Adsense

Sabtu, 9 April 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Semangat kental IU

Posted:

Semangat kental IU

Semangat kental IU



IU satu nama yang cukup besar hari ini dalam industri hiburan Korea Selatan. Kehadirannya membuktikan masih terdapat penyanyi solo berbakat besar dalam lambakan penyanyi berkumpulan wanita yang sebahagian besarnya memancing peminat dengan kecantikan dan keseksian mereka.

Berbeza dengan IU atau nama sebenarnya Lee Ji Eun, dia tidak memiliki ketinggian seperti model mahupun wajah sempurna.

Disebabkan itu, dia pernah ditolak lebih daripada 20 kali oleh beberapa syarikat rakaman ketika sesi uji bakat sebelum berjaya menjadi penyanyi.

Tidak mengalah, akhirnya pada usia 15 tahun pada September 2008, IU melancarkan album mini pertamanya yang berjudul Lost And Found. Bagaimanapun, album itu tidak berjaya di pasaran komersial.

Belum mahu mengalah, IU muncul dengan album penuh berjudul Growing Up pada tahun 2009. Sejak itu, nama IU mula dikenali apabila lagunya yang berjudul, Boo mula menguasai carta-carta lagu popular.

"Sejak kecil saya sudah mempunyai impian untuk menjadi penyanyi dan sekarang saya lakukan pekerjaan yang saya minati. Saya gembira dengan hidup saya sekarang ini," ucapnya.

Namun, popularitinya benar-benar dirasai selepas dia melancarkan album mini ketiganya, Real yang mengandungi lagu hit berjudul Good Day pada Disember tahun lalu. Lagu itu berjaya meledakkan nama IU apabila ia berjaya menjadi juara dalam tiga program carta muzik utama di Korea Selatan.

"Populariti yang saya perolehi hari ini bukan datang dalam satu malam, sebaliknya memakan masa selama tiga tahun. Saya mendaki (tangga populariti) perlahan-lahan dan tidak pernah putus asa. Album pertama saya gagal dan saya bersyukur kerana ia gagal.

"Bayangkan kalau saya terus berjaya dengan album pertama, saya pasti tidak akan menghargai usaha keras kakitangan syarikat rakaman saya dan populariti yang saya ada hari ini," ujarnya.

Gadis yang masih belajar di sekolah tinggi itu mendapat pujian menggunung bukan sahaja daripada peminat, malah juga daripada penggiat industri seni kerana bakat dan vokalnya.

Tidak tenggelam dengan pujian yang diberikan, IU yang sering bermain gitar dalam setiap persembahannya mengakui dia masih terlalu mentah sebagai seorang penyanyi.

"Saya tidak sangka akan diberi pujian kerana perjalanan seni saya masih panjang. Saya tidak mempunyai banyak pengalaman dalam kehidupan dan saya tahu saya mempunyai kelemahan terutama ketika menyanyikan lagu-lagu sedih. Masih ramai lagi penyanyi yang lebih bagus dan berusaha untuk memperbaiki diri," bicaranya yang menggemari genre R&B, pop, balada, soul dan rock.

Pelajar vs artis


MENOLAK spekulasi yang mendakwa dirinya melakukan pembedahan plastik, IU menegaskan wajahnya kelihatan cantik menerusi teknik solekan yang betul.


Memikul dua tanggungjawab sebagai pelajar dan artis pada masa yang sama bukan satu hal yang mudah buat IU. Disebabkan kesibukan jadual kerjanya, dia juga semakin jarang-jarang ke sekolah dan impaknya pelajarannya semakin merosot.

"Saya cuba untuk pergi ke sekolah setiap hari, tetapi jika saya terlibat dalam penggambaran untuk program realiti yang biasanya akan memakan masa selama dua hari menyebabkan saya tidak dapat hadir ke sekolah.

"Sebenarnya, sejak saya mula lancarkan album pertama pelajaran saya merosot teruk kecuali markah dalam mata pelajaran Kesusasteraan Korea, kerana saya amat meminatinya," jawabnya yang amat meminati bidang penulisan.

Walaupun gadis mempunyai ketinggian 162 sentimeter itu kini bergelar seorang artis popular, dia masih lagi dirinya yang dahulu, malah rakan-rakannya di sekolah juga masih memberi layanan yang sama kepadanya.

"Rakan-rakan saya tidak melihat saya sebagai artis kerana saya telah bersekolah dengan mereka selama tiga tahun sejak saya melancarkan album pertama. Jadi, mereka memang seorang pengkritik yang ikhlas," katanya.

Tidak hanya berbakat dalam nyanyian dan penciptaan lagu, IU juga berbakat dalam bidang pengacaraan dan terbaru, bidang lakonan.

Lakonan pertamanya sebagai Kim Pil Sook dalam drama popular Dream High yang mengisahkan kehidupan pelajar di Kirin Arts High School benar-benar meninggalkan kesan buat peminat drama tersebut.

IU memegang watak gadis gemuk dan hodoh pada awal episod drama itu dan bertukar kepada seorang gadis jelita pada penghujung episod.

"Dream High merupakan drama pertama lakonan saya. Walaupun bimbang pada mulanya, sekarang selepas penggambaran tamat, saya lebih yakin untuk berlakon.

"Saya juga gembira kerana menerima banyak respon positif mengenai lakonan saya. Selepas Dream High terdapat beberapa tawaran lakonan dan saya serahkan segala keputusan kepada agensi saya untuk memilih. Apa yang pasti saya tidak akan berhenti berlakon," balasnya.

Dalam drama itu juga watak IU jatuh cinta kepada watak Jason yang dilakonkan oleh Wooyoung yang juga salah seorang anggota kumpulan 2PM. Impaknya, tercetus khabar angin yang mengatakan mereka berdua bercinta di luar set penggambaran.

Tidak mengesahkan dan tidak berselindung, pada Konsert Istimewa Dream High sekitar Mac lalu, IU dan Wooyoung mengaku mereka pernah berjumpa sebanyak dua kali selepas penggambaran drama tersebut.

Meskipun begitu, status sebenar hubungan IU dan Wooyoung sehingga kini belum dapat dipastikan kerana ujar IU dan Wooyoung, mereka saling meminati antara satu sama lain mengenai muzik dan bakat.

Bedah plastik


DRAMA rantaian Dream High melebarkan lagi pengaruh populariti IU.


Sejak muncul dengan album baru Real, imej remaja dan comel yang dibawakan IU sebelum ini hilang apabila dia tampil dengan imej matang dan seksi dalam album mini ketiganya itu.

Malah, ketika muncul dalam majalah Vogue Girl Korea, IU dengan beraninya memakai pakaian seksi yang menyerlahkan lebih banyak kulit.

Disebabkan itu, ramai peminat mempersoalkan tubuh seksi yang dimiliki IU. Mereka mengatakan IU melakukan pembedahan plastik kerana dia kelihatan lebih berusia daripada usia sebenarnya.

"Saya tahu, mereka mengatakan saya lakukan sesuatu pada mata saya. Saya sendiri melihat wajah saya ketika sesi uji bakat waktu dulu di Internet, saya sendiri terkejut kerana saya kelihatan cukup berbeza dengan diri saya sekarang," katanya ketawa.

Disebabkan gosip pembedahan plastik itu, IU telah mengeluarkan beberapa keping fotonya ketika kecil untuk khalayak menilai sendiri keaslian wajahnya.

Berterus terang, IU mengakui dia pernah terfikir untuk menjalani pembedahan plastik bagi memancungkan hidung. Namun, disebabkan kulitnya akan menipis selepas pembedahan itu, IU membatalkan hasratnya untuk menjalani pembedahan plastik.

"Saya tidak pernah lakukan pembedahan plastik. Rahsia saya untuk kelihatan lebih cantik adalah solekan yang sempurna. Ditambah sebelum ini saya mempunyai berat 48 kilogram dan sekarang saya telah turun lima kilogram baru-baru ini kerana saya hanya tidur empat jam sehari. Itu tidak secara langsung mengubah wajah saya yang dulunya berisi kepada semakin kurus," tegasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ani mahu cuba komposer baru

Posted:

Ani mahu cuba komposer baru

Ani mahu cuba komposer baru

Oleh SAHLIZAH MOHAMED

SELEPAS menyepi dari dunia nyanyian hampir tiga tahun, pelantun irama dangdut, Ani Maiyuni bakal kembali mewarnai dunia nyanyian dengan single terbarunya yang kini sedang dalam proses pembikinan.

Tampil sebagai artis di bawah naungan Cherry Talent & Management sejak awal Mac lalu, Ani memberitahu, single tersebut dijangka akan menemui peminat selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.

"Buat masa ini sudah ada beberapa orang komposer yang terlibat. Kami sedang dalam proses perbincangan untuk genre lagu, tetapi tidak semestinya saya telah melupakan dangdut andai kata single saya itu bukan genre tersebut.

"Saya akan cuba kekalkan konsep lagu yang catchy. Material secara asasnya sudah ada, cuma saya tidak mahu terburu-buru. Lagipun hanya sebuah lagu (baharu) sahaja akan dihasilkan ," katanya yang ditemui pada sesi fotografi dengan Kosmo! baru-baru ini.

Penyanyi berusia 33 tahun itu turut bersedia untuk menerima tawaran daripada mana-mana komposer baru yang mempunyai koleksi lagu yang sesuai untuk diberikan kepadanya.

"Sekarang banyak komposer baru dan saya sendiri tidak begitu mengenali mereka. Kadangkala ada yang sudah mempunyai simpanan lagu-lagu, tetapi masih belum jelas siapakah penyanyinya.

"Mereka boleh tampil dan berbincang dengan saya dan juga pihak pengurusan. Saya teringin untuk bekerjasama dengan komposer baru jika mereka mempunyai lagu yang sesuai dengan saya. Jika sesuai, saya sedia terima walaupun mereka masih baru," ungkap Ani yang turut mahu membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan dan pengacaraan.

Berbicara tentang dirinya yang selama ini dikatakan sudah selama ini, Ani menafikan dakwaan itu dan katanya, dia masih lagi aktif dan giat memenuhi undangan nyanyian.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu: "Selama ini orang ingat saya diam (tidak aktif), tetapi sebenarnya tidak. Cuma saya belum ada kisah yang sesuai untuk ditampilkan.

"Apabila kerjaya saya sudah diuruskan oleh pihak pengurusan, barulah saya cari peluang untuk berjumpa semula dengan rakan wartawan dan menceritakan perkembangan terbaru saya," ungkap Ani atau nama sebenarnya Aishah An-Nur Osman.

Bersyukur dengan ikatan bersama Cherry Talent & Management, Ani turut meluahkan rasa yakin dengan kemunculan semula dalam industri hiburan.

Katanya, masakan dia berani untuk membuka kedai jika tidak mempunyai pelanggan tetap?

"Itu perumpamaan yang boleh saya simpulkan. Pelanggan tetap sudah ada, cuma mahu tambahkan jumlahnya sahaja. kalau tidak, saya tidak akan suka-suka untuk muncul semula.

"Bila ada permintaan, baru saya berani untuk tampil. Peminat tidak mahu saya hilang. Untuk itu, saya cuba sedaya upaya segarkan penampilan saya agar boleh diterima ramai," tuturnya sambil tertawa kecil.

Mengalih butir bicara, Ani baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Semanis Janji yang akan ditayangkan di RTM.

Ditanya tentang watak, Ani menyatakan dia sering diberikan watak antagonis sehingga terpaksa menolak beberapa tawaran untuk mendukung watak yang sama.

"Banyak juga saya ditawarkan watak jahat. Bukan mahu memilih, jauh sekali untuk mempersoalkan kepercayaan yang telah diberi, namun saya cuma ingin mencuba watak lain daripada itu seperti watak komedi yang santai," tuturnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gitar rock Karl Cromok

Posted:

Gitar rock Karl Cromok

Gitar rock Karl Cromok

Oleh AQMAR ALLADAD


SELEPAS 15 tahun menghilangkan diri dari persada seni tanah air, Karl Cromok kini kembali aktif.


SUNYI daripada dunia seni hiburan tanah air selama 15 tahun tidak bermakna dirinya terus sepi tanpa sebarang penghasilan karya-karya baru.

Menampilkan album Yours Truly sebagai nukilan terakhir iaitu pada tahun 1996, Karl Cromok kali ini terus mengheret kehandalannya bermain gitar dengan penerbitan album solo.

Memuatkan lima buah lagu instrumental menerusi album sulungnya yang berjudul Shred It Back, Karl turut berganding tenaga dengan Amy Search untuk lagu Petanda.

"Idea untuk kembali dalam bidang seni muncul setelah menyaksikan konsert Dewa dua tahun lalu. Selain itu, peminat dan rakan-rakan juga memainkan peranan penting menyuarakan hasrat untuk mendengar petikan gitar saya.

"Mulanya saya fikir, bukan mudah untuk kembali. Apa harus saya lakukan ialah sesuatu kelainan yang mampu menyuntik semangat peminat," katanya pada sidang media pelancaran album solo sulungnya di Hot Studio, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mula diedarkan sejak Februari lalu, Shred It Back menjadikan laman sosial Facebook sebagai platform untuk mempromosikan album itu.

Mengambil kesempatan memperdengarkan petikan gitar solonya di dalam studio, ternyata karyanya itu mampu memenuhi cita rasa muzik rock mahupun metal.

Bagaimanapun, Karl dilihat bijak mengadun muzik dengan memuatkan lagu berentak sedikit sentimental bagi menarik lebih ramai pendengar.

"Muzik saya tidak semestinya khas untuk mereka yang berjiwa rock. Ini kerana saya turut memuatkan melodi yang tidak terlalu gila," ujarnya ringkas.

Meskipun, mula mengumpul karya yang ingin diketengahkan sejak tahun 2009, Karl tidak memaksa diri untuk menyiapkan album itu terlalu awal.

Dia yang banyak menggunakan pengaruh muzik rock gitaris Yngwie Malmsteen, Rhandy Rhodes, Vivian Campbell dan Joe Satriani lebih mengutamakan kualiti sekali gus bagi mendapat hasil yang dipuji peminat.

"Saya memang tiada masa untuk siapkan lagu. Lagipun sibuk dengan kerja tetap. Tetapi disebabkan terlalu ghairah dengan muzik, saya usahakan juga dengan memilih waktu sesuai iaitu awal pagi.

"Waktu itu biasanya anak pun sudah tidur, suasana pun sunyi. Jadi saya boleh hasilkan lagu dengan tenang," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.