Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Beraya di rumah baharu

Posted:

Beraya di rumah baharu

MEMILIKI aktres popular Lisa Siruhani, 26, sebagai isteri cukup melengkapkan kehidupan pengarah, pelakon dan penyanyi terkenal, Yusry Abdul Halim. 39.

Akuinya, kehadiran Lisa telah mengisi ruang-ruang kosong yang bersarang di hatinya. Bahkan kehadiran Aidilfitri tahun ini dirasakan lebih manis berbanding zaman solonya.

"Apabila sudah beristeri terasa hidup lebih lengkap, contohnya raya jauh lagi, Lisa sudah siapkan baju raya awal-awal bukan sahaja untuk saya tetapi termasuk ibu dah ayah saya juga.

"Memang lebih seronoklah, sebab ada orang siapkan segala keperluan saya. Kalau ikutkan sebelum ini saya jenis yang tidak kisah pun untuk pakai baju raya yang sama setiap tahun tetapi tidak untuk Lisa. Rasanya ramai perempuan sama sepertinya," kata Yusry sambil ketawa.

Menempah dua pasang baju raya sedondon berwarna biru cair dan kuning keemasan daripada butik Cosry, terang Lisa, apabila berkahwin, tanggungjawabnya lebih besar dan ada bahagiannya yang terpaksa dikorbankan.

"Sebelum berkahwin, baju raya berpasang-pasang, tetapi lepas kahwin baju raya yang saya tempah cuma dua pasang dan sepasang lagi berwarna merah jambu ditempah oleh ibu saya supaya sedondon dengan keluarga.

"Saya fikir buat apa buat baju banyak-banyak, jadi bajet yang ada saya akan seimbangkan dengan keperluan saya dan keluarga," tutur pelakon filem Ular itu.

Sambung duta produk Garnier itu lagi, kehadiran Yusry dan keluarga mertua telah mengembalikan keterujaannya menyambut Aidilfitri.

"Sejujurnya, sejak pemergian arwah ayah (Mohamed), sambutan raya saya terasa kosong kerana ketiadaannya cukup dirasai.

"Tahun ini agak berbeza, kehadiran Yusry dan keluarga mertua telah mengubah mood raya saya, malah saya juga lebih bersemangat melakukan persiapan raya," tutur Lisa sambil menjeling manja ke arah Yusry.

KESIBUKAN kerja tidak menghalang pasangan Yusry dan Lisa untuk meraikan Aidilfitri.


Bercuti di Pulau Pinang

Bercakap tentang sambutan raya, beritahu Lisa, seluruh ahli keluarga kedua-dua belah pihak akan berkumpul di rumah baharu mereka di Country Height Resort, Kajang, Selangor pada hari raya pertama.

"Jadual kerja kami sangat sibuk, jadi hari raya merupakan hari berjumpa sanak saudara dan merupakan cuti yang agak panjang untuk saya dan Yusry selama dua minggu.

"Keluarga Yusry mengamalkan sistem giliran, jadi tahun ini merupakan giliran beraya di rumah kami. Memang meriahlah sebab dua keluarga berkumpul secara serentak," tutur Lisa.

Selepas itu, pada hari raya ketiga pula, keluarga dekat kedua-dua belah pihak bercuti ke Pulau Pinang. Sebenarnya, kata Yusry, sudah terlalu lama keluarganya tidak bercuti bersama.

"Mungkin sebelum ini keluarga saya bimbang saya akan terasa kerana waktu itu hanya saya yang belum berkeluarga, Jadi tahun ini, lengkaplah semua orang sudah ada pasangan masing-masing," kata Yusry yang sibuk dengan pascaproduksi filem Ular, Dendam Orang Mati, Vikingdom dan Ribbit.

Jelas Yusry, mereka mempunyai sebab yang tersendiri mengapa Pulau Pinang menjadi destinasi pilihan mereka sekeluarga.

"Pulau Pinang menjadi pilihan kami sebab sebelum ini kami pernah buat rancangan percutian singkat ke sana, tetapi tiada kesempatan.

"Kebetulan pula pada cuti raya, keluarga saya memutuskan untuk bercuti ke sana selama tiga hari, jadi memang tepatlah pilihan kami sebab semua orang memang mahu ke sana.

"Saya ingin naik feri kerana lebih romantis apabila pergi bersama isteri (ketawa).

LISA mengakui kehadiran Yusry sebagai lelaki yang bergelar suaminya telah mengubah mood raya dirinya pada tahun ini.


"Selain itu, sebab utama saya ingin naik feri kerana dapat mengimbau kembali kenangan sewaktu kecil ketika melawat Pulau Pinang," cerita Yusry yang akan kembali bekerja selepas kembali ke Kuala Lumpur.

Bahagia bersama

Bercakap tentang rumah baharu yang berkonsepkan gaya Inggeris dan mengambil masa selama 10 bulan untuk disiapkan itu, Yusry terlibat secara total dalam proses pembikinannya kerana dia yang mereka bentuk rumah tersebut.

Tidak hanya reka bentuk rumah, malah, pengarah filem Merong Mahawangsa itu juga terlibat dalam pemilihan bahan-bahan untuk rekaan dalaman rumah dua tingkat yang mempunyai enam bilik itu.

"Rumah kami dari luar nampak kecil, tetapi agak luas bila masuk ke dalam. Sejak mula dibina sehinggalah ke susun atur lampu dan perkara kecil yang lain, semuanya di atas persetujuan saya dan Lisa kerana cita rasa kami sama.

"Jadi, tidak ada sebarang masalah apabila kami memilih warna dinding, perabot dan perkara yang lain sebab apa yang saya inginkan sama sahaja dengan Lisa," kata Yusry.

Disebabkan rumah baharunya masih belum lengkap sepenuhnya, mereka tidak akan membuat rumah terbuka secara besar-besaran tetapi memadai hanya menerima kunjungan rakan rapat.

"Walaupun rumah kami sudah boleh diduduki, tetapi masih banyak perkara yang belum dilengkapkan, jadi rasanya tahun ini tidak akan ada rumah terbuka.

"Memadai, lawatan raya biasa daripada rakan terdekat dan jika ada kelapangan selepas raya, kami akan mengadakan kenduri doa selamat menduduki rumah baharu," balas Lisa.

Raja Azmi bawa anak balik beraya di kampung

Posted:

Raja Azmi bawa anak balik beraya di kampung

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

BAHAGIA. Raja Azmi bersama anak-anaknya, dari kiri: Puteri Suraya, Megat Deli dan Puteri Suaida menyambut raya di Taiping, Perak.


AIDILFITRI tahun ini merupakan kali pertama, Raja Azmi Raja Sulaiman menyambutnya tanpa suami tercinta, Jalani Sidek selepas melayari bahtera perkahwinan selama 28 tahun. Mereka telah bercerai lebih sebulan lalu.

Disebabkan penceraian itu atas kehendak mereka sendiri, dia reda dan meneruskan kehidupan dengan membawa tiga anaknya dan seorang cucunya pulang ke kampung asalnya di Taiping, Perak menyambut hari raya pada tahun ini.

Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18, serta cucunya, Muhammad Akid Muhammad Shadan, 1, akan mengikutnya pulang ke Taiping selepas lebih 20 tahun dia tidak menjejakkan kaki ke kampung halamannya itu.

Bukan disebabkan lupa daratan atau ada alasan lain, tetapi kerana kedua-dua orang tuanya sudah berhijrah ke Kuala Lumpur dan kebiasaannya rumahnya di Ukay Perdana menjadi tempat berhimpun enam adik-beradiknya termasuklah ibunya sendiri.

"Megat Deli terutamanya tidak pernah kenal rumah tempat saya membesar, sekolah tempat saya belajar dan sebagainya.

"Lagipun saya sudah tiada suami, inilah masa kami balik kampung bersama keluarga belah saya pula," ujarnya ketika ditemui di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, seminggu sebelum Aidilfitri menjelma.

Penerbit filem ...Dalam Botol itu juga memberitahu, sebelum ini ketika masih bersama Jalani, mereka sekeluarga akan pulang ke kampung bekas suaminya itu di Banting, Selangor.

"Dulu kami bukan macam suami isteri lain yang selalu nak berebut balik kampung, saya tidak kisah tiap-tiap tahun balik Banting. Disebabkan itulah lama saya sudah tidak balik Taiping," ujarnya.

Mengenai pertama kali beraya tanpa suami, wanita itu mengaku dia berasa sedih kerana tidak dapat mencium tangan suami seperti kebiasaan pada pagi Aidilfitri.

Bagaimanapun, dia perlu reda kerana penceraian itu adalah kehendak mereka sendiri.

Baginya, penceraian itu adalah rancangan sendiri, dan Tuhan telah menerima rancangan tersebut disebabkan itu dia akan menghadapi segala dugaan dalam mengharungi hidup berseorangan dengan cekal.

Mahu bercinta lagi

Sungguhpun sudah tiada apa-apa hubungan lagi dengan Jalani, selain beliau bapa kepada anak-anaknya, Raja Azmi tidak menolak kemungkinan jika bertemu jodoh kembali dengan bekas suaminya itu.

Baginya, perkara itu tidak mustahil berlaku dan dia akan menerima jodoh itu jika Tuhan menemukan dan menunjukkan jalan untuk kembali kepada bekas suaminya itu.

"Kalau Tuhan mahu buka hati kami dengan terbitkan cinta baharu seperti mula-mula kenal dahulu siapa tahu. Saya terima semua itu, tetapi buat masa sekarang kami bawa haluan sendiri," katanya yang kini lebih selesa bersama anak-anak dan seorang cucunya itu.

Raja Azmi menambah, buat masa sekarang, tidak merancang untuk bercinta dengan sesiapa dan mahu perasaan cinta itu berlaku dengan semula jadi.

"Saya tidak akan berusaha untuk buat sesiapa pun suka atau cintakan saya. Biar ia berlaku sendiri, kalau kita rancang nanti kecewa pula, sesiapa pun mahu bercinta lagi," ujarnya.

DARI kiri: Puteri Suraya, Megat Deli dan Puteri Suaida menyokong kehidupan peribadi ibu dan bapa mereka walaupun sudah berpisah.


Raja Azmi juga mendedahkan dirinya kini rapat dengan beberapa kawan lamanya yang telah bergelar duda dan seorang berpangkat Tan Sri.

Katanya, setelah mereka mengetahui dirinya tidak lagi bergelar isteri kepada Jalani, beberapa kenalan itu menghubunginya kembali untuk bertemu dan berkawan.

"Dulu mereka mahu berkawan, tetapi mungkin segan sebab saya isteri tetapi orang, lepas bercerai, mungkin baru ada kesempatan untuk ajak saya keluar," ujarnya.

Mengenai gosip yang mengatakan dia menjalinkan hubungan dengan seseorang berpangkat Tan Sri, dia menjelaskan: "Memang ada, tetapi kami tidak bercinta. Hubungan kami hanya rapat.

"Lagipun saya masih dalam edah lagi, saya cakap selepas habis edah baru nak fikir hubungan untuk lebih serius atau hanya untuk kawan biasa."

Sibuk

Walaupun mengakui dirinya sunyi tanpa suami, Raja Azmi bijak membuat perancangan untuk membina kembali namanya dalam industri seni supaya dirinya kembali sibuk dan tidak terlalu memikirkan soal diri.

Terbaharu, dia sedang dalam perancangan dengan sebuah stesen televisyen untuk mengacarakan sebuah program bual biacaranya sendiri.

"Selain merupakan program bual bicara, saya akan menjemput orang kenamaan untuk memasak supaya orang ramai tahu, selain melihat mereka bersama rakyat, sebenarnya mereka pandai memasak," ujarnya.

Selain itu, dia turut merancang untuk menerbitkan telefilem dan drama di bawah syarikatnya sendiri, Akib Production.

Dalam masa yang sama, dia mahu menerbitkan filem mengisahkan adik-beradik Sidek yang telah berjaya mengharumkan negara melalui sukan badminton.

"Saya ingin ketengahkan bagaimana arwah bapa mertua saya mendidik anak-anak mereka menjadi seorang yang baik, bijak, bersopan dan berdisiplin sehingga boleh menjadi jaguh yang dikenali dunia," katanya.

Raja Azmi turut mempunyai impian untuk menerbitkan filem yang berkisar soal nabi-nabi bagi memberi pengajaran dan mendidik penonton tentang nilai yang baik.

Bagaimanapun, dia tidak bercadang untuk membikin filem dalam masa terdekat kerana terlalu banyak filem yang masih menunggu untuk ditayangkan.

Dia sesungguhnya mahu menunggu masa yang baik dan sesuai untuk produknya sendiri.

Tidak kisah ibu ada kekasih

Sementara itu, anak sulung Raja Azmi, Puteri Suraya memberitahu, walaupun ibu bapanya kini sudah tidak tinggal sebumbung, tetapi hubungan mereka dengan bapa masih seperti dahulu.

"Kami semua tinggal dengan mama, papa (Jalani) pula selalu datang rumah sebab dia rapat dengan anak saya.

"Sebenarnya kami tidak ada masalah dengan perpisahan itu sebab bezanya hanya mereka tidak tinggal sebumbung, yang lain masih sama," jelasnya.

Dia yang kini mengandung lima bulan juga berkata, mereka adik-beradik juga tidak kisah sama ada ibu kesayangannya itu bakal mempunyai kekasih baharu bagi menggantikan bapanya itu.

"Walaupun banyak gosip mengatakan mama ada kekasih baru dan sebagainya, jika itu membuatkan mama gembira kami juga gembira, tetapi jika ada gosip mama akan jelaskan kepada kami supaya kami faham," ujarnya yang gembira kerana papanya masih tinggal berdekatan dengan kediaman mereka.

Puteri Suraya juga menambah, adik-beradiknya yang lain sudah sepakat mahu melihat mamanya itu gembira walau dengan siapa dia berkawan.

"Sama ada mama atau papa, kami tidak kisah jika mereka sudah berjumpa jodoh baharu. Kami akan gembira jika mereka juga gembira," katanya.

Dia memberitahu, Jalani masih berbuka puasa dan datang bertanya khabar mereka sekeluarga dan yakin buat masa ini bapanya itu masih belum mempunyai kekasih hati.

Shahrizal Jaszle bertunang lepas raya

Posted:

Shahrizal Jaszle bertunang lepas raya

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN
amri.hassan@kosmo.com.my

SHAHRIZAL JAZLE bakal bergelar tunang orang selepas sambutan Aidilfitri kali ini.


SERING dihambat isu sensasi, pelakon Shahrizal Jaszle, 24, mendedahkan dia bakal mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya Redzwani Puteri, 24, selepas sambutan hari raya Aidilfitri.

Biarpun belum menetapkan tarikh sebenar majlis pertunangan yang bakal dihebahkan kepada media dan peminat, kata Shahrizal dia mahu melangsungkan majlis itu secepat mungkin.

"Saya sudah bersedia untuk mengikat tali pertunangan dengan Puteri memandangkan kedua-dua belah keluarga telah merestui hubungan kami.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang sebelum hujung tahun ini, sekarang saya tengah bekerja keras demi persiapan majlis itu.

"Pada mulanya kami merancang untuk berkahwin pada tahun ini tapi keluarganya mahu saya mengikut adat dan peringkat sebelum ke gerbang perkahwinan memandangkan dia merupakan anak bongsu dalam keluarganya," cerita Shahrizal yang ditemui ketika majlis berbuka puasa TV9 dan Hot FM di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis merisik telah selamat diadakan pada pertengahan Julai lalu yang hanya dihadiri keluarga terdekat. Tambah Shahrizal, dia juga kini bersedia untuk memikul beban hidup berumah tangga.

"Sudah sampai seru untuk saya berkahwin. Yang sebenarnya saya tidak pernah merancang pun, malah hubungan yang terjalin antara kami sebenarnya telah lama kerana dia kawan baik saya. Setahun mengenalinya dan kami tidak pernah bercinta.

MENGAMBIL pendekatan bijaksana, Shahrizal memastikan dirinya terhindar daripada terbabit dengan sebarang kontroversi.


"Dia tahu semua kisah mengenai saya sama ada yang baik mahupun buruk. Dia tahu saya bukan seorang kaki perempuan dan saya tidak sorok apa-apa daripadanya," ujarnya mengenai prinsip kejujuran.

Redzwani Puteri merupakan penuntut tahun akhir ijazah kedoktoran di Management and Science University (MSU) Shah Alam. Gadis itu pernah dikaitkan sebagai punca perpisahan Shahrizal dan pelakon sensasi Miera Liyana.

Ikut nasihat keluarga

Mengakui dirinya kini semakin kurang publisiti ekoran tiada kisah kontroversi berbanding sebelum ini, kata Shahrizal, dia kini cenderung mengikut nasihat keluarga.

"Saya sibuk menguruskan kerjaya dan penggambaran, tiada masa untuk layan kisah-kisah sensasi. Lagipun, keluarga mahukan saya lebih menjaga publisiti terutama kisah-kisah yang kurang bagus dan mencari kehidupan yang tenteram," tuturnya yang akan tampil menerusi telefilem Raya Tanpa Wayar pada hari raya pertama pukul 12.30 tengah hari di TV9.

Tambah Shahrizal, dia juga sibuk mencari ilham untuk terlibat dalam bidang belakang tabir terutama pengarahan filem dan drama selepas ini.

Selain mahu mengarahkan sebuah filem sendiri, Shahrizal bakal muncul dalam filem Rentaz arahan Mamat Khalid termasuk sebuah drama berbahasa Hindi berjudul Harapan.

Tidak terlalu berlebih-lebih sewaktu membuat persiapan raya memandangkan dia sedang menjaga neneknya yang telah uzur, kata Shahrizal, kesederhanaan menjadi keutamaannya dan keluarga.

Bagaimanapun, sambutan Aidilfitri tetap diadakan secara bersederhana di rumah keluarganya di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan