Adsense

Khamis, 26 Januari 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Lepas gian

Posted: 25 Jan 2012 03:34 PM PST

Hip

Rosyam buktikan usia bukan halangan untuk lakukan aksi lagak ngeri

MELIHAT kepada proses penggambaran filem KL Gangster II, boleh dibayangkan aksi yang padat dengan lagak ngeri daripada barisan pelakon utamanya.

Lebih-lebih lagi filem prekuel arahan pengarah muda, Syamsul Yusof itu menampilkan pelakon berpengalaman yang sememangnya terkenal dengan aksi lagak ngeri atau stuntman. Bintang Paling Popular ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 (ABPBH2002), Rosyam Nor mengakui gian untuk tampil dengan aksi bahaya menerusi filem terbaru lakonannya.

Selain itu, pelakon lain yang digandingkan di dalam filem ini seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Ridzuan Hashim, Syamsul Yusof dan Soffi Jikan sudah terbukti kewibawaan sebagai bintang pelapis.

"Rasa gian untuk beraksi lasak sudah lama saya pendam. Kali terakhir saya muncul dengan karakter ganas menerusi filem Castello arahan Bade Azmi pada tahun 2006. Walaupun selepas itu saya masih menerima tawaran filem, namun terpaksa menolak kerana karakter itu kurang mencabar kerjaya saya sebagai pelakon, begitupun ,saya hanya menerima tawaran drama saja.

"Peluang yang diberikan Skop Production Sdn Bhd (SPSB) memang tidak seharusnya ditolak kerana karakter Tailong yang diberikan kepada saya amat mencabar, secara tidak langsung, karakter itu akan memberikan impak kepada kerjaya lakonan saya yang sudah lama tidak muncul dengan genre filem aksi seperti ini," katanya.
Rosyam Nor atau nama sebenarnya Mohd Noor Shamsuddin, 45, mengakui berani mengambil risiko untuk melakukan sendiri aksi lagak ngeri memandangkan dia mahu menghargai usaha pengarah menggunakan penggunaan teknologi baru di dalam pembikinan filem itu.

Banyak aksi lagak ngeri yang dilakukan Rosyam mendapat pujian daripada pengarah, terutama keberaniannya duduk melutut di atas kenderaan yang sedang bergerak laju untuk melakukan aksi tembak-menambak.

"Aksi itu tidak dirancang bersama pengarah, namun ketika kamera merakam babak ini timbul keberanian dan keyakinan untuk memberi aksi yang lebih meninggalkan impak kepada lakonan dan filem itu.

"Jika hendak ikutkan, memanglah saya takut melakukan aksi lagak ngeri itu, namun saya harus buktikan kepada masyarakat menerusi filem ini saya seolah-olah 'comeback' untuk melakonkan aksi lasak.

"Bila saya melihat Syamsul banyak menggunakan teknologi baru dalam pembikinan filemnya seperti penggunaan kamera Jimmy Jib yang memerlukan kos yang mahal, saya jadi bertanggungjawab untuk menghargai penggunaan kamera itu. Memang sayang kalau tidak mengambil peluang memberi shoot menarik dalam filem itu. Saya harus tonjolkan kemampuan saya yang sudah lama tidak beraksi," katanya yang mengakui Tailong adalah watak yang paling jahat pernah dilakonkan sepanjang menceburi bidang lakonan.

Pengalaman berkerja bersama sutradara muda yang juga anak kepada produser terkenal, Datuk Yusof Haslam, Rosyam memuji usaha keras anak muda itu yang kreatif dan berani mengeksploitasi sesuatu yang baru di dalam industri perfileman.

"Syamsul suka minta pandangan daripada pelakonnya sebelum melakukan sesuatu babak, secara tidak langsung pelakon dapat berkongsi idea untuk memberikan impak kepada lakonan setiap pelakon. Dia memang mempunyai idea yang banyak dan berfikiran terbuka," katanya.

Sebelum ini Syamsul pernah berkata, Rosyam adalah antara pelakon yang sudah lama diinginkan terbabit di dalam projek filemnya. Komitmen dan bakatnya menarik perhatian pengarah yang menjanjikan akan kembali bekerjasama selepas berakhirnya filem KL Gangster II.

"Saya berterima kasih kepada Syamsul kerana menghargai usaha saya selama ini. Saya memang tidak ada masalah untuk terus bekerjasama selepas ini. Sebenarnya perkara sama saya lakukan kepada setiap pengarah untuk memberi kepercayaan kepada mereka dengan bakat yang saya ada.

"Meskipun usia saya semakin meningkat, namun berlakon dalam filem aksi seperti ini sedikitpun tidak berasa ada perbezaan daripada lakonan saya sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Rosyam yang turut dicalonkan menerusi kategori Anugerah Seri Perak dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) menghargai usaha penganjur mengimbas kembali sejarah kegemilangan majlis itu.

"Setiap penganjuran sesuatu penganugerahan harus ada idea baru agar ia tidak nampak sama seperti sebelum ini, lebih lagi tahun ini ABPBH menyambut sambutan ke-25 jubli perak penganjurannya.

"Saya berasa bertuah kerana menjadi salah seorang daripada 12 artis yang disenaraikan dalam kategori khas itu, saya juga tidak melihat penganjur mewujudkan kategori itu untuk dipertandingkan, tetapi lebih kepada mengimbas Bintang Paling Popular.

"Bukan saja saya, mungkin calon lain juga tidak terlalu mengharapkan kemenangan menerusi kategori itu, namun apa-apa pun saya akan hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis paling berprestij di dalam industri hiburan tanah air," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Dengarnya... Ellie ditatang anak buah

Posted: 25 Jan 2012 03:30 PM PST

Hip

MUNGKIN ramai yang terkejut apabila mendapat tahu, pengarah filem Penanggal, Ellie Suriaty, yang mengalami keguguran pada penghujung Disember lalu, tetap turun ke lokasi penggambaran pada sebelah malam hari yang sama, bagi menyambung kerjanya.

Alahai, kuatnya semangat wanita ini. Sudahlah kehilangan bayi yang ketika itu dikatakan berusia lima bulan dalam kandungan, pada masa yang sama dia memikul tanggungjawab berat sebagai pengarah.

Namun, apa yang disampaikan ke telinga Cik Normah, tidak ada sesiapa yang memaksa Ellie untuk hadir ke lokasi. Sebaliknya dia sendiri yang bertindak begitu atas alasan tidak mahu terlalu memikirkan perkara yang berlaku. Cik Normah juga ada mendengar daripada seorang rakan, layanan yang diberikan kepada Ellie cukup baik dan istimewa sepanjang dia bekerja, selepas kejadian terbabit.
Mana tidaknya, Ellie ibarat berpantang dalam hutan apabila disediakan sebuah van dan dikurung sepanjang penggambaran.

Pihak produksi cukup sayangkan Ellie sehingga mereka mahu wanita itu mengarah dari dalam van saja, tidak membenarkannya turun menjejakkan kaki ke bumi.
Malah, sepanjang tempoh pantangnya itu, Ellie turut disediakan dengan makanan orang berpantang.

Jadi, kepada peminat yang bimbang serta simpati dengan nasib Ellie, mungkin boleh menarik nafas lega sikit kerana layanan pihak produksi terhadapnya cukup baik.
Dengar khabar, Ellie agak rimas apabila dia mahu bergerak ke sana ke mari, ada saja insan yang diamanahkan untuk memerhatikan pergerakannya, malah sampai ke tahap mengekorinya.

Tak apalah Ellie, mereka berbuat begitu pun demi kebaikan dan kesejahteraan Ellie sendiri. Ia juga membuktikan, bakat seni Ellie sangat dihargai, apabila mereka tidak mahu Ellie jatuh sakit kalau tidak dijaga dengan baik.

Ellie juga tidak keseorangan di lokasi kerana pelakon utama filem itu ialah suaminya sendiri. Jadi, paling tidak ada juga insan tersayang di sisi, yang sentiasa memberikan kata semangat dan dorongan, tatkala Ellie memerlukannya nanti.

Full content generated by Get Full RSS.