Adsense

Jumaat, 15 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Maher, Sami tiada sengketa

Posted: 14 Jun 2012 03:50 PM PDT

Hip

SEWAKTU sidang media penyanyi kelahiran Teheran, Sami Yusuf, sekitar April lalu, wartawan yang hadir dimaklumkan lebih awal supaya tidak bertanyakan soalan berkaitan Maher Zain kepadanya.

Malah Sami juga dikatakan tidak mahu dikaitkan langsung dengan penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Insha Allah ini.

Tindakan itu menyebabkan wakil media yang hadir tertanya-tanya, mengapa peringatan seperti itu dikeluarkan? Apakah penyanyi berusia 31 tahun itu mempunyai masalah peribadi dengan Maher, sehingga terkeluarnya arahan sedemikian? Mungkinkah perasaan cemburu menjadi punca utama sehinggakan Sami tidak mahu mendengar nama penyanyi dari Lubnan berkenaan.

Justeru, bagi meleraikan kekusutan serta tanda tanya, Hip bertanyakan soalan panas itu kepada Maher sewaktu sidang media mengenai konsert Forgive Me Live In Malaysia anjuran Marctensia Concerts Sdn Bhd dengan sokongan Tourism Malaysia di ibu kota, semalam.

Sebaik saja soalan itu diajukan kepada si empunya diri, wajah Maher kelihatan sedikit berubah dan terpinga-pinga kerana dia sendiri tidak tahu menahu mengenai dakwaan kononnya dia dan Sami tidak mempunyai hubungan baik.

Bagaimana boleh timbul isu ini, sedangkan saya sendiri tidak pernah bertemu dengannya? Apa yang boleh saya katakan, antara kami memang tiada masalah dan hubungan kami baik-baik saja, terang Maher menjelas kedudukan.
Dijolok pertanyaan, apakah semua ini berpunca kerana cemburu, Maher dengan pantas menafikan perkara itu.

Saya tidak rasa cemburu adalah puncanya. Kami saling menyokong kerjaya masing-masing.

Mungkin salah faham ini membabitkan Sami dengan bekas syarikat rakamannya, Awakening Records dan bukannya dengan saya. Kalau ada peluang untuk kami bekerjasama, mungkin akan saya pertimbangkan, ujarnya sambil mengukir senyuman.

Awakening ialah syarikat yang menerbitkan pelbagai produk untuk pasaran muzik moden Islam. Sebelum ini, Sami turut dipayungi Awakening dan kini, Maher ialah antara artis paling popular di bawah label berpangkalan di London itu.

Malam esok, bapa kepada seorang cahaya mata perempuan ini akan mengadakan sebuah lagi konsert, kali ini di Stadium Merdeka.

Maher begitu seronok datang ke sini dan menganggap Malaysia lokasi cukup menyenangkan buat dia dan isterinya.

Malah, dia juga bercita-cita untuk mengadakan konsert sekali setahun di negara ini, sebagai tanda dia begitu menyukai Malaysia.