Adsense

Isnin, 13 Jun 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Radhi OAG ~ Mohon peluang kali kedua

Posted: 12 Jun 2011 06:01 AM PDT


EMPAT purnama menghuni Rumah Pengasih, Muhd Radhi Razali (Radhi OAG), 33, mula mengenal erti sebenar kehidupan. Sedikit demi sedikit sikap mazmumah yang bersarang dalam dirinya selama ini dilontarkan jauh-jauh. Sungguh! Dia mahu keluar dari lembah gelap yang merosakkan dirinya selama ini.

Jika dulu dia angkuh, sombong, ego dan lupa diri tetapi kini setiap hari dia menangis mengadu ke hadrat Ilahi moga diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Sesungguhnya dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Segala kisah silam gugur bersama linangan air mata yang menjadi teman setianya setiap hari.

Setiap hari dipanjatkan doa moga usaha membebaskan diri daripada cengkaman dadah berjaya. Tidak terkira air mata menitis laju dari pelupuk mata sebagai tanda penyesalan yang tidak berkesudahan.

Lima belas tahun dia bergelumang dengan najis pemusnah itu. Kerjayanya terumbang-ambing begitu juga kehidupan peribadi. Sudah banyak hati yang terluka kerananya.


Mengenang keadaan itu hatinya luluh. Benar dia gagal. Gagal mengawal emosi dan perlakuan sehingga merenggut segala kebahagiaan yang ada.


"Saya kesal. Teramat kesal dengan apa yang berlaku. Di bawah pengaruh dadah, hidup saya tunggang terbalik. Saya jadi seorang yang pemarah, emosional dan selalu mungkir janji. Tiada istilah serius ketika bekerja malah saya banyak main-main.

"Masa saya banyak dihabiskan dengan tidur kerana khayal dengan dadah. Jika marah saya akan cakap lepas tanpa memikirkan perasaan orang lain bahkan tidak menjaga hubungan dengan insan-insan yang saya sayangi, anggota band serta peminat.

"Saya alpa dengan populariti dan kejayaan yang dikecapi. Apa tidaknya pada usia semuda 17 tahun saya sudah ada album dan tidak perlu bergantung dengan keluarga kerana ada pendapatan. Bila dikenang, hidup silam saya memang teruk," luah Radhi seraya membuang pandangan jauh.

Penghijrahan yang dilakukan benar-benar ikhlas dari lubuk hati. Demi masa depan dan zuriat tunggalnya, Mohd Rifdhi Muslim, dia bangkit melawan segala rasa di sanubari. Dia perlu berubah dengan mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar. Justeru itu, dengan rela hati dia memasuki memasuki pusat pemulihan kelolaan Pengasih pada 10 Januari lalu.

"Setiap hari saya menangis mengadu kepada Allah SWT biarlah rawatan pemulihan ini yang terakhir agar saya dapat menjalani kehidupan lebih baik.

"Saya masuk Pengasih secara sukarela. Saya masuk atas kesedaran mahu berubah dan kerana anak. Saya tidak mahu tunjuk contoh tidak baik kepada anak saya.

"Dia masih kecil baru berumur enam tahun. Dalam usia itu dia boleh mendengar kata tetapi jika sudah remaja dan saya pula tidak berubah bagaimana saya mahu membentuknya sedangkan saya tidak menunjukkan contoh yang baik.

"Jika tidak mula dari sekarang bila lagi. Baik saya berubah sebelum terlambat," katanya.

Sambil menghela nafas panjang, penyanyi dan pelakon ini mengakui proses pemulihan yang dijalani agak mencabar bahkan ada beberapa aktiviti kurang disenanginya tetapi demi kebaikan dia berusaha menerima keadaan itu seikhlas mungkin.

Dia juga sedar proses pemulihan sebenar bukanlah dalam Pengasih tetapi ketika keluar dari pusat itu nanti.

"Di sini saya belajar perbaiki pemikiran, tingkah laku dan berfikir dulu sebelum bercakap. selama ini cara pemikiran saya salah kerana terjebak dengan dadah.

"Saya belajar bagaimana mengurus perasaan jika marah, sedih dan kecewa. Tiga rasa negatif itulah yang buat saya bergantung dengan dadah sebelum ini padahal tidak perlu sama sekali pun.

"Sebenarnya empat bulan terlalu awal untuk saya dabik dada mengatakan bebas dadah 100 peratus. Saya perlu ubah sikap dan tingkah laku yang cenderung menjerumus kembali saya ke kancah gelap sedikit demi sedikit. Mahu ubah sikap bukan senang dan itulah cabaran sebenar saya.

"Saya tenang menetap di sini. Saya jadi lebih penyabar dan ubah rutin hidup seperti bangun awal pagi dan solat berjemaah dengan warga Pengasih yang lain," katanya.

Pernah beberapa kali dia berhenti mengambil dadah sebelum ini tetapi percubaan tanpa bimbingan itu menemui jalan buntu.

Pengalaman itu buat dia sedar bahawa tanpa bantuan usaha itu sukar untuk direalisasikan apatah lagi jiwa seorang penagih cukup rapuh.

"Kebanyakan penagih rasa boleh kawal diri tanpa bantuan orang lain padahal pemikiran itu salah. Memang kita tidak berdaya tanpa bantuan orang lain dan pemulihan yang intensif.

"Melalui pengalaman sendiri tanpa bimbingan saya hilang arah. Sepatutnya dari awal saya cari saluran yang betul dengan menyertai pusat pemulihan.

"Di Pengasih ramai bantu saya malah rakan-rakan pun terbuka. Jika tidak suka atau rasa tidak puas hati mereka akan berterus-terang. Apabila itu berlaku, secara perlahan-lahan saya jadi lebih terbuka dan belajar terima pendapat orang.

"Jika sebelum ini ada perkara yang tidak mahu saya kongsi dengan orang lain tetapi sejak masuk ke sini saya tidak perlu malu lagi. Saya sedar dalam keadaan sekarang saya perlukan bantuan dan sokongan orang sekeliling," katanya yang semakin rapat dengan ibu bapa dan adik- beradik.

Banyak perubahan yang dirasai apabila berhenti mengambil dadah antaranya, cara pemikiran lebih rasional serta mula ambil berat perihal kesihatan.

Bahkan dia sudah mampu membezakan baik buruk sesuatu perkara dan merancang perjalanan hidup serta karier untuk tempoh 10 tahun akan datang.

"Dulu saya sangat emosional tetapi kini jika berdepan dengan masalah saya boleh berfikir secara rasional dan mempertimbangkan sesuatu perkara dari semua sudut sebelum membuat keputusan.

"Sebelum ini saya tidak pernah peduli soal kesihatan diri tetapi sejak masuk dalam Pengasih saya mula ambil berat. Sakit sikit pun saya dah risau dan minta
di hantar ke hospital.

"Pernah saya terpegang kencing kucing dan menyangka ia kencing tikus, apa lagi kelam kabut saya berjumpa doktor. Apabila sakit pinggang, saya bimbang buah pinggang rosak. Maklumlah sudah lama saya bergantung dengan dadah, bimbang juga andai ada bahagian dalam badan saya rosak," kata Radhi.

Berbicara lanjut mengenai putera tunggalnya, setiap kali menatap wajah Rifdhi hatinya tersentuh. Bercambah rasa sebak tatkala Rifdhi melawatnya di pusat itu. Biarpun jarang bertemu ikatan kasih bapa dan anak itu tidak pernah berkurang malah kian menebal dari semasa ke semasa.

"Saya dan bekas isteri menyambut ulang tahun keenam Rifdhi di sini pada 25 Mei lalu. Rifdhi tunjukkan saya lukisan dan bukunya.

"Sebagai hadiah hari jadinya, saya berikrar hari itu untuk berhenti merokok. Saya sedar punca ambil dadah dulu pun bermula dari rokok. Kalau saya dapat tinggalkan rokok bermakna saya boleh tinggalkan dadah.

"Selama ini saya angkuh dan menzalimi diri. Allah SWT berikan saya badan yang sihat tetapi saya rosakkan dengan rokok dan dadah. Alhamdulillah, sudah tiga minggu saya bebas rokok dan harap dapat konsisten demi Rifdhi.

"Saya sanggup buat apa saja demi dia. Sebagai bapa saya mahu berikan dia kehidupan terbaik kerana dialah segala-galanya buat saya," katanya.

Mengulas perihal kerjaya, keinginan untuk kembali aktif menyanyi sentiasa ada tetapi dia perlu menumpukan perhatian terhadap proses pemulihan ini terlebih dulu.

Jika keadaannya semakin baik dan mendapat pelepasan pegawai bertugas barulah dia akan memikirkan soal persembahan dan rakaman.

"Di sini saya tubuhkan sebuah band yang diberi nama Outlet yang membawa maksud jalan keluar. Bagaimanapun di Pengasih istilah outlet diguna pakai untuk menggambarkan seseorang itu banyak main-main atau tidak serius.

"Di rumah ini saya digelar 'King of Outlet' gara-gara sikap saya yang suka main-main. Setakat ini saya sudah cipta beberapa lagu yang liriknya sarat dengan mesej positif mengenai kehidupan kami di Pengasih, rawatan, pengalaman serta harapan penagih untuk kembali hidup normal seperti orang lain.

"Alhamdulillah saya dan pemuzik Pengasih diundang KL Downtown and Night Market menjayakan persembahan di Bazaar Larut Malam Bukit Dukung, Kajang setiap Jumaat atau Sabtu pada jam 10 malam bermula 25 Jun ini.

"Ini adalah ujian pertama saya mengadakan persembahan tanpa dadah. Saya mahu uji diri untuk lihat sejauh mana kemampuan diri dan dalam masa sama lihat bagaimana penerimaan orang ramai.

"Saya tahu pasti ada yang was-was dengan saya. Apapun tanggapan masyarakat saya kena bersedia dan terbuka. Saya perlu kuatkan semangat dan yakinkan mereka supaya menerima bekas penagih.

"Selain menghiburkan penonton saya akan sampaikan maklumat mengenai bahaya dadah dan melaungkan kempen kesedaran. Saya mahu ajak orang ramai khususnya golongan muda yang terjebak dengan najis negara ini mendapatkan rawatan di pusat pemulihan bertauliah termasuklah Pengasih," ujarnya yang meminta keluarga, peminat serta rakan-rakan mendoakan proses pemulihannya berjaya dan usahanya untuk pulih terpelihara.

Neelofa pelapis ratu kontroversi

Posted: 12 Jun 2011 05:59 AM PDT


BARU lima bulan menerjah ke dunia lakonan selepas menjuarai Dewi Remaja 2010, nama si cantik, Neelofa pantas bertamu di bibir ramai. Ternyata, jalan karier di bidang popular ini tidak membenarkan dirinya merangkak dengan tenang.

Belum sempat lakonannya dipertontonkan, cerita dituduh sebagai perampas kekasih orang menjadi tajuk perbualan. Malah, saat ketika tawaran sedang mencurah dan rutin pemilik nama sebenar Noor Nelofa Mohd. Nor, 22, itu banyak dihabiskan di lokasi penggambaran, muncul pula pelbagai versi cerita. Semua cerita itu tidaklah semanis bibirnya yang mekar menguntum senyum.

Tanpa perlu nama disebut, ramai yang dapat mengagak, bisik-bisik perihal kurang manis yang tersebar di dada media itu semuanya condong ke arah namanya.

Tanpa mahu mengelak, wanita yang manja membahasakan diri sebagai Lofa itu pantas mengiyakan, dia sedar banyak cerita buruk dirinya sedang bertebaran. Mahu tidak mahu, semuanya harus ditelan menjadi makanan.

"Saya anggap semua itu sekadar perkara kecil, sebelum saya, ramai lagi artis lain yang lebih teruk diperkatakan," katanya tenang sebaik dihubungi Sensasi Bintang.

Sensasi Bintang: Selepas menjuarai Dewi Remaja, permulaan karier anda dikaitkan sebagai punca utama perpisahan Shah Jaszle dan Maria Farida tetapi kini timbul cerita lelaki berdarah kerabat dan seorang lagi lelaki berstatus duda?

NEELOFA: Saya sedar, sayalah yang diperkatakan itu. Saya sendiri terkejut tentang gosip dengan duda kepada pelakon popular itu. Begitu juga dengan kerabat yang dimaksudkan. Bukan saya reka cerita dan saya tahu siapa pembawa cerita-cerita berkenaan. Saya tahu saya berada di pihak yang benar, jadi tolak tepi sahaja dan anggap semua itu sebagai permainan dunia hiburan. Saya maafkan pereka cerita itu.

Anda selesa menjadi tumpuan kerana sensasi dan kontroversi?

Saya masih Neelofa yang dulu, pandangan orang memang berbeza-beza tapi banyak lagi masa dan masih panjang lagi perjalanan saya. Jadi, biarlah, masyarakat akan mengenali saya secara perlahan-lahan. Saya percaya saya tidak buat salah.

Bagaimana dengan aduan berhubung disiplin anda yang tidak memuaskan terutama kerap datang lewat ke lokasi?

Jujurnya, saya memang seorang peka terhadap masa, kalau boleh, biarlah saya yang menunggu orang, bukan orang lain yang menunggu saya. Sepanjang penggambaran filem Azura saya tidak pernah datang lambat. Saya tahu, isu datang lambat itu berlaku ketika penggambaran drama Kitab Cinta. Perkara itu sudahpun dijelaskan. Sebenarnya berlaku salah faham, masalah teknikal berhubung dengan jadual sedangkan kerap kali saya datang awal ke lokasi.

Baru-baru ini, sudah ada yang melabel awak sekadar cantik dan seksi sahaja sedangkan kualiti lakonan tidak seberapa?

Kalau orang kata saya cantik dan seksi, apa boleh saya buat. Tapi saya masih percaya kalau sekadar cantik dan seksi semata-mata, tak mungkin saya sampai ke tahap ini. saya percaya, saya ada bakat cuma masih baru, baru lima bulan. Baru tiga drama bersiri, satu telemovie dan sedang berlakon filem kedua. Selepas lakonan pertama dalam filem Azura, sekarang King Kapcai dengan KRU Studios. Baru-baru ini, selepas telemovie, Jemaah Kolestrol ditayangkan, banyak respons positif yang saya terima. Mungkin sebab, masuk-masuk terus berlakon filem, jadi persepsi orang terhadap saya lain sikit.

Adakah bidang lakonan sekadar batu loncatan untuk anda meraih populariti semata-mata?

Memang saya pernah kata sekarang masanya untuk saya menjenamakan nama Neelofa, tapi maksud saya bukanlah untuk menjadi popular semata-mata. Jadi pelakon pun bukan rancangan asal saya, semuanya berlaku cukup pantas, keluar sahaja daripada Dewi Remaja, saya berdepan perkara ini. Sebenarnya, saya ambil masa juga untuk terima tawaran filem Azura, saya tahu hidup saya akan berubah secara total. Saya cuma fikir, apa salahnya saya ambil peluang jadi pelakon. Saya pun masih muda dan sedang belajar dalam jurusan bisnes, jadi ini semua untuk masa depan saya.

Lima bulan bergelar pelakon, sudah capai apa yang dihajati?

Saya dapat lebih daripada apa yang saya impikan. Saya kenal dan berkerja dengan nama-nama besar, berada pula bawah bumbung KRU. Peribadinya, perkara ini berlaku cukup pantas untuk orang baru seperti saya. Yelah, dengan banyak cerita panas tapi tawaran juga tidak putus-putus. Banyak yang terpaksa ditolak kerana pertindihan jadual, lagipun saya tidak mahu belasah semua benda, kena juga buat pilihan.

Tidak kisah digelar pelapis ratu kontroversi?

Tak kisahlah apa yang orang yang gelarkan saya, saya tak buat apa-apa kesalahan. Lama-lama nanti orang kenal juga siapa saya.