Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Bukan nikah tergesa-gesa

Posted: 16 Oct 2012 03:43 PM PDT

Farid, Diana rai tiga acara istimewa bulan depan

Farid Kamil tidak menganggap pernikahannya dengan Diana Danielle, 21, pada 3 November, disusuli persandingan 21 November depan sebagai terburu-buru memandangkan mereka baru saja bertunang awal bulan lalu. Sebaliknya dia mengaku memang memilih tarikh itu untuk meraikan detik bersejarah berganda.

Bagi pelakon dan pengarah ini, November cukup istimewa kerana ia bulan ulang tahun kelahiran tunangnya, hingga mereka sepakat mengabadikan majlis resepsi bertepatan hari lahir Diana yang ke-21.

Ini hari yang besar buat kami dan pastinya saya sendiri terasa berdebar, apatah lagi akan menggalas tanggungjawab sebagai suami serta ketua keluarga," - Farid Kamil, Pelakon

"Kiranya, ada tiga tarikh akan disambut bulan depan iaitu pernikahan dan persandingan kami, selain ulang tahun Diana yang jatuh pada 21 November. Cuma di sebelah keluarga saya, kenduri sambut menantu dijangka berlangsung di kampung saya di Kedah, pada Disember.

"Keputusan ini juga bukan mengejut kerana keluarga kedua-dua belah pihak memilih tarikh ini sebelum bertunang lagi, malah persiapan juga sudah dimulakan sedikit demi sedikit," kata Farid, 30, yang akan mengumumkan jumlah hantaran serta perincian berkaitan majlis pada acara lain.

Umum sebelum tayangan Pe3

Terdahulu, ketika ditemui malam kelmarin, di Sunway Pyramid, sebelum majlis pratonton filem terbaru arahan dan lakonannya, Pe3 bermula, Farid masih berteka-teki tatkala diajukan persoalan mengenai pernikahan.
Namun, sebaik diminta berucap sebelum filem yang akan menemui penonton di pawagam esok ditayangkan, dia mengejutkan hadirin apabila menyatakan akan menikahi tunangnya pada tarikh berkenaan, serta membuat pengumuman itu dengan restu keluarga.

Ditanya mengapa dia membuat pengumuman itu serentak pratonton Pe3, akuinya, filem berkenaan juga antara perkara paling baik berlaku dalam hidupnya. Jadi, sudah tentu dia mahu menghebahkan berita hari bahagianya pada hari itu.

Berkongsi debaran, Farid tanpa berselindung memaklumkan, sebaik bergelar tunangan orang, dia sudah mula berasakan getarannya, malah ia semakin berganda menjelang tarikh keramat itu.

"Ini hari yang besar buat kami dan pastinya saya sendiri terasa berdebar, apatah lagi akan menggalas tanggungjawab sebagai suami serta ketua keluarga," katanya yang memilih persandingan dalam taman.

Tema sanding idea sendiri

Bertepatan dengan tema idaman, Hotel Flamingo Ampang menjadi lokasi terbaik memandangkan keindahan taman di pinggiran tasik yang melengkapkan lagi aroma konsep pilihan.

"Majlis akan diadakan pada sebelah pagi di tasik dan taman di Hotel Flamingo, Ampang, dengan tema dan konsep hasil idea bersama. Malah rekaan busana pengantin juga sentuhan kami sendiri.

"Bukan tidak percayakan orang lain, cuma bagi saya, ini hari bersejarah yang kami mahu ingat sampai bila-bila. Ia lebih bermakna apabila kami berdua terbabit secara langsung dalam membuat persediaan," katanya yang akan sibuk di lokasi penggambaran filem baru berjudul Anak Jantan.

Sebelum ini, pasangan yang bercinta selama tiga tahun ini bertunang pada 2 September lalu pada majlis tertutup di Damansara. Ketika itu, mereka memaklumkan hanya akan berkahwin selepas setahun bertunang.

Kesihatan Kuswadinata membimbangkan

Posted: 16 Oct 2012 03:38 PM PDT

Keadaan kesihatan pelakon era 50-an, Kuswadi Bujang, 74, atau Kuswadinata semakin meruncing selepas mengalami pendarahan ulser sejak dua minggu lalu.

Dia yang pernah dimasukkan ke hospital pada Julai lalu akibat kanser prostat dikatakan turut menghidap penyakit buah pinggang dan kanser kelenjar.

Pelakon yang terkenal dengan filem Panca Delima dan Semerah Padi itu kini dikhabarkan dalam keadaan kritikal dan hanya bergantung pada ubat-ubatan serta rawatan dialisis.
Meskipun luarannya nampak kuat dan mampu bergurau senda, anaknya, Mohamad Rizal, 23, berkata keadaan bapanya itu kini hanya bergantung kepada kekuatan jantungnya.

"Doktor berkata, harapannya kini hanya 50-50 dan jantungnya juga semakin lemah. Jadi, doktor menasihatkan kami supaya bersiap sedia serta memaklumkan kepada ahli keluarga dan rakannya.

"Dua minggu lalu, dia pernah dimasukkan ke hospital, tetapi dibenarkan pulang kemudiannya. Namun selepas dua hari di rumah, dia alami pendarahan semula," kata anak bongsu daripada empat beradik, hasil perkongsian hidup pelakon itu dengan isteri kedua, Kamariah Mohd Said, 57.

Kuswadinata yang dirawat di Hospital Ampang sejak 7 Oktober lalu kini dijaga isteri dan anak, termasuk lima anak hasil perkahwinan pertama.
Semalam, pelakon veteran ini turut menerima kunjungan Presiden Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez, yang turut menghulurkan sumbangan.

Menyifatkan Kuswadinata sebagai artis yang aktif berpersatuan, Freddie turut memberitahu, sumbangan kali kedua dihulurkan KARYAWAN sebagai mengenang jasanya kepada industri seni.

"Dia selalu ikut aktiviti yang kita adakan, jadi kita terpanggil untuk hulurkan bantuan sebagai meringankan bebannya. Dia juga antara pelakon yang menggerakkan industri perfileman, bersama-sama Allahyarham Tan Sri P Ramlee," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan