Berita Harian: Hip |
Posted: 13 May 2011 04:00 PM PDT Hip Penyanyi remaja Korea terus dihimpit kontroversiDIRINYA bagaikan terus terjerat dalam kemelut yang tidak berkesudahan hinggakan setiap pergerakan dan tindak tanduk sering mencetuskan topik perdebatan hangat. Ternyata populariti itu menuntut harga yang terlalu tinggi daripada gadis yang mengukir nama bersama kumpulan 4minute, Hyuna. Pemilik nama lengkap, Kim Hyun Ah berusia 19 tahun itu akur menerima kenyataan, populariti datang bersama rentetan gosip dan barangkali, turut mengundang kebencian umum."Ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Setiap kali berdepan kontroversi, saya menerimanya dengan tenang tanpa perlu melatah," kata gadis kelahiran Korea Selatan yang memulakan karier nyanyian bersama kumpulan popular, Wonder Girls. Awal tahun lalu, Hyuna dibalut kontroversi ekoran tarian provokatifnya dalam muzik video lagu solo perdananya, Change. Bagaimanapun, label naungannya, Cube Entertainment pantas bertindak dengan menyunting semula muzik video itu untuk siaran televisyen. Malangnya, kontroversi yang dicetuskan tidak hanya terhenti di situ. Seakan terus sinonim dengan perkataan itu, Hyuna sekali lagi diheret dalam polemik gara-gara penampilan beraninya. Hyuna dikecam kerana tampil seksi ketika menghadiri sebuah konsert terbuka di Seoul, lantas memuncakkan kemarahan masyarakat Korea yang masih menyanjung adab Timur. Mempertahankan dirinya, Hyuana berkata, penyanyi sewajarnya diberikan kebebasan untuk memilih rekaan pakaian bersesuaian di pentas. "Malangnya kebebasan itu tidak diperoleh di Korea kerana terikat dengan kekangan budaya konservatif. Sering pilihan pakaian saya dikaitkan dengan kontroversi dan itu sangat mengecewakan. "Saya cuma mahu menjadi diri sendiri. Lainlah jika di pentas kerana saya perlu cuba menyatukan kostum untuk disesuaikan dengan bentuk persembahan," katanya. Nyata laluan Hyuna untuk membersihkan nama dan imej seksinya tidak semudah yang diimpikan. April lalu, gadis ini bersama kumpulannya itu kembali menjadi bualan gara-gara aksi keterlaluan ketika pembikinan klip video, Mirror Mirror. Rutin tarian mereka dalam muzik video itu dipertikai penonton mengundang kontroversi, meskipun 4minute mempertahankan perlakuan itu bukan untuk menggoda sesiapa. "Perkara itu tidak pernah terlintas di fikiran ketika kami menjalani latihan tarian selama beberapa bulan. Ia menyedihkan kerana pertikaian itu timbul selepas latihan yang panjang. Tidak dinafikan kami sendiri malu dengan kontroversi itu, malah mengejutkan apabila khalayak lebih teruja berbincang mengenai rutin tarian berbanding perkara lain. "Biarpun didesak untuk menukar koreografi supaya tidak menyinggung sensitiviti sesetengah pihak, kami sentiasa terbuka menerima cabaran baru," katanya. Semua kontroversi itu bagaimanapun, tidak memudarkan minat gadis yang sedang menyambung pelajaran dalam bidang seni kebudayaan di Universiti Konkuk untuk meneruskan cintanya kepada muzik. Hyuna turut memberitahu, dia memilih karier seni kerana minat menari dan menyanyi tetapi belum pernah ada satu detik yang membuat dia berasa selamat. "Mungkin kerana setiap hari saya diberi peluang untuk mempelajari pelbagai perkara baru. Saya sendiri teruja melalui proses latihan berpanjangan. Proses yang sama saya lalu setiap kali diundang menjayakan persembahan di luar negara. Banyak pengalaman dan perkara baru dikutip sekali gus mendewasakan saya," katanya. Usai mempromosikan album terbaru yang memuatkan lagu popular, Heart To Heart dan Mirror Mirror yang membuka mata pencinta muzik terhadap kekuatan bakat mereka, Hyuna akan meneruskan aktiviti solonya. Ketika ini, Cube Entertainment menanti masa yang sesuai untuk melancarkan album mini Hyuna yang dijadualkan berlangsung Jun ini. INFO: Perjalanan karier Hyuna |
Mesti tonton: Pemburu si pontianak Posted: 13 May 2011 03:53 PM PDT Hip Filem terbaru Hollywood sarat aksi mendebarkan Filem: Priest Genre: Aksi Seram Pengarah: Scott Charles StewartPelakon: Paul Bettany, Karl Urban, Cam Gigandet, Maggie Q dan Lily Collins Tayangan: Mulai 12 Mei MENGGABUNGKAN elemen fiksyen sains, fantasi, seram dan apokalips, filem Priest arahan Scott Stewart berkisar perjalanan seorang paderi yang juga bekas pemburu pontianak untuk membebaskan anak saudaranya. Diangkat daripada novel grafik bersiri tulisan Hyung Min-Woo, kisah suspen-thriller yang menjurus kepada nilai persaudaraan selain pembalasan dendam nyata padat dengan aksi. Justeru, elemen dramanya kurang diberikan penekanan.
Lebih menarik apabila ia dihasilkan sepenuhnya dalam format 3D, yang menampilkan impak pergerakan yang begitu hidup serta dramatik terutama ketika serangan pontianak dan pembunuhan. Cuma babak pembukaan agak panjang dengan penonjolan animasi, barangkali sengaja diadakan untuk menceritakan senario sebenar peperangan antara manusia dan pontianak, hingga mereka bermusuhan berabad lamanya. Sebelum menonton filem ini, yang terbayang di fikiran adalah keganasan pontianak penghisap darah namun hakikatnya ia agak berbeza daripada beberapa filem pontianak terdahulu kerana lebih menjurus terhadap pergolakan diri seorang paderi. Paul Bettany selaku Priest terpaksa melupakan sumpahnya terhadap gereja semata-mata mahu menyelamatkan anak abangnya, Lucy, lakonan Lily Collins daripada cengkaman ketua pontianak, Black Hat (Karl Urban). Dia dibantu teman lelaki gadis itu, Syerif Hicks (Cam Gigandet) serta seorang teman seperjuangannya lakonan Maggie Q, yang pada awalnya diminta ketua gereja untuk membawanya pulang. Mereka terpaksa menempuh perjalanan sukar merentasi padang pasir untuk menjejak Lucy yang mahu dijadikan korban dan hakikatnya Black Hat juga punya agenda sendiri mahu 'mengenakan' Priest yang pernah menjadi rakan karibnya. Seperti filem Barat lain, ada di antara babak sudah mampu dijangka serta klise hingga mudah menyamakannya dengan filem terdahulu namun Priest cuba lari daripada tanggapan itu menerusi gabungan animasi, 3D dan teknik janaan imej (GCI) sempurna. Sekalipun kronologi kisah penuh debaran, mainan perasaan setiap watak kurang ditonjolkan apabila tumpuan lebih kepada aksi pertarungan serta misi mencari Lucy, sedangkan ia mampu meruntun perasaan jika elemen dramanya dikupas lebih baik lagi. Apatah lagi pada akhir cerita terbongkar rahsia di mana Lucy sebenarnya adalah anak kandung Priest sekali gus membuatkannya sanggup berpaling tadah lari daripada gereja demi darah daging. Sesekali unsur humor diselitkan terutama menerusi watak kalut Syerif Hick yang dilihat seakan cuba menyeimbangkan karektor Paul Bettany yang sentiasa serius, manakala Maggie Q tetap seperti filem aksinya sebelum ini - lasak dan pantas bertarung. Pada babak terakhir, antara yang menarik tentu saja pertarungan Black Hat dan Priest di atas kereta api, begitu juga dengan aksi bermotosikal di tengah padang pasir untuk menghalang kenderaan yang membawa sekumpulan pontianak. Sekiranya anda peminat filem suspen thriller yang padat aksi pertarungan, Priest yang ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 12 Mei ini pastinya memenuhi selera. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |