Adsense

Khamis, 28 Jun 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Jujur, ikhlas dan penyabar

Posted: 27 Jun 2012 06:30 AM PDT

ROMANTIS dan sering kali memberi kejutan kepada kekasih hatinya. Itulah peribadi bintang terkenal antarabangsa, Justin Bieber jika dilihat dari perspektif yang lain. Meskipun dihimpit pelbagai kontroversi, anak muda berusia 18 tahun ini masih remaja biasa yang punya rasa cinta dan inginkan kebahagiaan.

Jelas anak kelahiran Ontario, Kanada ini di depan media antarabangsa sempena album terbarunya Believe yang mengangkat lagu pertama, Boyfriend, album ini bagai biografi dirinya yang jelas menterjemah perjalanan hidup dan pandangan peribadinya.

"Believe menceritakan segala-gala yang berlaku dalam diri saya. Ia seakan buku cerita yang menggambarkan perasaan, peristiwa dan pelbagai situasi yang pernah saya alami sepanjang menjadi anak seni," katanya.

Terlanjur Boyfriend kini hangat diputarkan di stesen radio seluruh dunia, penyanyi berwajah comel ini tidak terlepas daripada menjawab pelbagai persoalan mengenai dirinya yang juga kekasih kepada bintang muda, Selena Gomez.


Lekas mengukir senyuman, Bieber yang menyifatkan lagu Boyfriend sedikit sebanyak menceritakan kisah dirinya mengakui seorang yang jujur dan ikhlas dalam hubungan.


"Saya serius dalam bercinta kerana jujurnya wanita adalah insan yang amat saya hargai selain ibu saya sendiri yang membesarkan saya. Jika ditanya apakah saya kekasih yang baik, pastinya saya akui ya kerana saya mengutamakan pasangan dalam apa saja perkara selain mendengar dan berkongsi cerita.

"Selain jujur dan ikhlas, saya seorang yang penyabar sebenarnya. Jika tidak sabar atau bertolak ansur, sesebuah hubungan itu boleh mengundang rasa pening dan sakit kepala," katanya berseloroh.

Ditanya pula bagaimana cara anak muda ini menghargai kekasihnya. Adakah dengan memberi hadiah atau jambangan bunga bagi menzahirkan rasa cinta? Lekas penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Baby ini mencelah dengan jawapannya.

"Saya jarang sekali memberikan kekasih hadiah atau barangan kerana pada saya semua itu belum cukup mencerminkan rasa cinta seseorang. Hadiah yang diberikan itu semuanya dari kedai dan ertinya bukanlah sebesar mana berbanding jika saya aturkan aktiviti yang lebih merapatkan hubungan. Misalnya pergi bercuti atau duduk berehat di taman bersama.

"Malah saya berpendapat, di akhir kisah sesebuah hubungan, seseorang wanita itu lebih menghargai kasih sayang berbanding hadiah pemberian. Mereka lebih inginkan cinta dari kekasih dan bukannya jambangan bunga.

"Saya sendiri suka mengaturkan aktiviti atau kejutan untuk kekasih kerana saya melihat ia lebih manis dan berbaloi. Kami dapat berbual dan lebih mengenali antara satu sama lain," katanya lagi.

Meskipun banyak spekulasi dan khabar angin yang menyelubungi episod cintanya, Bieber yang sudah hampir mencecah dua tahun menjalin kasih dengan aktres jelita itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut atau memberi sebarang kenyataan dengan alasan peribadinya tidak mungkin dijadikan bahan kongsi kepada umum.

Penghibur muda ini tidak perlu diperkenalkan. Fenomena yang dicetuskan melangkaui imaginasi kebiasaan apabila videonya di laman Youtube ditonton lebih 30 juta pelayar seluruh dunia, facebook miliknya pula disertai lebih 20 juta peminat dan ruang sosial twitternya pula diikut lebih 23 juta peminat.

Belum lagi albumnya sebelum ini, My World 2.0 dan Under The Mistletoe yang berjaya memancing jutaan pembelian seluruh dunia dan rangkaian konsert yang sentiasa dipenuhi peminat setiap lapisan umur. Hakikatnya, Bieber seorang anak muda terkenal yang punya pesona luar biasa.

Apa saja yang dilakukannya pasti mendapat perhatian hingga mengundang sejarahnya sendiri. Jelas Bieber, tiada siapa menduga sejauh ini dirinya akan pergi.

"Ada kalanya saya tersenyum sendiri bersama ibu kerana tidak menyangka ini pula pengakhiran usaha yang kami letakkan pada awal perjalanan dulu. Namun apa yang boleh saya katakan, sokongan tidak berbelah bagi dari peminat seluruh dunia ini membuatkan saya lebih bekerja keras untuk memberikan yang terbaik buat mereka," katanya.

Believe menyuntik kematangan dan inspirasi

MEMPERTARUHKAN 13 lagu baru dengan sentuhan komposer dan penggiat muzik terkenal dunia, album Believe mampu diangkat sebagai yang terbaik buat Justin Bieber sepanjang pembabitannya dalam dunia seni.

Bukan sekadar lebih segar, Believe memperlihatkan kematangan dan sesuatu yang luar biasa daripada Bieber. Jelasnya, judul album ini sendiri sudah memberikannya inspirasi dan peminat yang tidak pernah henti memberikan sokongan.

"Semua orang mempunyai impian dan rasa yakin dalam diri. Itulah yang ingin saya sampaikan menerusi album ini yang mana kita tidak seharusnya gementar dengan apa yang ingin dicapai. Lihat saja perjalanan awal saya sebelum ini. Ia tidak semudah yang dilihat atau didengar sebaliknya saya bersama ibu ketika itu berdepan pelbagai kesukaran hinggalah bertemu Usher.

"Petua dan rahsianya hanya satu iaitu saya percaya dengan diri dan kemampuan diri selain percaya akan kewujudan Tuhan yang selalu mengiringi kejayaan saya. Saya yakin akan berjaya mencapai apa yang saya impikan dan lihat hari ini, semuanya di depan mata selepas bekerja keras dan tidak sekali rasa mengalah dengan dugaan kerana akhirnya nanti kita semua akan diberikan ganjaran atas keikhlasan bekerja.

"Lantas apa yang ingin saya sampaikan adalah rasa percaya dan yakin dalam diri. Saya ingin peminat percaya dan sentiasa percaya dengan apa yang diinginkan," katanya.

Tambah penyanyi muda yang popular yang pernah menggegarkan Stadium Merdeka tahun lalu di depan lebih 8,000 peminat dan sekali lagi hadir ke ibu negara pada MTV World Stage Julai ini turut bertuah kerana berpeluang bekerja dengan penerbit album terkenal, Rodney Jerkins.

"Bekerja dengan Jerkins adalah pengalaman paling manis. Jerkins pernah menerbitkan album Michael Jackson, Mariah Carey, Boyz II Men dan ramai lagi. Justeru apa yang dilakukan menerusi album ini adalah sesuatu yang cukup luar biasa kerana kesemua elemen muzik terbaik disuntik dalam Believe.

"Selain Jerkins, album ini turut mendapat sentuhan komposer dan bintang lain termasuk Drake, Kanye West, Nasri dan juga Taylor Swift. Jadi bayangkan kelainan dan keunikan album ini kerana diberi gabungan pelbagai komposer yang berlainan genre muzik namun menyumbang kreativiti dalam mematangkan keseluruhan produksi album ini.

"Believe adalah sebuah naskhah yang pastinya menjadi material terbaik untuk melihat sisi lain yang jelas lebih matang dan berani dari saya," katanya.

Selain single pertamanya, Boyfriend, Believe yang diedarkan pihak syarikat rakaman Universal Music Malaysia ini turut memuatkan 12 lagi lagu termasuk All Around The World bersama Ludacris, As Long As You Love Me bersama Big Sean, Catching Feelings, Take You, Right Here bersama Drake, Fall, Die In Your Arms, Thought Of You, Beauty And A Beat berduet bersama bintang terkenal, Nicki Minaj, One Love, Be Alright dan Believe.

Album yang sudah berada di pasaran Malaysia ini turut menyelitkan tiga lagi lagu bonus iaitu Out Of Town Girl, She Don't Like The Lights dan Maria.

Album Believe ini turut disertakan The Ultimate Girlfriend Passport yang mana peminat boleh mendapatkan pelbagai cenderahati Justin Bieber.


Seniman, Karyawan tak kecil hati

Posted: 27 Jun 2012 06:06 AM PDT

BIARPUN tidak berpeluang melihat sendiri keadaan Datuk Aziz Sattar, 87, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU), Hospital Ampang pada lawatan diadakan Selasa lalu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi dan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez tidak kecewa kerana sudah menunaikan tanggungjawab memberikan sumbangan buat seniman veteran itu.

Zed berkata, sudah menjadi tanggungjawab Seniman untuk menjaga kebajikan ahlinya apabila mereka ditimpa masalah. Mereka sering tampil memberi sumbangan setiap kali mendengar berita artis masuk hospital seperti dilakukan sebelum ini.

"Kami sudah tahu mengenai keadaan kesihatan Pak Aziz sejak Sabtu lagi, namun menunggu beberapa ketika untuk mencari dana. Selain itu, kami juga menunggu beberapa pihak lain yang sudi tampil beri sumbangan untuk terbabit sekali.

"Ketika majlis Hari Himpunan Bintang MyIPO Malaysia (Perbadanan Harta Intelek Malaysia) yang berlangsung di sebuah hotel pada Isnin lalu, saya ada bercakap dengan Datuk Freddie mengenai hasrat buat lawatan dan dia setuju ikut.


"Turut sama ialah Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Pemuda Umno Malaysia, Jawawi Jafar. Kami memang berniat nak tengok sendiri keadaan Pak Aziz dan sampaikan sumbangan, tapi dimaklumkan dia enggan berjumpa kerana keadaan kesihatannya tak mengizinkan.


"Memang tak sangka juga jadi begini, tapi kami menghormati keputusan Pak Aziz dan hanya serahkan sumbangan kepada anak bongsunya, Fandakiah.

"Selepas itu kami bergerak melawat pelawak terkenal, Osman Kering di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) yang mengalami muntah darah dan batuk kering. Di sana kami dibenarkan masuk oleh keluarganya tanpa masalah.

"Keadaannya boleh dikatakan kritikal dan kami beri sumbangan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh keluarganya. Walau apapun, kami sentiasa cari dana untuk membantu ahli-ahli yang ditimpa masalah," katanya.

Mengulas kata-kata kunjungan mereka kurang disenangi oleh seniman veteran itu disebabkan pelbagai konflik dalam Seniman yang berlaku sebelum ini, Zed berkata ia tiada kena mengena langsung dan hanya dicetuskan mereka yang cuba menjatuhkan imej persatuan.

"Pihak yang buat cerita ini hanya nak menjejaskan keharmonian dalam persatuan. Biasalah apabila jadi pemimpin, ada yang suka dan ada yang tak. Apa salahnya mereka hantar surat dan kita boleh sama-sama berbincang selesaikan masalah ini dengan elok.

"Saya juga tak berdendam dengan mana-mana artis yang tak puas hati dengan kedudukan saya dan tetap menjaga kebajikan mereka sekiranya mereka ditimpa masalah. Saya bersikap profesional dan tiada perasaan pilih kasih dalam perkara ini," katanya.

Senada dengan Zed, Freddie juga berkata, tidak terasa hati dengan apa yang berlaku. Dia mengakui tidak tahu mengenai keadaan kesihatan Aziz sehinggalah dia berjumpa dengan Zed pada majlis yang diadakan.

"Saya setuju apabila Zed ajak turut serta melawat. Namun, apabila sampai di hospital kami tak dibenarkan masuk dan hanya dapat beri sumbangan kepada anaknya.

"Saya tak anggap apa-apa apabila hasrat kami untuk lihat sendiri keadaan Pak Aziz ditolak beliau kerana tahu beliau perlukan rehat yang secukupnya. Ia juga tiada kena mengena dengan isu kami sebelum ini.

"Sebenarnya ramai yang tak tahu kami sudah berbaik ketika berjumpa pada hari Seniman, 29 Mei lalu. Kami bersalam-salaman dan saya ajak dia untuk kembali menyertai Karyawan.

"Pak Aziz kata sudah lupakan perkara yang berlaku dan akan terima jemputan saya. Katanya, ini adalah salah faham kecil antara kami yang terjadi disebabkan pihak lain. Kami duduk berbual mesra dan makan bersama-sama.

"Saya juga merancang nak umumkan akan terima semula Pak Aziz dalam mesyuarat agung Karyawan yang akan berlangsung di Hotel Adamson, Jumaat ini (esok). Saya mendoakan agar Pak Ajis segera sembuh dan sihat seperti biasa," katanya.