Nuffnang

Utusan Online - Hiburan

sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Cinta jarak jauh Farhan

Posted:

Cinta jarak jauh Farhan

Cinta jarak jauh Farhan

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR
Gambar WAHIDIN SALIM


Farhan mencium tangan bakal ibu mertuanya selepas selesai upacara menyarungkan cincin.


BUKAN senang untuk menjalin hubungan cinta jarak jauh. Banyak juga kedengaran cinta jarak jauh tidak sempurna, hanya yang benar-benar serius mampu bernokhtah dengan bahagia.

Namun bagi bintang kelahiran Akademi Fantasia musim ke-empat ini, bukan satu bebanan untuk meneruskan cinta meskipun terpisah beribu-ribu batu dengan arjuna hati.

Siapa sangka, perkenalan antara Farhan Azizan, 28, dan Rashdan Shuhaimi, 28, yang diperkenalkan oleh seorang sahabat akhirnya membawa mereka jauh ke kemuncak cinta.

Walaupun begitu, akui Farhan, hubungan cinta jarak jauh bukannya mudah.

"Jika diikutkan, banyak cabaran yang kami perlu tempuhi sepanjang kami bercinta. Kami pernah bergaduh sehinggakan tidak bertegur dan berhubung selama dua bulan.

"Tapi dalam jangka masa kami bergaduh, Rashdan tidak henti-henti memujuk saya dan hubungan kami kembali normal selepas itu," katanya sambil tersenyum.

Demi menjaga hubungan tersebut, mereka juga sentiasa berhubung setiap hari melalui pelbagai cara.

"Sepanjang dia melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK), kami tetap akan berhubung setiap hari, walau apa cara sekali pun.

"Kami gunakan semua platform perhubungan yang ada seperti Facebook, Skype, BlackBerry Messenger (BBM), Yahoo Messenger dan sebagainya untuk berhubung," katanya.

Selain itu, Farhan juga bersyukur kerana dalam masa yang sama, tunangnya itu juga sangat memahami kerjayanya.

Berdiri atas tali pertunangan tersebut, Farhan menyatakan mereka akan melangsungkan pernikahan pada awal tahun hadapan selepas dipersetujui dalam majlis pertunangan yang diadakan di Cafe Flora, AmpWalk, baru-baru ini.

"Insya-Allah, setelah disetujui oleh kedua-dua belah pihak keluarga. Masih belum memilih tarikh yang sesuai, tetapi ia akan berlangsung tahun depan.

"Sebenarnya jangka masa hampir setahun tersebut adalah untuk memberi peluang kepada kami untuk mengukuhkan karier masing-masing.

"Rashdan yang baru pulang dari UK juga baru sahaja mula bekerja sebagai pengurus akauntan di Petronas," jelas Farhan lagi.

Pada majlis tersebut, Farhan menerima sebentuk cincin emas putih yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya, Faridah Hussin.

Selain itu, dia juga turut menerima lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dan membalas tujuh dulang.

Ambil peluang keterbukaan PARFI

Posted:

Ambil peluang keterbukaan PARFI

Ambil peluang keterbukaan PARFI

Bersama ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

Anjakan Seni
SUATU ketika, sekitar 20 tahun lalu industri perfileman di Indonesia memang hebat. Dalam setahun negara jiran itu menerbitkan sehingga 400 buah filem cereka.

Pada masa sama, bidang perfileman di negara ini pula baru mula merangkak. Dalam setahun untuk menerbitkan 10 filem cereka pun begitu payah. Banyak kekangan dihadapi oleh penggiat filem tempatan. Terutama dalam soal mencari dana.

Malah, sambutan penonton dingin juga menyebabkan banyak penerbit filem 'bungkus' di tengah jalan dan menanggung kerugian besar. Ada penerbit yang hanya mampu menghasilkan sebuah filem, kemudian mengucapkan selamat tinggal kepada bidang berkenaan ekoran menanggung kerugian.

Bagaimanapun, lasdskap industri filem tempatan memperlihatkan perubahan ketara sejak lima tahun kebelakangan ini. Kepercayaan penonton terhadap filem tempatan menjadikan banyak penerbit semakin berani mempertaruhkan wang dalam industri berkaitan. Sehinggalah jumlah penerbitan mencecah lebih 40 filem cereka setahun.

Maka, industri filem negara tahun demi tahun melahirkan ramai jutawan filem. Bukan sahaja di kalangan penerbit, sebaliknya pengarah dan juga pelakon yang bernasib baik.

Ironinya, sejak setahun kebelakangan ini, Indonesia hanya menghasilkan sekitar 100 filem cereka setahun dan jumlah itu dikatakan semakin merudum.

Indonesia tertinggal dibelakang walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh para penggiat filem di sana bagi merancakkan semula bidang tersebut.

Persatuan Artis Filem Indonesia (PARFI) misalnya, sanggup turun padang termasuklah berkunjung ke negara ini bagi melakukan kerjasama dengan para penggiat tempatan.

Antaranya dengan melakukan memorandum persefahaman (MoU) dengan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) hujung bulan lalu. Sebanyak enam perkara utama yang ditekankan dalam MoU tersebut.

PARFI antaranya berminat untuk melakukan pertukaran artis antara Malaysia dan Indonesia dalam pembikinan filem mahupun drama televisyen di negara masing-masing.

Pendekatan persatuan artis Indonesia yang kini diterajui oleh presidennya, Gatot Brajamusti itu sangat positif. Ini kerana, sebelum ini industri perfileman termasuklah muzik di negara seberang itu sangat ketat dalam mengawal kemasukan artis mahupun album serta filem dari Malaysia.

Pernah suatu ketika dulu ramai artis Malaysia mengeluh kerana terlalu sukar menembusi pasaran Indonesia ekoran terlalu banyak sekatan. Hinggakan artis Malaysia yang mahu mengadakan persembahan di sana diwajibkan berdaftar di bawah satu organisasi.

Selain itu, ramai juga penyanyi yang dipaksa menukar lirik lagu mereka bagi disesuaikan dengan bahasa Indonesia sebelum ia dibenarkan ke udara di radio dan televisyen.

Bidang perfileman mengalami nasib yang lagi teruk. Sehingga hari ini, hampir tidak ada filem dari Malaysia yang berjaya menembusi pasaran di sana. Kalau ada pun kali terakhir ialah siri animasi Upin & Ipin yang berjaya melepasi semua halangan tersebut.

Dalam hal ini, baik GAFIM mahupun persatuan-persatuan artis lain termasuklah Persatuan Penyanyi, Pengubah Lagu dan Penulis Lirik (PAPITA) haruslah mengambil peluang daripada sikap keterbukaan PARFI itu.

Tidak cukup dengan persatuan-persatuan artis, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga sepatutnya melihat peluang daripada MoU yang jarang dilihat antara karyawan Malaysia dan Indonesia itu.

Di saat merudumnya industri perfileman Indonesia, banyak pawagam di negara jiran itu kosong dengan tayangan filem-filem tempatan. Sebaliknya, filem-filem dari Hollywood dan Hong Kong kini paling banyak mendominasi pawagam di negara tersebut.

Menurut wakil PARFI, Aditya Gumay yang mewakili presiden persatuan itu, terdapat lebih 600 rangkaian pawagam 21 Cineplex dan lebih 300 cawangan pawagam Blitz di Indonesia yang mengalami kekurangan filem untuk ditayangkan.

Pada kunjungannya itu, Aditya kagum apabila ada filem Malaysia seperti KL Gangster yang berjaya membuat kutipan tiket RM11.7 juta sewaktu tayangannya di pawagam seluruh negara baru-baru ini.

"Di Indonesia sekarang ini, bilangan filem agak sedikit dan penontonnya juga tidak ramai.

Contohnya, untuk penonton filem seram purata penonton yang menontonnya sekitar sejuta orang sahaja.

"Sementara penonton filem cinta pula sekitar 3.5 juta orang yang mana ia terlalu kecil jika dibandingkan dengan penduduk Indonesia yang jumlahnya lebih 200 juta," katanya.

Indonesia kini membuka ruangnya untuk itu dan terpulanglah kepada penerbit Malaysia untuk membawa produk yang mereka rasakan mampu untuk memenuhi cita rasa para penonton di sana yang tidak jauh beza daripada segi bahasa dan sosio budayanya.

Diharap menerusi MoU antara GAFIM dan PARFI itu ia akan memecahkan tembok yang menghalang kemasukan karya-karya filem dan muzik Malaysia ke negara jiran itu. Pelbagai langkah susulan harus dilakukan dan ia tidak sepatutnya hanya sekadar MoU semata-mata.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen