Adsense

Sabtu, 2 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Aishwarya dapat anak kembar?

Posted: 01 Jul 2011 07:00 PM PDT

Hip

pix_gal0
SPEKULASI kehamilan aktres Bollywood, Aishwarya Rai sebenarnya bukan sesuatu yang baru, malah sejak empat tahun lalu ia sering menjadi bahan paparan utama media massa. Bagaimanapun, Aishwarya atau lebih mesra disapa Ash sering mengelak daripada memberikan komen lanjut dan akhirnya segala yang digembar-gemburkan itu berlalu begitu saja.

Spekulasi pertama mula bertiup pada 2008 apabila isteri kepada Abhishek Bachchan itu dilaporkan mengunjungi wad bersalin di Lilavati Hospital, Mumbai. Kehadirannya mengundang berita utama dada akhbar yang menyatakan Ash sedang hamil anak sulung hasil perkahwinannya dengan anak kesayangan megastar Bollywood, Amitabh Bachchan dan Jaya Bachchan itu.

Ketika seluruh dunia menanti jawapan pasti mengenai isu yang dihebohkan itu, Ash cuma mendiamkan diri tanpa sebarang ulasan dan akhirnya cerita itu lenyap begitu saja. Dua hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-36, Ash mengeluarkan kenyataan, kehamilan adalah sesuatu yang sulit untuk disembunyikannya. "Apabila saya mengandung, seluruh dunia akan mengetahuinya. Ini adalah satu-satunya berita yang tidak mampu disembunyikan," katanya tertawa.

Sempat menambah, Ash berkata: "Ketika menjayakan program temubual bersama Oprah Winfrey, saya ada memberitahunya setiap kali orang melihat perut saya buncit, pasti ada membuat andaian saya sedang hamil".

Namun tidak semua berita palsu yang bertebaran itu menggembirakan Ash. Dia sekali lagi dihimpit spekulasi apabila dikatakan tidak mampu hamil kerana menderita tibi perut. Laporan itu membuatkan suaminya, Abhishek Bachchan berang dan mengambil tindakan terhadap media yang menyiarkan berita berkenaan.

Menepis segala laporan serong itu, Ash dilihat semakin kerap terbang ke luar negara bagi memenuhi jemputan di pelbagai acara antarabangsa.
Jadualnya juga padat dengan penggambaran iklan, selain pelbagai tawaran membintangi filem. Tahun lalu, beliau melakar pencapaian membanggakan apabila beraksi dalam empat filem yang membentangkan lembaran baru kepada karier lakonannya.

Endhiran yang menyaksikannya beraksi di samping Rajinikanth mencatat kutipan luar biasa, malah Ash juga diberi penghormatan untuk berlakon di bawah pengarah legenda, Mani Ratnam menerusi Raavan.

Ash juga diberi peluang mendampingi nama besar Bollywood, Hrithik Roshan dalam filem Guzaarish, selain Akshay Kumar menerusi Action Replayy. Bagaimanapun, dua filem ini gagal mencatat kutipan lumayan.

Bagaimanapun, sekitar jam 10.15 malam pada 21 Jun lalu, bapa mentuanya yang terlalu gembira menerima berita itu mengesahkan kehamilan Ash menerusi akaun Twitter peribadinya.

Amitabh menulis: "Saya akan bergelar datuk. Aishwarya sedang hamil. Sangat gembira dan mengujakan".

Mendirikan rumah tangga pada 20 April 2007, bekas Ratu Dunia 1994 itu media bagaikan tidak memberinya ruang untuk bernafas selesa sejak bergelar isteri. Spekulasi kehamilannya sentiasa bertiup kencang, namun desas-desus itu kembali dihangatkan pada Mei lalu apabila tubuhnya dilihat lebih berisi berbanding sebelum ini.

Tiupan spekulasi itu bertambah hebat ketika Ash membuat kemunculan pada acara Prix de Diane Longines di Hippodrome de Chantilly, Perancis, pertengahan Jun lalu.

Dia yang mengenakan pakaian longgar sering dilihat cuba menutup perut dengan kedua-dua tangannya. Ternyata segala yang diperkatakan ramai itu kini bertukar menjadi kenyataan.

Ash tidak mampu menyembunyikan berita gembira itu selepas menjalani ujian kehamilan yang dilakukan di Seven Hills Hospital, pinggir Mumbai. Sebaik berita itu diketahui, pasangan ini dibanjiri mesej tahniah daripada teman dan peminat menerusi pelbagai rangkaian media sosial.

Ketika ditanya peminat, adakah sudah melakukan imbasan jantina bayi atau mahu merahsiakannya, Abhishek memberitahu, dia berharap dikurniakan cahaya mata perempuan. Namun, sekali lagi spekulasi bertiup apabila ada media melaporkan pasangan itu akan menerima cahaya mata kembar.

"Saya cuma mampu berterima kasih atas segala doa. Kami sangat gembira dan berterima kasih atas kasih sayang, sokongan dan restu yang diterima," kata Ash.

Ketika dunia sedang berbicara mengenai berita gembira itu, media pula saling berbahas mengenai masa depan karier aktres yang meraih kejayaan komersial menerusi filem Tamil, Jeans pada 1998. Mereka mempersoalkan apakah Ash mampu mempertahankan kesempurnaan bentuk tubuhnya yang selama ini mengundang cemburu mata yang memandang?

Media berpendapat nilai jenama yang dibawanya mula terjejas apabila berita mengenai kehamilannya tersebar, malah beberapa kontrak mula beralih tangan. Melihat situasi itu, media berpendapat Ash terpaksa berusaha keras untuk mendapatkan semula takhta yang pernah didudukinya selepas bergelar ibu nanti.

Barangkali kehamilan itu juga memberi ruang kepada Ash untuk memperlahankan aktiviti kariernya yang selama ini sendat dengan jadual penggambaran dan acara berprofil tinggi di peringkat antarabangsa. Lantas, persoalan kembali singgah mengenai dua filem terbarunya yang sedang menjalani penggambaran iaitu Heroine arahan Madhur Bhandarkar dan Ladies and Gentleman garapan Raj Kumar Santoshi.

Apakah kehamilan Ash akan membuatkan penggambaran dua filem itu ditangguhkan atau penerbit terpaksa mencari pelakon ganti untuk disesuaikan dengan tuntutan fizikal watak yang ditawarkan?

"Ash akan menamatkan penggambaran Heroine. Dia sudah menyempurnakan enam hari penggambaran bersama Madhur dan filem ini tidak dibuat tergesa-gesa. Kami mendapat tahu mengenai peningkatan berat badan Ash. Cuma persoalannya kini apakah Heroine akan disiapkan mengikut jadual atau ditangguhkan sehingga Ash bersalin," kata satu sumber.

Mereka bagaimanapun yakin, kehamilan Ash tidak akan menjejaskan sepanjang 45 hari penggambaran filem itu berlangsung.

"Kebanyakan babak penting akan disiapkan dalam masa sebulan setengah dan selepas itu, kami akan menumpukan kepada syot dekat disusuli proses memasukkan suara," kata sumber itu lagi.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jadi Bualan

Posted: 01 Jul 2011 06:55 PM PDT

Hip

Gimik kahwin Marsha

BERITA kononnya Marsha sudah berkahwin menjadi berita paling panas sepanjang minggu lalu. Selepas berdepan beberapa siri episod cinta kecundang di tengah jalan, bintang Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu 'mengejutkan' ramai pihak apabila dikatakan berkahwin di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong. Sayangnya, kisah itu hanya 'sandiwara' dan sebahagian daripada babak dalam muzik video lagu barunya berjudul Bila (lagu tema drama Kum Kum di Astro Ria). Niat Marsha yang pada mulanya hanya sekadar bergurau di laman Twitter akhirnya seperti menjerat diri. Harus diingat, biar apa sekali pun motifnya, soal kahwin, cerai dan mati bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Penyanyi berusia 26 tahun itu bagaimanapun sudah pun membuat permohonan maaf atas perkara terbabit. Marsha sendiri tidak menjangka hal itu menjadi 'besar' dan ia menjadi pengajaran terbesar dalam hidupnya. Ironinya, cinta Marsha kini sudah kembali bertaut sayang dengan jejaka bernama Z yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Nur Fathia mohon maaf SETERUSNYA, cerita pelakon dan model iklan, Nur Fathia Abd Latiff yang dikatakan mengamuk di lokasi penggambaran drama Stanza Cinta (kini sedang disiarkan di TV3 setiap Ahad jam 9 malam) juga antara yang berita menarik yang menghiasi dada akhbar sepanjang minggu lalu. Fathia dikatakan membaling telefon bimbitnya hingga terkena lengan Along Kamaluddin (pengarah drama terbabit) selepas menerima teguran daripada pengarah drama itu. Kejadian berlaku selepas lakonannya yang tidak menepati kehendak pengarah, terpaksa dibuat berulang kali. Nur Fathia dalam kenyataannya menjelaskan telefon bimbit itu tak mengena pada muka Along, cuma melantun dan terkena lengan pengarah itu. Katanya lagi, sebenarnya dia bukan mengamuk sehingga sanggup membaling telefon, tapi ketika kejadian, dia diserang migrain dan berdepan masalah peribadi hingga berada dalam tekanan menyebabkan dia terbaling telefon. Apa yang dapat disimpulkan pelakon kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu mengakui kekhilafan dirinya dan sudah pun memohon maaf.

Kumpulan Sepah juara Maharaja Lawak

TIDAK disebut sebagai kumpulan pilihan, Sepah akhirnya dinobatkan sebagai juara pertandingan Maharaja Lawak yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 24 Jun lalu. Kumpulan yang dianggotai Mohd Noor Murad, Shahmira Muhammad dan Mohd Nazdri Zainal Abidin ini menewaskan calon kegemaran - Jozan, Nabil dan Jambu. Kemenangan Sepah diputuskan juri tetap rancangan itu iaitu pengarah filem, Mamat Khalid, Ahmad Idham dan pelawak, Saiful Apek mewakili 50 peratus markah dan selebihnya undian SMS penonton. Kemenangan Sepah itu juga melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM350,000 beserta piala iringan, Jozan yang muncul naib juara meraih RM250,000, sementara tempat ketiga dimenangi Nabil (RM150,000).


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.