Adsense

Khamis, 28 Jun 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Lagu Lama Jinbara Bakal Dapat Sokongan Peminat

Posted: 28 Jun 2012 06:15 PM PDT

Kumpulan Jinbara
KUALA LUMPUR: Kumpulan Jinbara yang popular menerusi lagu Zakiah yakin dengan langkah merakamkan kembali lagu lama yang diperbaharui semula kerana trend itu dilihat mampu memenuhi selera peminat.
Vokalis kumpulan itu, Tiar menjelaskan, dengan cara sedemikian mereka dapat menunjukkan rasa penghargaan kepada komposer dan penyanyi asal selain mempopularkan kembali lagu lama dalam versi rock klasik.
"Seperti lagu Zakiah ia berjaya dijual secara digital sebanyak 1.5 juta dan itu adalah bukti kuat bahawa peminat dan pendengar boleh menerima lagu lama yang diberi nafas baru.
"Malah bukan Jinbara sahaja, artis lain yang buat perkara sama turut diterima baik. Jadi kami tidak lihat ia sebagai masalah," ujarnya pada majlis pelancaran album terbaru mereka berjudul Kolaborasi Mental di sini pada Khamis.
Tambah Tiar, setakat ini mereka belum lagi menerima kritikan negatif atau tuduhan seperti merosakkan lagu asal yang dirakamkan mereka.
Dalam pada itu, Tiar memberitahu, album terbaru yang memuatkan lima buah lagu itu turut memperlihatkan kolaborasi mereka bersama-sama artis baru seperti Awi Rafael, Fiq, Cdin Taxi dan penyanyi terkenal iaitu Ramli Sarip.
Tiar memberitahu, proses pemilihan lagu lama yang ingin dirakamkan semula tidak sukar dibuat kerana mereka telah berbincang bersama syarikat rakaman Warner Music.
"Percaya atau tidak kami menyiapkan album ini hanya dalam masa 10 hari sahaja dan cukup mudah bekerja dengan semua artis yang terlibat," ujarnya.
Sementara itu, Tiar memberitahu, Jinbara memilih lagu popular Allahyarham Sudirman iaitu Milik Siapakah Gadis Ini sebagai single pertama mereka.

 
Katanya, lagu yang diubah menjadi versi rock klasik itu dirakamkan bersama Fiq yang disifatkan mempunyai keupayaan vokal cukup mantap.
"Kami memilih lagu tersebut juga adalah sebagai salah satu cara untuk memperingati pemergian Allahyarham 20 tahun lalu dan diharap ia akan digemari pendengar," katanya.
Selain lagu tersebut Jinbara turut merakamkan kembali lagi Mata Hitamku duet bersama Ramli Sarip, Oh!Mama Saya Mahu Kahwin, Chinta dan Hilang.
Album berkenaan telah pun berada di pasaran sejak Khamis.
Dalam perkembangan lain, Jinbara akan mengadakan satu persembahan khas untuk peminat mereka pada 6 Julai depan bertempat di Sixty3 Club, Hotel Sheraton Imperial di sini.
Menerusi persembahan itu, peminat akan dihiburkan dengan lagu-lagu popular mereka selain beberapa artis jemputan lain.
Peminat boleh mendapatkan tiket persembahan itu dengan harga RM25 di pintu masuk Sixty3 Club pada hari persembahan.

- ---

Raja Azmi Mahu Jaga Solat

Posted: 28 Jun 2012 06:14 PM PDT

Raja Azmi
PETALING JAYA: Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman berkata status janda yang digalasnya sejak petang Rabu lalu membuatkan dia bertekad untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Raja Azmi,53, yang bercerai atas persefahaman dengan bekas jaguh badminton negara Jalani Sidek,49, berkata, dia mahu mempertingkatkan amalan solat yang tidak pernah lengkap dilakukannya sebelum ini.
"Selepas bangun untuk menunaikan solat Subuh pagi tadi (Khamis), hati saya nekad untuk memperbaiki kelalaian saya dalam aspek beribadah.
"Sebelum ini solat saya tidak pernah lengkap lima waktu, kini saya berazam untuk menjaga solat. Itu adalah matlamat saya sekarang dan semoga Allah menetapkan iman saya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Ditanya mengenai sebarang perubahan yang dialaminya selepas 24 jam bergelar janda, Raja Azmi berkata, dia berasa semakin lega dan tenang.
"Alhamdulillah saya berasa lega dan tenang apabila perceraian ini menjadi kenyataan. Malah, saya tidak berasa janggal pun kerana ia perkara yang sudah lama saya nantikan.
Jalani Sidek
"Saya reda menerima hukuman atas kecuaian saya dan hanya Jalani dan Allah sahaja yang layak menghukum kesilapan itu. Tiada orang lain yang patut dipersalahkan selain diri saya sendiri," kongsinya.
Beralih kepada pertanyaan mengenai tempat tinggalnya selepas perceraian itu, Raja Azmi berkata dia akan terus menetap di rumah keluarga mereka di Ukay Perdana bersama anak-anaknya.
"Selepas berbincang mengenai tempat tinggal kami pada semalam (Rabu), Jalani menyuruh saya terus tinggal di rumah kami bersama anak-anak. Dia yang akan keluar dan tinggal di tempat lain," ujarnya.
Raja Azmi dan Jalani bercerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin pada pukul 3.25 petang Rabu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini.
Pasangan itu mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini.
Hasil perkahwinan selama 28 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.
Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya dan pengarah filem, Mohd Shadan Hashim.

- ---

Awi Rafael Buang Tatu Cara Perubatan Islam

Posted: 28 Jun 2012 06:13 PM PDT

Awi Rafael
KUALA LUMPUR: Penyanyi Awi Rafael,26, sedang dalam proses menjalani rawatan membuang tatu yang dilukis pada tubuhnya melalui kaedah perubatan Islam.
Awi berkata, proses berkenaan telah dilakukan sejak setahun lalu sebelum gambarnya bertatu tersebar di Internet baru-baru ini.
"Sebelum gambar saya tersebar lagi memang saya sudah buat proses membuang tatu tersebut menerusi rawatan secara Islam.
"Bagaimanapun ia adalah proses yang memerlukan kos tinggi selain memakan masa," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbaru kumpulan Jinbara di sini, Khamis.
Baru-baru ini Awi membuat pengakuan melalui Facebook miliknya dengan mengesahkan gambar lelaki bertatu seperti yang tersebar di Internet dan diperkatakan umum itu adalah dirinya.
Dalam pengakuan berkenaan Awi yang popular dengan lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu benar-benar menyesal dengan perbuatan tersebut yang dilakukan pada zaman remajanya tanpa memikirkan kesan pada hari ini. Dalam pada itu, Awi berkata penyebaran gambar itu memberi hikmah besar kepadanya apabila banyak pihak tampil untuk membantunya membuang tatu berkenaan.

 
"Ramai ustaz yang menjalankan rawatan tradisional secara Islam menawarkan khidmat mereka selain melalui kaedah moden.
"Saya sangat terharu. Walaupun sedih pada mulanya kerana gambar itu tersebar tetapi ia mempunyai hikmah besar di sebalik kejadian tersebut," ujarnya.
Jelas Awi, para peminatnya juga turut memberikan sokongan dan sentiasa mendoakan perkara-perkara baik untuk dia.
"Alhamdulillahlah, sokongan mereka membuatkan saya ingin terus memperbaiki diri dan mempelajari bahawa jika kita buat sesuatu kesilapan kita harus mengakuinya dan belajar daripadanya," katanya.
Sementara itu, Awi berkata, walaupun namanya tercalar akibat insiden itu, tawaran mengadakan persembahan masih lagi diterimanya dan dia amat bersyukur kepada Allah yang melimpahkan rezeki.
"Siapa sangka apabila kita ditimpa musibah, rupa-rupanya ia turut disulami dengan perkara baik dan rezeki. Saya sangat bersyukur," ujarnya.

- ---