Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Sinar baru perfileman tanah air

Posted: 28 Aug 2012 09:09 AM PDT

TINGGAL beberapa hari saja sebelum menyambut Syawal baru-baru ini, empat pelakon yang bakal muncul dengan filem 29 Februari ini masih sempat meluangkan masa hadir ke Balai Berita untuk menghadiri sesi fotografi istimewa ini.

Walaupun masing-masing terikat dengan komitmen dan kerja, namun sebaik bertemu, semuanya lupa yang masa berjalan dengan pantas.

Namun sebalik gelak ketawa sepanjang fotografi, keempat-empatnya tidak henti berkongsi pengalaman dan cerita mengenai filem hebat lakonan mereka yang mula ditayangkan di seluruh negara, esok.

Bagi aktor kacak, Mohammad Zalimei Ishak atau Remy Ishak, hari raya tahun ini lebih seronok kerana tidak sabar menanti reaksi peminat terhadap lakonan pertamanya dengan teknologi 3D menerusi 29 Februari.


"Ini adalah yang pertama di Malaysia dan saya 'excited' untuk melihat sambutan dan penerimaan penonton nanti. Bagaimanapun, saya berharap peminat tidak lekas menilai dengan membandingkan karya ini dengan produk 3D yang lain terutamanya filem Hollywood kerana apa yang ditampilkan ini adalah usaha anak tempatan.


"Setidak-tidaknya 29 Februari menjadi penyuntik semangat kepada penggiat industri, sekali gus meletakkan taraf perfileman tempatan pada satu tahap yang lebih membanggakan," katanya.

Menghidupkan watak utamanya, Budi, Remy mengakui ia sesuatu yang baru buatnya selain mengakui filem ini akan memberi kelainan secara menyeluruh kepada peminat filem Melayu.

"Menariknya, ia menceritakan perjalanan Budi selama lebih 100 tahun usianya. Sejak zaman perang hinggalah kepada kehidupan penuh moden hari ini, perjalanannya penuh cabaran dan cerita.

"Apa yang menarik, plot ceritanya yang berbeza dan garapannya juga sangat menarik penuh emosi dan drama yang pastinya membuatkan penonton melekat menyaksikannya.

"Pengalaman berlakon untuk 3D memang menarik, namun tidaklah sesusah mana kerana produksi dan pengarah banyak memberi tunjuk ajar. Cabarannya hanya saya perlu memastikan emosi sentiasa sama walaupun bertukar mekap dan penampilan, dari zaman remaja hingga ke tua.

"Tapi apapun, ia sangat seronok dan sesuatu yang baru buat saya," katanya.
Menyentuh mengenai sambutan rayanya lalu, pelakon filem berusia 30 tahun yang sebelum ini banyak membintangi filem popular termasuk Anak Halal, Cun dan Nur Kasih The Movie hanya pulang beraya bersama keluarganya di Melaka.

Hanya meraikan kedatangan Syawal secara sederhana, Remy lebih membuat persediaan buat keluarga kerana cuti beraya digunakan sebaiknya untuk berehat di rumah.

"Apa yang penting keluarga saya dulu. Selain bertemu sanak saudara dan teman lama, cuti raya saya gunakan secukupnya untuk berehat kerana sebelum ini saya begitu sibuk di lokasi dan menyiapkan segala macam kerja," katanya yang akan kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod, Cinta Jangan Pergi tayangan TV9.

Seorang lagi jejaka yang begitu bijak menyusun kata dan tidak henti mengusik yang lain, Norizan Amin Nordin atau Riz Amin turut rancak berkongsi pengalamannya dalam 29 Februari.

Meskipun sudah lama berada dalam industri dengan membintangi banyak drama termasuk Astana Idaman 3, Spa Q, Cinderella dan Emelda, jejaka tinggi lampai berusia 27 tahun ini tidak sekali terkilan namanya masih baru di bibir peminat.

"Popular atau tidak bukanlah satu masalah kerana saya percaya rezeki itu akan datang juga jika ada kesungguhan dan usaha. Insya-Allah dengan kepercayaan pihak KRU Studios memberikan saya peranan dalam 29 Februari ini akan memberikan ruang terbaik memperkenalkan nama dan bakat. Tapi itu semua bonus kerana yang penting adalah lakonan," katanya.

Melakonkan watak Halim yang muncul ketika zaman pemerintahan British dalam 29 Februari, anak bongsu daripada dua beradik kelahiran Pulau Pinang ini mengharapkan filem arahan Edry Abd Halim itu memberi kelainan buat semua.

"Saya yakin filem 3D pertama di Malaysia ini akan membuka mata peminat filem tempatan yang orang kita juga mampu membikin sebuah filem bertaraf antarabangsa. Mengenali produk KRU dan prihatin akan kejayaannya membuatkan saya lebih seronok sebaik menerima tawaran ini. Pastinya orang akan lebih kenal saya lagi selepas ini," katanya berseloroh.

Jejaka berkulit hitam manis yang pernah muncul dalam filem Sepi ini pulang beraya di kampungnya di Changlun, Kedah selama seminggu sebelum kembali sibuk untuk mempromosikan filem ini.

Munif Isa pula beraya di Perlis bersama keluarganya. Anak keempat daripada tujuh beradik ini bagaimanapun hanya sempat seminggu saja pulang beraya meskipun pada awalnya berhasrat untuk tinggal lebih lama kerana komitmen dengan 29 Februari.

Menghidupkan watak Arif dalam filem hasil tulisan Edry dan Amir Hafizi ini, Munif yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Mandarin sekali lagi diberi watak yang penuh misteri dan matang.

"Arif adalah anak saudara kepada kekasih Budi dalam satu zaman yang digambarkan dalam filem ini. Saya nampak watak Arif ini begitu matang dan bersahaja, namun tampak pelik kerana amanahnya menyimpan pelbagai rahsia. Saya bercakap bahasa Cina dalam filem ini dan penonton pasti akan nampak kelainan dalam lakonan saya," katanya yang yakin 29 Februari bakal mencetuskan fenomena.

Satu-satunya bunga di antara kumbang petang itu adalah bintang baru yang pertama kali beraksi di depan kamera sebagai seorang pelakon, Adleena Nordin yang diberi kepercayaan selepas berjaya melepasi sesi uji bakat.

Anak sulung daripada dua beradik yang masih lagi menuntut dalam jurusan Undang-Undang di Universiti Malaya ini tidak sabar untuk melihat reaksi penonton terhadap lakonan sulungnya dalam sebuah naskhah besar seperti ini.

"Saya bertuah kerana Edry memilih saya untuk melakonkan watak adik kepada Budi lakonan Remy. Saya muncul dalam zaman Budi masih remaja dan ia menggambarkan bagaimana kami berdua membesar di rumah anak yatim. Saya sedia menerima kritikan atau sebarang komen daripada penonton kerana ia akan membantu saya untuk memperbaiki lakonan pada masa depan.

"Saya masih lagi belajar dan bidang seni lakon ini kebetulan saja apabila saya berjaya ketika sesi uji bakat. Siapa sangka, ada pihak yang yakin dengan kemampuan saya sedangkan tidak pernah saya terfikir untuk menjadi seorang pelakon. Insya-Allah jika terus diberi kepercayaan, saya akan cuba untuk terus berlakon namun keutamaan masih pada bidang perundangan yang memang menjadi cita-cita sejak dulu," katanya.

Sinopsis

29 Februari mengisahkan kehidupan Budi yang dilahirkan pada tahun lompat. Dilahirkan pada 1896, Budi hanya dimakan usia empat tahun sekali. Keadaan fizikalnya yang kelihatan terbantut menyebabkan masyarakat menganggap 'kecacatan' itu sebagai suatu sumpahan sedangkan ia suatu anugerah bagi Budi untuk melalui zaman transformasi Tanah Melayu, Malaya dan akhirnya Malaysia yang bebas merdeka.

Masa seolah-olah tidak berganjak buat Budi dan menyebabkan Budi sentiasa menyaksikan kehilangan orang tersayang. Budi kemudian berdepan konflik diri, emosi dan perasaan cintanya terhadap seorang wanita.

Jangan lupa menyaksikan filem pertama Malaysia dengan teknologi 3D yang turut membariskan pelakon popular lain termasuk Jojo Goh, Izzue Islam, Fizz Fairuz, Chew Kin Wah dan Namron ini bermula esok di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


60 juta peminat terpukau

Posted: 28 Aug 2012 08:20 AM PDT

NAMANYA tiba-tiba menjadi sebutan satu dunia. Hanya kerana sebuah klip video yang dia muat turun di laman YouTube, siapa sangka video itu mengubah hidup Psy kepada seorang superstar.

Jika di Korea Selatan, kehadirannya di persada seni bagaikan tidak 'bernyawa' lantaran fizikalnya yang tidak kacak, berbadan gempal dan hanya jadi bahan gurauan, berlainan pula pandangannya di sebelah Barat.

Bagaikan 'virus' muzik 2012, lagu Gangnam Style kini menular di mana-mana sehinggakan dalam masa beberapa hari saja, jumlah tontonan video lagu berkenaan di YouTube mendadak sehingga lebih 60 juta.

Kini seluruh dunia menyanjung keberaniannya tampil dengan satu lagu yang benar-benar menepati citarasa kanak-kanak sehingga warga tua. Buktinya, pelbagai versi lagu berkenaan dimuat turun dan boleh ditonton di YouTube gara-gara popularitinya.


Mendengar liriknya, tidak semua akan bersetuju dengan kehebatan lagu berkenaan kerana hampir semuanya menggunakan bahasa Korea. Tetapi, apabila menghayati melodinya, siapa saja pasti bersetuju lagu berkenaan ada 'kuasa' tersendiri dan membuatkan sesiapa boleh bergoyang.


Cuba senaraikan artis K-Pop yang pernah menerima pujian serta reaksi hebat daripada bintang ternama termasuklah Katy Perry, T-Pain, Robbie Williams, Josh Groban dan Nelly Furtado? Bukan mudah untuk mereka ekspresikan kekaguman mereka, tetapi itulah yang diterima Psy, mereka menyukai lagu berkenaan.

Disingkatkan daripada perkataan Psycho, Psy atau nama penuhnya, Jae-Sang Park, 34, ternyata masih tidak percaya yang itu semua berlaku kepadanya sekarang.

"Selama 12 tahun saya berkecimpung dalam arena muzik Korea dan membuat pelbagai tarian 'bodoh', namun peminat tidak sekalipun berpaling kepada saya kerana secara visual, saya memang kalah dengan selebriti kacak lain yang ada.

"Saya cuma dikenali di sana kerana saya tidak terlalu mencuba, tidak dipromosikan malah tidak pernah terfikir pun hendak tembus ke luar negara. Semua yang berlaku sekarang pun hanya gara-gara YouTube mahupun twitter dan inilah dia pembuka periuk nasi sebenar saya.

"Tatkala perasan beberapa 'superstar tweet' mengenai saya, saya hanya anggap itu jenaka dan tidak pernah berlaku pun. Memang tidak pernah terbayang pun bukan kerana mereka nama besar di dunia, tetapi inilah impian semua orang untuk memijak pasaran terbesar muzik di dunia dengan menempa nama di Amerika Syarikat (AS).

"Sebaik menyedari ini memang realiti yang sedang berlaku, inilah perasaan paling indah dalam hidup ini," katanya.

Mereka sepenuhnya koreografi dalam klip berkenaan, tidak hairanlah jika ia mampu memukau perhatian penonton kerana elemennya cukup lengkap dengan lawak, tarian pelik, warna-warni selain nyanyian serta 'rapping' yang ditonjolkan. Paling mencuit hati apabila gerak tari seolah-olah menunggang kuda menjadi koreografi utama dalam klip berkenaan.

Sehingga ke saat ini, lagu yang dimuatkan dalam album keenamnya berjudul PSY 6 itu sudah menduduki tangga pertama carta muzik video iTunes. Sudah mengadakan pertemuan dengan pengurus Justin Bieber, Scooter Braun minggu lalu, Psy bagaimanapun mengunci mulutnya daripada mendedahkan isi kandungan pertemuan itu.

Meraih kejayaan tepat pada masanya di kala muzik K-Pop semakin mendapat tempat
di AS, jejaka itu yang ternyata tidak bernasib baik kerana gagal meraih ramai peminat di Korea mengakui tidak kisah dengan perkara itu.

"Sudah menjadi ketetapan untuk mereka yang berbadan kurus, berotot, kacak, comel, tinggi dan semua ciri lain yang tidak ada pada saya diagungkan di Korea. Saya pula jenis yang suka menganggap membuat perkara tidak betul adalah semuanya betul saja untuk saya.

"Itulah dia yang saya lalui dan perjuangkan selama ini dan dari segi visual, muzikal serta apa-apalah, memang tidak bersesuaian di sana. Pendek kata, saya tidak mencapai tahap yang mereka mahukan.

"Memanglah perkara itu menunjukkan keunikan diri saya tetapi pada masa sama, ia boleh jadi negatif juga. Sejak kecil lagi, saya suka berada di depan orang ramai walaupun saya bukan bagus pun menyanyi. Jadi, apabila saya mula kenal penyanyi rap, saya terfikir, nyanyian sebegitu pun boleh jadi muzik?" katanya.

Dilahirkan di Korea, Psy mendapat pendidikannya di Boston University and Berklee College of Music. Dia mula melancarkan album pertamanya iaitu PSY from the PSYcho World! pada 2001 dan muziknya banyak dipengaruhi artis seperti Eminem, 2 Pac, Jay-Z dan Dr. Dre.

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan