Adsense

Selasa, 21 Februari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Luahan hati Alyah

Posted: 20 Feb 2012 03:41 PM PST

Hip

Mungkin dapatkan khidmat Ramli MS untuk album akan datang

SEJAK memenangi kategori Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-26, Januari lalu, penyanyi Alyah mengakui rezekinya semakin bertambah apabila tawaran mengadakan persembahan datang mencurah-curah, sehingga dirinya sendiri tidak menang tangan.

Apabila keadaan itu berlaku, bukanlah bermakna Alyah mahu mendabik dada. Sebaliknya, tegas penyanyi berasal dari Pasir Gudang, Johor ini, dia begitu bersyukur kerana pengorbanan dan kerja keras selama ini akhirnya membuahkan hasil. "Bukan mudah untuk Alyah berada dalam kedudukan sekarang. Ramai yang sedia maklum Alyah bermula dari bawah. Pernah jatuh dan Alyah kembali bangkit untuk meneruskan perjuangan, tanpa mengenal erti putus asa.

"Alhamdulillah, segala penat lelah Alyah selama ini terbayar juga. Memang sudah lama Alyah menanti saat-saat begini dan Alyah takkan sia-siakan peluang yang datang," janji Alyah ketika ditemui pada majlis penyampaian cek kepada pemenang AJL26 di Sri Pentas, Bandar Utama.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar; komposer, Datuk M Nasir; serta penulis lirik, Budi Hekayat.

Memandangkan namanya sedang hangat terutama selepas berjaya mencuri perhatian peminat dengan persembahan memukau pada pertandingan berkenaan, ramai yang tertanya-tanya, apakah Alyah tidak mahu mengambil kesempatan itu untuk mengeluarkan album terbaru?
"Memang ada perancangan untuk menghasilkan album solo terbaru, tapi bukanlah sekarang kerana Alyah baru saja muncul dengan single berjudul Pesananmu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik Habsah Hassan.

"Album baru yang diberi judul Kisah Alyah itu pula akan menceritakan mengenai perjalanan hidup Alyah, termasuk soal perhubungan seperti kisah putus tunang. Semuanya akan Alyah luahkan dalam album itu nanti.

"Antara komposer yang terbabit dalam pembikinan album berkenaan ialah Azlan, Manusia Putih dan Awi Rafael. Alyah juga akan merakamkan kembali lagu Inggeris ciptaan Zuriani yang pernah dimuatkan dalam album Alyah terbitan EMI," kata Alyah lagi.

Ditanya tidakkah dia berminat bekerjasama dengan Datuk Ramli MS untuk pembikinan album terbaru, selepas komposer dan pengarah muzik tersohor itu berjaya menterjemahkan susunan muzik yang cukup indah pada malam kemuncak AJL26, Alyah mempunyai jawapan tersendiri.

"Bukan tidak mahu bekerjasama dengannya, cuma faktor masa yang menjadi penghalang. Dia mungkin terlalu sibuk dan saya mahu album ini disiapkan secepat mungkin. Pada masa akan datang, mungkin saya akan mendapatkan khidmatnya," ujar penyanyi berusia 31 tahun ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai wang kemenangannya, Alyah berkata, dia berhajat untuk mengadakan kenduri.

"Majlis kenduri itu akan diadakan di kampung Alyah di Pasir Gudang pada 27 Februari ini. Itulah satu-satunya tarikh Alyah tidak sibuk. Majlis itu diadakan untuk meraikan mereka yang selama ini banyak menyokong kerjaya Alyah sehingga Alyah mampu berada pada kedudukan seperti hari ini," katanya.

Harun sedih kewibawaan dipertikai

Posted: 20 Feb 2012 03:36 PM PST

Hip

Harun Salim Bachik

Harun Salim Bachik

Hentikan sementara aktiviti elak tuduhan salah guna kuasa

PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Harun Salim Bachik, terkilan apabila dituduh terlalu mementingkan kerjaya seni sehingga mengabai kebajikan anggota persatuan.

Sejak mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Mustafa Maarof tiga tahun lalu, kepimpinan Harun sering dipertikai, termasuk tuduhan menyeleweng wang persatuan. Rentetan itu, kewibawaan Harun mula diragui. Kedengaran juga desas-desus mengatakan, anggota SENIMAN sedang berbincang untuk menggugurkan nama Harun daripada kerusi tertinggi, seterusnya melantik Timbalannya, Zed Zaidi, sebagai pengganti.

Zed bagaimanapun dalam kenyataan kepada B*Pop Ahad lalu menafikan dakwaan kononnya dia sedang melobi diri untuk jawatan terbabit, sebaliknya percaya Harun masih boleh memimpin persatuan itu dengan baik. Dia juga tidak akan mencabar kepemimpinan Harun, malah masih setia kepadanya.

Harun yang dihubungi berkata, dia sedih dan kecewa apabila usahanya menjaga kebajikan ahli persatuan yang memerlukan dipertikaikan. Justeru, bagi menutup mulut mereka, dia terpaksa memberhentikan segala aktiviti sebagai tempoh bertenang.

"Saya sengaja berhentikan seketika aktiviti persatuan ini kerana tidak mahu lagi orang menuduh saya menggunakan duit persatuan. Bila kita buat aktiviti, mereka tuduh kita menyeleweng duit. Tapi bila saya senyap pula, orang kata saya tak jalankan tanggungjawab.
"Adakah apabila bergelar Presiden, saya tidak boleh cari makan? Banyak sangat ke yang persatuan bayar untuk memikul jawatan itu?" tanya Harun dengan nada agak tegas.

Menurut pelakon ini, ahli jawatankuasa (AJK) mencapai kata sepakat membekukan aktiviti persatuan berkenaan selepas mesyuarat agungnya tahun lalu. Keputusan itu dicapai bagi menghentikan tuduhan membabitkan penyelewengan wang.

"Saya buat begini kerana tidak mahu lagi orang menaruh syak wasangka. Mereka tuduh saya mengeluarkan wang pokok sedangkan wang itu masih ada lagi dalam simpanan. Sebaliknya kami menggunakan wang dividen untuk kebajikan ahli.

"Saya keluarkan wang itu bukanlah untuk kepentingan sendiri, tetapi untuk membantu ahli juga. Tetapi orang tuduh macam-macam, kononnya saya gunakan jawatan itu untuk kepentingan sendiri dan guna duit persatuan untuk bikin filem.

"Saya juga kesal apabila ada dakwaan mengatakan saya mahu letak jawatan, sedangkan saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung peletakan jawatan," katanya.

Harun yang nyata kecewa dengan sikap sesetengah anggota persatuan yang seolah-olah cuba menjatuhkannya berkata, dia reda dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku, tetapi pada waktu sama dia tidak akan sesekali mengalah.

"Sekiranya mereka mahu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk memilih Presiden baru, saya tidak boleh buat apa. Memang saya sendiri tidak pernah memikirkan hal berkenaan," katanya.