Adsense

Khamis, 10 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tetap ada tawaran lepas bertudung

Posted: 09 May 2012 06:35 AM PDT

SELEPAS berkahwin dan dikurniakan seorang anak, Suci Hanania Malika, Haryati Hamzah atau Yatt mula terfikir untuk berhijrah menjadi isteri dan ibu yang baik buat cahaya matanya itu. Dia ingin mendidik anaknya menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan agama.

Bagaimana perkara yang sering mengganggu fikirannya, bagaimana dia mahu mendidik anaknya itu sedangkan dia sendiri tidak berubah dan masih mendedahkan aurat. Memang benar sejak remaja Yatt suka membaca buku agama, tetapi hatinya belum cukup kuat untuk merubah penampilan diri apatah lagi apabila dia terkenangkan jika dia bertudung, masih adakah produser dan pengarah yang ingin mengambilnya berlakon.

"Saya memang mahu bertudung, tetapi tidak betul-betul yakin untuk melakukannya, malah saya bimbangkan kerjaya seni saya yang mungkin akan terjejas dek kerana perubahan itu. Ada saja kengkangan untuk melakukan kebaikan.

"Bagaimanapun kalau sudah sampai masanya untuk kita berubah, ia sebenarnya tidaklah begitu sukar dan ada saja jalan ke arah itu. Irma (Irma Hasmie) yang terlebih dulu berhijrah mengajak saya pergi ke kelas agama yang diadakan setiap Isnin di Wangsa Melawati, Hulu Kelang yang dibuka oleh syarikat penerbitan buku, Must Read Sdn Bhd.


"Kelas itu diadakan secara percuma oleh Must Read sebagai salah satu daripada sumbangan mereka kepada masyarakat. Daripada November tahun lepas, kalau ada kelapangan setiap Isnin saya ke kelas itu bersama Irma. Setiap minggu mereka mengundang ustaz berbeza yang pakar dalam bidang masing-masing. Kalau kelas itu tidak dapat diadakan pada Isnin, ia akan digantikan pada Khamis.


"Kebanyakannya yang memberi ceramah adalah ustaz dan ustazah yang muncul dalam pelbagai program agama terbitan TV Alhijrah. Mereka diperkenalkan oleh Irma yang juga pengacara program Assalamulaikum terbitan TV sama. Kami sedang berusaha untuk menjemput ustaz Don memberikan ceramah.

"Di sana diadakan kelas mengaji al-Quran, belajar tauhid dan feqah serta pelbagai kelas lain bagi memberi pemahaman yang lebih mendalam terhadap agama Islam.

"Irma tahu saya jenis yang suka dengan aktiviti keagamaan dan saya antara pelajar yang terawal mengikut kelas itu. Sekarang bilangannya sudah bertambah termasuklah pengacara Wanita Hari Ini (TV3) Teh Syuhadah, Farah Ashikin, Siti Nordiana, Diana Amir, Fazli Zainal dan Heliza Helmi. Ketika itu mereka semua sudah bertudung, tinggal saya saja yang belum bertudung.

"Seronok kerana ramai kawan-kawan belajar sama yang tujuannya hanya satu mohon petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT. Sejak saya mengikuti kelas itu saya tidak bimbang apa-apa lagi dan saya semakin faham ke mana tujuan hidup kita. Hidup, mati dan rezeki setiap manusia Allah SWT yang tentukan," katanya.

Sebulan lalu, selepas Yatt balik dari kelas, dia mengerjakan solat Maghrib dan terus melakukan solat taubat. Dalam doanya yang panjang, Yatt teringatkan dosanya terhadap Allah SWT terutama dosa tidak menutup aurat.

"Meleleh air mata mengingatkan dosa saya selama ini. Sejak ada anak saya perlu menambahkan ilmu dan menunjukkan teladan yang baik kepada anak. Bukan tak ingat nak bertudung, tetapi saya takut tak boleh bekerja (berlakon) lagi dan tak boleh lagi pegang pelbagai watak.

"Tetapi selepas saya melakukan solat taubat pada malam itu, ia merubah seluruh hidup dan pemikiran saya. Pada rakaat terakhir, saya sujud lama di atas sejadah dan perasaan rasa lain macam. Hati saya tiba-tiba sangat aman. Selepas saya memberi salam, saya nekad untuk berubah masa itu juga kerana saya sudah benar-benar yakin dengan ketentuan Allah SWT.

"Suami ada suruh saya bertudung, tetapi dia tidaklah memaksa dan apabila saya menyuarakan hasrat untuk berhijrah, dia orang yang paling gembira. Saya berbangga kerana dapat mengurangkan dosa suami apabila isteri ingkar perintah agama.

"Jangkaan saya juga meleset kerana tawaran berlakon tetap ada. Bagaimanapun mana yang tidak sesuai dengan penampilan baru ini, saya akan tolak cara baik kerana ada juga pengarah yang ingat waktu babak di rumah saya boleh buka rambut sedikit. Saya tak marah kerana mereka kurang jelas dengan hukum menutup aurat.

"Jika saya tak dapat terima tawaran berlakon, saya anggap itu bukan rezeki. Saya tetapkan hati serta ikhlas berubah kerana Allah SWT," katanya.

Selepas berhijrah Yatt juga dipanggil muncul dalam forum agama dan dia membuat penampilan pertama bersama Irma pada pelancaran buku Biografi Agung Rasulullah SAW karangan Rusydi Ramli Al Jauhari pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012, baru-baru ini.

"Apabila dipanggil bercakap pada forum agama saya lebih suka menceritakan kisah hidup sendiri. Saya bukanlah ustazah malah saya kena banyak belajar lagi," katanya.

Yatt baru saja selesai penggambaran drama 26 episod berjudul Baitul Rahmat yang akan disiarkan pada Ramadan ini di TV1. Ketika dia mula-mula berlakon drama itu dia belum bertudung dan hanya betul-betul bertudung pada pertengahan penggambaran.

"Sebelum ini pun saya banyak membawa watak bertudung dan karektor yang paling berkesan di hati selepas berlakon dalam drama Lagenda Ular Emas, dua tahun lalu. Karektor saya sebagai Raudhah terbawa-bawa sehingga ke luar lokasi," katanya.




Numera Rai Kemala

Posted: 09 May 2012 06:26 AM PDT

PERSATUAN Sasterawan Numera Malaysia yang tertubuh di bawah Numera (Nusantara Melayu Raya) mensasarkan dana RM1 juta bagi membolehkan pihak berkenaan menubuhkan sebuah yayasan bertujuan membantu serta membela nasib sasterawan yang mengalami masalah kesihatan dan kekurangan keperluan kehidupan.

Menurut Presiden Persatuan Sasterawan Numera Malaysia, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk Dr Kemala, berkata, golongan berkenaan wajar diberikan perhatian kerana sumbangan mereka kepada negara tidak kurang hebatnya.

"80 peratus kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah sumbangan jasa penulis. Laporan yang hebat, menyuntik semangat dalam menyokong usaha pemimpin ketika membuatkan penduduk Tanah Melayu juga dunia memandang suara kita.

"Justeru kenapa tidak, nasib sasterawan ini dibela. Saya berharap hal ini diberi perhatian oleh Perdana Menteri Malaysia kerana jasa golongan tidak boleh diabaikan," katanya.


Dr Kemala yang baru saja menerima Anugerah Sastera Negara - Sasterawan Negara ke-11, baru-baru ini, menegaskan bahawa Persatuan Sasterawan Numera Malaysia, yang ditubuhkan pada 10 Mac lalu, konsisten menjalankan kegiatan mengumpul dana.


Namun, jika ada badan korporat serta kerajaan yang membantu usaha, pastinya impian menubuh yayasan lebih mudah untuk dicapai mereka.

Salah satu acara yang dijalankan untuk merealisasikan impian itu, sebuah persembahan dinamakan Numera Rai Kemala bakal dilangsungkan pada 20 Mei nanti di Restoran Rebung, Bangsar, jam 8 malam.

Numera Rai Kemala turut bertujuan menghargai Dr Kemala di atas kurniaan Sasterawan Negara ke-11, datang dalam bentuk pengucapan zahir dan batin yang bakal menyajikan deretan persembahan eksklusif kumpulan-kumpulan puisi Kemala dari pemuisi dan pendeklamasi handalan.

Diperhebatkan dengan persembahan biduanita Uji Rashid, kumpulan anak muda, Grup Lagu Puisi (GLP) dan penyanyi solo, Umar Uzair termasuk deklamasi daripada Dr Kemala.

Acara itu turut menerbangkan novelis terkenal dari Indonesia iaitu Sastry Bakry yang kini salah satu naskhah novelnya sedang difilemkan.

Terdahulu, persatuan itu menjalankan aktiviti seni dan pembacaan secara berterusan sehingga mencapai matlamat yang diinginkan. Baca Puisi Numera dijadikan sebuah acara dwi-bulanan yang akan diadakan di seluruh negara dengan pembabitan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh Malaysia, badan badan kerajaan, agensi swasta serta NGO.

Untuk menyaksikan kehebatan acara Numera Rai Kemala, tiket dijual dengan harga RM48 saja termasuk bufet makan malam. Untuk tempahan atau info lanjut sila layari www.numeramalaysia.blogspot.com atau hubungi talian 019-2550559.