Nuffnang

Kosmo Online - Hiburan

sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Pengabadian Whitney, pengiktirafan Adele

Posted:

Pengabadian Whitney, pengiktirafan Adele

Pengabadian Whitney, pengiktirafan Adele

'AWAN' hitam yang muncul dalam bentuk suasana kesedihan susulan kematian mengejut bekas penyanyi diva, Whitney Houston yang seakan-akan cuba membelenggu kemeriahan majlis Grammy Awards ke-54 yang berlangsung di Staples Center, California, Los Angeles semalam bagaimanapun disulami sinar cahaya terang, kemilau dari kemenangan mengagumkan figura paling popular dan terunggul di dunia saat ini - Adele!

Mendiang Houston, 48, yang dijadualkan membuat persembahan pada konsert praGrammy disahkan meninggal pada Sabtu, 11 Februari lalu dua hari sebelum berlangsung majlis anugerah muzik paling berprestij ini, menyebabkan Grammy kali ini dipenuhi dengan aura pemenang enam Anugerah Grammy itu.

Nama mendiang disebut-sebut oleh kebanyakan kalangan karyawan muzik yang muncul pada Grammy kali ini, baik di pentas acara mahupun pada acara karpet merah. "Ada kematian dalam kalangan keluarga kami," ucap hos Grammy ke-54, rapper LL Cool J.

"Muncul sedikit awan hitam...banyak orang bersedih hati hari ini," akui pula penyanyi country, Miranda Lambert yang nyata cukup pilu dengan kepergian Whitney.

Meruntun emosi

Majlis yang meraikan karyawan muzik pelbagai genre dari pop hingga country itu turut diselitkan dengan acara khas bagi memperingati Whitney, khususnya dengan penampilan pemenang Oscar, Jennifer Hudson yang mengalunkan lagu paling hit mendiang, I Will Always Love You dengan penuh syahdu yang nyata sukses dalam meruntun emosi setiap yang melihat dan mendengar persembahan tersebut.

Biarpun Grammy kali ini meriah dengan persembahan hebat antaranya, Rihanna, Chris Brown, Bruno Mars, Coldplay, Katy Perry dan Nicki Minaj, namun sinar cahaya yang terang pada Grammy kali ini mula menjana tatkala Adele diumumkan menang satu per satu enam kategori yang diraihnya.

Masih tersenyum tatkala diumumkan menang untuk kategori kelima dirinya dipertandingkan iaitu anugerah kedua tertinggi Grammy - Rakaman Terbaik Sepanjang Tahun, selepas disahkan sebagai pemenang kategori Album Pop Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Vokal Album Pop Terbaik, Adele tidak lagi dapat menahan emosi apabila diumumkan sebagai pemenang anugerah tertinggi Grammy - Album Terbaik Sepanjang Tahun!

"Ibu, emas adalah bagus!" jerit pemilik nama Adele menujukan kemenangan itu untuk turut dikongsi bersama ibunya, Penny Adkins mengiringi tangisan terharunya saat menjulang trofi Album Terbaik Sepanjang Tahun sambil dikelilingi karyawan penting di sebalik kejayaannya itu termasuk penerbit album 21, Ryan Teddy.


JENNIFER HUDSON kelihatan pilu ketika mendendangkan lagu I Will Always Love You khusus untuk mengenang mendiang Whitney Houston.


Tambah Adele: "Album ini (21) dihasilkan dengan meraih inspirasi daripada sesuatu yang sangat normal...hubungan (cinta) yang tidak menjadi."

Ironinya, jika sepanjang hayatnya, Whitney merangkul enam anugerah Grammy, namun Adele nyata lebih hebat apabila menang enam Grammy secara sekali gus menerusi Grammy ke-54 ini. Ia menyamai rekod yang dibuat oleh Beyonce sebelum ini yang pernah menang enam anugerah Grammy ke-52 secara sekali gus pada tahun 2010.

Dicampur dua lagi anugerah Grammy yang diraihnya menerusi album sulungnya, 19 pada Grammy tahun 2009 iaitu Artis Baharu Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik, Adele kini mengumpul sejumlah lapan Anugerah Grammy hanya menerusi dua buah album.

Pada usianya yang baru 23 tahun, perjalanan Adele masih jauh dan laluan emas berkilauan buatnya yang kini terbentang luas sekali gus menyediakan suatu cabaran yang hebat buat dirinya sama ada di masa mendatang ini dia akan kekal hebat seperti hari ini atau turut menyertai 'laluan maut' seperti mana mendiang Houston.

Foo Fighters kuasai rock

Selain Adele, band rock Foo Fighters turut menang besar apabila merangkul lima kemenangan termasuk kategori Album Rock Terbaik menerusi album mereka, Wasting Light.

"Bagi saya, kemenangan kami ini sangat penting kerana ia menunjukkan elemen terpenting manusia adalah untuk menghasilkan muzik. Ia (muzik) tentang apa yang lahir dari hati," ucap vokalis Foo Fighters, David Grohl.

Kanye West yang meraih pencalonan Grammy terbanyak sebanyak tujuh lebih satu daripada Adele, menang empat anugerah termasuk untuk kategori Album Rap Terbaik dan Lagu Rap Terbaik.

West bagaimanapun tidak hadir pada majlis anugerah yang menyaksikan penyanyi country jelita, Taylor Swift meraih dua anugerah iaitu Persembahan Solo Country Terbaik dan Lagu Country Terbaik.

Sebenarnya ramai ingin melihat kemunculan West pada acara yang sama dihadiri oleh Swift kerana mereka berdua pernah terbabit dalam kontroversi pada tahun 2009 iaitu pada acara MTV Video Music Aweards. Ia tercetus apabila West yang berang dengan kemenangan Swift merangkul Anugerah Video Penyanyi Wanita Terbaik mengalahkan calon lain termasuk Beyonce telah menyerbu pentas dan merampas trofi yang dijulang Swift ketika itu.


TINGGAL KENANGAN. Wajah gembira mendiang Whitney Houston ketika menjulang trofi Anugerah Persembahan Vokal Penyanyi Wanita R&B Terbaik pada Grammy Awards ke-42 pada tahun 2000.


Lain hal pula dengan Chris Brown yang sebelum ini pernah terbabit dengan kes pukul penyanyi Rihanna, juga pada tahun 2009.

Biarpun mengetahui Rihanna muncul dan membuat persembahan di pentas Grammy kali ini, namun Brown menunjukkan sisi profesionalnya apabila hadir bukan sahaja untuk membuat persembahan yang hebat tetapi meraih ganjaran positif apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Album R&B Terbaik.

Selain menjadi acara paling bererti buat penyanyi legenda Diana Ross yang diberikan pengiktirafan kehormat Grammy iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, warna-warni dan corat-coret Grammy ke-54 pada tahun ini disempurnakan dengan persembahan penutup daripada otai legenda yang pernah mencetuskan fenomena bersama Beatles suatu ketika dahulu, tidak lain dan tidak bukan Paul McCartney.

Teka-teki siapa tunang Farhan terjawab

Posted:

Teka-teki siapa tunang Farhan terjawab

Teka-teki siapa tunang Farhan terjawab

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


FARHAN bergambar dengan seluruh ahli keluarganya pada majlis pertunangannya 12 Februari lalu.


KALI pertama Farhan Akademi Fantasia (AF4), 28, dan Ahmad Rashdan Suhaimi, 28, dipertemukan pada majlis sambutan hari jadi Farhan yang ke-22 pada tahun 2006. Mereka tidak menyangka perkenalan itu boleh menimbulkan bibit-bibit cinta seterusnya membawa mereka ke fasa perhubungan yang lebih serius iaitu pertunangan.

Masakan tidak, hubungan cinta yang terjalin erat selama dua tahun kemudiannya dipisahkan antara benua dek kerana kekasih hati terpaksa melanjutkan pelajaran ke United Kingdom selama hampir empat tahun.

Tidak gentar dengan dugaan sebegitu, pemilik sebenar nama Nur Farhan Azizan, begitu setia menunggu sang kekasih. Sebaliknya, kekasih hati nun jauh pula resah gelisah meninggalkan buah hati yang semakin mencipta nama di Malaysia.

"Kami dipertemukan oleh Kak Nur iaitu salah seorang rakan kelab peminat saya ketika sambutan hari jadi saya pada tahun 2006. Rashdan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada tahun 2008. Selama tiga tahun kami menjalinkan percintaan jarak jauh, banyak kesukaran yang kami hadapi. Dia risaukan saya kerana saya artis. Takut ada skandal tetapi saya jaga semuanya dan tahu batas-batas dalam perhubungan," ujarnya kemudiannya terus disunting Rashdan setelah pulang dari United Kingdom kira-kira empat bulan lalu.

Lantas setelah hampir tujuh tahun menyulam cinta akhirnya Farhan dan Rashdan mengikat tali pertunangan pada 12 Februari lalu di Flora Amwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pertunangan mereka sekali gus melenyapkan teka-teki media bahawa teman lelaki yang beberapa kali mengikutnya ke majlis-majlis hiburan yang disangkakan pengurus Farhan rupa-rupanya seorang pengurus akauntan di Petronas.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang percintaan jarak jauhnya, Farhan mengaku pernah berdepan pergaduhan sehingga menyebabkan mereka tidak berhubung selama dua bulan.

Namun, semuanya kembali baik tatkala Rashdan menghubunginya semula.

"Selama dia berada di sana pelbagai sistem komunikasi telah kami gunakan. Antaranya, Yahoo Messenger, Skype, Facebook, Twitter dan macam-macam lagi demi mengeratkan lagi hubungan. Namun, adat bercinta jarak jauh kami juga berdepan dengan pergaduhan dan terputus hubungan selama dua bulan," ujarnya yang manis dalam persalinan kelabu dan ungu hasil rekaan Syarakim ketika ditemui selepas majlis pertunangannya.

Mengikat tali pertunangan selama setahun, ungkap Farhan, mereka memerlukan masa kira-kira setahun untuk memberi masa kepada masing-masing mengukuhkan karier sementelah tunangnya baru sahaja memulakan tugasnya sebagai pengurus akauntan.

Ditanya apakah ciri-ciri yang ada pada Rashdan sehingga dirinya terpikat kepada jejaka itu, ujar Farhan, tunangnya seorang yang sangat memahami walaupun pemikirannya agak konservatif.

"Saya ini seorang yang berfikiran terbuka. Tetapi Rashdan tidak. Dia agak konservatif. Itu salah satu sebab saya tertarik kepada dia. Saya rasa lelaki yang berfikiran begini boleh membimbing saya ke arah yang lebih baik. Selain itu, dia juga seorang yang sangat memahami. Malah, dia tidak menghalang saya untuk terus aktif menyanyi selepas berkahwin nanti," tuturnya.

Pada majlis pertunangan itu, Farhan menerima sebentuk cincin emas putih bertakhtakan berlian yang disarungkan oleh bakal mentuanya, Faridah Hussin.

Menariknya, tidak seperti kebanyakan majlis pertunangan yang lain, majlis pertunangan Farhan tidak dihadiri oleh tunangnya, Rashdan.

Menurut Farhan, perkara tersebut (ketidakhadiran Rashdan) memang dirancang kerana mereka mahu kesederhaan dan mengikut adat lama.

Farhan turut menerima lima dulang hantaran berupakan manisan iaitu kek cawan, buah-buahan, pot pouri, sirih junjung dan sedikit wang perbelanjaan sebagai tanda pertunangan.

Pihak Farhan pula membalas tujuh dulang hantaran yang juga berupakan manisan iaitu kek cawan, al-Quran, buah-buahan, kek fondant, sejadah dan sirih junjung.

Pasangan itu sepakat untuk memberi hantaran sepersalinan ketika hari pernikahan kelak. Mereka dijangka melangsungkan pernikahan pada awal tahun depan.

9X program untuk belia

Posted:

9X program untuk belia

9X program untuk belia

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL


ANTARA barisan artis muda yang terlibat di dalam program 9X.


SEJAJAR dengan komitmen saluran TV9 yang mengetengahkan kreativiti di kalangan remaja dan belia, sebuah slot telah dilancarkan khusus bagi tontonan remaja dan belia dalam lingkungan usia antara 19 hingga 29 tahun bagi memberi ruang untuk golongan tersebut melempiaskan idea mereka.

Slot yang diberi nama 9X menjanjikan kelainan serta pengisian yang lebih menarik menggunakan formula yang bersesuaian dengan cita rasa sasaran penonton saluran TV9 yang lebih muda.

Slot tersebut akan menemui penonton TV9 bermula 20 Februari ini pada setiap hari Isnin hingga Rabu pukul 10.30 malam. Antara program menarik yang diselitkan dalam slot ini adalah seperti Aizat Gegar NZ, Teenwolf, Pulau, Soundcheck, 9X Mix Tape dan banyak lagi.

Menurut Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin berkata, 9X bakal menjanjikan kelainan dari segi konsep dan juga barisan program yang disiarkan juga akan hadir dalam pelbagai genre.

Idea 9X hadir melalui hasil pertemuan dengan golongan belia dalam acara padang TV9 sekitar tahun 2011. Melihatkan jumlah belia yang mempunyai idea kreatif, imaginatif yang di luar jangkaan, 9X dicipta sebagai medium untuk mereka meluah dan mengembangkan bakat terpendam yang ada dalam pelbagai bidang.

"Kami berpegang teguh kepada tiga perkara iaitu untuk terus menyuntik elemen baharu di dalam semua usaha kami untuk terus memberikan kelainan serta untuk terus menjadi sumber inspirasi kepada penonton kami.

"Menyedari bahawa adanya keserasian di antara nilai-nilai kami dan komuniti remaja masa kini, ianya menaikkan semangat kami untuk memainkan peranan dalam menyediakan platfom bagi mereka untuk mengekspresikan diri di samping menjadikan ia sebagai aspirasi kepada yang lain," tutur Sherina ketika mengadakan pelancaran 9X di Yayasan Seni, Kuala Lumpur.

Tambahnya lagi, 9X bukan sahaja akan menjadi tapak permulaan kepada para remaja untuk berkarya dan berkongsi kreativiti, malah TV9 turut memberi sokongan serta menggalakkan para belia untuk menceburkan diri dalam bidang produksi yang seterusnya akan disiarkan di saluran TV9 untuk tontonan semua.

Selain itu, program menarik seperti ini adalah satu tujuan untuk menaikkan rating saluran TV9 yang berada di tempat kedua di bawah saluran TV3 dengan perkongsian peratusan sebanyak lapan peratus.

"Jika sebelum ini slot Skrin di TV9 pada pukul 8.30 malam mendapat kutipan penonton seramai 700,000 orang. Namun, kini kami telah dapat mencecah sehingga 1 juta penonton. Dan jujur, kami agak berbangga dengan pencapaian tersebut walaupun saluran TV9 hanya dapat bersaluran di Semenanjung Malaysia sahaja," jelas Sherina teruja.

Bagi belia yang ingin mengetengahkan idea-idea mereka dalam slot ini, TV9 sangat terbuka untuk menerima kertas cadangan dan idea dari sesiapa sahaja. Namun, kelainan dari segi konsep dan idea diperlukan supaya ia tidak kelihatan sama dengan konsep atau program yang sedia ada.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen