Utusan Online - Hiburan |
Nubhan seronok bermain caplong Posted: Nubhan seronok bermain caplong
MAKA itulah, Ahmad Nubhan Ahamad, 25, tidak pernah lupa untuk menjenguk rumah kampungnya yang dijaga kakak sulungnya, Kak Long. "Walaupun saya dan emak kini tinggal di Senawang, Seremban tetapi apabila ada masa, saya akan balik ke kampung yang penuh dengan ketenangan dan kenangan manis tempat kami lapan adik-beradik dibesarkan," kata Nubhan. Nubhan yang bernaung di bawah Nubhan Entertainment itu, turut membawa S3 ke kawasan sawah berhampiran rumah kampungnya. "Sekarang ini kebanyakan sawah di sini dipajak sebab tidak ada orang yang mengusahakannya. Dulu kalau tidak berkubang di sungai, kami akan datang ke sawah. "Di sini kami akan mengail ikan puyu atau sembilang. Selain mengail kami juga akan menangguk ikan seluang. "Batang pancing dibuat daripada buluh yang ditebang dari kawasan hutan. Lepas itu guna tali tangsi dan umpan cacing," kata Nubhan yang menggemari permainan caplong. Buluh yang ditebang, kata Nubhan, bukan sahaja digunakan untuk membuat batang pancing, malah ia turut diguna sebagai senapang atau caplong. Pelurunya adalah buah cenerai atau pun menggunakan kertas yang dibasahkan untuk main tembak-tembak. "Kalau kena, memang pedih tapi itu yang seronoknya apabila membesar di kampung," kata pelantun lagu Ada Untuk Mu, Oh! Juwita, Aku Atau Dia dan Mata Hati. Cerita Nubhan lagi, kampungnya adalah yang terbaik kerana kehidupan zaman kanak-kanak bermain sawah memang menyeronokkan. "Kalau balik kampung, saya akan cari tiga orang 'member kamcing' yang sama-sama lepak dengan saya dulu iaitu Ajit, Usop dan Zaidi," kata Nubhan sambil memperkenalkan rakan-rakan karibnya kepada S3 yang berkesempatan balik kampung bersama Nubhan baru-baru ini. Tiga rakan karib Nubhan, Mohd. Nadzir Shamsudin (Ajit), 26, Mohd. Yusuf Md. Ali (Usop), 24, dan Mohd. Zaidi Abd. Malek (Zaidi), 24, ketika diperkenalkan kepada S3, amat ceria dan berbangga kerana mereka tidak pernah dilupakan oleh Nubhan walaupun sudah bergelar penyanyi popular. Bercerita tentang tiga rakan karibnya, pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu berkata, walaupun berlainan sekolah, mereka akan berjumpa di satu tempat melepak. "Kami ada satu tempat melepak yang dipanggil 'port', berdekatan dengan hutan di hujung kampung. Jadi, habis waktu sekolah, kat situlah kami akan berkumpul. "Di 'port' itu, kami bina sebuah pondok di atas pokok untuk lepak. Yang bestnya, pondok kami itu siap dipasang dengan bendera. "Bendera tu pula, bukan sembarangan. Kalau ia berkibar, itu tandanya waktu untuk lepak dan selalunya, dari rumah masing-masing, kami akan tengok ada bendera atau tidak. "Kalau bendera sudah berkibar, tandanya geng sudah sampai di 'port'," katanya sambil ketawa kerana teringat zaman kanak-kanak. Nubhan yang sibuk mempromosikan album pertama berjudul Langkah Nubhan, turut berkongsi cerita bagaimana dia dan kawan-kawannya bina pentas buluh di kawasan melepak. Katanya, di pentas buluh itulah mereka mengadakan persembahan kerana dulu dia dan rakan-rakan sering jamming di studio di bandar Kuala Pilah. "Ajit dengan Usop pandai main gitar. Saya pula, memang dari dulu tidak gemar bermain alat muzik sebab lebih pada nyanyian. Sampai sekarang kalau ada persembahan, dia orang ini akan mengiringi saya menyanyi," ujarnya. Mengimbau kembali perjalanan seninya, Nubhan berkata, pada waktu dulu mereka menyertai kumpulan kompang kampung yang sering diundang pada majlis perkahwinan. Bagaimanapun setelah beberapa kali mengadakan persembahan mereka menubuhkan kumpulan sendiri untuk mencari wang saku. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Heliza 'jatuh cinta' dengan fasilitator Posted: Heliza 'jatuh cinta' dengan fasilitatorkhadijah.ibrahim@utusan.com.my
RUPA-RUPANYA pejabat yang beroperasi sejak setahun lalu itu bukan menerbitkan drama, sebaliknya mengendalikan urusan jual beli peralatan pejabat dan ubah suai pejabat. Orang yang bertanggungjawab meneraju perjalanan syarikat tersebut ialah Heliza atau Nur Heliza, 25, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke lima (AF5). Melihat pada penampilan Heliza yang lemah lembut dan anggun itu, pasti ramai tertanya-tanya, mampukah pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan dan Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menjadi Pengarah Urusan HHP. "Kalau Heliza seorang, tidak beroperasilah pejabat ini. Heliza dibantu oleh lima orang kakitangan yang bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. "Selalunya, kami bekerja tidak ikut waktu. Kadang-kadangsampai malam masih di pejabat. Hubungan Heliza dengan kakitangan macam kawan-kawan, sebab usia kami yang tidak jauh berbeza," ceritanya. Selain menjadi tulang belakang memastikan kecemerlangan HHP dalam bidang perniagaan, Heliza turut mempunyai kegemarannya tersendiri. Kata anak kedua daripada empat adik-beradik itu, buat masa sekarang minat utamanya menjadi fasilitator yang dimulakan sejak menjalani latihan praktikal pada tahun 2009 "Ternyata tugas sebagai fasilitator ini banyak mengajar Heliza menjadi orang yang lebih bersikap terbuka. Dulu Heliza ini seorang yang pemalu. Sekarang macam tidak percaya pula. "Apa pun Heliza suka kerana matlamat utama adalah untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Sebagai fasilitator, Heliza perlu buat persiapan sebelum berceramah," akuinya. Beliau yang mengagumi penceramah motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Profesor Madya Md. Izuddin Ali (Prof. Izzi) berharap dapat mengikut jejak langkah mereka. Setakat ini, Heliza sudah berkesempatan mengadakan ceramah motivasi di sekolah menengah di Tawau, Pulau Langkawi dan Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah. "Saya selalu berpegang teguh pada motto, jika anda ingin mencapai kecemerlangan, anda harus mencari peluang dalam setiap kesulitan bukan mencari kesulitan dalam setiap peluang. "Saya percaya kejayaan yang diraih daripada kesulitan memberi seribu makna kepada setiap insan," katanya yang boleh dihubungi menerusi laman sosial Facebook dan emel helizahelmiproduction@heliza.com. Disebabkan kesibukan sebagai penceramah, Heliza meletakkan karier seni di tempat kedua. Heliza yang pernah muncul dalam filem Syurga Cinta menerusi watak Cikgu Syuhada dan telefilem Doa Ibu pada tahun 2009, berkata beliau tidak kesal mengurangkan kegiatan seni. Baginya, kalau mendapat undangan mengadakan persembahan pentas dan jadual kerjanya tidak bertentangan, sudah pasti beliau terima. "Bukan berhenti menyanyi, cuma kurangkan sahaja. Kalau orang panggil, saya pergi juga tapi bergantung kepada jadual kerja. Sekarang ini selain melakukan kerja-kerja pejabat, fasilitator dan menyanyi, sesekali saya dipanggil untuk menjadi pengacara. "Selagi termampu untuk dilakukan, saya akan cuba. Kalau ada peluang saya ingin menjadi pengacara untuk rancangan bual bicara remaja. Mungkin dengan cara ini saya dapat membantu mereka mengatasi masalah," katanya. Kini syarikat Heliza sedang giat menerbitkan terjemahan al-Quran berjudul Al-Quran Perkata yang bakal berada di pasaran sebelum Ramadan. Projek menerbitkan terjemahan al-Quran itu dilakukan bersama rakan kongsi, Yamani Angle yang juga menjadikan wajah Heliza sebagai penghias sebuah novel sebelum ini. "Selain terjemahan Al-Quran, kami juga bakal menerbitkan buku motivasi karya Heliza yang berjudul Diari Heliza. Buku ini adalah hasil nukilan Heliza yang ditulis dalam blog sejak 2006 hingga 2008," jelasnya yang mengharapkan kehadiran seorang lelaki beriman menjadi pasangan hidupnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |