Adsense

Isnin, 18 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Impak Ketika Cinta Bertasbih

Posted:

Impak Ketika Cinta Bertasbih

Impak Ketika Cinta Bertasbih

OKI SETIANA DEWI manis mengenakan tudung labuh dan sepasang busana berwarna merah jingga ketika melangkah ke ruang legar restoran Spice Garden, Chulan Square, Kuala Lumpur pada tengah hari Isnin lalu.

Lebih mesra disapa Oki, pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih itu memberitahu, dia menjahit sendiri busana yang digayakannya tersebut.

"Baju ini saya jahit sendiri, asalkan selesa dipakai dan orang sekeliling pun senang memandang, saya rasa tidak menjadi hal," ungkap Oki dalam senyuman.

Biarpun sebelum ini Oki mengakui dia bukan seorang Muslimah sejati malah mula menutup kepalanya hanya selepas usianya mencecah 16 tahun, namun dia mempelajari lebih banyak ilmu agama sejak membintangi filem Ketika Cinta Bertasbih.

Filem itu berjaya menobatkan namanya sebagai Pendatang Baru Wanita Terbaik dan Pendatang Baru Wanita Popular menerusi Indonesia Movie Award 2010.

"Saya banyak belajar menerusi skrip dan lakonan dalam filem itu. Malah, saya merasakan filem itu umpama kursus perkahwinan pendek yang telah mendidik saya tentang ilmu rumah tangga," katanya mengenai filem yang dibintanginya ketika berusia 19 tahun itu.

Filem yang berjaya mencatat sambutan penonton lebih tiga juta orang pada tahun 2009 itu dibikin sekuel berjudul Ketika Cinta Bertasbih 2.

Filem sekuel itu bagaimanapun hanya meraih separuh bilangan penonton filem pertamanya.

Pada tahun 2010, karya adaptasi novel terlaris tulisan Habiburrahman itu kemudian dijadikan sinetron tiga siri masing-masing dengan judul Ketika Cinta Bertasbih Special Ramadhan, Meraih Ridho Ilahi dan Dari Sujud ke Sujud.

"Ketika meneliti watak Anna, saya bermohon kepada Allah supaya jadikan saya Anna di dunia nyata.

"Namun akhirnya saya berasa lucu apabila kehidupan watak lakonan dalam sinetron tidak jauh beza dengan dunia realiti. Contohnya, watak Anna yang suka memberikan ceramah agama sama seperti diri sebenar saya yang juga gemar berkongsi ilmu.

"Banyak juga adegan ceramah agama dan membaca al-Quran dalam filem itu yang berjaya diaplikasikan dalam kehidupan sebenar saya," ujarnya.

Tambahnya, impak filem dan sinetron lakonannya itu juga telah membawa khalayak mengenali dirinya sebagai Anna.

Jika dahulu ada peminat yang memanggil nama Anna, Oki cuba melarikan diri daripada mereka sebab berasa terlalu janggal, namun sekarang ini kalau orang memanggil dia dengan nama itu, dia tidak akan teragak-agak untuk menoleh kepada individu yang menyebut nama tersebut.

Begitu juga jika ada yang memanggilnya dengan nama sebenar dirinya iaitu Oki.

Buku

Oki sebelum ini pernah menolak tawaran berlakon untuk karakter seorang penceramah kerana kekangan waktu yang bertembung dengan pengajiannya di Mekah selama sebulan pada Februari lalu.

"Ketika itu saya terpaksa menolak tawaran berlakon kerana saya perlu ke Mekah untuk menuntut ilmu bahasa Arab dan pengajian al-Quran di Universiti Umm al-Qura.

"Namun, semua pengalaman saya semasa berada di Mekah saya bukukan dalam novel ketiga saya iaitu Cahaya di atas Cahaya yang akan dikeluarkan menjelang hujung tahun ini," jelasnya.

Sebelum ini Oki sudah menulis dua buah novel yang menceritakan perjalanan hidupnya sebelum menjadi pelakon hingga sekarang.

Novel pertamanya berjudul Melukis Pelangi: Catatan Hati Oki Setiana Dewi yang menceritakan perjalanan menemui hidayah. Novel itu diulang cetak sebanyak lapan kali sejak setahun lalu.

Rentetan kejayaan novel sulungnya itu, muncul novel keduanya yang berjudul, Sejuta Pelangi: Pernik Cinta Oki Setiana Dewi. Ia mengisahkan tentang individu memberikan inspirasi dalam hidupnya.


OKI bersama dua buah novel hasil tulisannya.


"Novel itu menceritakan perjalanan saya bertemu dengan insan-insan yang banyak memberikan inspirasi kepada saya seperti kanak-kanak penghidap kanser dan mengajar banduan mengaji di penjara," ulas Oki mengenai novel itu yang sudah tiga bulan berada di pasaran.

Kelantan

Melancarkan novel keduanya pada bulan Mac lalu di Kelantan menimbulkan banyak tanda tanya sesetengah pihak. Apa istimewanya negeri itu kepada Oki sedangkan acara itu boleh dilakukannya di Kuala Lumpur?

Jawab Oki: "Saya dijemput oleh kerajaan negeri Kelantan untuk melancarkan novel itu, bagi saya tidak salah untuk tujuan kebaikan. Tiada niat politik atau prasangka lain patut timbul."

Novel tersebut akan turut dilancarkan pada 24 Jun ini di Pameran Buku Antarabangsa di Jakarta, Indonesia.

Dalam pada itu, Oki mendedahkan dia berhajat untuk menamatkan zaman mudanya secepat mungkin.

"Saya ingin berkahwin muda, kalau bukan tahun ini, tahun depan barangkali. Buat masa sekarang belum ada calon secara rasmi," getusnya yang mendedahkan dia tidak pernah dilamar sehingga kini.

Dedahnya lagi, dia hanya akan menuruti nasihat kedua-dua orang tuanya berkenaan bab jodoh dan perkahwinan.

"Namun, saya mahukan pasangan berlandaskan syarak yang perlu dilihat berdasarkan keturunan, fizikal, harta dan agama.

"Dalam masa yang sama saya mahu seorang lelaki yang cerdas akal kerana dia akan menjadi guru kepada saya untuk membimbing saya dan anak-anak kelak," katanya tentang ciri lelaki yang bakal menjadi suaminya pada satu hari nanti.

Izara minta maaf

Posted:

Izara minta maaf

Izara minta maaf

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


IZARA AISHAH mempunyai alasan tersendiri kenapa dia datang lewat ke lokasi penggambaran dan sesi fotografi.


TIDAK cukup dengan kontroversi tiga pendatang baharu dunia seni tanah air yang kini sedang heboh dengan isu 'bercakaran' mereka iaitu Neelofa, Anzalna dan Tasha Shilla, kini seorang lagi pendatang baharu yang sedang meningkat naik, Izara Aishah pula dikatakan sudah mula 'membuat perangai'.

Kelmarin, semua akhbar tempatan kecoh bercerita tentang heroin Vanilla Coklat itu yang dikatakan sering sahaja tiba lewat di lokasi pengambaran dan sesi fotografi.

Apa yang menjadi isu, khabarnya pihak kru produksi penggambaran dan sesi fotografi terpaksa menunggu Izara antara dua hingga tiga jam.

Kata sumber, alasan yang sering diberikan Izara adalah dia terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan masih dalam perjalanan. Sumber juga memberitahu apabila dihubungi, adakalanya Izara tidak menjawab panggilan telefon tersebut.

Enggan membuat sebarang andaian mahupun menyalahkan pelakon cantik itu, Kosmo! semalam dengan pantas menghubungi Izara sendiri untuk mengetahui perkara sebenar.

KOSMO!: Boleh komen tentang cerita negatif mengenai anda yang dikatakan sering datang lambat ke lokasi penggambaran atau sesi fotografi sehingga berjam-jam lamanya?

IZARA AISHAH: Orang yang sebarkan cerita negatif itu tidak tahu situasi sebenar yang Izara hadapi. Izara tiba lewat ke lokasi (penggambaran dan fotografi) sebab perlu menyudahkan kerja lain.

Masalahnya cerita mengenai kelewatan ke lokasi penggambaran dan fotografi anda itu bukan sekali dua sahaja tetapi sudah berkali-kali?

Tak baik salah anggap terhadap Izara. Izara minta maaf kepada semua pihak yang terasa hati.

Setiap kali anda lewat ke lokasi adakah anda menghubungi mereka terlebih dahulu?

Jika Izara rasa tidak dapat sampai pada masa yang telah ditetapkan Izara akan hubungi mereka terlebih dahulu. Izara tidak pernah mendiamkan diri atau tidak jawab panggilan telefon seperti yang didakwa.

Apakah jawapan mereka setiap kali anda hubungi beritahu lewat ke lokasi?

Mereka tidak pernah memaksa Izara untuk cepat tetapi mereka cakap tak apa dan ambil masa untuk tiba.

Adakah anda sedih nama anda turut terpalit kontroversi sepertimana yang kini dialami artis-artis baharu yang popular seperti Neelofa, Anzalna dan Tasha Shilla?

Izara tak sukalah bila cerita macam ini timbul. Kenapalah nama Izara pula yang naik (kontroversi). Mungkin ada pihak yang tidak ada cerita mahu buat dan mencari kesalahan Izara pula.

Adakah cerita sebegini akan mencalarkan reputasi anda?

Cerita sebegini tidak mencalarkan reputasi Izara kerana Izara boleh perbaikinya. Izara akan pastikan tidak lagi datang lewat ke lokasi dan lebih pandai menggunakan masa. Mungkin Izara akan bertolak lebih awal atau tidak mengambil kerja yang memerlukan Izara berada di kedua-dua tempat dalam masa yang singkat.

Apakah perkembangan terbaru anda?

Izara masih lagi menjalani penggambaran drama Naziha untuk slot Zehra di TV3 setiap hari Jumaat pada pukul 9 malam. Bermula bulan Julai depan pula, Izara bakal menjalani penggambaran filem Vanilla Coklat The Movie

Rooftop Gig atas bumbung

Posted:

Rooftop Gig atas bumbung

Rooftop Gig atas bumbung

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


PROJEK PISTOL teruja kerana dapat terbabit dalam program Rooftop yang menampilkan konsep persembahan terbuka di atas bumbung bangunan Lot 10, Kuala Lumpur.


KUMPULAN Beatles suatu ketika dulu pernah menghiburkan peminatnya dengan cara yang cukup unik iaitu konsert dari atas bumbung bangunan Apple Studios, Savile Row, London pada 30 Januari 1969.

Hasrat yang sama selain menjanjikan satu kelainan berbanding gig biasa, ntv7 bakal menyiarkan sebuah rancangan nyanyian dari atas bumbung yang diberi nama Rooftop.

Berlatar belakang panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur menerusi kaca mata penonton dari bumbung pusat beli-belah Lot 10 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Rooftop akan memulakan siaran bermula 6 September nanti pukul 8.30 malam di saluran ntv7.

Menurut Pengurus Kumpulan Pengurusan Jenama, Komunikasi Jenama, Projek Khas dan Acara ntv7, Emilya Abdul Rahim, penonton akan dapat merasakan sentuhan peribadi artis memandangkan suntingan minimal akan dilakukan.

"Kebebasan dan keselesaan artis akan memberikan ruang untuk penonton mengenali dan memahami artis kegemaran mereka. Rugi jika kita tidak bersama-sama meraikan kemeriahan industri muzik kita," katanya pada sidang akhbar pelancaran rancangan tersebut di Teeq Brasserie di pusat beli-belah Lot 10 baru-baru ini.

Dokumentari

Rooftop akan bersiaran selama setengah jam untuk setiap 13 episod. Selain menyajikan persembahan tiga buah lagu setiap episod, penonton akan dibawa mengenali artis kesayangan menerusi dokumentari ringkas.

Menurut penerbitnya, Khairul Annuar Azmi, tema muzik yang dipersembahkan oleh artis yang terlibat adalah santai dan mengikut genre masing-masing.

"Rooftop menggabungkan artis daripada pelbagai latar belakang muzik seperti indie, rock, pop dan balada dan uniknya rancangan ini kami mengekalkan bunyi persekitaran ketika proses rakaman," katanya yang berdepan dengan cabaran hujan sepanjang proses rakaman selama tujuh hari itu.

Tambah Pengurus Besar Produksi Hiburan Primeworks Studios, Kamarul Zamli Ramly, rancangan itu akan diteruskan untuk musim kedua sekiranya mendapat sambutan hangat penonton.

"Produksi akan mengetengahkan lokasi bumbung bangunan lain untuk musim seterusnya dan sasaran kami adalah bangunan di Pulau Pinang untuk memberikan persekitaran berbeza," tambahnya.

Pengalaman unik

Antara barisan artis yang membuat persembahan ialah Estranged, Projek Pistol, Aizat, Bunkface, Drama Band, Liyana Fizi, Diandra Arjunaidi, Najwa Latif, Akim, Nawhki & Clan, Awi Rafael dan Azlan & Typewriter.

Projek Pistol, contohnya, akan menghiburkan penonton dengan tiga buah lagu iaitu Lihatku Pelangi, Bintang Kecil dan Wanita Seluruh Dunia. Kumpulan itu mengakui teruja apabila diundang menjayakan rancangan tersebut.

"Teruja sebenarnya kerana ini adalah pertama kali kami membuat persembahan di atas bumbung bangunan dan pastinya satu kelainan yang belum pernah disaksikan sebelum ini," ujar Edry selaku wakil kumpulan itu.

Pelantun lagu Angkasa, Diandra Arjunaidi antara lain melihat rancangan Rooftop sebagai platform terbaik untuk mendedahkan dirinya dalam industri.

"Sebagai pendatang baharu dalam seni muzik, Rooftop memberikan peluang untuk saya mengetengahkan diri. Sememangnya saya teruja untuk membuat persembahan di lokasi unik ini," katanya yang kini dalam perancangan merakam lagu baharu untuk Aidilfitri.