Berita Harian: Hip |
Posted: 21 Apr 2011 06:00 PM PDT Hip Juliana dan Amar. MUDA, berwajah menarik dan berbakat. Faktor itu tentu saja memberi ruang yang cukup selesa buat kedua-dua bakat ini untuk bertapak lebih kukuh dalam industri seni tempatan. Masih boleh dianggap baru, namun pelakon Juliana Evans dan Amar Baharin enggan mempersiakan segala peluang yang dihulurkan. Meskipun masih hijau, mereka juga mahu tampil dengan watak yang mampu meninggalkan kesan di hati peminat, memuaskan hati pengarah, seterusnya membolehkan mereka berdiri sama tinggi dengan nama hebat sedia ada. Juliana dan Amar, berkongsi bidang lakonan sebagai karier, kali pertama digandingkan dalam sesi fotografi. Biarpun pada awalnya agak malu-malu, namun selepas beberapa ketika, kedua-duanya mula menunjukkan keserasian. Ketika itu, terserlah daya penarik yang ada dalam diri mereka.Kesempatan itu juga digunakan kedua-duanya untuk berkongsi cerita dan pengalaman, bukan saja untuk pembaca Hip, malah untuk semua peminat di luar sana. Bersara seketika demi pelajaran BAGI Juliana atau lebih mesra dipanggil Jue, dirinya kini sibuk dengan pengajian akhir jurusan Komunikasi Masa di sebuah kolej swasta dan sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan minggu depan.
Gadis berusia 22 tahun ini, lima tahun dalam dunia seni banyak memberikannya ruang untuk mempelajari ilmu lakonan daripada pelakon senior. Jue mengaku, dia tidak segan bertanya kepada pelakon lebih berpengalaman mengenai cara dan teknik yang betul ketika menjiwai watak, malah baginya segala ilmu yang diajarkan adalah pemangkin untuk memperbaiki mutu persembahannya di depan kamera. "Memang rasa kecil dan rendah diri sebab berlakon dengan senior, malah takut pun ada tapi saya anggap mereka sebagai pembimbing dan guru dalam memberi tunjuk ajar. "Agak kekok sebenarnya berlakon dengan senior sebab kita masih baru dan banyak kesilapan yang akan kita lakukan, tetapi pelakon lama yang pernah digandingkan dengan saya tidak pernah merungut, bahkan tidak segan untuk memberikan tunjuk ajar," katanya yang turut dikenali menerusi drama Kasut Tumit Tinggi dan Natrah. Gadis ini turut mendedahkan, wataknya sebagai Natrah antara yang paling mencabar kerana dia terpaksa menjiwai zaman kanak-kanak dan dewasa wanita itu yang penuh dengan emosi. Watak itu juga membuatkan air matanya gugur, walaupun dia tidak pernah menangis ketika menjayakan watak sedih sebelum ini. "Saya seorang yang sukar untuk mengalirkan air mata, tetapi ketika melakonkan watak Natrah, hati saya betul-betul tersentuh dan mudah menangis," katanya. Dia turut mengimpikan watak lebih mencabar dan menguji kewibawaannya pada masa depan, seperti watak gadis gila atau jahat kerana peranan sedemikian dirasakannya mampu mengubah persepsi penonton terhadap karektor sebenar dirinya. Sedikit bosan dengan watak gadis lembut dan sopan santun, bagi Jue, watak sebegini mampu membuka mata pengarah bahawa dirinya juga boleh membawa pelbagai watak lebih mencabar. "Saya sudah jemu dengan watak baik, lemah lembut dan sopan santun, jadi saya nak cuba watak lain pula lebih mencabar pula. Bila kita cuba buat watak yang di luar tanggapan orang, ini akan lebih meyakinkan pengarah bahawa kita juga mampu bawakan watak seperti orang lain dan tak bergantung pada watak yang sama saja," katanya. Dari gimnasium ke bidang lakonan SAAT ini, mungkin ramai yang mula mengenali Amar Baharin apabila dia menyertai Anak Wayang. Begitupun ramai yang tidak tahu pelakon muda berbakat ini asalnya seorang jurulatih peribadi gimnasium. Kini jejaka berusia 26 tahun ini kian sibuk dengan tawaran berlakon, bahkan sejak keluar daripada program terbabit, dianggarkan 20 drama sudah dibintanginya. "Sekarang saya sibuk menjalani penggambaran drama Laila Manja untuk slot di TV3. Saya memegang watak Manja bergandingan dengan Puteri Sarah Liyana, Ellie Suriaty, Zul Ariffin dan Iqram Dinzly," katanya. Seperti Juliana, dia turut berasa bertuah dapat bergandingan dengan pelakon senior, bahkan menganggap peluang diberikan itu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan. Menerima apa saja tawaran dan watak yang diberikan menjadi titik permulaan buat Amar dalam menggerakkan namanya ke tahap lebih baik agar dikenali pengarah serta diterima penonton. Dia juga percaya, memiliki wajah tampan serta tubuh badan menarik saja tidak cukup jika tidak disertai bakat dan kebolehan dalam lakonan. "Sebelum terbabit dengan Anak Wayang, saya banyak buat iklan komersial serta jurulatih gimnasium. Walaupun dulu saya belajar bidang kejuruteraan mekanikal, tapi nampaknya setelah tamat belajar saya ke bidang lain, sebagai jurulatih gimnasium dan kini pelakon pula," katanya sambil tersenyum. Berkongsi pengalamannya menjadi jurulatih peribadi, Amar mengakui sukar untuk membentuk imej pelanggan, namun setiap pelanggannya perlu mematuhi syarat yang ditetapkan bagi memiliki tubuh badan yang menarik. Malah, Amar amat berbangga dapat menurunkan berat badan pelanggannya yang berusia 19 tahun sebanyak 11 kilogram sebulan. remaja itu pada awalnya seberat 98 kilogram. Ia pencapaian yang sukar dilupakannya. Bukan saja berlakon, Amar turut berkebolehan dalam menggubah lagu menggunakan gitar, dan kini tiga lagu berada dalam simpanannya. Kata jejaka ini, lagu dapat menenangkan jiwa tatkala dihimpit kegusaran dan tekanan kerja. Justeru, ada saja masa terluang, dia akan menggunakannya untuk menghasilkan lagu baru meskipun untuk simpanan sendiri. "Saya sudah gubah tiga lagu tetapi belum ada liriknya lagi kerana sibuk dengan shooting. Mungkin lepas habis semua tugas baru fikir nak buat lirik dan berikan pada artis yang berminat kerana saya tak minat menyanyi," katanya. Minat bermain gitar sejak berusia sembilan tahun memberi inspirasi kepada Amar untuk bergiat dalam mencipta lagu, namun masih banyak yang perlu dipelajarinya dalam bidang terbabit. Busana: Lord's Taylor (Amar Baharin), Riffai (Juliana Evans)
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Syarat ketat bawa masuk Dreamgirls Posted: 21 Apr 2011 05:52 PM PDT Hip Muzikal popular dari New York bakal dipentaskan di Istana Budaya, Julai iniVERSI asal muzikal broadway ini mula menemui khalayak di Imperial Theatre, Amerika Syarikat, sekitar 1981. Siapa yang boleh lupa muzikal dari Kota New York, Dreamgirls, yang berkisar mengenai tiga gadis kulit hitam yang memasang impian bergelar penyanyi terkenal? Sejak dipentaskan, karya hebat hasil kolaborasi Henry Krieger dan penulis lirik dan buku Tom Eyen ini terus mendapat sambutan menggalakkan sehingga mampu bertahan di panggung itu selama lima tahun. Sekitar 2006 pula, muzikal itu dipindahkan ke layar perak. Filem terbitan DreamWorks Pictures dan Paramount Pictures ini berjaya mencetuskan fenomena apabila menampilkan pelakon hebat seperti Jamie Foxx, Beyonce Knowles, Eddie Murphy dan Jennifer Hudson, serta dilatari lagu menarik sama ada irama lama diberi nafas baru ataupun ciptaan terkini. Bagaimanapun, apa yang ditonjolkan di filem, tidak akan sama dengan pementasan sebenar. Justeru, atas dasar ingin membawa penonton menikmati atmosfera pementasan sebenar seperti pernah diadakan di Imperial Theatre itu, Broadway Academy Productions dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan membawa Dreamgirls ke Malaysia. Panggung Sari Istana Budaya (IB) pula bakal menjadi saksi pementasan itu.Namun, untuk membawa pementasan berskala mega ini ke Malaysia ternyata bukanlah perkara yang mudah. Penerbit Eksekutif Dreamgirls, Casey Koh, berkata banyak syarat yang perlu dipatuhi penganjur sebelum lesen diberikan. "Memandangkan teater ini sebuah teater yang besar dan terkenal di serata dunia, jadi misi untuk mendapatkan lesen untuk mementaskannya di sini memang payah. Hadir sama adalah Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli; Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani; pengarah pementasan, Joanna Bessey; dan koreografer, Michael Xavier Voon. Ketika diminta mengulas pemilihan Dreamgirls untuk disajikan kepada penonton, Casey berkata tema cerita itu yang menyentuh realiti dunia hiburan membuatkan dia berasakan ia cukup relevan untuk dipentaskan di sini. "Muzikal ini menceritakan dunia showbiz yang penuh dengan suka, duka, glamor, populariti serta jatuh dan bangunnya seorang penyanyi. Perkara ini juga ialah realiti dalam dunia hiburan kita. Jadi kami berasakan pilihan untuk membawa pementasan ini ke sini adalah tepat. "Pada masa yang sama, walaupun muzikal ini tidak diubah dari segi skrip serta jalan ceritanya, kami tetap menyesuaikannya dengan budaya Malaysia," jelas Casey yang juga bertindak sebagai pengarah muzik untuk muzikal itu. Sementara itu, ketika ditanya apakah bentuk cabaran yang bakal dihadapi apabila memikul tanggungjawab sebagai pengarah, Joanna memberitahu, dia perlu memastikan setiap pelakon harus menepati kriteria dan watak mereka mesti sama dengan versi asal. "Latar masa muzikal ini diambil sekitar era 1960-an dan 70-an dan saya harus memastikan cara percakapan, gaya mereka sama dengan tahun itu. Loghat Inggeris yang digunakan juga perlu dijaga. Memandangkan muzikal ini mengetengahkan pelakon kulit hitam sebagai watak utamanya, saya juga kena mengikut loghat percakapan seharian mereka," ujar Joanna yang setakat ini amat berpuas hati dengan komitmen diberikan pelakon utama. Pada majlis itu, tetamu juga turut diperkenalkan dengan pelakon utama muzikal itu yang terdiri daripada Cheryl Samad, Elvira Arul, Tony Eusoff, Azura Zainal, Ruzana Ibrahim, Dafi dan Indi Nadarajah. Korban rambut demi Deena Jones SAAT dimaklumkan watak Deena Jones menjadi miliknya, perasaan berdebar dan gementar terus bermain dalam diri Cheryl. Bukan tidak yakin dengan kebolehan diri, namun watak yang dipegang penyanyi Beyonce untuk versi filem itu membuatkan dia berasa takut dan tertanya-tanya apakah dia mampu memikul tanggungjawab itu. "Bayangkan saya membawakan watak Deena, sedangkan pada hakikatnya saya sudah lama tidak menyanyi, iaitu kira-kira empat tahun. Suara pun sudah berkarat. "Bagaimanapun, sebaik saja dimaklumkan saya berjaya mendapat watak itu, atas inisiatif sendiri, saya berlatih vokal dengan guru lama saya untuk memantapkan lagi vokal ini," katanya teruja. Demi menghidupkan lagi watak itu, penampilan Cheryl harus diubah dan untuk itu, pengacara Muzik-Muzik ini sanggup berkorban kerananya. "Rambut saya yang panjang paras bahu ini akan dipotong pendek. Ia memudahkan saya memakai cemara memandangkan dalam muzikal ini kami harus memakainya untuk kelihatan bergaya," kata Cheryl yang julung kali berlakon di IB dengan memegang watak utama. Walaupun sudah membina nama dalam arena muzik bebas, namun ini adalah kali pertama Elvira memberanikan diri menceburi teater muzikal arus perdana. "Saya datang untuk uji bakat teater ini hanya untuk watak Effie White. Watak itu menjadi pilihan saya kerana saya berasakan kami punya persamaan. Seperti Effie, saya mempunyai impian bergelar penyanyi ternama satu hari nanti dan saya tidak akan putus asa demi mencapai cita-cita itu," kata Elvira yang bakal mengeluarkan album sulungnya tidak lama lagi. INFO |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |