Adsense

Ahad, 25 Mac 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kamal, Mikha bermain cinta

Posted:

Kamal, Mikha bermain cinta

Kamal, Mikha bermain cinta

LIRIK syahdu Gerimis Mengundang nyanyian Zamani Slam satu ketika dahulu sudah menjadi lagu malar segar kepada peminat muzik hari ini. Meminjam aura Gerimis Mengundang yang diterbitkan lebih 10 tahun lalu itu, Kamal Adli dan pasangan pentasnya, Mikha Tambayong bakal mengadun kemanisan cinta mereka buat julung-julung kalinya secara langsung.

Dua jiwa berbeza budaya itu dipertemukan dalam sebuah teater bertajuk Gerimis Mengundang. Ia sekali gus menjadi sebuah idea pementasan yang diadaptasikan semula sebagai prekuel kepada sebuah filem dengan judul yang sama arahan Ahmad Idham. Dalam versi filem, bezanya Kamal bermain cinta dengan seorang lagi gadis seberang bernama Olivia Jensen Lubis.

"Ketika diberitahu bahawa saya akan berpasangan dengan Mikha, saya jadi takut. Saya takut kerana terbayangkan jangka waktu latihan yang pendek, kira-kira 19 hari sahaja. Kalau dengan Olivia, kami tentu tidak memerlukan lebih masa untuk memperoleh keserasian sebab kami sudah bersama-sama dalam filem dahulu. Saya juga takut, kalau-kalau nanti penonton akan nampak kejanggalan kami," katanya mengurai kusut wajah.

Semakin matang

Sedikit berjambang dan menampakkan kesibukan rutin latihan berlakon, menari dan menyanyi yang dilalui, Kamal sebenarnya tampak matang. Dia seperti meninggalkan sisi keremajaan yang banyak terserlah dalam kemunculan sebelum ini.

"Berlakon teater memang macam pergi sekolah. Sebelum ini saya pernah terlibat dengan pementasan teater Impak Maksima The Musical, tetapi teater kali ini fokusnya lebih kepada saya dan Mikha kerana kami jadi hero serta heroin.

"Kali ini, kepuasannya mungkin lebih sedikit. Mungkin penonton akan dapat melihat Kamal yang berbeza berbanding apa yang pernah dilihat sebelum ini. Saya sendiri dapat rasakan perbezaan itu sebab sebelum ini tak pernah melakonkan watak pemuda kaki perempuan," ujar pemain watak Zamani, seorang juruterbang yang jatuh hati terhadap Cinta, seorang pelajar universiti lakonan Mikha.

Pementasan Gerimis Mengundang di Istana Budaya selama 13 hari bermula 27 Mac ini diterbitkan oleh Excellent Pictures, Erama Creative dan Global Network.

Harapan seorang pelakon dan kru produksi adalah mahu karya dilihat seramai mungkin penonton. Sama juga dengan Kamal. Dia tidak mahu konsep kepiluan dan lirik sedih dalam Gerimis Mengundang itu akan membunuh kemahuan ramai untuk menyaksikan teater berkenaan.

"Lagu dan tajuk Gerimis Mengundang seolah-olah teater yang sedih, drama air mata yang mendayu-dayu sahaja. Sebenarnya tidak begitu.

"Saya boleh jamin bahawa Gerimis Mengundang akan jadi sebuah teater muzikal yang menyeronokkan. Ada tarian, nyanyian serta adegan romantik yang manis. Saya sendiri akan menyanyi dan menari dalam sembilan hingga 10 buah lagu.

"Cuma pada akhir-akhir cerita sahaja barulah penonton dihadapkan dengan emosi dan tragedi. Lagu Gerimis Mengundang itu sendiri akan beri kuasa aksi saya dan Mikha nanti. Awak kena tengok, kalau tak datang tengok, kita putus kawan," ujarnya berseloroh memecah keseriusan.

Mikha tebus kebosanan

Melihatkan usianya yang bakal genap 18 tahun pada 15 September nanti, pelakon sinetron remaja popular Indonesia, Mikha Tambayong ternyata masih terlalu mentah untuk bergelar ratu panggung di Malaysia.

Memandangkan tuntutan wataknya sebagai pelajar universiti dari Indonesia, maka tertulislah watak Cinta menjadi milik Mikha. Lebih daripada itu, pihak penerbit awal-awal lagi sudah membayangkan pentas seterusnya buat Gerimis Mengundang iaitu bakal ke Espalanade di Singapura pada masa hadapan.

Di bahu pelakon yang popular dengan sinetron Nada Cinta itu tersandang satu tugasan penting untuk langkah sulungnya di Kuala Lumpur.

"Saya ingin keluar dari Jakarta, sudah terlalu bosan dengan sinetron. Setiap judul harus diselesaikan sehingga lebih 300 episod. Saya ingin cuba sesuatu yang baharu," katanya jujur.

Komitmen Gerimis Mengundang menuntut Mikha berada di ibu negara sejak 8 Mac lalu sehingga pementasan tamat pada 8 April nanti. Menjadi percubaan pertamanya ke pentas teater apatah lagi di daerah asing, Mikha mendakwa dia berdepan sedikit masalah.

"Paling besar tentunya masalah komunikasi, saya tidak begitu faham bahasa Melayu, tapi kalau bicaranya dalam bahasa Indonesia atau Inggeris, saya cepat faham. Nasib baik, watak Cinta itu orang Indonesia, maka bicaranya juga dalam bahasa Indonesia, saya beruntung. Saya sukakan babak romantis dalam teater itu," getusnya.

Kali pertama bersemuka, Mikha bukan pelakon seberang yang lokek bercerita. Jauh sekali bersikap dingin, gadis Virgo itu ternyata lebih bijak daripada yang disangka. Biarpun ada kisah liarnya yang digembar-gemburkan, dia bijak memberikan jawapan.

"Saya langsung tidak ambil pusing dengan cerita liar begitu. Hakikatnya saya tidak gemar berfoya-foya dan lebih gemar belajar jika punya waktu santai. Saya tidak faham bagaimana cerita merokok atau bersosial di kelab malam boleh timbul," katanya tenang.

Berbalik semula kepada lakonan, jika dalam sinetron dia tidak serius memikirkan terlalu banyak penilaian penonton, berlakon teater beri sedikit gambaran berbeza.

"Kalau dalam sinetron, pelakon dan penonton tidak perlu terlalu berfikir untuk memahaminya. Tapi saya gemarkan sesuatu yang lebih bermakna. Kalau tidak banyak, biarlah lakonan saya dalam teater itu beri nilai yang baik.


KALI pertama digandingkan dalam teater muzikal Gerimis Mengundang, Kamal dan Mikha berdebar menanti reaksi penonton.


"Kalau dalam soal lakonan, saya jenis yang kurang cerewet, ikut sahaja apa kata pengarah kecuali dalam nyanyian. Dalam nyanyian, saya jadi sangat idealistik," katanya yang lebih cenderung menyanyi berbanding berlakon.

Bermain piano sejak berusia empat tahun dan mula berlakon pada usia 15 tahun, dia banyak menghabiskan masa di lokasi penggambaran. Lantaran jadual lakonan bertindih waktu persekolahan, Mikha menghabiskan persekolahan di rumah. Dia bagaimanapun masih lulus cemerlang setahun lebih awal dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang.

Saat ditanya tokoh yang banyak memberi inspirasi buatnya, pantas nama Harvey Malaiholo berbutir daripada bibir pelakon yang pernah punya debut album berjudul Bekas Pacar itu.

"Harvey Malaiholo, dialah orangnya. saya mahu jadi sepertinya. Pencapaiannya buat saya kagum, dia juga dikenali peminat di Malaysia dan saya bangga menjadi keponakan (anak saudara) Harvey," kata Mikha yang mahu fokus menyambung pelajaran ke kolej pada tahun depan.

Idham kecewa dengan Astro

Posted:

Idham kecewa dengan Astro

Idham kecewa dengan Astro

TIDAK lama dahulu, aktiviti jualan CD dan DVD cetak rompak dibanteras dengan serbuan berkala ke atas penjualan terbuka namun mutakhir ini barah lama dunia seni tempatan itu kembali menular terhadap filem tempatan.

Pengarah popular yang juga Pengarah Urusan Excellent Pictures Sdn. Bhd., Ahmad Idham Ahmad Nadzri secara berani dan lantang menuding kepada saluran berbayar Astro First sebagai medium paling 'berjaya' menyumbang kepada berleluasanya kegiatan cetak rompak terhadap filem tempatan.

"Industri filem tempatan akan hancur kerana masyarakat tidak akan berminat untuk menonton wayang. Bayangkan, selepas dua minggu tayangannya di panggung, ia dengan mudah boleh didapati menerusi Astro First.

"Bukan itu sahaja, industri cetak rompak juga semakin ligat merakam filem-filem yang disiarkan itu. Sebab itu kita dapati karya-karya tempatan dengan cepat berada di laman YouTube," tegas Idham selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara stesen televisyen TV3 dan syarikatnya, Excellent Pictures di Bandar Utama, Khamis lepas.

Idham juga melabelkan Astro First sebagai satu medium yang beri kelebihan jangka masa singkat kepada penonton yang tidak gemar ke pawagam tetapi ia akan menjadi virus secara perlahan melumpuhkan industri filem Malaysia.

"Saya risau bila produk saya berada di Astro First. Dulu cetak rompak diperangi habis-habisan, sekarang isu itu kembali membiak.

"Tambahan, dengan adanya banyak media baharu, orang akan mudah muat turun filem dan menontonnya di mana-mana saja. Melalui pemantauan, saya berpendapat pihak berkenaan (Astro) tak mengawal cetak rompak.

"Contohnya filem Hantu Bonceng, satu malam saja sudah boleh mencapai 500,000 tontonan di YouTube. Bayangkan jika keadaan ini berlarutan, orang kita sudah tak mahu ke panggung untuk menonton wayang sebab mereka dah boleh menonton selepas dua minggu filem tersebut ditayangkan di pawagam. Ia kemudian dimuat turun dan dimuat naik pula ke YouTube," ujarnya kesal.

Bercerita lanjut tentang konsep Astro First yang konon-kononnya menguntungkan penerbit filem serta peminat selepas habis tempoh sesebuah filem tayangan di pawagam, Idham kecewa kerana pihak berkenaan tidak menunjukkan inisiatif untuk mengawal hak eksklusif sesuatu produk.

"Saya sendiri pernah berulang kali mengajukan perkara ini kepada mereka (pihak pengurusan Astro), namun mereka cakap ini bukan tugas mereka. Saya sangat kecewa, mereka tiada inisiatif untuk mengawal perkara itu," katanya yakin kolaborasi dengan Media Prima sedikit sebanyak membantu menaikkan kembali industri perfileman negara.

Ekoran perjanjian yang dibina, Excellent Pictures akan bertindak sebagai pembekal eksklusif kesemua filem terbitannya kepada saluran televisyen Media Prima selama dua tahun. Media Prima diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Ahmad Izham Omar.

Shah Iskandar mahu diperhati

Posted:

Shah Iskandar mahu diperhati

Shah Iskandar mahu diperhati

TIGA tahun berkelana ke Malaysia, nama Shah Iskandar Mahfuz mencuri ruang untuk dikenali sebagai pelakon. Melihat kejayaan pelakon senegara, Aaron Aziz dan Adi Putra yang harum di negara ini, Shah Iskandar turut mencongak nasib.

Dia sanggup meninggalkan Singapura demi mencipta kejayaan sebagaimana yang ditempa dua aktor yang mencetus inspirasinya.

"Sudah tiga tahun saya menetap di Kuala Lumpur. Saya jadikan Aaron Aziz dan Adi Putra sebagai inspirasi untuk berjaya dalam bidang ini.

"Apa yang pasti saya juga mahu menjadi lebih baik daripada kedua-duanya. Saya ada cara saya sendiri dan mereka ada kelebihan masing-masing yang diterima peminat," terangnya kepada Sensasi Bintang.

Setelah mencipta nama menerusi drama bersiri Gerak Khas di TV2, nama Shah Iskandar mula mendapat tempat dalam hati pengarah drama tempatan.

Terkini, jejaka berbintang Taurus itu tampil menerusi drama bersiri 3 Janji dalam slot Lestary di TV3. Diberi kepercayaan memegang watak Yassin, Shah Iskandar mula menunjukkan sisi berbeza dalam drama arahan Heykal Hanifah itu.

Drama 3 Janji yang disiarkan setiap Selasa pukul 9 malam itu turut dibintangi Liyana Jasmay, Shahrizal Jaszle, Ana Dahlia, Idzham Ismail, Hanez Suraya dan Ainina Ahmad.

PENGACARAAN

Saya bermula sebagai pengacara rancangan Anugerah Skrin di Singapura pada 2006. Setelah bergelar pelakon, saya mula kurang menerima tawaran mengacara kerana mahu fokus dengan lakonan. Jika diberi pilihan, saya memilih lakonan.

TANAH TUMPAH DARAH

Saya berasal dari Woodlands, Singapura dan sudah tiga tahun menetap di Malaysia, jiwa saya ada di kedua-dua negara ini. Keluarga saya berasal dari Singapura, tetapi ramai saudara yang turut merantau di Kuala Lumpur (KL), jadi KL sudah seperti kampung halaman saya.

JADI POLIS

Saya tidak minat untuk jadi seorang pegawai polis kerana cita-cita saya untuk menjadi juruterbang. Bila sudah lebih dua tahun menggalas watak Inspektor Hashim dalam drama bersiri Gerak Khas, saya banyak belajar mengenai dunia kepolisan. Melalui watak polis, saya mula dikenali peminat Malaysia.

USIA 30 TAHUN

Saya genap 30 tahun menjelang 1 Mei nanti. Saya percaya seseorang lelaki akan menjadi matang pada usia 30 tahun. Pada usia ini juga saya mula memikirkan masa depan, ingin memiliki aset sendiri serta menamatkan zaman bujang. Syukur kerana impian saya untuk sampai ke Sepanyol sebelum usia 30 tahun tercapai, itupun kerana terlibat dengan sebuah rancangan televisyen.

SUKAN

Ibu memang menggalakkan saya banyak terlibat dengan sukan air, dia hantar saya belajar berenang ketika masih kecil supaya saya lebih berkeyakinan. Ketika di Singapura saya agak aktif dalam kegiatan renang, berkayak dan berakit. Untuk terlibat secara serius tidaklah, cuma saya begitu meminati aktiviti sukan air tetapi sekarang jarang ada masa untuk turun bermain air tapi asyik turun lokasi penggambaran sahaja.