Utusan Online - Hiburan |
Posted: Sembilan tahun yang seimbangOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
TAHUN 2011 baru menjengah bulan keempat tetapi nama penyanyi yang seorang ini terus hangat diperkatakan. Hangatnya nama Misha Omar dalam tempoh empat bulan ini bukanlah kerana buah tangan terbarunya tetapi adalah kerana isu perkahwinannya yang tidak henti menjadi bahan perdebatan. Misha sendiri keliru apabila memikirkan pelbagai kisah peribadinya yang terus mahu ditelanjangkan oleh pihak-pihak tertentu sepanjang sembilan tahun menjadi anak seni. Sehinggakan Misha sudah lelah dan hilang nafas untuk terus mempertahankan dirinya. Baginya, perkahwinan itu adalah sesuatu yang cukup indah dan wajar untuk dikongsikan dengan semua pihak tanpa perlu menyorokkan apa-apa. "Saya sebenarnya tidak menafikan yang saya kenal rapat dengan individu yang dikatakan sudah menjadi suami saya itu. Tetapi, saya belummenjadi isteri kepada mana-mana lelaki. "Namun, saya akui kini sedang mengenali seseorang. Tetapi, sampai saat ini, saya belum menjadi tunangan sesiapa. "Saya sendiri pun tidak mahu lagi memanjangkan isu ini kerana semakin banyak yang saya perkatakan, ia tidak akan berhenti. Biarlah apa orang nak kata kerana apa yang berlaku hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu. "Percayalah, saya pasti akan mengumumkan mengenai perkahwinan saya apabila tiba waktunya," katanya dalam nada diplomasi sambil mengharapkan isu itu akan terus lenyap ditelan waktu. Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar berkata demikian pada majlis pelancaran album kompilasi, Dia...Misha yang berlangsung di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Perjalanan warna-warni PENYANYI berusia 29 tahun yang bakatnya mula dicungkil menerusi pertandingan Bintang RTM 2001 ini sememangnya memiliki bakat yang tersendiri. Biarpun tewas kepada Azharina Azhar untuk merebut gelaran juara, Misha bertuah kerana ditemukan dengan komposer, Adnan Abu Hassan. Hasilnya, lagu Bunga-Bunga Cinta telah memasyhurkan nama Misha sehingga bertahan selama sembilan tahun di dalam industri. Di kala penyanyi seangkatannya hilang entah ke mana dan kemunculan artis-artis baru terutamanya dari program realiti, Misha masih lagi kekal dan terus menjadi pujaan peminat setianya yang tidak pernah henti menyokong kariernya selama ini. "Selama sembilan tahun, saya boleh sifatkan perjalanan seni saya cukup seimbang. Semuanya sudah saya tempuhi dan rasai. Baik di depan, ke tengah, ke belakang, kanan dan kiri. "Alhamdulillah, saya masih di sini untuk menghiburkan masyarakat dan peminat yang masih belum lelah serta bosan untuk mendengar alunan lagu-lagu saya (ketawa)," ujarnya penuh optimis sambil melirik ke arah kakak yang juga pengurusnya, Mimie Omar di sebelahnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Suatu Ketika... jadi bahan sejarah Posted: Suatu Ketika... jadi bahan sejarahOleh ABD. AZIZ ITAR
SALURAN televisyen (TV) Astro Citra sering menyiarkan rancangan-rancangan yang boleh dianggap sebagai pendekatan 'serampang dua mata' di mana ia bukan setakat menjadi bahan hiburan semata-mata. Sebaliknya, rancangan siaran stesen TV berbayar itu juga mempunyai nilai-nilai pendidikan dan bahan-bahan sejarah yang boleh dijadikan rujukan untuk generasi pada masa akan datang. Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, slot Suatu Ketika... yang disiarkan menerusi Astro Citra misalnya, boleh memberi manfaat buat para penonton mengetahui tentang sejarah negara ini. "Dalam setahun saluran Astro menayangkan tidak kurang 2,000 jam durasi drama-drama tempatan. Kebanyakannya mengikut kehendak para penonton dan juga bagi mencapai rating bilangan penonton. "Bagaimanapun, menerusi slot Suatu Ketika.. kami sengaja mengadakan slot ini bagi menyediakan cerita-cerita berdasarkan fakta sejarah yang boleh disimpan sebagai bahan sejarah. "Malah, kita juga boleh menyiarkannya berulang-ulang kali. Ia fakta yang tidak lapuk sampai bila-bila," katanya pada pelancaran slot Suatu Ketika.. Darah Di Bumi di Kuala Lumpur baru-baru ini. Menerusi slot musim terbaru itu dipaparkan kisah bekas anggota polis Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Yuen Yuet Leng yang pernah menentang pengganas komunis pada zaman Perang Dunia Kedua dulu. Menerusi slot yang disiarkan di Astro Citra pada 26, 27 Mac dan 2 serta 3 April lalu, Khairul Anwar berkata, rancangan berbentuk drama itu diterbitkan menerusi pelbagai kajian terperinci. "Ini bukan drama biasa tetapi ia berdasarkan kisah benar yang dilalui oleh Yuen Yuet Leng. Untuk itu, kami juga membuat kajian tentang sejarah latarbelakang peristiwa zaman yang dilalui oleh beliau itu. "Adakalanya penerbitan rancangan seperti ini mengambil masa sehingga dua tahun termasuklah bagi tujuan penyelidikan sebelum penggambarannya dimulakan. Itulah perbezaan slot ini dengan drama-drama lain," ujarnya. Menerusi slot Suatu Ketika... Darah Di Bumi itu, pelakon Koo Chee Sing menggalas tanggungjawab melakonkan watak Yuen Yuet Leng, manakala Kenji Sawahi pula melakonkan watak pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng. Tambah Khairul Anwar, slot Suatu Ketika.. bukan sahaja menjadi salah satu kelainan rancangan di Astro Prima tetapi kredibilitinya juga telah terbukti apabila pernah memenangi anugerah pada Anugerah Seri Angkasa 19 Februari lalu. "Contohnya drama Apa Dosaku arahan Bernard Chauly yang diambil dari slot ini telah mendapat anugerah Pengarah Terbaik di mana ia berkisar tentang Sybil Kathigasu seorang srikandi wanita pada era Perang Dunia Kedua. "Malah, drama itu juga menganugerahkan anugerah Pelakon Wanita Terbaik kepada Elaine Daly yang melakonkan watak Sybil. Ini membuktikan elemen sejarah, drama dan hiburan boleh digabungkan sebagai tarikan," jelasnya. Sementara itu, Yuen Yuet Leng, 84, yang pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak dan pencen pada tahun 1984 berkata, dia berasa terharu dan berbesar hati apabila Astro Citra mengambil latar pengalamannya sebagai bekas polis yang banyak berkorban masa dan tenaga demi tugasnya itu. Selain bersetuju slot Suatu Ketika... Darah Di Bumi boleh dijadikan bahan sejarah, bekas guru sekolah King George V, Seremban, Negeri Sembilan itu turut menulis sebuah buku bertajuk Nation Before Self berdasarkan pengalamannya sebagai polis. "Saya tulis buku itu pada tahun 2006 di mana banyak pengalaman saya sebagai bekas polis yang menentang komunis di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya di Taiping, Perak. Semua bahan itu juga boleh dijadikan rujukan. "Malah, saya turut mencadangkan agar buku tulisan saya itu juga dijadikan bahan-bahan sejarah kerana ia berdasarkan fakta sewaktu zaman darurat dan pengalaman sebenar saya sebagai anggota polis ketika itu," ujarnya. Selain pernah bertugas sebagai anggota polis Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Yuet Leng juga merupakan bekas anggota angkatan tentera British, Amerika dan New Zealand sewaktu era Perang Dunia Kedua. Pada masa sama selepas tayangan slot Suatu Ketika... Darah Di Bumi itu, Astro Citra juga akan menayangkan dokumetari khas berjudul Suatu Ketika... Yuen Yuet Leng bagi menyorot secara khusus pembabitan srikandi itu sebagai polis. Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Pengurus Saluran Astro Citra, Shoba Devi Choo dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani serta para pelakon Suatu Ketika... Darah Di Bumi iaitu Koo Chee Sing. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |