Adsense

Ahad, 24 April 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Opera eksklusif Wings

Posted:

Opera eksklusif Wings

Opera eksklusif Wings


DARI kiri: Black, Awie, Joe dan Eddie bakal menterjemah layar opera hidup seni mereka selama 25 tahun dengan barisan lagu dan kekuatan skil muzik di pentas baru.


SAYAP jentera mereka berkibar sejak lebih dua dekad. Siulan mereka berdendang, bertebaran dan berkelana ke segenap sanubari pengikutnya sehingga tumbuh lagi sayap-sayap baru.

Memang mereka bersayap, 'sayap' yang saling membentuk sebuah kesatuan merentasi era.

Tumbuh atas nama Wings, kumpulan yang dianggotai empat ahli tegar, Joe, Eddie, Black dan Awie ini masih belum puas menakluk angkasa raya rock & roll.

Segala yang terluah, terakam dan terzahir daripada himpunan lebih 20 album, telah mereka amati.

Seperti membukukan sebuah sejarah, sama ada menjajah ataupun terjajah, semuanya mahu dirangkumkan dalam sebuah kisah, sebab itulah ia dinamakan Konsert Wings Opera Hidup.

Kepada Wings, pembikinan konsert itu sendiri sudah satu pencapaian. Paling tidak, mereka unggul sebagai grup rock pertama yang masuk ke 'istana,' memalu gendang irama rock selama empat hari bermula dari 29 April ini.

"Ia satu penghormatan kepada Wings untuk bermain di arena yang berprestij berserta muzik yang eksklusif," kata Awie, sang vokalis.

Muzik serius yang dimaksudkan itu digelar 'rockestra' atau dalam definisi yang lebih tepat berbunyi penyatuan rock dan orkestra.

Ia sesuatu yang tidak pernah dan julung kali dilakukan oleh sebuah grup rock & roll Malaysia di atas pentas yang gah, Istana Budaya sebuah 'wilayah' yang belum terjamah secara penuh oleh mana-mana grup rock tempatan.

Berkongsi pentas yang sama pada waktu yang berbeza, rekod baru juga sedang diusahakan kuasa rockers ini.

Seramai 15 ikon rock terdiri daripada penyanyi dan pemuzik pula berhimpun mengisi dua persembahan versi semiakustik pada rembang petang 30 April dan 1 Mei ini dengan Konsert Wings Opera Hidup Superfriends.

Bezanya ketara besar. Selalunya konsert Wings disaksikan puluhan ribu peminat, tapi kali ini nilai itu menaiki satu takuk lagi.

Hanya pencinta yang benar-benar berjiwa Wings dan 'berani' menakluk Istana Budaya akan menjejak kaki ke tanah yang menaikkan nilai eksklusif grup tersebut.

Masuk ke dalam suku kata opera hidup itu sendiri, pelbagai rasa sudah diterokai oleh grup tersohor ini. Semuanya digumpalkan menjadi pengalaman dan benang hidup berdiri atas nama anak seni.

Bersilih ganti ahli kumpulan. Tempat Sham diganti Joe selepas album Belenggu Irama, album pengenalan Wings yang menyapa khalayak.

Perjalanan


DARI kiri: Hattan, Yantzen, Mus, Azlan, Awie, Ramli Sarip, Nash dan pemain bass, Yan antara bintang yang bakal bersatu dan beradu tenaga di Istana Budaya atas ikatan 'Superfriends' selama empat hari bermula 29 April ini.


Peralihan Jojet diganti Black dan pertukaran ini berlaku dua kali dalam sejarah Wings.

Posisi Eddie mengisi pemain bass menggantikan Zul. Itu akar sejarah Wings. Suka duka itu mengalir dengan sendiri.

Belum masuk lagi perihal isu rambut yang membuatkan grup ini digam selama lima tahun pada era 1990-an.

Takdir Wings hinggap dahan Superfriends bermula apabila Awie mengambil keputusan meninggalkan grup kesayangannya itu untuk bergerak solo pada November 1998.

Perubahan radikal ini menggerakkan kreativiti Wings dengan barisan vokalis pelengkap di bawah album Wings & Superfriends: Opera Dalam Kenangan 1 & 2.

Kolaborasi pada tahun 1994 ini rupa-rupanya adalah hikmah dan jodoh untuk mereka bertemu di atas pentas penuh berprestij pada 30 April dan 1 Mei ini.

Ramli Sarip, Hattan, Mus, Datuk M. Nasir, Hillary Ang, Kid, Edrie Hashim dan Ujang antara yang bersatu dan bakal membelenggu khalayak dengan irama senada dan senafas mereka.

Ulas si gitaris kidal yang sentiasa serius kalau berbicara soal muzik, Joe:

"Wings bertukar ganti ahli namun realitinya kita tidak pernah sekali pun berpecah dan itu yang membuatkan kami bangga di bawah nama Wings. Kita utuh selama 25 tahun."

"Bersama Superfriends seramai 15 orang, Wings bergabung dengan wajah baru dan lama serta yang aktif dalam industri. Lebih santai dengan tema unplugged.

"Mungkin khalayak merasakan persembahan malam dan siang adalah sama tetapi sebenarnya tidak. Ia dua pentas dengan tema berbeza," ulas Black pula membetulkan keadaan.

"Komitmen semua sangat bagus dan wajar diberi markah 'A.' Cuma kesukaran awal adalah dari sudut penyusunan sama ada mahu ikut aturan lagu atau penyanyi.

"Akhirnya kami masukkan aturan penyanyi dan sesuaikan dengan lagu-lagu pilihan," terang Joe.

Membayangkan himpunan 19 bintang rock di atas satu pentas, ini sebuah mimpi yang bertukar realiti. Ku Di Halaman Rindu, Dari Sinar Mata, Jikalau Berkasih, Hati Emas dan kesemuanya 19 lagu bakal bertukar vokal yang padu.

Pada 2002, Naga Kramat dihadiahkan buat peminat Wings. Itu cenderahati terakhir buat masa ini untuk 'Sayap-Sayap Wings' yang senantiasa menantikan halwa telinga daripada grup tersebut.

Peminat baru


GABUNGAN anggota WIngs yang asal, penggantai dan tegar. Sham (dari kiri), Mel, Eddie, Joe dan Black pernah bersatu di bawah tebaran muzik Wings.


Realitinya, lagu-lagu hasil nukilan grup ini selalu berhasil menakluk semua kalangan pendengar.

Bukan hanya siulan, malah lagu-lagu seperti Sejati, Taman Rashidah Utama, Hukum Karma dan Ranggi Metropoli sudah jadi lagu malar segar dan punya keramat tersendiri.

Menyentuh soal lagu baru, anggota kumpulan bersayap ini sudah mempunyai bahan terbaru untuk diterjemahkan dalam pendengaran khalayak.

"Mencipta lagu baru senang tetapi untuk lagu-lagu yang disukai itu diakui sukar. Wings perlu ada elemen kontemporari serta perlu bermain dengan masa dan keadaan yang tepat untuk dikeluarkan," ujar Eddie.

Dengan kesibukan sang vokalis di pentas berbeza, mereka mencari ruang selesa dan sesuai untuk merakam sebuah album baru. Tahu rindu khalayak sedang bergetar, begitu juga rasa itu buat mereka yang mahu tampil dengan sesuatu yang baru.

"Bunyi perlu sedikit berbeza, ikut peredaran masa. Mungkin perlu rekod semula lagu-lagu yang pernah dirakam dahulu," celah Joe yang sangat berterima kasih kepada peminat yang setia terutamanya kelab peminat mereka – Sayap-sayap Wings. Harapan mereka, agar material baru nanti dapat membentuk gelombang peminat baru dan mengekalkan pencinta lama yang sentiasa setia.

Tinggalkan dahulu seketika soal halwa baru yang hendak disajikan, tarikh penting 29 April hingga 2 Mei ini bakal menjadi titik sejarah penting buat Wings.

Galak promosi dikendalikan oleh syarikat Mewah Event Management membiaskan keterujaan buat peminat dan dengarnya tiket konsert laris terjual.

"Ini adalah penyatuan peminat dengan muzik kami. Mendekatkan jurang peminat yang datang daripada pelbagai golongan.

"Secara halusnya itu yang bakal disaksikan," ujar Black yang menganggap cabaran besar kelak adalah penyatuan ego dan undang-undang orkestra dengan keselambaan jiwa rock mereka.

Konsert Wings Opera Hidup bakal berlagu. Satu pentas, seribu nada dan sejuta harapan. Penting dalam ingatan, mereka ini adalah manusia-manusia jiwa halus yang mencintai muzik dan itulah mengapa muzik mereka ini mempunyai jiwa yang dapat sentiasa menyentuh khalayak sampai saat ini.

Saksikan visual hikayat penuh ranjau Wings daripada Belenggu Irama hinggalah Naga Kramat di pentas berbeza daripada biasa.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KD dihambat kontroversi hamil

Posted:

KD dihambat kontroversi hamil

KD dihambat kontroversi hamil


KRIS DAYANTI dan Raul sama-sama berasa bertanggungjawab atas kehamilan sebelum pernikahan ini. Kris disahkan hamil pada Januari lalu tetapi pasangan popular ini bernikah pada 20 Mac lalu di Jakarta, Indonesia.


NAMPAKNYA perkataan kontroversi sentiasa melekat buat diri seorang diva bernama Kris Dayanti. Belum larut berita perkahwinannya diperkatakan, kini timbul satu lagi cerita yang menjadi buah mulut khalayak di Indonesia dan Malaysia.

Baru sahaja bernikah dengan jutawan Timor Leste, Raul Lemos pada 20 Mac lalu, Kris terpalit dengan kontroversi hamil sebelum nikah. Penyanyi lagu Mencintaimu itu sedang hamil empat bulan.

"Ya, saya hamil empat bulan. Saya disahkan berbadan dua oleh doktor pada Januari lalu," kata penyanyi tersebut merungkai segala tanda tanya.

"Kami berdua sudah dewasa. Kami menerima hal ini (kehamilan) dengan penuh rasa tanggungjawab," jelas Kris.

Hal tersebut turut diakui teman baik Kris iaitu Iis Dahlia.

"Ya, betul seperti yang disiarkan oleh media. Kris sendiri sudah bercerita dan memberitahu bahawa dia hamil," ujar Iis yang memanggil Kris dengan nama Yanti.

Sewaktu diminta mengulas kehamilan luar nikah Kris, Iis mempunyai jawapannya sendiri.

"Mengenai perkara itu, biarlah ia menjadi urusan mereka. Kita juga bukan orang yang suci.

"Saya percaya bukan hanya Kris yang begitu. Jadi tidak usah diperbesar-besarkan.

"Dari segi tanggungjawab, biar mereka yang fikir. Mereka kan sudah dewasa," ujar Iis.

Lain pula komentar daripada bekas isteri Raul, Atta yang menjawab secara sinis sambil ketawa besar.

"Ya saya dan Raul bercerai pada bulan Disember dan ini bererti kami belum bercerai sewaktu Kris dihamilkan," katanya yang tidak hairan dengan berita tersebut.

"Logik sahaja kalau sebelum nikah mereka sudah bersama. Kalau ke Timor Leste kan tinggal bersama? Boleh saja hamil.

"Bagaimana saya mahu terkejut kerana orang belum bernikah sering sahaja bersama. Apa bezanya?" sambungnya.

Khabar tentang Kris yang berbadan dua turut sampai ke pendengaran bekas suaminya iaitu komposer Anang.

Meskipun bekas isterinya itu hamil sebelum nikah, Anang tetap mengirimkan doa tulus buat ibu kepada anak-anaknya itu.

"Saya mendoakan supaya sihatlah, baik anaknya mahupun ibunya dan keluarga," ucap Anang yang mengetahui berita tersebut daripada pihak media.

"Mendengar khabar seperti itu, anak-anak, baik Aurel mahupun Azriel gembira mereka akan mendapat adik," ungkap Anang mewakili dua anak hasil perkahwinannya dengan Kris.

Buat anak sulung Kris iaitu Aurel, dia pada mulanya tergamam dengan berita kehamilan ibunya.

"Saya terkejut ketika diberitahu oleh ibu sewaktu saya dan adik berjalan-jalan di sebuah pasar raya.

"Kemudian saya berasa senang sekali," ujarnya yang merasakan anugerah Tuhan ini diberikan dengan cepat kepada ibunya.

Aurel menyatakan keinginannya untuk mempunyai seorang adik perempuan, berbeza dengan Azriel yang mahukan adik lelaki.

"Teruja dan gembira sekali. Saya mahu adik perempuan, manakala Azriel mahu lelaki.

"Nanti kalau ibu beritahu jantinanya apa, saya akan belikan baju," katanya matang menerima berita itu.

Bagaimanapun, berita Kris hamil luar nikah mendapat reaksi berbeza daripada pihak Front Pembela Islam (FPI) di Indonesia.

Pemimpin FPI, Habib Salon berkata, seks luar nikah Kris dan Raul adalah sesuatu yang salah di sisi Islam.

"Dalam Islam, ada dua hukum. Pertama, kalau dia hamil empat bulan sebelum pernikahan, maka anaknya disebut anak zina dan ibu bapanya boleh direjam," ujar Habib yang menentang keras penzinaan.

Apa pun, khabarnya rumah Kris yang terletak di Radio Dalam, Jakarta Selatan sedang diubahsuai, mungkin bagi menyambut kelahiran orang baru di dalam rumah itu.

"Kris mengubahsuai biliknya. Setahu saya dua bilik dijadikan satu, mungkin buat kelahiran si bayi," kata seorang jiran Kris.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Shera ambil petua Zahiril

Posted:

Shera ambil petua Zahiril

Shera ambil petua Zahiril


SHERA mengaku takutkan hantu malah menonton filem hantu juga dia tidak berani. Namun, untuk muncul dalam sebuah filem bergenre sedemikian adalah sebuah cabaran besar buat dirinya yang perlu ditangani.


PERTUTURANNYA meluncur laju, layaknya kerana dia seorang pengacara program televisyen. Namun, untuk kesesuaian satu lagi profesion, Shera Aiyob cuba memperlahankan patah katanya.

"Sudah terbiasa," ujarnya yang merupakan pengacara Wanita Hari Ini. Sekarang, dia meneroka sebuah lagi dunia baru dengan penuh debar.

Menyandang gelaran aktres, kebolehan Shera bakal ditentukan melalui filem keduanya, Karak. Filem itu bakal ditayangkan pada 26 Mei ini.

Sebelum ini, pemegang Diploma Pengajian Media dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) ini sudah mencuba gear pertamanya melalui filem Sesuatu Yang Tertinggal.

Bagaimanapun, Karak bakal menentukan pandangan dan pendapat khalayak mengenai bakat barunya ini.

"Jujurnya, filem seram atau hantu yang pernah saya tonton boleh dibilang dengan jari.

"Apabila dapat tawaran berlakon filem seram (Karak), saya tidak tahu bagaimana ketakutan itu boleh dilawan," ujarnya yang mengajak adik dan rakan-rakan menemaninya menonton filem hantu untuk kajian lakonannya.

"Terdetik juga, bolehkah saya menjalankan tugasan baru ini. Namun, saya tahu inilah cabaran yang saya mahukan. Sebenarnya saya seorang pemalu dan sukar mengekspresikan perasaan.

"Tetapi saya pegang kata-kata Zahiril Adzim bahawa lagi buruk wajah dalam lakonan lagi cantiklah lakonan kita," ujarnya tersenyum manis apabila menyebut nama si buah hatinya itu.

Hasilnya Shera membawakan watak Zura dalam filem arahan Yusry KRU itu.

Dalam filem tersebut, Zura ialah seorang yang kuat agama tetapi kemudian terlalai di pertengahan hidupnya.

Bergandingan bersama pelakon seperti Shahir (AF), Along Eyzendy dan Kilafairy, Shera mengaku dia mempunyai hubungan kimia yang baik dengan semua pelakon tersebut.

"Sutradara Yusry ada mengusik saya yang berkulit agak sensitif dan merah-merah digigit serangga.

"Tetapi syukur sepanjang penggambaran tiada perkara pelik yang terjadi," kata aktres ini yang sudah terbiasa mendengar kisah di Lebuh Raya Karak seperti misteri kereta Volkwagen kuning dan suami isteri diganggu makhluk halus.

Ditanya tentang kepercayaannya terhadap cerita hantu tempatan, Shera memberi jawapan bernas.

"Saya rasa filem hantu tempatan agak boleh diramalkan kesudahannya. Jalan ceritanya juga lebih kurang sama. Namun, kita tidak boleh salahkan pengarah kerana mereka ada kekangan masing-masing.

"Soal bajet mungkin mengehadkan kreativiti namun apa yang saya perhatikan, industri filem sedang mengalami peningkatan," ujarnya.

Debaran Shera kian kencang menantikan respons peminat terhadap hasil lakonannya.

Gadis 26 tahun ini juga disentuh perihal debaran berganda kerana dia bakal 'ditanda' sang kekasih.

Pada 1 Mei ini, Shera akan menjadi tunangan aktor berbakat besar, Zahiril Adzim.

Sheira membuka cerita, awalnya dia dan Zahiril yang disatukan dalam produksi Sesuatu Yang Tertinggal tidak mesra dan hanya bertegur sapa atas dasar kerja.

"Selepas itu, kami mula keluar minum beramai-ramai. Saya tahu dia menyukai saya daripada gerak-gerinya.

"Secara semula jadi perkenalan itu bertukar menjadi rapat dan Ahad depan saya bakal menjadi tunangannya.

"Zahiril itu orang yang kelakar, penyayang dan memang menyenangkan. Dia seorang pemerhati," ujar Shera.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.