Adsense

Selasa, 8 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kejutan budaya

Posted: 07 Nov 2011 02:49 PM PST

Hip

Tiga bakat besar bergabung tenaga dalam Songlap Disember ini

MEREKA dianggap antara pelakon berbakat yang perlu diberikan perhatian pada ketika ini. Shaheizy Sam dan Syafie Naswip sudah membuktikan, bakat masing-masing bukan kecil apabila pernah menggenggam trofi pada majlis anugerah. Sara Ali pula semakin mencuri perhatian peminat apabila watak gadis bermasalah dalam filem Nur Kasih cukup meninggalkan kesan.

Ketiga-tiganya digabungkan oleh dua pengarah yang sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan Kami the Movie, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina. Lalu, bagaimana hasilnya nanti apabila tiga bakat besar ini menunjangi filem terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dan Red Films Sdn. Bhd ini? Ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, masing-masing memuji dua pengarah muda itu, yang dianggap mampu menjelmakan sebuah kisah yang lari daripada kebiasaan filem Melayu. Ketika yang sama, mereka juga berasakan seperti ada kejutan budaya apabila bekerja dengan sutradara yang mementingkan ketelitian dan ketepatan dalam karya mereka.

Filem jujur papar kehidupan

BINTANG Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, Shaheizy Sam, berasakan dirinya cukup bertuah apabila diundang menjayakan watak Am dalam Songlap. Baginya, bukan saja dia berpeluang bekerja dengan dua pengarah yang berbakat besar, malah wataknya juga begitu subjektif - tiada hitam ataupun putih mengenainya.

Dia sendiri belum pernah melakonkan watak sedemikian, yang dianggap cukup berlainan dari segi perjalanan karakter.
"Songlap bukan filem biasa yang selalu kita tonton. Ia tidak menunjukkan mana yang baik atau mana yang buruk. Watak saya umpamanya, boleh dilihat dalam dua perspektif berbeza. Mungkin sebahagian penonton melihatnya sebagai watak baik, manakala yang lain pula menganggapnya watak hitam.

"Bagi menjiwai watak terbabit pula, saya banyak berfikir, serta membuat pilihan yang tepat. Dengan menggunakan pendekatan 'apa berlaku sekiranya', saya mencari karakter Am.

"Ketika sesi latihan bacaan skrip pun, kami menggali bersama-sama, untuk menentukan corak watak berkenaan. Kita cuba fahami apa yang terjadi dalam cerita terbabit, supaya masing-masing mengenali dengan lebih tepat watak dimainkan. Kami bertuah kerana mendapat pengarah yang mengetahui karakter bagaimana mereka inginkan. Ia sebuah filem yang cukup terperinci pada pandangan saya," kata Sam yang berehat selama tiga bulan daripada lakonan sebelum kembali aktif Disember nanti.

Mengenai gandingannya bersama Syafie, Sam mengaku dia agak bernasib baik kerana sudah lama mengenali aktor muda berkenaan. Remaja itu, baginya umpama adiknya sendiri.

"Menarik mengenai Syafie, apabila dia membolehkan saya masuk ke dalam dirinya. Tidak semua pelakon boleh melakukan begitu, yang tentunya memudahkan lagi kita menghayati watak.

"Apabila pelakon gandingan kita bagus, kita sendiri boleh menampilkan lakonan lebih meyakinkan lagi. Ia membolehkan kita mempersembahkan lakonan yang jujur. Syafie dan Sara ialah dua pelakon yang tulus. Mereka membenarkan saya rasa apa yang dilakonkan," puji Sam, yang menganggap Songlap tidak membawa penonton ke alam fantasi seperti kebanyakan filem tempatan.

Secara ringkas, kata jejaka berusia 29 tahun yang sudah pun membintangi lebih sedozen filem ini, Songlap kisah yang jujur memaparkan kehidupan sebahagian masyarakat kita di dunia sebenar.

Berbaloi ditegur

KETIKA menjayakan filem ini, Sara Ali mengaku dia agak tertekan. Bukan kerana ia pengalaman kali pertama berlakon, sebaliknya di antara ketiga-tiga pelakon utamanya, dia paling banyak ditegur oleh pengarah.

Songlap muncul filem kelima yang dilakonkan selepas Sesuatu Yang Tertinggal (tayangan Januari 2012), Penunggu Istana, Klip 3GP dan Nur Kasih. Dia juga turut membintangi filem Jangan Pandang-Pandang dan Azazil.

"Siapa yang tidak akan berasa tertekan apabila kerap ditegur pengarah. Lebih-lebih lagi apabila saya digandingkan pula dengan Sam dan Syafie, yang sememangnya sudah diketahui ramai bakat mereka. Pada mulanya, saya sendiri terkejut apabila dipilih memegang watak utama bersama mereka, sedangkan ramai lagi pelakon popular lain sama-sama menghadiri uji bakat. Saya pula, belum pun dikenali orang.

"Namun begitu, saya rasa teguran itu memang berbaloi diterima kerana secara peribadi, saya berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan. Ia sememangnya sebuah kisah yang bagus dan cukup berbeza," kata Sara.

Dalam filem ini, dia memegang watak gadis remaja bernama Hawa yang dilahirkan dalam keluarga yang bermasalah. Sebahagian besar kemunculannya dalam filem terbabit tidak memerlukan dirinya menuturkan dialog. Watak Hawa dipaparkan sebagai gadis pendiam.

"Hakikat itulah yang membuatkan karakter ini menjadi lebih sukar. Biarpun tanpa banyak dialog, saya perlu menonjolkan segala tindak balas kepada setiap apa yang berlaku menerusi emosi semata-mata. Dan, setiap babak itu pula mempunyai maknanya tersendiri," cerita Sara, 21, yang mengaku, kini dia tahu berlakon bukanlah kerja yang mudah jika tidak dilakukan dengan ikhlas.

Demi menghayati wataknya yang tidak banyak bercakap itu juga, selama kira-kira sebulan penggambaran berlangsung, Sara lebih suka diam menyendiri.

"Saya menyendiri buka kerana sombong, sebaliknya untuk berada dalam karakter. Saya bertuah kerana kru filem itu pun memahami keadaan saya. Apatah lagi kebanyakan daripada mereka juga perlu membaca skripnya. Jadi mereka tahu kesukaran yang saya hadapi untuk menjayakan watak berkenaan," jelasnya.
Akui wanita muda ini, ada ketika sikap pendiam itu terbawa-bawa hingga ke rumah, menyebabkan ibu bapanya juga memberikan teguran.

"Ketika itu, saya sendiri pun agak risau apabila mungkin juga terbawa-bawa karakter berkenaan hingga ke luar lokasi," katanya sambil menghadiahkan senyuman.

Gabra berlakon di sisi Sam, Normah

WALAUPUN dia dianggap antara bakat muda yang punya bakat semula jadi dalam lakonan, namun Syafie Naswip tidak pernah meninggi diri. Malah, dia mengaku gabra dan risau apabila diamanahkan beraksi di sisi pelakon yang cukup dihormatinya, Sam dan Normah Damanhuri.

Memang dia pernah berlakon bersama lelaki itu dalam telefilem Alahai Cicit Atuk, namun ketika itu tidak banyak babak membabitkan mereka berdua. Kali ini senario cukup berbeza apabila mereka diberikan watak adik-beradik, kedua-duanya pula tunjang cerita.

"Mungkin bersama Sara, perasaan itu tidak timbul kerana kami baru saja berlakon bersama dalam Nur Kasih. Namun bersama Sam, saya gabra kerana dia pelakon yang cukup bagus dan saya amat menghormatinya.

"Lebih-lebih lagi, watak Ad yang saya lakonkan ialah peranan yang amat mencabar. Watak ini banyak bermain dengan emosi dalaman. Justeru, ada masanya, saya tergelincir juga ketika melakonkannya. Bagi mengatasi masalah itu, saya rajin bertanya kepada pengarah, pelakon, malah mana-mana kru yang ada. Saya memerlukan pandangan mereka bagaimana untuk saya menjayakan karakter berkenaan.

"Malah, saya juga ada menonton filem lain, sekadar untuk mendapatkan mood bagi watak yang saya jayakan, termasuk filem The Reader. Saya turut membuat tinjauan di sekitar Chow Kit, untuk melihat sendiri persekitaran yang mempunyai kaitan dengan perkembangan watak saya," katanya yang pernah muncul dalam Mukhsin, Talentime dan Nur Kasih.

Dedah remaja yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia tidak lama lagi ini, berlakon dalam Songlap tidak ubah kejutan budaya buat dirinya.

Bersama arwah Yasmin Ahmad, kata Syafie, dia dikehendaki melahirkan lakonan yang semula jadi, lebih kepada apa yang dirasai pelakon itu sendiri. Kamera pula sering kali dipegunkan di sesuatu sudut.

"Namun dalam filem ini, pengarahnya memang mahukan segala-galanya nampak terperinci. Mereka sangat pentingkan kesempurnaan. Kerana itu saya perlu banyak bertanya. Banyak kali juga saya menerima teguran, namun itulah yang dikatakan proses pembelajaran," katanya yang lebih gemar muncul dalam filem mahupun drama yang membuatkan orang ramai mengingati lakonannya.

Sinopsis:

BERLATARKAN bandar Kuala Lumpur, Songlap mengikuti kisah adik-beradik – Am dan Ad yang membabitkan diri dalam sindiket penjualan bayi yang diuruskan seorang wanita bergelar Mama. Kehidupan dua beradik ini jauh berbeza. Si abang mengambil kesempatan dengan menggunakan perniagaan Mama sebagai jalan pintas mendapatkan wang untuk kegiatan judinya, manakala adiknya mengimpikan kehidupan lebih baik dengan menyertai pertandingan tarian B-Boy.

Ad mula sedar impiannya mungkin tidak tercapai setelah kehilangan kawan karibnya, Razak, akibat dadah dan melihat dengan matanya sendiri nasib gadis muda yang dijual kepada sindiket pemerdagangan manusia.

Apabila adik Razak, Hawa, yang sedang hamil terjebak dengan sindiket ini, Ad tidak boleh menutup mata lagi dan terpaksa berlumba dengan masa untuk menyelamatkan gadis itu tanpa menyedari bapa Hawa, Pak Din juga sedang mencari anaknya yang hilang. Tetapi, niat baik Ad untuk menolong menggoyahkan hubungannya dengan Am, dan pergelutan mereka akhirnya mencecah tebing maut.

Full content generated by Get Full RSS.

Tidur dua jam sehari

Posted: 07 Nov 2011 02:24 PM PST

Hip

Aaron akui sukar jadi pelakon, pengarah serentak

BERMULA sebagai model dan pelakon drama, kini nama Aaron Aziz semakin gah di persada seni apabila dia mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan pula.

Dengan pengalaman kira-kira sedekad beraksi di depan kamera, lelaki berusia 35 tahun ini, menerusi syarikatnya sendiri, Aaron Aziz Productions, bukan sekadar memberanikan diri menghasilkan telefilem pertama, malah bergelar pengarah. Jika peminat sedia maklum bakat lakonannya hasil kemunculan lelaki ini di skrin kecil mahupun lebar, seperti Nora Elena, Jiwa & Lara, Akinabalu, Evolusi KL Drift 1 & 2, KL Gangster dan Pisau Cukur, bagaimana pula kemampuannya sebagai sutradara?

Semuanya itu akan hanya terjawab apabila hasil tangan pertamanya, Kekasih Awal Dan Akhir, ditayangkan kepada penonton TV9 pada 9 November ini, jam 8.30 malam.

Aaron yang turut berlakon dalam teater Badai Semalam bersama Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida, yang dipentaskan di Istana Budaya bermula 11 hingga November ini berkata, bidang pengarahan sememangnya jauh lebih mencabar.

"Ini adalah karya penuh saya yang pertama kerana sebelum ini Aaron Aziz Productions lebih tertumpu di Singapura dan banyak terbabit dengan pembikinan iklan di sana.
"Memang ia memenatkan dan banyak memberikan tekanan kepada saya. Bukan sekadar sibuk dengan lakonan dan pengarahan, malah saya juga menjalani latihan teater, menyebabkan saya tidak mempunyai waktu yang cukup untuk tidur. Namun saya berpuas hati dengan hasilnya," katanya ketika ditemui di Mutiara Damansara baru-baru ini.

Meskipun masa tidurnya hanya dua hingga ke tiga jam sehari, namun komitmen terhadap kerja lebih diutamakan dan sokongan daripada isterinya, Dayana Halik banyak membantu jadual kerjanya. Menguruskan produksi dengan Dayana juga memudahkan Aaron untuk meluangkan masa bersama isterinya.

"Isteri saya banyak membantu dari segi pengurusan dan juga pemilihan pelakon, malah cerita asal telefilem ini adalah hasil kerja keras dirinya. Manakala pemilihan pelakon untuk telefilem ini pula adalah atas dasar perbincangan bersama TV9. Kami mahukan gandingan yang mantap serta selesa dengan watak," jelasnya.

Aaron turut menjelaskan, pembabitannya dalam bidang pengarahan bukan dengan niat untuk menunjukkan kebolehan yang ada, sebaliknya menguji diri sendiri selain mencari kepuasan.

"Sebagai pelakon, kita ikut saja apa yang pengarah cakap. Tetapi apabila mengarah, banyak perkara yang kita kena fikirkan, untuk menjadikan karya kita menarik.

"Paling saya takut adalah jika perlu melakukan penggambaran semula. Tetapi alhamdulillah, selama tujuh hari penggambaran, tiada masalah besar yang berlaku," katanya yang memberitahu, skrip Kekasih Awal Dan Akhir memang menarik minatnya untuk turut menguji keupayaan sebagai pengarah.

Telefilem yang penuh dengan emosi dan dramatik ini mengisahkan Awal, lakonan Aaron, yang menjadi kegilaan ramai gadis di kampus. Dia mempunyai sahabat karib, Julia (Fouziah Gous). Mereka berdua sangat aktif melakukan pelbagai aktiviti kampus dan dari situ, Awal mengambil bahagian sebagai sukarelawan dalam sebuah kempen. Ketika kempen itulah dia tertarik dengan Akhirah (Siti Saleha).

Menyedari hubungan rapat Awal dengan Akhirah, Julia yang menyimpan perasaan terhadap jejaka itu meluahkan perasaannya. Namun cintanya ditolak, membuatkan Julia bertindak membawa diri.

Awal nekad untuk mengahwini Akhirah, namun malangnya ketika Akhirah mengandung tiga bulan, dia terbabit dalam kemalangan menyebabkan dirinya lumpuh seluruh badan. Demi kebahagiaan suami dan mengenangkan keadaannya yang lumpuh, Akhirah meminta awal mengahwini Julia. tetapi selepas berkahwin, Julia amat cemburu dengan Akhirah yang sering menjadi perhatian Awal dan bermulalah detik hitam buat Akhirah dan anaknya.

"Pemilihan tajuk Kekasih Awal Dan Akhir ini dilakukan kerana ia mempunyai elemen poligami dan rumah tangga. Daripada kasih sayang kepada cemburu, dan banyak bermain dengan emosi," katanya.

Watak lumpuh cabar Siti Saleha

BEKERJASAMA dengan Aaron bukan perkara asing bagi Siti Saleha, malahan telefilem terbabit ialah gandingan ketiga mereka selepas Nora Elena dan Habil dan Qabil.
Namun kali pertama berlakon di bawah arahan Aaron menjadi pengalaman baru buatnya, apatah lagi diberikan watak yang begitu mencabar. Sebagai Akhirah, dia perlu banyak bermain dengan emosi serta air mata.

"Aaron tahu apa yang dia nak, dan dia juga tahu cukup atau tidak apa yang kita bagi padanya. Dia cukup teliti dan pada masa sama menerima pendapat orang lain, sehinggakan ada kalanya idea yang saya bagi diterima pakai.

"Dia juga banyak mengajar serta bersabar. Ini watak wanita lumpuh pertama saya lakonkan, dan saya akui ia memang sukar kerana banyak menggunakan pergerakan tubuh untuk melahirkan perasaan dan berbicara," katanya.

Meskipun sukar, Siti Saleha banyak membuat kajian dan belajar melalui filem Talk To Her dan The Bone Collector, seperti yang disarankan Aaron.

Selain lakonan, Siti Saleha turut sibuk dengan pengajiannya, di samping tugas sebagai pengacara Gerbang Anugerah Industri Muzik (AIM).

Sementara itu, Sepanjang November ini, empat telefilem akan disajikan kepada penonton TV9 di dalam slot Skrin Di 9. Selain telefilem Kekasih Awal Dan Akhir, turut disenaraikan ialah Si Tudung Tweet (16 November), Tongkah Arus Dosa (23 November) dan Bedah Tong Gas (30 November).

Full content generated by Get Full RSS.