Harian Metro: Rap |
Watak ganas, realitinya anak mak! Posted: 12 May 2011 07:59 AM PDT "BILA besar nanti, adik nak kahwin dengan 'mummy'," itulah pengakuan naif seorang insan seni bersama Shaheizy Abd Samad (Sam) ketika masih bersekolah rendah. Kenyataan didedahkan ibunya, Khaty Fauziah Musa, cukup membuktikan betapa Sam seorang anak yang manja dan tidak hairanlah mengapa sehingga usia 29 tahun pun dia masih mahu ditemani Khaty yang panggil 'Mummy'. Bagi yang tidak mengenali keluarga ini, barangkali membuat andaian Sam dikawal ketat ibunya. Sedangkan ramai yang tidak tahu pemuda sinonim watak Adnan Sempit itu sendiri yang mahukan ibunya berada di sisi ke mana saja dia pergi. Kerana kasih pada ibu, Sam menghadiahkan barangan kemas tajaan Rafflesia Pearl Centre bernilai RM180,000 yang dimenanginya atas kejayaan meraih anugerah Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) tidak lama dulu.
Pengarah Rafflesia, Winnie Sin turut menjadi saksi bersama pelakon adik-beradik, Linda dan Diana Rafar serta Dynas Mokhtar, Sari Yanti serta Yatt Hamzah. Masing-masing membawa bersama anak kesayangan mereka manakala Sharifah Sakinah ditemani ibunya. Sengaja menduga Sam, lazimnya orang lelaki akan mengutamakan kekasih hati sebelum memikirkan ibunya. Bagaimanapun, tegas Sam, tiada orang lain terbayang dalam fikirannya melainkan ibunya. "Saya memang berniat menghadiahkan kalung ini kepadanya. Tambahan pula, 'mummy' memang pencinta mutiara. Malah sebelum menang Bintang Paling Popular tempoh hari, saya menyedari usaha 'mummy' yang sanggup membeli akhbar Berita Harian setiap hari semata-mata mahu mengundi saya. "Jadi saya berniat, jika menang mahu hadiahkan kalung ini kepadanya. Saya mahu berkongsi kejayaan ini dengan 'mummy' kerana sejak kecil lagi saya melihat susah payahnya membesarkan kami dengan statusnya sebagai ibu tunggal," katanya yang kematian bapa, Abdul Samad Jaaman pada 9 April 1995. Anak bongsu daripada lima beradik dan tinggal bersama ibunya mengakui dia bukan jenis individu yang menyambut Hari Ibu kerana percaya seorang anak harus membahagiakan ibunya setiap hari. "Terus terang saya tidak pandai membelikan orang hadiah termasuk untuk 'mummy'. Satu lagi alasan saya tidak suka membelanjakan sesuatu yang orang lain tidak suka. "Kalau 'mummy' ingin membeli sesuatu, saya akan bagi duit dan biarkan 'mummy' memilihnya. Yang penting, dia gembira," katanya. Jarang berselisih faham dengan ibunya, Sam mengakui dia memang bimbang jika perkara itu berlaku kerana dia sendiri akan menjadi murung apabila mengetahui hati ibunya terluka. Bahkan, jujur Sam mengatakan dia tidak pernah terbayang andai satu hari mendirikan rumah tangga dan tinggal berasingan dengan ibunya. "Saya tidak pernah terfikir atau terbayang apabila berkahwin kelak, 'mummy' tidak tinggal bersama lagi. Saya faham kebanyakan wanita tidak boleh menerima mentua tinggal sebumbung dan itulah yang membuatkan saya agak memilih dalam soal jodoh. "Wanita yang mahu bersama saya perlulah menerima 'mummy' dan bersama-sama menjaganya. Selain menghormati 'mummy', wanita itu juga perlu ringan tulang," katanya. Apabila diminta komennya mengenai kelakuan remaja yang semakin hari semakin meminggirkan ibu bapa sehingga ada tergamak mencederakan ibu bapa, Sam yang memegang watak ganas dalam filem Kongsi arahan Farid Kamil, tidak menafikan Katanya, mungkin ini disebabkan ibu bapa mereka masih dibelenggu cara pemikiran orang dulu-dulu yang tidak mengikut peredaran zaman. "Dalam hal ini, saya sangat beruntung mempunyai ibu yang cukup memahami dan 'sporting'. Pun begitu, sebagai anak tidak kira apapun kita perlu menghormati ibu bapa. "Saya percaya kalau anak pandai memainkan peranan mereka dan meminta sesuatu secara berhemah, tiada ibu bapa yang akan marah. Saya selalu berterus terang mengenai apa saja yang dilakukan kepada 'mummy'. "Seperkara yang harus diingat, sementara orang tua kita hidup hargailah sebelum mereka tiada. Waktu itu, menyesal pun sudah tidak berguna," katanya. Selain Kongsi yang menjengah pawagam sejak semalam, Sam juga memegang watak aksi dalam filem 8 Jam mengenai kisah penjenayah sebelum dijatuhkan hukuman gantung. Filem lain yang sudah siap dan menanti tayangan ialah Sekali Lagi berpasangan dengan Lisa Surihani, Aku Ada Kamu Ada, Bini-Biniku Gangster, Adnan Sempit 2, Aku Bukan Tomboy dan Songlap. Mewarisi bakat lakonan dari ibunya, Sam bangga kerana adik-beradiknya yang lain turut menceburi dunia seni apabila kakaknya, Zizie Ezette mula berlakon ketika usia 14 tahun. Begitu juga Samzy Fuzette manakala Ahmad Shah Al-Jeffry (Jeff) lebih dikenali sebagai penyanyi dengan menganggotai kumpulan A To Z. Hanya kakak sulung, Jozieta Ronalie tidak berminat dengan dunia seni. Apabila kerjaya lakonan kini berada di puncak, jejaka Virgo ini ingin menyambung minatnya dalam nyanyian yang sudah diceburi sejak dulu bersama kumpulannya, MOB. Meski hanya satu single yang bakal dimuatkan sebagai runut bunyi filem Aku Ada Kamu Ada, ia dilihat sebagai permulaan untuknya mejayakan cita-citanya sebagai penyanyi. "Antara lakonan dan nyanyian, cita-cita utama saya dulu mahu jadi penyanyi, tetapi rezeki lebih berpihak pada lakonan. Saya juga tidak pernah tahu yang saya boleh berlakon. "Sampai sekarang minat menghasilkan 'single' ada, tetapi saya terlalu sibuk. Memandangkan Aku Ada Kamu Ada, Sam dan Yana diminta menyanyikan lagu tema, maka jadilah rakaman lagu ini. "Diterbitkan Ajai, saya gementar juga saat merakamkannya walaupun berada dalam studio bukan perkara baru buat saya. Tetapi disebabkan sudah lama, saya sedikit cuak," katanya mengambil masa kurang tiga jam merakamkan lagu itu. PROFIL NAMA SEBENAR: Shaheizy Sam Abd Samad TARIKH LAHIR: 4 September 1982 ASAL: Kuala Lumpur UMUR: 28 tahun BINTANG: Virgo KERJAYA: Pelakon ANTARA TELEFILEM/ DRAMA BERSIRI DISERTAI: Pa'e, Sama Tak Serupa, Graduan, Impak Maksima, KL Menjerit, Jangan Pandang Belakang 2, Legasi 43 Karat FILEM: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2, Adnan Sempit, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta, Kongsi, 8 Jam, Kongsi, Sekali Lagi, Aku Bukan Tomboy, Songlap, Aku Ada Kamu Ada dan Adnan Sempit 2. PENCAPAIAN: Pernah dicalonkan di Festival Filem Malaysia Ke 22 (2009) - kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Bohsia, Pelakon Lelaki Paling Popular Anugerah Berita Harian 2010, Bintang Paling Popular Anugerah Berita Harian 2010. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 12 May 2011 07:43 AM PDT MUNGKIN komen yang dilemparkan pengkritik tetap Akademi Fantasia 9, Hattan yang berkata, "setakat menyanyi untuk Gempak Desa bolehlah" selepas persembahan Kay pada konsert minggu kelima pada Sabtu lalu dilemparkan secara spontan dan tidak bermaksud apa-apa. Bagaimanapun, ia mengguris hati banyak pihak terbabit dalam program yang dimulakan sejak 2008 ini yang menganggapnya sangat menghina. Paling lantang bersuara ialah personaliti Zainal Alam Kadir yang bertindak sebagai penggerak program yang menjelajah desa di seluruh pelosok tanah air ini. Kekecewaan dan kekesalannya diluahkan menerusi laman sosial facebook yang turut mendapat reaksi bekas pelajar Akademi Fantasia yang turut bersamanya mengadakan persembahan. Bahkan, ada juga kalangan peminat terutama di lokasi yang pernah disinggahi oleh pasukan Gempak Desa (GD) melahirkan kekesalan ini dalam status facebook mereka.
Zainal Alam Kadir yang sememangnya lantang berkata-kata, menganggap cara komen Hattan tiada kelas. Katanya, Hattan patut minta maaf kerana mengeluarkan komen itu. Tambahnya, melihat kepada undian sekarang, Hattan tersilap kerana Hazama kini berada di tangga pertama. "Saya percaya undian Hazama datangnya daripada orang kampung yang melihat persembahannya dalam GD. "Habis... kalau orang kampung yang tentukan kedudukannya, bermakna mereka tiada kelaslah? "Saya sangat-sangat kecewa kerana bertahun-tahun buat program ini dan antara yang terawal menggerakkannya. "Program ini bukan hanya membabitkan nyanyian, tapi merangkumi pelbagai aspek antaranya lawatan amal ke rumah anak yatim, OKU dan orang tua serta bergaul dengan masyarakat kampung. "Kalau seseorang artis tak pandai bercampur gaul, tak pandai buat suara harmoni dalam persembahan, memang takkan dipilih. "Mereka juga kena ada stamina kerana program yang padat serta tempoh persembahan yang panjang. Inilah kerja saya dan Hazama. "Saya suka buat GD kerana ada kerja amal di dalamnya. Hanya mereka yang pernah terbabit dapat merasai dan mengakui kebaikannya. "Cuba lihat Hazama, kerana GD dia pandai bercakap dan boleh mengacara. Kerana GD juga persembahannya semakin mantap. "Menerusi program ini berputik perasaan di hati Hazama untuk sambung belajar. GD adalah satu jenama besar. Kalau Hattan nak bercakap pun kenalah berfikir dahulu. "Kalau dia nak bergurau pun tengoklah pada keadaan. Pada saya dan mereka yang terbabit, GD bukan satu program kelas rendah," katanya ketika dihubungi. Zainal Alam berharap Hattan tidak memperlekeh GD kerana program itu dibuat berkonsep mesra rakyat. Jelasnya, kejayaan Hazama sekarang berpunca dari keberkatan menyertai pelbagai program di dalamnya. Zainal berkata, dia sendiri melihat banyak perubahan positif terhadap artis-artis yang terbabit. "Farish Aziz pun bermula dari sini. Saya jadi kepala dan penghulu cari susunan lagu untuk artis terbabit antaranya Akma, Edlin, Zahid, Yazer, Aisyah Afiq, Idayu dan banyak lagi. "Mereka semakin menunjukkan peningkatan dalam persembahan. Bahkan setiap kali persembahan, ia dihadiri 5,000 hingga menjangkau 10,000 peminat. "Program lain yang bercorak kemasyarakatan dan keagamaan yang diadakan turut menarik ramai orang. "Hattan mungkin tak tahu perkara ini kerana publisiti mengenai GD jarang dipaparkan di media cetak. "Untuk dia memperlekeh seorang peserta dengan mengaitkan dengan GD agak dangkal dan silap. "Sekali lagi saya desak dia minta maaf. Ramai yang kesal dengan sikapnya. "Saya sendiri banyak tolak show lain sepanjang bersama GD kerana seronok dengan pengisiannya. Ia bukanlah sekadar persembahan pentas semata-mata," katanya yang memberitahu banyak dekoder Astro dijual kepada masyarakat kampung menerusi program ini. Edlin ketika dihubungi mengakui tidak menonton konsert minggu kelima. "Tujuh tahun saya buat GD dan terasa seolah-olah tiada kelas dengan komen ini. Ia tak adil kerana turut sama merendahkan masyarakat kampung. "Menerusi GD, saya lihat orang kampung saya teruja menyaksikan persembahan kami depan mata. Saya percaya sokongan terhadap Hazama dalam AF9 datangnya dari golongan orang kampung dan masyarakat Felda. "GD banyak memberi peluang kami buat show dan memperbaiki kualiti nyanyian. Saya macam tak percaya apabila kenyataan begini boleh dilemparkan. "Tak patut dia berbuat begini kerana kedua-duanya program Astro. Mungkin itu haknya, tapi Hattan perlu minta maaf kepada semua yang terbabit dengan GD termasuk orang-orang kampung," katanya. Sementara itu, Yazer pula menjelaskan tidak terasa dengan komen Hattan. "Kalau orang tak faham mungkin nampak apa yang dia maksudkan macam menghina. Saya tak terasa dan positif kerana maksud Hattan, sejauh mana kemahuan Kay untuk menyanyi dan sampai tahap mana? "Pendapat saya, GD adalah tempat untuk bekas peserta AF berlatih beraksi secara live depan penonton. "Apa yang Hattan kata memang tak bermaksud menghina kerana dia pun buat sama dalam program anjurannya (Karnival Mesra Belia 1Sarawak) baru-baru ini. "Saya mengaku tak malu beraksi dalam GD kerana berpeluang menimba pengalaman dan bertemu peminat. Cara Hattan mungkin agak kasar tapi maksudnya lain. "Saya tak nampak ada isu dia perlu minta maaf," katanya ketika dihubungi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |