Kosmo Online - Hiburan |
Juvana uji Bront, Izreen & Zahiril Posted: Juvana uji Bront, Izreen & ZahirilNAMA Bront Palarae tiba-tiba menjadi bahan bualan di media dan peminat seni tempatan, sejurus diumumkan sebagai pelakon lelaki terbaik filem menerusi Festival Filem Malaysia (FFM23) dan Anugerah Skrin 2010 (ASK2010) baru-baru ini. Dengan niat untuk terus berada di hati peminat, Bront mengakui bahawa dia masih seperti dahulu biarpun menggondol dua anugerah yang mengiakan kehebatannya sebagai seorang pelakon filem. Bagi Bront, anugerah tersebut hanyalah penghargaan terhadap bakatnya sahaja dan bukan menjadi tiket untuknya berlagak dan meninggi diri. Katanya: "Selepas atau sebelum menang anugerah, saya tetap sama sahaja. Tiada istilah badi seperti yang didakwa sesetengah orang kepada penerima anugerah seperti saya. "Juga tiada istilah meminta bayaran lebih atau demanding, cuma saya kini lebih banyak ditawarkan dengan watak-watak berat sahaja." Bront yang mengakui merindui untuk membawakan watak-watak komedi seperti dahulu kini akur untuk bekerja dengan watak-watak serius. Buktinya, melalui drama bersiri terbaru berjudul Juvana yang akan bersiaran di TV3 tidak lama lagi, Bront diberikan watak sebagai seorang warden asrama sekolah juvana yang bengis. Biarpun watak itu tiada kaitan dalam hidupnya, Bront sedaya-upaya memberikan persembahan yang terbaik agar dilihat semula jadi di kaca televisyen. "Membawakan watak seorang warden di sekolah budak-budak nakal yang bengis dan tegas amat mencabar kerana ia memerlukan ekspresi yang masuk dengan karakter. "Walaupun lebih mudah membawa watak komedi yang dekat dengan jiwa saya, karakter seperti ini sebenarnya akan mewarnai lagi kerjaya lakonan saya." ujar Bront yang akan tampil dalam drama Lagenda Budak Setan 2 tidak lama lagi.
Bagi satu-satunya teraju utama wanita dalam drama Juvana, Izreen Azminda, tempoh empat tahun dia menjadi penyeri dunia hiburan tanah air belum cukup kuat untuk mengangkat namanya sebaris aktres popular lain. Dia bebas daripada dihimpit kontroversi murahan. Mungkin itu menjadi penyebab mengapa nama Izreen kurang menonjol meskipun pernah membintangi drama dan filem popular seperti drama Nenek Kebaya, Isabella, Samson Delaila, Sutera Maya serta filem Nana Tanjung 2 dan Otai. Pemilik nama Izreen Azminda Mohd. Aznam, 26, itu bagaimanapun tidak kisah walaupun sering diberikan watak-watak antagonis asalkan survivalnya dalam dunia lakonan tidak tergugat. Terbaru, buat kali pertamanya dia ditawarkan watak wanita yang bertanggungjawab. Diberikan karakter lembut, bertudung dan baik sebagai Cikgu Zakiah dalam drama Juvana nyata membuatkan Izreen tidak senang duduk. Namun, atas bakat yang disandarkan, Izreen telah berusaha gigih menjiwai watak seorang guru kaunseling yang penuh dengan kesopanan biarpun dia mengakui bahawa agak sukar dibawakannya. "Walaupun sudah empat tahun saya berlakon, inilah kali pertama saya ditawarkan dengan watak wanita lemah-lembut. "Ia memang sangat sukar kerana berbeza dengan perwatakan saya yang sebenar dan sangat berat untuk dijayakan," katanya. Ingin tampil dengan penuh penghayatan, Izreen membuat kajian terperinci mengenai watak wanita baik agar dilihat kena dengan karakter Cikgu Zakiah. "Saya belajar menghayati watak wanita baik melalui drama-drama tempatan. Lagipun, ia kontra dengan sifat saya yang sedikit kasar. "Saya suka lakonan Noorkhiriah. Saya juga banyak belajar daripada lakonannya dan drama-drama lain," katanya yang ditemui ketika pelancaran drama Juvana di Melaka baru-baru ini. Membawa karakter kontra berbanding diri sebenar turut memberi cabaran besar kepada pembawa watak utama dalam drama tersebut, Zahiril Adzim. Bagi Zahiril, menghidupkan watak Daim yang tidak banyak bercakap dan memerlukan pelbagai ekspresi, dia banyak dibantu oleh pelakon-pelakon lain termasuklah Izreen dan Bront agar Daim dilihat lebih semulajadi di kaca TV. SALAH satu babak lakonan dalam Juvana. "Walaupun sukar kerana watak Daim jauh dengan karakter sebenar diri saya, tetapi atas komunikasi dua hala diberikan pelakon-pelakon lain, saya tetap dapat menghayati watak pemuda berusia 17 tahun itu. "Bront yang banyak pengalaman mudah diajak berbincang dan ia membuatkan saya lebih senang untuk mengangkat watak Daim," kata Zahiril yang turut menganggap Daim sebagai satu watak yang unik. Jika dilihat pada sosoknya yang kecil molek, pasti ramai yang tidak percaya bahawa jejaka kelahiran Taiping, Perak itu sudah mencecah usia 27 tahun. Biarpun membawa karakter yang berumur sepuluh tahun lebih muda, ia tetap tidak memberi cabaran besar kepadanya untuk menghayati watak itu kerana di luar kaca TV Zahiril masih lagi menebal dengan sifat keanak-anakan. "Walaupun saya sudah 27 tahun, tetapi jiwa 17 tahun dan nakal masih ada. "Tiada masalah untuk berada dalam karakter pelajar sekolah kerena perangai saya juga masih keanak-anakan," kata Zahiril yang pernah memegang trofi Pelakon Harapan Lelaki terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23). Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Parti jakuzi Peter Andre
BINTANG siri realiti TV, Peter Andre telah melengkapkan bahagian taman di kawasan belakang kediamannya dengan sebuah jakuzi dan bercadang untuk mengajak kawan-kawannya untuk berparti di situ. Katanya: "Saya kini mempunyai jakuzi yang hebat di taman di bahagian belakang rumah saya. Ia sangat besar, malah lengkap dengan tempat khusus untuk iPod dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada petugas-petugas di Euphoria Lifestyle kerana telah memasangkannya. "Apabila saya pulang dari Cyprus nanti, saya akan ajak kawan-kawan saya untuk parti jakuzi di rumah saya." Andre kini sedang bercuti di kepulauan Cyprus bersama keluarganya iaitu dua orang anaknya hasil perkahwinan dengan bekas isterinya Katie Price iaitu Junior, lima tahun, dan Princess Tiaamii, tiga tahun. Turut sama dalam percutian tersebut ialah anaknya, Harvey, lapan tahun, hasil daripada hubungannya dengan wanita lain sebelum ini. Bercakap baru-baru ini kepada majalah New! sejurus sebelum berangkat ke Cyprus untuk percutian tersebut, Andre yang baru-baru ini berpisah dengan teman wanita terbaharunya, Elen Rivens, berkata: "Saya akan bertolak ke Cyprus Ahad ini (16 Januari, 2011) dengan tiga orang anak saya dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk ke sana." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Semangat bola Erra, AwalOleh SYALMIZI HAMID ERRA FAZIRA dan Awal Ashaari pantas mencipta keserasian bersama. MENJADI pengacara bersama Erra Fazira tidak memberikan masalah besar kepada Awal Ashaari meskipun ia merupakan kolaborasi pertama mereka berdua dalam sebuah rancangan televisyen. Digandingkan bersama dalam musim kedua rancangan realiti televisyen pencarian bakat-bakat baharu dalam arena bola sepak, Tiger Futbol Starz, Awal dan Erra tidak kekok berkolaborasi. Mengakui mereka tidak mencari keserasian, sebaliknya atas dasar hormat menghormati antara satu sama lain, keserasian tersebut terbit secara semula jadi. Bagi Awal, sikap profesional yang ditunjukkan antara dia dan Erra lebih memudahkan lagi kerja mereka apatah lagi masing-masing mempunyai sifat merendah diri dan saling melengkapi. "Tidak sukar bekerja bersama Erra walaupun ia merupakan kali pertama kami mengacara bersama. Ia tidak sukar kerana kami saling menghormati dan atas perbincangan bersama, semua perkara dapat diselesaikan dalam masa singkat," kata Awal. Walaupun dilihat mempunyai kelebihan berbanding Awal kerana pernah mengacarakan rancangan tersebut pada musim pertama, Erra dengan rendah diri menyatakan bahawa mereka mempunyai kelebihan masing-masing. Erra yang mengagumi Awal kerana pengalamannya yang luas dalam bidang pengacaraan tidak menolak kekuatan Awal dalam musim ini. ERRA FAZIRA dan Awal (dua dari kiri) bergambar dengan peserta Tiger Futbol Starz dan wakil Astro serta penaja. "Bagi saya, Awal lagi bagus kerana dia mempunyai pengalaman mengacara yang lebih berbanding saya walaupun saya mengacarakan sendiri pada musim pertama dahulu. "Walaupun ia kolaborasi pertama kami, ia tidak memberikan apa-apa masalah, bahkan lebih serasi kerana kami sentiasa berbincang bersama. Oleh kerana semua pesertanya lelaki, mereka lebih selesa untuk berkongsi rahsia dengan Awal," kata Erra yang ditemui sejurus sidang akhbar Tiger Futbol Starz baru-baru ini. Mempunyai tugasan yang berbeza, Erra yang diberi gelaran sebagai Soccer Mama menjalankan tugas serius termasuk memberikan tugasan kepada peserta dan mengumumkan penyingkiran berbanding Awal yang akan berdampingan bersama peserta. Mengakui bahawa dia tidak pandai bermain bola sepak sebelum ini, Awal kini sudah tahu menendang bola setelah menjadi pengacara rancangan yang akan bersiaran sebanyak 13 episod itu. Menurut Awal, dia bukan sahaja dapat menimba ilmu dalam bola sepak bahkan menjadi abang kepada 21 orang peserta Tiger Futbol Starz yang dapat berkongsi kisah suka duka. "Untuk berkongsi perasaan mereka lebih selesa bersama saya berbanding Erra kerana malu untuk bercerita dengan perempuan. "Itu untuk memberikan kata-kata semangat dan nasihat sahaja. Kalau dalam aspek teknikal pastinya saya tidak dapat membantu kerana saya memang tidak tahu bermain bola," ujar Awal sambil ketawa. Tiger Futbol Starz pada tahun ini menampilkan peserta yang lebih matang iaitu berusia antara 10 hingga 15 tahun bersiaran pada pukul 6 petang, setiap hari Ahad bermula 17 April lalu menerusi saluran Astro Ria. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |