Adsense

Khamis, 1 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Jadi isteri derhaka

Posted: 30 Nov 2011 04:19 AM PST

BARU dua tahun menceburi bidang lakonan, nama Nur Fathia Abd Latiff atau Fathia sudah mula menjadi sebutan ramai. Drama Stanza Cinta meletakkan namanya sebaris pelakon popular sedia ada dan mula menjadi perhatian penerbit drama mahupun filem.

Walaupun sudah boleh menarik nafas lega kerana kerjaya lakonan mula menunjukkan perkembangan positif, gadis berusia 24 tahun ini tidak mahu berasa selesa dan mahu terus memperbaiki kelemahan diri.

Ditemui sewaktu sesi fotografi khas bersama Rap, baru-baru ini, Fathia menjelaskan ada perkara yang mahu dilakukan dan ia dilihat mampu mempertajamkan bakat dimiliki iaitu bekerja dengan mereka yang dianggap bagus dan menerima tawaran melakonkan pelbagai watak.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pelakon dianggap bagus menjadi idamannya untuk bekerjasama, Fathia dengan pantas menjawab Shaheizy Sam.


"Jangan ada pula pihak membuat andaian yang bukan-bukan. Saya ikhlas mahu bekerja dengan Sam kerana saya lihat dia antara pelakon muda berbakat besar dan kaya pengalaman. Saya kagum dengan kemampuannya melakonkan pelbagai watak sama ada romantis, komedi mahupun antagonis.


"Saya menjadikan dia sebagai idola. Saya rasa peminat filem tempatan sendiri setuju dengan kenyataan saya ini bahawa Sam seorang pelakon yang bagus. Berikanlah kepadanya apa saja watak pasti dia akan membawanya dengan baik. Kalau boleh saya juga mahu menjadi sepertinya, mampu melakonkan pelbagai watak dengan bagus," katanya.

Dalam diam, rupa-rupanya Fathia menjadi pemerhati setia Sam sama ada dalam bidang lakonan mahupun secara peribadi.

Katanya, melihat usaha gigih Sam sewaktu bekerja dan cara dia melayani peminat setia, tidak mustahil pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) itu diangkat sebagai Artis Paling Popular di majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun lalu.

"Saya tidak pernah bekerja dengan Sam sebelum ini cuma sesekali bertemu di majlis anugerah yang kami hadiri. Di kesempatan itu, saya sempat menegurnya. Walaupun saya baru dan kurang dikenali, Sam tetap meluangkan masa bercakap dengan saya.

"Bukan itu saja, saya nampak dia sering dahulukan peminatnya yang mahu bergambar bersama atau sekadar bertegur sapa. Kerana itu dia disayangi ramai," katanya.

Melihat daripada sudut itu, jelas Fathia, dia tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian sekiranya ada penerbit atau pengarah yang mahu menggandingkan mereka berdua di filem mahupun drama. Lebih daripada itu, apa yang lebih penting dia mahu menimba ilmu daripada pelakon berbakat seperti Sam.
Kata Fathia, dia kini sibuk di lokasi telefilem terbaru. Memastikan penampilannya kali ini berbeza dengan apa yang pernah dilakukan sebelum ini, pelakon filem Al-Hijab itu buat pertama kali memegang peranan antagonis.

"Drama ini mengisahkan kehidupan lelaki yang berkahwin lebih daripada satu. Watak suami saya dilakonkan Rizal sementara isteri kedua adalah Fyda. Saya memegang watak seorang isteri yang bongkak dan kurang ajar kepada suami. Bayangkan jahatnya saya terhadap suami sampai kaki naik ke badannya.

"Saya pasti ramai akan terkejut dengan penampilan saya dalam drama itu. Maklumlah, ramai mengenali saya menerusi drama Stanza Cinta, seorang gadis bertudung sering dirundung malang. Watak Amni Sorfina juga mengangkat nama saya sehingga dikenali.

"Bagaimanapun untuk memperbaiki bakat lakonan, saya tidak boleh berlakon watak yang sama walaupun ramai yang menggemarinya. Kalau saya masih terus melakonkan watak sedemikian rupa, takut nanti lama-kelamaan orang akan bosan," katanya.

Diaju dengan pertanyaan, tidak bimbang kelak orang akan membencinya gara-gara watak yang dilakonkan, kata Fathia, untuk memastikan kerjaya seninya terus menunjukkan perubahan dia harus melakukannya.

"Memang perasaan takut orang membenci saya itu ada apabila melakonkan watak antagonis, tetapi saya tidak boleh berasa selesa dengan apa yang sudah saya lakukan sebelum ini. Setiap orang mahukan perubahan dalam hidup dan kerjaya. Begitu juga saya.

"Saya mahu orang lihat apa yang mampu saya lakukan sebagai pelakon. Andai orang membenci saya kerana watak jahat yang saya lakonkan itu, saya bersyukur kerana ia berjaya mempengaruhi orang ramai sehingga mereka percaya dengan watak yang saya mainkan," katanya.

Waktu sama jelas Fathia, dia yakin peminat sekarang sudah boleh membezakan antara lakonan dan juga peribadi seseorang pelakon. Mengambil contoh aktor idolanya Sam. Dia bukan saja tampil dalam watak hero dan romantis, tetapi juga watak jahat. Sehinggakan ramai yang geram melihatkan aksi jahatnya itu, tetapi ia hanya dalam filem. Di luar peminat masih menyayanginya.

Jelas Fathia lagi, walaupun dia kini sedang mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam tahun akhir, tetapi dia tidak bercadang mahu meneruskan kerjaya sebagai peguam. Sebaliknya dunia lakonan sudah meresapi dan sebati dalam jiwanya.

"Saya terpaksa membahagikan masa antara kuliah dan dunia lakonan. Bagaimanapun sekarang ini apa yang menjadi keutamaan saya adalah menghabiskan dulu pengajian. Tapi bila sudah lama tidak ke lokasi, membuatkan hati saya rasa rindu untuk berlakon.

"Daripada situ saya sudah tahu apa yang saya mahukan dalam hidup. Saya mahu menjadi anak seni dan kalau boleh mahu menjadi yang terbaik. Saya sanggup lakukan apa saja bagi memastikan kecintaan saya dalam bidang lakonan dapat diteruskan sampai bila-bila," katanya yang bakal membintangi filem Pak Pong bersama Fauzi Nawawi.

PROFIL

Nama sebenar: Nur Fathia Abd Latiff
Panggilan: Fathia
Tarikh lahir: 1 September 1987
Umur: 24 Tahun
Tempat lahir: Ayer Hitam, Pulau Pinang
Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik
Kerjaya: Pelakon dan Model
Pendidikan: Sedang Mengikuti Pengajian Peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Drama dan telefilem: Stanza Cinta, Hani, Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri dan Bila Musang Berjanggut.
Filem: Al-Hijab
Iklan komersial: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua dan Panasonic.

Full content generated by Get Full RSS.

Iktiraf sumbangan

Posted: 30 Nov 2011 04:11 AM PST

LAGU Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi yang dipopularkan Alleycats sekitar 1980-an melonjakkan nama penulis lirik, Syed Mohd Amin Syed Hashim Al-Shahab, 57, atau lebih dikenali S Amin Shahab.

Sebagai penulis lirik terkenal, dia sudah menghasilkan lebih 500 lirik yang pernah dinyanyikan hampir 30 penyanyi sejak awal 1980-an lagi. Malah mencatat rekod antara penulis lirik yang menghasilkan lirik terbanyak. Di kalangan penggiat seni S Amin dikenali dengan penghasilan lirik yang puitis, berunsur nasihat dan penuh makna.

Lirik lagu yang dihasilkan antaranya 10 lagu dalam album Judul Cinta dan Hidup nyanyian Datuk Shake, 10 lagu ciptaannya menerusi album Drama Kehidupan (Alleycats) pada 1984, serta beberapa lagu yang dipopularkan kumpulan FRU.

Tidak ketinggalan beberapa lagu popular seperti Keroncong Untuk Ana 1 dan Keroncong Untuk Ana 2 (M Nasir), Suci Dalam Debu (Iklim) dan Teratai Layu Di Tasik Madu (Fauziah Latiff).


Atas sumbangan besarnya dalam penulisan lirik lagu, S Amin dipilih untuk menerima pengiktirafan khas, Anugerah Nadi Cipta pada Malam Mesra Badan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) Berhad, kelmarin.


Tidak dinafikan kemampuan dan bakat semula jadi S Amin selain sumbangan dan kegigihan yang ditunjukkan tanpa kenal erti putus asa berbakti menerusi karyanya, wajar dicontohi.

Katanya, Anugerah Nadi Cipta adalah anugerah pertama yang diterimanya daripada MACP sepanjang lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni dan ia disifatkan cukup bermakna. Secara tidak langsung sebagai ahli MACP sememangnya mengambil berat kebajikan ahlinya.

"Saya sangat terharu dan berterima kasih kepada MACP dan sangat menghargai pengiktirafan ini. Sememangnya MACP antara pertubuhan yang menjaga keahliannya selain membantu karyawan seni menjana pendapatan menerusi karya yang dihasilkan.

"Malah ketika zaman kegawatan ekonomi suatu masa dulu MACP tetap membantu ahlinya dengan mengutip royalti," kata S Amin yang bertindak sebagai penulis lirik eksklusif syarikat rakaman Luncai Emas.

Bapa kepada lima anak ini memaklumkan, lirik yang dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri. Padanya tidak sukar untuk seseorang itu menghasilkan lirik jika mempunyai minat yang tinggi.

"Kebanyakan lirik yang saya hasilkan berkonsep penceritaan. Kadang kala lirik yang dihasilkan disesuaikan dengan penyanyi itu sendiri. Menerusi lirik pelbagai subjek atau topik yang sudah saya sentuh daripada cerita membabitkan peperangan, kisah individu selain kebanyakan lagu berkisar kepada percintaan.

"Sejak serius dalam penghasilan lirik lagi saya sudah menghasilkan lagu-lagu rakyat, kritik sosial dan berunsur nasihat. Sehingga ada juga beberapa permintaan daripada artis yang mengaitkan jalan cerita sehingga terhasilnya 10 lagu dalam sebuah album karya saya sendiri.

"Situasi dunia seni sekarang jauh berbeza daripada dulu. Kebanyakan penyanyi boleh menghasilkan lirik sendiri terutama dengan kemunculan aliran indie. Pada saya ini satu perkembangan positif. Walaupun ada yang berpendapat senario ini mempunyai kebaikan dan kelemahannya namun masing-masing tetap diberi peluang dan ruang untuk berkarya," katanya.

S Amin yang kini berjinak dengan hobi mengumpul keris masih aktif menghasilkan lirik berdasarkan permintaan. Tidak hanya dalam penulis lirik, S Amin turut diiktiraf sebagai pelukis sejak 2004.

Penyertaan secara seriusnya membuahkan kejayaan dan mencatat sejarah apabila berjaya menyiapkan lukisan terpanjang iaitu 800 meter dua tahun lalu. Menerusi lukisan yang ditaja Balai Seni Lukis Negara, S Amin menjelajah ke Eropah, Asia Timur, Pakistan dan Makassar.

Full content generated by Get Full RSS.