Nuffnang

Berita Harian: Hip

sumber :-

Berita Harian: Hip


Debaran bakal isteri

Posted: 13 Sep 2011 04:12 PM PDT

Hip

Kursus nikah tiga tahun lalu

PEJAM celik, Oktober semakin hampir. Bagi pelakon, Yasmin Hani Richardson, 32, ia membawa makna tersendiri kerana dirinya bakal diijabkabulkan dengan jejaka tercinta, Sha'arin Mohd Razali atau Shahrin Blackrose, 45, pada bulan depan.

Begitupun, dia belum sedia berkongsi tarikh demi menjaga hati pelbagai pihak semetelah majlis yang akan berlangsung di Ampang nanti hanya membabitkan kehadiran saudara mara terdekat dan sahabat akrab.

Sebagai insan, inilah saja cara kami menunaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Sibuk bukan alasan kerana menghulur bantuan boleh dilaksanakan dalam pelbagai cara kerana yang penting kesungguhan". - Yasmin Hani, Pelakon/pengacara

"Bukan mahu berahsia, saya enggan mengumumkan tarikh sebab tidak mahu ada di kalangan kenalan yang berkecil hati tiada undangan. Majlis ini juga sederhana, nikah selepas Zohor dan pada sebelah malamnya pula bersanding.

"Memang ada yang mahu menaja tetapi biarlah begini kerana saya sendiri seorang yang ringkas. Biar majlis ini kecil-kecilan, ia cukup bererti buat kami," katanya yang tidak mampu menyembunyikan debaran di hati.

Sebelum ini, bakal suaminya, Shahrin yang juga pemain dram kumpulan Blackrose mendirikan rumah tangga bersama aktres Ida Nerina pada Mac 2006 namun berpisah Disember tahun lalu.

Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata namun menerusi perkahwinan pertamanya, Shahrin mempunyai dua anak yang kini sudah meningkat remaja iaitu Narissa, 15 dan Arman, 9.
Sementara itu, akui gadis berdarah campuran itu lagi, buat masa ini persiapan belum sempurna sepenuhnya memandangkan banyak perkara perlu diambil kira selain dihambat kekangan tugas.

Tetap sedia berkongsi persediaan meniti momen bahagia, kata Yasmin segala-galanya dilaksanakan hasil perbincangan kedua-dua pihak malah ibunya antara orang kuat yang banyak membantu merencanakan acara.

"Sebenarnya saya sendiri kalau boleh mahu mengadakan satu majlis saja, tetapi ibu saya berhajat mengadakan kenduri kesyukuran di kampung kami di Jeram, Selangor. Tarikh belum ditentukan lagi dan mungkin tiada acara naik pelamin.

"Lebih senang begitu kerana kami boleh melayani tetamu yang hadir apatah lagi majlis itu nanti lebih kepada acara perhimpunan ahli keluarga. Tetamu pula kira-kira 500 orang," katanya ketika ditemui pada majlis hari raya Celepets di Bandar Utama, Isnin lalu.

Mengenai pernikahan dan resepsi, bertepatan lokasi serta impiannya melakar hari bersejarah dengan persandingan dalam taman, Yasmin memilih rona putih gading untuk kedua-dua acara yang juga lambang ikatan suci mereka.

Katanya, persalinan pernikahan daripada butik Qamilla SACC Mall, Shah Alam yang dimiliki saudara terdekat Shahrin, manakala gaun bagi majlis resepsi mendapat sentuhan Hatta Dolmat.

"Segala-galanya sedang diuruskan kerana bukan mudah merencana majlis perkahwinan apabila banyak perkara perlu diambil kira. Dari sekecil-kecil benda hinggalah saat berakhirnya kenduri.

"Syukur kerana saya sendiri sudah pergi ke kursus perkahwinan dua atau tiga tahun lalu. Itu pun atas ajakan kawan-kawan. Kami memang sengaja menjalani kursus bersama-sama. Jadi tidaklah kelam kabut melakukan semuanya serentak," katanya yang mengamanahkan pasukan Avicenna Studios sebagai jurufoto dan juruvideo rasmi.

Ditanya soal tanggungjawab sebagai isteri, tanpa berselindung katanya dia sudah bersedia ke arah itu malah sebagai bakal teman hidup, Shahrin diyakini mampu membimbingnya sekali gus merencana masa depan bersama.

Beramal menerusi Celepets

BIARPUN jadual harian padat dengan tugasan dan persediaan bergelar raja sehari, anak ketiga daripada empat bersaudara itu tidak melepaskan tanggungjawab sosial melaksanakan kerja amal menerusi Celepets.

Gabungan dengan teman karib termasuk Sazzy Falak, Dynas, Serena C, Aishah Sinclair, Dahlia Iking dan Atilia rancak mengatur misi membantu mereka yang memerlukan terutama membabitkan isu wanita, kanak-kanak, wanita dan haiwan peliharaan.

"Sebagai insan, inilah saja cara kami menunaikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Sibuk bukan alasan kerana menghulur bantuan boleh
dilaksanakan dalam pelbagai cara kerana yang penting kesungguhan.

"Walau tidak mampu menyumbang dari segi kewangan, sekurang-kurangnya ia merangsang insan lain untuk sama-sama peka dengan persekitaran
malah mendorong orang lain melaksanakan misi sama. Lebih ramai, lebih baik," katanya mengenai Celepets yang direalisasikan sejak tiga tahun
lalu.

Barangkali melihat kaitan dengan Pets atau haiwan peliharaan, ramai berpendapat mereka hanya lantang bersuara apabila membabitkan isu
terbabit namun sebenarnya ia merangkumi semua perkara yang memerlukan perhatian ramai.

Terbaru, Celepets menganjurkan majlis jamuan hari raya bersama 30 anak yatim orang asli yang diadakan di sebuah restoran makanan segera di Bandar Utama.


Bagai ada kuasa sakti

Posted: 13 Sep 2011 03:38 PM PDT

Hip

Bermula di laman sosial, Yuna kini pukau penonton di DFP

ANTARA berjuta bintang yang menghiasi angkasa, dialah si bintang kejora. Di sebalik himpunan butiran mutiara yang berada di dasar lautan, sinarannya yang menjadi penyeri di taman seni.

Siapa yang tidak mengenali penyanyi tinggi lampai yang namanya mula mendaki populariti menerusi lagu Dan Sebenarnya ini? Bersama imej bertudung dan sering kelihatan ranggi dengan pelbagai fesyen menutupi tubuhnya, ditambah alunan vokal yang enak didengar membuatkan nama pemilik nama penuh Yunalis Zarai atau Yuna ini begitu pantas meniti bibir penggemar muzik. Perjalanan seninya juga menarik. Daripada penyanyi yang hanya dikesan bakatnya menerusi laman sosial, Yuna kini sudah mampu tersenyum puas apabila kebolehannya sudah mampu merentasi berjuta kilometer dan menarik minat komposer luar negara untuk bekerjasama dengannya.

Justeru dengan bakat besar yang ada padanya serta pencapaian membanggakan yang diraih pada ketika usia masih muda, Yuna diberi penghargaan untuk mengadakan konsert istimewa di pentas berprestij yang menjadi idaman ramai, iaitu Dewan Filharmonik Petronas (DFP), selama dua malam berturut-turut pada 12 dan 13 September.

Dengan diiringi enam pemuzik yang cukup setia menemani, Yuna menyingkap tirai persembahan dengan lagu Someone Out Of Town. Tampil anggun mengenakan gaun labuh rona biru gelap dan dihiasi tali pinggang bergancu kecil selain memakai tutup kepala yang turut menjadi tanda dagangnya, membuatkan gadis berusia 25 tahun ini kelihatan cukup bergaya.

"Saya berjanji akan memakai gaun ini jika tiket untuk dua show saya laris. Memandangkan tiket semuanya laku, jadi saya tunaikan janji untuk mengenakan gaun ini. Terasa terlebih gaya pula," guraunya sambil disahut hilai tawa penonton.
Sambil memetik gitar ajaibnya, Yuna mendendangkan satu demi satu lagu yang dihasilkannya sendiri. Ada lagu yang biasa didengar dan ada juga yang buat kali pertama dinyanyikan di hadapan khalayak. Menariknya mengenai penyanyi ini, vokal yang dimiliki bagai ada kuasa sakti, untuk memukau penonton supaya terus larut dalam persembahannya.

Bukan saja vokal yang menjadi senjata ampuhnya. Bahkan kebolehan mencipta lagu dan menulis lirik membuatkan apa yang cuba disampaikan Yuna menerusi nyanyiannya meresap jauh ke lubuk hati.

Segala macam perasaan, seperti cinta, rindu, tangis, gembira semuanya bercampur baur dalam melodi dan seni kata hasil nukilannya itu, membuatkan kebanyakan penonton yang hadir turut berkongsi rasa bersamanya.

"Semua lagu yang saya nyanyikan malam ini umpama sebuah album runut bunyi kehidupan saya," ujarnya.

Pada persembahan malam itu, Yuna turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan komposer mahupun artis luar negara. Antara mereka termasuklah Pharell Williams dan Guy Sebastian. Sebagai hadiah kepada peminat yang tidak sabar menantikan album yang dihasilkan di Amerika Syarikat itu, Yuna mengambil peluang menyanyikan lagu Fears & Frustrations yang diakui begitu indah susunan muzik dan juga liriknya.

Bagi mengambil keberkatan Syawal yang memasuki minggu kedua, sempat juga dia menyanyikan lagu Raya Oh Yeah yang dihasilkannya sekitar tahun lalu. Lagu lain yang menjadi pilihannya malam itu termasuk Rocket, Gadis Semasa, Come As You Are, Random Awesome, Penakut, Memo, medley Gelora Asmara & Dan Sebenarnya, Super Something, Decorate serta Cinta Sempurna, yang disifatkan Yuna sebagai lagu Melayu paling berjaya dihasilkannya setakat ini.

Selain tampil bersama pemuzik iringan, Yuna turut mengundang teman pemuzik iaitu AG Coco untuk bersama-sama "jamming" di atas pentas menyampaikan lagu Coffee.

Sepanjang 1 jam 15 minit konsert berlangsung, diakui tidak terasa langsung masa berlalu. Walaupun pengalamannya tidaklah seperti penyanyi senior lain, namun Yuna mampu menggalas tanggungjawab diberikan kepadanya itu apabila rata-rata penonton yang hadir begitu berpuas hati dengan apa yang mereka saksikan malam itu.

Ternyata pemilihan Pemenang Anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular Berita Harian 2009 ini untuk beraksi di pentas berprestij itu keputusan yang tepat dan pastinya selepas ini ramai yang mengharapkan Yuna kembali ke DFP untuk sebuah konsert berskala mega.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan