Utusan Online - Hiburan |
Posted: Natasha tidak serik berkahwinOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
IKATAN perkahwinan yang putus di tengah jalan pasti meninggalkan detik hitam yang gerun untuk diingati apatah lagi dikenang. Pastinya peristiwa yang merobek jiwa itu menjadi satu igauan ngeri yang ingin dilenyapkan agar kesakitan akibat dirodok kalimah 'cerai' tidak akan terus membelenggu jiwa. Sebagai seorang hamba dimuka bumi ini tiada apa yang boleh kita lakukan selain dari reda dan menerima ketentuan yang telah tertulis itu sebagai satu cabaran bagi mematangkan diri dalam meniti kehidupan yang penuh dengan pancaroba. Bagi sesetengah orang penceraian yang berlaku pasti membuatkan diri berasa serik dan tawar hati untuk terus menyulam cinta sekaligus menempuh alam perkahwinan buat kali berikutnya. Bertemu dengan aktres jelita tanah air, Natasha Liana Mohd. Redzuan Hudson atau mesra dengan nama Natasha Hudson menyangkal dakwaan berkenaan dan sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri sekiranya bertemu dengan jodoh yang telah ditentukan. Ujar teraju filem Cermin itu, tidak pernah sekali pun hati wanitanya menyatakan serik untuk berkahwin lagi biarpun dua mahligai yang pernah dibinanya sebelum ini runtuh dalam tempoh yang singkat. "Tidak pernah sama sekali perkataan serik itu muncul dalam kamus hidup saya. Biarpun kesannya ada, apa yang penting adalah belajar dari kesilapan lalu. "Kita hanya merancang dan selebihnya, Dia yang menentukan. Andai sampai jodoh saya, insya-Allah saya akan bergelar isteri lagi selepas ini," jelasnya ketika ditemui pada pelancaran drama Bait Cinta di Sri Pentas baru-baru ini. Namun ibu kepada Nessa Helena itu mengakui dalam meniti kehidupannya kini, kerjaya membuatkannya lebih gembira selain kehadiran puteri tunggalnya yang akan menginjak usia tiga tahun pada 4 Jun ini. Baginya, sebagai seorang ibu, keutamaannya kini lebih tertumpu kepada puteri tunggalnya itu biarpun sibuk dengan dunia seni. "Kini saya senang dengan kerjaya, ia membuatkan saya rasa lebih gembira di samping kehadiran anak yang sentiasa menjadi peneman saya. "Hari-hari saya kini banyak dihabiskan bersama keluarga terutama satu-satunya anak kesayangan saya ini," ujar aktres berusia 29 tahun itu disusuli dengan senyum yang terukir di bibir. Diusik dengan gosip yang mengaitkan namanya dengan peserta Maharaja Lawak, Zizan, deraian tawa terus terkeluar dari bibir mulusnya. Seakan dapat menghidu pertanyaan itu pasti menjadi agenda yang akan diutarakan pihak media, dengan tenang Natasha membalas, itu hanyalah usik manja yang dimulakan oleh sebuah stesen radio. "Tiada apa yang istimewa antara saya dengan Zizan. Kehadiran saya pada rancangan realiti itu hanya sebagai penonton setelah dijemput oleh Astro sendiri. "Mungkin ramai tidak mengetahui, Zizan dan saya berkongsi pengurus. Jadi, apabila pengurus menghubungi saya mengatakan Astro memempelawa saya untuk menonton program itu, rasanya tidak salah pelawaan itu dipenuhi. "Lagi pun raja lawak merupakan salah satu rancangan kegemaran saya," jelasnya yang meminati kumpulan Jambu dalam program berkenaan. Cari Teman Hidup Berkisah pada rahsia hatinya, Nastasha mengakui tembok hatinya masih lagi belum berjaya diruntuhkan oleh mana-mana lelaki. Jelasnya, buat masa ini, persoalan jodoh bukanlah agenda utama yang hendak difikirkan. "Biarlah masa yang menentukan segalanya. Buat masa ini saya lebih fokus kepada anak dan kerjaya. "Saya akui memang ada ramai kawan tetapi sekadar berkawan dan tiada yang lebih dari itu," ujar kakak kepada Tania Hudson. Dikorek tentang ciri-ciri lelaki yang diidamkan, pantas Natasha menyatakan lelaki yang ingin bergelar suaminya mestilah mampu melindungi dirinya. Selain itu lelaki berkenaan mestilah seorang yang boleh berdiri atas kaki sendiri dan menghormati kaum hawa sepertinya. "Saya kalau boleh inginkan seorang lelaki yang mampu untuk menjaga dan melindungi saya, bertanggungjawab serta seorang yang kuat bekerja. "Namun apa yang lebih penting adalah lelaki itu tahu bagaimana untuk menghormati wanita dan menyayangi ibunya kerana dari situlah kita dapat melihat sejauh mana seorang lelaki menghargai seorang wanita. "Selain itu, lelaki itu mestilah seorang yang kelakar agar dia boleh menceriakan hari-hari saya dalam menjalani kehidupan bersamanya," ujarnya. Tidak gentar adik berlakon Natasha sedikit pun tidak rasa tercabar dengan kehadiran adiknya yang juga seorang pelakon. Baginya, karakter mereka berdua jauh berbeza dan itu membuatkannya tidak merasa tercabar. "Adik saya agak lembut dan saya lebih agresif serta matang. Jadi karakter kami sendiri telah membezakan antara kami berdua. "Selain itu watak-watak yang diberikan juga jauh berbeza di mana adik saya lebih diberi watak yang ringan dan berkisah remaja sementara saya diberi watak yang agak berat," jelas pelakon filem Tipu Kanan Tipu Kiri itu. Bagaimana pun, ujar Natasha, sebagai kakak, dia selalu menasihati adiknya dalam mengharungi dunia lakonan. "Saya ada berikan panduan kepadanya selain petua dalam lakonan supaya dia boleh jadi pelakon yang hebat. "Sebagai kakak sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuknya," ujar pemegang watak Shahnaz dalam drama Bait Cinta yang bersiaran malam ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Mesej Bob Marley terus hidupOleh ABD. AZIZ ITAR
TANGGAL 11 Mei 1981 merupakan saat paling sedih buat penggemar irama reggae di seluruh dunia. Ini kerana, pada tarikh tersebut, pelopor muzik yang berasal dari Kepulauan Caribbean, Bob Marley meninggal dunia menderita penyakit barah selama lebih lapan bulan. Tahun ini genap 30 tahun Marley atau nama sebenarnya, Robert Nesta Marley meninggal dunia. Nama mendiang dengan irama reggae tidak mungkin luput sampai bila-bila. Suara lemak merdu dan serak-serak basahnya yang begitu bersahaja terus diminati sehingga kini. Tiada siapa menduga semuanya bermula pada 1963. Marley bersama rakan-rakannya, Bunny Wailer, Peter Tosh, Junior Braithwaite, Beverly Kelso dan Cherry Smith menubuhkan kumpulan yang dinamakan The Teenagers. Ketika itu, muzik ska dan rocksteady menjadi kegilaan mereka. Itulah permulaan langkah buat Bapa Reggea dunia yang dilahirkan pada 6 Februari 1945 di Saint Ann Parish, Jamaica dalam dunia muzik. Siapa sangka keghairahannya pada muzik yang dicambahkan daripada elemen muzik ska telah membawanya meneroka ke jalur genre reggae. Marley bukan setakat mengalunkan lagu-lagu yang bersadurkan gaya penyampaian vokalnya yang penuh penghayatan. Malah, ia turut diperkuatkan dengan mesej di sebalik lirik-lirik hasil nukilannya. Ia kebanyakannya tentang nilai kemanusiaan, keadilan sejagat serta kebebasan. Elemen-elemen itulah yang menjadikan lagu-lagu Marley mempunyai nadi serta kekuatannya sendiri dalam menerjah ke corong halwa telinga dan jiwa para pendengarnya. Reggae yang diperkenalkan oleh beliau berjaya melangkaui batas warna kulit, bangsa, agama dan sempadan negara. Sejak kelahiran album pertama Marley bersama kumpulannya, The Wailers berjudul The Wailing Wailers pada tahun 1965 irama reggae ibarat barah yang cepat merebak. Iramanya yang menusuk kalbu turut menerawang di seluruh dunia termasuklah persada muzik tanah air. Selepas 46 tahun kemunculan album itu, muzik reggae turut menjadi pilihan ramai pemuzik tempatan yang ingin meneruskan perjuangan Marley. Isu-isu kemanusiaan yang diperjuangkan oleh penyanyi berambut simpul mati itu seolah-olah tidak mempunyai tarikh luput. Kumpulan reggae tempatan seperti Republic of Brickfields yang mengetengahkan genre itu sejak lebih 10 tahun lalu misalnya, masih utuh. Muzik itu terus kuat bergema setiap kali mereka mengadakan persembahan. Malah, para peminat mereka juga tidak pernah jemu mendengarnya. Penyanyi dan gitaris Republic of Brickfields, Aru berkata, lagu-lagu Marley adalah tentang kebebasan dan kemanusiaan yang sesuai diperdengarkan sepanjang zaman. Selagi dunia belum kiamat katanya, maka selagi itulah lirik-lirik dalam lagu-lagunya sesuai untuk dihayati. "Tidak keterlaluan kalau dikatakan Marley merupakan pelopor irama reggae. Beliau ditakdirkan muncul dalam genre muzik ini untuk menyampaikan mesej-mesejnya yang tersendiri. Ia datang daripada ketulusan hatinya yang ikhlas," katanya sewaktu dihubungi Hits baru-baru ini. Republic of Brickfields yang pernah menghasilkan sebuah album berjudul Ganjaran kira-kira lima tahun lalu tidak terkecuali meneruskan jalur muzik reggae. Malah, intipati lirik lagu-lagu yang mereka ketengahkan juga meneruskan semangat dan aspirasi yang pernah diperjuangkan oleh Marley. Aru dan kumpulannya bukanlah satu-satunya kumpulan reggae tanah air yang mengetengahkan genre muzik itu. Sebaliknya, pengaruh muzik Marley dan The Wailers pernah ditampilkan oleh kumpulan duo, Rampa yang dianggotai oleh Zainal dan Poe pada awal tahun-tahun 1980-an. Kumpulan yang pernah popular menerusi lagu seperti Jelaskan Hutang dan Jemputan Kahwin itu contohnya, sarat menampilkan lirik-lirik lagu yang berunsur sindiran terhadap isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Ia disampaikan secara bersahaja melalui irama reggae mereka. Sepanjang 16 tahun pembabitan Marley dalam bidang muzik, mendiang telah menghasilkan lebih 10 buah album bersama kumpulannya, The Wailers. Album-album dan lagu-lagunya kini bukan setakat bertaraf malar segar tetapi ia juga terus dirakamkan semula dalam banyak versi. Selain album The Wailing Wailers, Marley turut menghasilkan album berjudul Soul Rebel (1970), Soul Revolution (1971), Catch A Fire (1973), Burnin (1973), Natty Dread (1974), Rastaman Vibration (1976), Exodus (1977), Kaya (1978), Survival (1979) dan Uprising (1980). Sementara album Confrontation pula diedarkan pada 1983 selepas kematian mendiang. Semua material itu banyak mempengaruhi para pemuzik dan penggemar irama reggae di seluruh dunia. Genre muzik itu diiktiraf sebagai salah satu genre penting selain klasikal, jazz, blues dan rock. Sebuah lagi kumpulan reggae tempatan, Pure Vibracion yang ditubuhkan pada 2003 turut sering menyanyikan semula lagu-lagu Marley. Kata vokalisnya, Joe ia bukan sahaja sebagai suatu apresiasi tetapi juga pengiktirafan terhadap lagu-lagu mendiang yang bersifat sejagat. "Lagu One Love contohnya, adalah sebuah lagu berunsur penyatuan semua manusia tanpa mengira warna kulit. Kami sering menyampaikan lagu itu selain Waiting In Vein yang juga mempunyai nilai-nilai murni dalam liriknya pada persembahan-persembahan kami," ujarnya. I Shot The Sheriff, No Woman No Cry, Could You Be Loved, Stir It Up, Three Little Birds dan Buffalo Soldiers antara lagu popular Marley. Banyak pemuzik popular masakini seperti kumpulan U2 sering menyanyikan lagu Redemption Song yang juga pernah dipopularkan oleh Marley. Ternyata ledakan muzik reggae yang dipelopori Marley cukup membanggakan negaranya, Jamaica. Reggae, Marley dan Jamaica seakan-akan sebati dalam sebuah acuan. Bekas Perdana Menteri Jamaica, Edward Seaga cukup bangga dengan pencapaian Marley. Pada 21 Mei 1981 iaitu tidak lama selepas kematian Marley, pemimpin negara itu meluahkan pengiktirafannya terhadap ikon terbabit. "Suara Marley adalah mewakili tangisan dunia. Dia tidak mungkin terpadam dalam minda kita dan sejarah negara ini," katanya pada suatu ucapan. Marley yang meninggal dunia di Miami, Florida, Amerika Syarikat bukan setakat mempunyai bakat besar sebagai penyanyi dan penggubah lagu serta lirik. Malah, mendiang juga boleh bermain alat-alat muzik termasuklah gitar, piano, saksofon, harmonika dan percussions. Sambutan terhadap lagu-lagu beliau cukup ketara apabila album kompilasi bertajuk Legend yang diterbitkan pada 1984 iaitu tiga tahun selepas kematiannya mencecah jualan 25 juta unit di seluruh dunia. Tidak setakat itu, jualan album tersebut masih berjalan sehingga kini! Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |