Adsense

Selasa, 17 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Cinta bangku sekolah

Posted:

Cinta bangku sekolah

Cinta bangku sekolah

TEPAT pukul 11.50 pagi kelmarin, pasangan Natasha Liana Hudson, 30, dan Mohd. Khalid Mohd. Kamal, 33, selamat diijabkabulkan dengan hanya sekali lafaz.

Berwalikan hakim dan dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Shahirman Ahmad di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, Natasha Hudson dan penyanyi kumpulan hip hop Phlowtron dan juga peneraju syarikat penerbitan media Phuture Phlow, Carleed Khaza kini sudah sah bergelar pasangan suami isteri.

"Terkejut sebenarnya tapi dalam masa yang sama saya sangat gembira dan terharu, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," ucap Natasha yang ditemui usai majlis akad nikah dan resepsi baru-baru ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak pengantin memutuskan untuk tidak menyediakan wang hantaran.

Pihak Carleed menyediakan lima dulang hantaran yang antaranya berupa tepak sirih, senaskhah al-Quran, sepersalinan baju, wangian dan sebentuk cincin.

Pihak pengantin perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran iaitu tepak sirih, sepersalinan baju, sejadah, kek, wangian, al-Quran digital dan sebentuk cincin.

Kunci kisah peribadi

Berkenalan sejak dari bangku sekolah menengah, bagaimanapun ikatan dua jiwa itu putus di tengah jalan dan masing-masing membawa hala tuju kehidupan dan kerjaya sendiri.

Namun, andai takdir sudah tertulis mereka dipertemukan kembali beberapa tahun terkebelakang dan mulai serius meneropong perspektif kehidupan mereka dengan lebih profesional.

Pendek kata, pengalaman mematangkan dua jiwa itu dan kini Natasha dan Carleed sudah bersedia menggalas beban sebagai pasangan suami isteri.

Ujar Carleed: "Ini sudah ketentuan Allah, saya pada mulanya tidak terfikir akan bersama dengan Tasha (Natasha) namun dia ada ciri-ciri yang membuka pintu hati saya."

Sebelum ini Natasha dan Carleed lebih gemar mengunci mulut untuk membuka kisah peribadi mereka apabila kerap kali berdepan dengan media.

"Saya tidak suka bercerita mengenai kisah peribadi kepada orang ramai, biarlah hal itu saya sendiri yang simpan," simpul Natasha.

Tambahnya, kisah hubungannya bersama Carleed sebelum ini disifatkan profesional dan atas dasar kerja memandangkan kedua-duanya banyak terlibat dalam projek untuk kelahiran album sulung Natasha.

Menebak Carleed dengan persoalan kejujuran hati Natasha sebagai insan yang telah membuka pintu hatinya, kata komposer itu, Natasha memiliki ciri-ciri wanita yang diidamkan.


NATASHA yakin Carleed mampu menjadi ketua keluarga yang baik.


"Dia menghormati orang tua dan saya dapat lihat dia seorang ibu yang sangat penyayang. Pernah ketika saya berada di luar negara kerana ada tugasan, Tasha selalu datang melawat nenek saya yang sudah uzur," ceritanya yang mengharapkan berkat doa orang ramai dan peminat untuk kebahagiaan mereka berdua.

Bagi Natasha pula, dia melihat Carleed sebagai seorang calon yang paling tepat untuk membimbingnya selaku khalifah Allah di muka bumi.

"Dia sangat baik, ringkas dan menghormati orang tua. Lagipun dia sangat rapat dengan anak saya, seorang penasihat yang baik dan kami boleh bekerjasama serta memiliki banyak persamaan. Saya yakin dia boleh jadi seorang ketua keluarga yang baik," ungkap ibu kepada Neesa Helena, empat tahun.

Kata hati

Keputusan yang dibuat menerusi pertimbangan dalam tempoh masa yang agak panjang, ujar pasangan itu akhirnya kata putus untuk melangsungkan pernikahan tercetus dua hari sebelum kepulangan Natasha ke tanah air ketika sedang menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada 4 April lalu.

"Sebenarnya kami sudah lama putuskan hal ini. Sewaktu kami di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah pun kami masih berbincang dan berdoa mohon diberikan petunjuk. Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan," kata pelakon filem Chermin itu.

Maklum Natasha, tarikh awal untuk mengadakan majlis itu diputuskan pada 22 April namun terpaksa diawalkan ke 15 April kerana tempoh itu dirasakan paling ideal untuk mengumpulkan semua ahli keluarga termasuk kekosongan tempat untuk upacara akad nikah.

Sebelum ini, Natasha dan Carleed pernah menghadiri kursus perkahwinan sebagai persediaan diri sendiri. Namun mereka pergi secara berasingan.

Bukan kerana kejar umur, jelas Natasha, pilihan untuk dia menoktahkan gelaran janda itu relevan memandangkan dia sudah lama bersendirian dan ikatan yang terjalin memberikannya bimbingan dan panduan yang cukup mengenai kehidupan dan agama.

"Saya percayakan apa kata hati saya dan sejujurnya saya katakan saya seorang wanita yang mengutamakan keluarga, karier adalah kedua bagi saya," jelas Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-20 itu.

Bulan madu

Mengusik pasangan itu dengan soalan berbulan madu dan perancangan keluarga selepas berkahwin, kata mereka rezeki itu terserah pada yang Maha Kuasa.

"Kalau bulan madu pula saya teringin untuk ke Istanbul, Turki yang pernah sekali saya kunjungi ketika mengerjakan umrah dua bulan lalu.

"Tapi memandangkan hari Selasa ini pun kami sudah mula bekerja, mungkin perancangan itu akan difikirkan kemudian," kata Carleed.


TERSUSUN rapi dan saling berhadapan barangan hantaran pengantin lelaki dan perempuan, tanda dua hati sudah bersatu untuk sebuah pelayaran bahtera rumah tangga.


Tambahnya, dia menerima Natasha dengan hati yang terbuka dan baginya kehidupan silam Natasha adalah prioriti dan hak peribadinya untuk tidak diusik.

"Setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing, jadi tiada halangan untuk saya menerima Natasha dan anaknya. Saya gembira doa kami dimakbulkan.

"Saya tidak akan menghalang pembabitan Natasha dalam bidang seni malah saya melihat dia seorang yang sangat berbakat besar," ujarnya.

Sisi hidup Tun Siti Hasmah di pentas teater

Posted:

Sisi hidup Tun Siti Hasmah di pentas teater

Sisi hidup Tun Siti Hasmah di pentas teater


ADLIN (kiri) bersama Kharuddin (kanan) dan Juhari pada sidang akhbar teater Tun Siti Hasmah di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SETAHUN jangka masa yang diambil pihak produksi yang bakal dikemudikan oleh Adlin Aman Ramlie untuk memperoleh kata setuju daripada bekas wanita pertama negara paling lama, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Persetujuan yang dimaksudkan adalah kebenaran untuk mengangkat kisah hidupnya di sisi mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dipentaskan dalam naskhah teater di Istana Budaya.

Menurut Adlin selaku pengarah teater Tun Siti Hasmah, plot dan kronologi pasangan bekas Perdana Menteri itu tidak akan jauh tersasar dan pihaknya akan mempersembahkan ruang peribadi Tun Siti Hasmah yang jarang diketahui umum.

"Kami akan memilih peristiwa-peristiwa penting dalam kehidupan wanita yang sentiasa berada di sisi Dr. Mahathir itu untuk dipentaskan bagi mengelakkan ia meleret dan bosankan.

"Idea asal sudah ada cuma nanti akan diperincikan dan diperhalusi melalui perbincangan lanjut bersama Tun Siti Hasmah sendiri pada awal bulan Mei nanti," ceritanya ketika sidang akhbar pengumuman teater Tun Siti Hasmah di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini yang turut dihadiri pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Pastinya cabaran untuk memampatkan kisah kehidupan seseorang ke pentas teater untuk durasi 1 jam 30 minit tidak disangkal oleh pengarah yang pernah mementaskan Muzikal P. Ramlee dan Muzikal Puteri Gunung Ledang beberapa tahun lalu.

"Tun Siti Hasmah seorang yang sangat merendah diri, katanya tiada apa mengenai dirinya yang perlu diceritakan kepada semua.

"Namun saya yakin sebagai seorang ibu, isteri dan wanita yang sentiasa bersifat politikal dan berkepimpinan, pasti ada ruang untuk perasaan berkasih sayang dan percintaan mekar dalam dirinya," ujarnya.

Mengikut jadual asal, teater itu sepatutnya dipentaskan pada bulan Mei sempena sambutan Hari Ibu namun, pihak Istana Budaya merasakan pementasan itu lebih bersesuaian dilaksanakan pada bulan patriotik sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Sementara itu, menurut Pengerusi World Islamic Network Television Sdn. Bhd, selaku penerbit teater Tun Siti Hasmah, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, pemilihan Erra Fazira dibuat pada awal lagi memandangkan jelitawan itu sudah banyak membuat kaji selidik mengenai Tun Siti Hasmah sejak pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir lagi.

"Masa pun sudah suntuk dan sebelum ini dia pernah membawa watak Tun Siti Hasmah dengan cemerlang, jadi tidak salah untuk memilih dia sekali lagi menggalas peranan itu," jelas suami kepada Datin Paduka Umie Aida.

Beliau juga menegaskan bahawa teater kali ini berbeza daripada pementasan Teater Muzikal Tun Mahathir sama ada fokus penceritaan, plot begitu juga mesej.

"Walaupun menggunakan pelakon yang sama, garapan yang akan dihasilkan sama sekali berlainan," katanya.

Tambah Khairuddin, Erra telah mengesahkan pembabitannya dalam teater Tun Siti Hasmah itu dua bulan lalu.

Dalam pada itu, selain Erra Fazira antara barisan pelakon yang dicadangkan untuk mementaskan teater ini ialah Aaron Aziz.

Teater ini bakal menemui peminat pada 30 Ogos hingga 8 September depan di Panggung Sari, Istana Budaya. - KHAIRUL AMRI HASSAN

Aishwarya tetamu Cannes 2012

Posted:

Aishwarya tetamu Cannes 2012

Aishwarya tetamu Cannes 2012


AISHWARYA RAI


AISHWARYA RAI disahkan bakal hadir sebagai salah seorang tetamu jemputan khas pada Festival Filem Cannes 2012 di Paris, Perancis yang bakal berlangsung menjelang Mei ini. Bintang tersohor Bollywood itu muncul pada festival filem berprestij yang berlangsung setiap tahun itu atas tajaan produk kecantikan L'Oreal dan bukan untuk mempromosi sebarang filem.

Aishwarya sudah sedekad menjadi wajah L'Oreal dan sebagai seorang profesional, dia sentiasa memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap syarikat pengeluar produk tersebut. Isteri aktor Abhishek Bachchan itu juga bakal ke Paris dengan membawa bersama anak sulungnya, yang kini hanya dikenali sebagai Beti B dan baru berusia lima bulan itu.

Ujar sumber: "Ini merupakan kali kedua Beti B ke luar negara bersama ibunya kerana sebelum ini iaitu pada awal tahun ini, Beti mengikuti ibunya ke Dubai. Festival Filem Cannes bukan sekadar festival filem tetapi ia juga menyediakan peluang yang baik buat Aishwarya untuk menjalinkan kerjasama dengan penerbit dan pengarah di luar industri Bollywood."

Aishwarya bukan satu-satunya bintang Bollywod yang bakal memeriahkan Festival Filem Cannes kali ini yang bakal berlangsung dari 16 hingga 27 Mei, kerana turut disertai aktor Arjun Rampal dan aktres sensasi Bipasha Basu.