikan itu dan ini," katanya ketika dihubungi di sini.
Ditanya reaksinya berhubung gosip yang mengatakan dia pergi bercuti dengan kekasihnya itu ke Koh Samui, Thailand, secara rahsia pada hujung bulan lalu, Hans berkata, dia enggan mengambil pusing mengenai perkara itu kerana sudah terbiasa dengan permainan dunia hiburan.
Neelofa
"Tiada apa yang hendak saya katakan mengenai gosip itu. Biarlah kerana saya sudah lalui macam-macam gosip sebelum ini.
"Hakikatnya, saya pergi ke Koh Samui bersama sepupu dan rakan-rakan. Kalau pun saya hendak pergi bercuti dengan dia, tentulah kami akan pergi secara berkumpulan dan bukan berduaan sahaja.
"Saya bukan bodoh dan tidak peka dengan sensitiviti agama dan budaya," hurainya.
Mengenai hasrat mendiang ibunya, Carmina Anciano Isaac, 74, yang tidak sempat ditunaikan untuk melihat dia berkahwin, Hans berkata, soal berumah tangga bukan perkara remeh yang boleh diambil mudah dan ia memerlukan persiapan dan keputusan yang tepat.
"Memang saya terkilan mengenai perkara itu tetapi saya tidak boleh tergesa-gesa dan gelojoh mengenai persiapan perkahwinan.
"Dalam hal ini, saya perlu bersikap memilih dan sepenuh hati kerana saya hanya mahu berkahwin sekali sahaja dalam seumur hidup.
"Sama ada saya mempunyai perancangan ke arah itu dengan Neelofa atau sebaliknya, biarlah saya simpan dahulu," luahnya.
Terbaru, usahawan filem ini sedang sibuk dengan proses pasca produksi dua filem terbitan syarikatnya iaitu Lemak Kampung Santan dan sebuah judul yang masih lagi dirahsiakan
- ---

Joe Flizzow Sangkal Musuhi Malique

Posted: 14 Oct 2012 08:29 PM PDT

Joe menjelaskan hubungannya dengan Malique masih baik malah sering bertemu untuk menghabiskan masa bersama.
PETALING JAYA: Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow menyangkal dakwaan hubungannya dengan Malique renggang selepas beberapa tahun tidak muncul dengan album baru bersama menerusi kumpulan Too Phat.
Joe berkata, hubungan mereka masih baik malah pernah bertemu dan menghabiskan masa bersama jika mempunyai masa terluang.
"Macam mana pun bak kata pepatah air jika dicincang tidak akan putus dan begitu juga hubungan saya dengan Malique yang saya anggap seperti saudara sendiri.
"Saya hormati keputusannya yang ingin membawa haluan sendiri namun kami masih bersama sebagai Too Phat," ujarnya.
Joe menjelaskan, Malique kurang menonjol sejak akhir-akhir ini kerana ingin memberikan tumpuan kepada keluarganya dan banyak menfokuskan kepada penciptaan lagu untuk artis lain.
Gandingan Joe dan Malique menerusi kumpulan Too phat telah mencipta fenomena dikalangan peminat.
"Jika dilihat banyak juga lagu dihasilkan oleh Malique untuk artis-artis lain dan mungkin dia lebih selesa dengan cara itu," jelasnya.
Dalam pada itu, Joe berkata dia masih memasang hasrat untuk bergabung kembali dengan Malique menerusi kumpulan Too Phat namun masih menunggu persetujuan rakan baiknya itu.
Malah Joe berkata, dia pernah menyebut perkara itu menerusi salah sebuah lagunya tentang keinginan bergabung kembali dengan Malique.
"Saya memang berhasrat untuk merakamkan album terbaru bersama Malique dan pernah menyebut perkara itu dalam lirik lagu saya," ujarnya.
Sementara itu, Joe berkata, buat masa ini dia tidak berhasrat untuk merakamkan album solo kerana ingin memberikan fokus kepada program Hip Hoppin'Asia yang sudah pun ditayangkan di saluran 8TV.
Negara yang sempat Joe kunjungi adalah Thailand, Sri Lanka, Jepun, Hong Kong, Indonesia, Taiwan dan Filipina.
Tampil dengan 10 episod, 'Hip Hoppin' Asia disiarkan setiap hari Khamis pada pukul 9.30 malam.
- ---