Nuffnang

Harian Metro: Rap

sumber :-

Harian Metro: Rap


Muncul bak Pelangi Petang

Posted: 24 May 2012 03:12 PM PDT

LEGASI yang ditinggalkan seniman tersohor, Datuk Sudirman Haji Arshad cukup besar terhadap perkembangan industri muzik di Malaysia. Kehadirannya begitu nyata mewarnai bidang nyanyian di negara kita mahupun negara jiran seperti Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia, sejak menjuarai pertandingan Bintang RTM pada 1976.

Malah tidak keterlaluan dikatakan Sudirman antara anak seni tempatan berjiwa 1Malaysia yang begitu menyerlah ketika hayat masih dikandung badan.

Paling bermakna, beliau pernah meraih gelaran Penghibur Terbaik Asia pada Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 1989 menewaskan penghibur lain dari Hong Kong, Filipina, Indonesia dan China.

Hari ini, 25 Mei, adalah ulang tahun kelahiran Sudirman atau lebih mesra dengan panggilan Sudir. Beliau yang dilahirkan pada 25 Mei 1954 di Temerloh, Pahang adalah anak pasangan Romlah Dahalan dan Haji Arshad Hassan.


Namun ketika Sudir berusia lima tahun, ibunya meninggal dunia akibat kanser manakala ayahnya, bekas pengurus Temerloh Bus Company yang juga seorang ahli politik di Temerloh, meninggal dunia pada 1978.


Sudirman adalah anak bongsu daripada lima beradik. Bakat seninya bercambah sejak kecil lagi dan beliau kerap memasuki koir, bersyair, berpidato, berpantun dan teater di sekolahnya.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan).

Pada 1976, Sudirman melanjutkan pelajaran ke Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya (UM). Pada 1980 beliau akhirnya menerima Ijazah undang-undang dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga.

Pada 1983, Sudirman menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai peguam setahun kemudian. Namun dia mengambil keputusan meninggalkan bidang guaman kerana lebih tertarik dengan bidang seni.

Dengan bakat dan kesungguhan, Sudirman berjaya menjuarai Bintang RTM 1976 dengan membawakan lagu Seruling Bambu dan Big Spender.

Selepas itu bermulalah era Sudirman sebagai artis rakaman dengan merakamkan album demi album. Sudah terlalu banyak persembahan dijayakannya dan ia ditonton pelbagai kaum.

Namun antara persembahan yang terhebat adalah konsert terbuka di Jalan Chow Kit pada 1986 yang ditonton ratusan ribu warga kota.

Dari segi repertoire, lagu-lagu Sudirman memang menyentuh pelbagai tema seperti cinta, kasih sayang, alam sekitar, isu semasa, adat budaya dan patriotik.

Antara lahunya Hidup Sederhana (Basikal Tua), Balik Kampung, Anak Gembala, Penyu Menangis Siapa Tahu, Merisik Khabar, Pelangi Petang, Hujan, Bapa Tanggal 31, Chow Kit Road, Salam Terakhir, Punch Card dan One Thousand Million Smiles.

Bagi penulis lirik terkenal, Habsah Hassan yang juga rakan karib Sudir, sumbangan penyanyi yang bertubuh setinggi 1.47 meter itu begitu besar terhadap masyarakat.

Bertanggungjawab menghasilkan lagu terawal dendangan beliau iaitu Teriring Doa dan Suratku Yang Ini dalam album EP sulungnya pada 1977 bersama Din Osman, Habsah menyifatkan Sudirman sebagai penghibur contoh berilmu tinggi.

"Sepatutnya arwah Sudir memang boleh berjaya menjadi peguam dan memiliki wang banyak tetapi begitu komited menjadi penyanyi. Setiap tahun apabila Aidilfitri atau Hari kebangsaan menjelang tiba, orang ramai ingat Sudir dengan lagu-lagunya.

"Walaupun setiap tahun pelbagai acara diadakan untuk memperingati Sudir tapi apa yang menjadi persoalan, apakah sumbangan negara kepadanya?

"Sejauh mana kita menghargai sumbangan anak seni seperti Sudir yang cukup berbangga mengibarkan jalur gemilang sehingga mengharumkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

"Saban tahun ke tahun, saya menunggu apakah sumbangan negara terhadap Sudir. Di sebalik pingat kebesaran Datuk yang diberikan padanya, apakah kita benar-benar berbangga dengan sumbangannya?" katanya ketika dihubungi.

Penulis lirik Merisik Khabar ini juga berpandangan Sudirman berjiwa 1Malaysia.

"Secara peribadi, Sudir sudah bercakap mengenai perpaduan kaum dan beliau tidak mahu orang lain hanya ingat lagunya pada musim tertentu saja. Lagu Sudirman menyentuh semua lapisan masyarakat seperti Warisan ditujukan kepada anggota keselamatan dan jururawat menerusi Jamilah.

"Tidak ramai penyanyi lain sepertinya dan beliau mempunyai idea sendiri untuk menghasilkan lagu yang dimahukan. Namun sebagai kawan, apabila hubungan terlalu rapat, ada kalanya timbul perasaan kecil hati.

"Namun perasaan itu sudah lama hilang. Saya ralat sepatutnya tidak perlu berkecil hati dengan perubahan sikapnya sebelum meninggal dunia. Sebaliknya menerima keadaan beliau seadanya pada masa itu," kata Habsah yang masih menyimpan nota tulisan Sudirman mengenai hajat menghasilkan satu filem yang tidak kesampaian.

Sempena mengingati tanggal kelahiran penghibur kesayangan ramai ini, stesen satelit Astro mengambil inisiatif untuk memperingati sumbangan beliau dengan menganjurkan kempen akuSUDIRMAN selama sebulan bermula 11 Mei lalu.

Bekerjasama dengan Sinar FM sebagai stesen radio rasmi bersama Era FM dan Harian Metro selaku rakan media, acara ini mencipta sejarah tersendiri menerusi pelbagai acara dan program disajikan melalui TV, radio, tayangan filem dan konsert.

Habsah berkata, idea menghasilkan kempen secara besar-besaran seharusnya dipuji sebagai langkah menyedarkan orang ramai mengenai sumbangan seni Sudirman sambil memperkenalkan penyanyi ini kepada generasi baru.

"Ia idea yang sangat bagus tapi janganlah bersifat mengagungkan. Sebaliknya, sekadar memperingatinya sebagai anak seni yang berjaya dan menunjukkan komitmen tinggi serta banyak pengalaman peribadi," katanya.

Penerbit konsert, Jennifer Thompson yang pernah bekerja dengan Sudir dulu berkata, beliau sangat profesional memikirkan segala aspek sebelum membuat
"Sudirman sangat mengambil berat soal penampilan diri dan bagaimana mahu tarik perhatian penonton. Saya menilai cara dia bekerja begitu profesional dan bijak merancang sesuatu persembahan. Beliau adalah penghibur rakyat kerana tahu bagaimana mahu beraksi depan khalayak umum.

"Begitu juga, beliau sopan santun ketika berbicara bersama peminat dan bersikap rendah diri. Sebagai kru produksi ketika itu, saya juga sebak melihat dia meniru aksi Charlie Chaplin.

"Sudirman membuktikan bahawa dia mampu menghiburkan semua golongan masyarakat termasuk luar bandar. Karakter itu membuatkan beliau istimewa kerana mempunyai kelebihan selain menyanyi dan menari.

"Komitmen yang ditunjukkan sampai 300 peratus dan dia selalu ada faktor X. Kelebihan diri ini berlaku secara semula jadi dan pesona di pentas sering membuatkan penonton kagum," katanya.

Turut memuji penganjuran kempen Aku Sudirman, Jennifer percaya usaha ini menjadi terbaik dalam membuka mata generasi baru mengenali Sudirman secara lebih dekat.

"Golongan muda kurang mengenali Sudirman kerana dia hanya popular menerusi lagu berbanding Tan Sri P Ramlee yang dikenali kerana filemnya sering ditayangkan semula.

"Usaha seperti ini perlu dilakukan," katanya sambil mencadang Muzium Sudirman diwujudkan.

Bermula semalam juga, filem muzikal Hoore! Hoore! arahan Saw Teong Hin terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dan Real Films Sdn Bhd mula menemui penonton di pawagam.

Filem ini menggandingkan ramai pelakon popular seperti bekas bintang Akademi Fantasia 7, Akim, Kilafairy, Harun Salim Bachik, Adibah Noor, Fauziah Nawi dan Aznil Nawawi.

Menariknya, filem ini membawa kembali lagu popular beliau sentuhan semula Audi Mok. Antara lagunya adalah Bercanda Di Pasiran Pantai, Hidup Sederhana (Basikal Tua), Hoore! Hoore!, Salam Terakhir, Merisik Khabar, Milik Siapakah Gadis Ini dan lagu baru, Idola nyanyian Azlan and The Typewriter.

Pelbagai program mengisi saluran Astro Ria, Prima, Awani dan Hitz TV. Pada 3 Jun ini, Astro Ria menyiarkan filem Kami lakonan Sudirman jam 10 pagi diikuti Trek Selebriti Sudirman (2 petang), Cerita Artis Malaysia bersama Noorkumalasari (3.30 petang) dan Konsert Hore Hore Aznil (4.30 petang).

Astro Prima pula menayangkan Dokumentari Sudirman Arshad pada 27 Mei ini jam 4.30 petang dan Konsert Kenangan Sudirman (3 Jun jam 9 malam). Astro Awani tampil bersama program Kini Trending pada 19 Mei ini jam 8.15 malam dan Sudirman Menggapai Dunia (25 Mei, jam 9.30 malam) manakala Hitz TV bersama program Out and About pada 21 Jun jam 9.30 malam.

Pada hari ini juga, Sinar FM akan memainkan lagu-lagu Sudirman selama 24 jam
selama sehari dan memberi penghormatan sebagai 'Sudirman FM'. Buat semua peminat, satu konsert 'tribute' iaitu Konsert Kenangan Sudirman akan diadakan secara percuma di Stadium Bola Sepak Cheras pada 3 Jun ini.


500 artis hibur belia

Posted: 24 May 2012 07:07 AM PDT

SAMBUTAN Hari Belia Negara (HBN) 2012 yang bermula sejak Rabu lalu hingga 27 Mei (Ahad) ini di Putrajaya sememangnya meriah dengan pelbagai aktiviti.

Dikhabarkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan 500 acara dalam 33 segmen bagi menyambut kehadiran dua juta belia yang dijangka berhimpun dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti melalui pelbagai segmen dan acara yang disediakan.

Selain sukan dan rekreasi, kemahiran dan kepemimpinan, teknologi maklumat dan keusahawanan, kerohanian dan jatidiri, penerokaan bidang-bidang baru dan lain-lain, tidak ketinggalan ditampilkan dalam program bertema Jutaan Peluang, Ribuan Keriangan ini ialah seni budaya.

Dengan lebih 500 artis terbabit menghiburkan belia yang hadir, aspek modal insan tidak diketepikan apabila Konsert Suara Kita turut diadakan pada 25 Mei (malam ini) bertempat di Pentas Utama Segmen Modal Insan.


Konsert anjuran KBS dengan kerjasama Rabbani Production sebagai rakan niaga ini menampilkan barisan artis terdiri daripada Ana Raffali, Saujana, Farah Ashikin, Hazama dan Rabbani sendiri. Manakala Man Raja Lawak bertindak selaku pengacara.


Menurut Azadan (Rabbani), ini tahun ketiga mereka dijemput beraksi di pentas sama serta dilantik kali kedua untuk menguruskan persembahan artis.

"Kami pilih barisan artis ini kerana nampak nilai positif yang ada pada mereka. Tambahan pula dianggarkan dua juta belia turun padang untuk kali ini. Pemilihan semua barisan artis juga diluluskan oleh KBS.

"Kami bukan pilih artis nasyid saja sebaliknya melihat artis yang boleh membawa unsur ketuhanan bagi menggalakkan semua golongan peminat hadir menyaksikannya. Kami yakin gabungan artis ini serta kemunculan Rabbani adalah satu gabungan mantap yang jarang berlaku.

"Mengenai pemilihan Hazama, sememangnya ini kali pertama kami bekerjasama dengannya.

"Bagaimanapun syarat yang dikenakan ialah dia perlu menyampaikan lagu berkonsep ketuhanan kerana kami ingin sampaikan mesej kepada semua.

"Setiap artis mesti sampaikan tiga lagu dan konsert ini dijadualkan berlangsung dua jam.

"Kami turut berduet dengan Hazama menyampaikan lagu Pergi Tak Kembali dan ini kali pertama kami berduet dengan artis lain," katanya yang akan mengakhiri persembahan dengan lagu Teman Sejati secara beramai-ramai.

Melihatkan reaksi positif yang diterima pada tahun lalu, Azadan menjangka sambutan kali ini tentunya lebih hebat.

Apatah lagi genre nasyid atau dakwah mempunyai kelompok peminat tersendiri.

"Tahun lalu kami membariskan Heliza, Al Mawlid, Yasin Sulaiman dan Saujana.

"Yang menariknya peminat menunggu persembahan sehingga tamat kerana saya percaya mereka dapat merasai denyut nadi serta menghayati mesej ketuhanan yang disampaikan.

"Justeru, sempena Hari Belia ini, kami mahu penonton merasai perkara sama.

"Biarpun terdedah kepada perkembangan terkini, remaja tetap perlu bataskan pergaulan dan mengelakkan melakukan perkara negatif.

"Kami ingin memberi pengisian kepada remaja. Biarpun mereka sibuk bekerja atau belajar, mereka perlu fokus pada fitrah.

"Dari sudut lain, belia kena bersyukur dengan apa yang kerajaan berikan." katanya.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan