Adsense

Sabtu, 9 April 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Shera takut cerita hantu

Posted: 08 Apr 2011 08:19 AM PDT

SEKALIPUN bergelar personaliti TV3 dan mengacara program Wanita Hari Ini (WHI), tidak ramai yang mengenali sisi peribadi Shera Ayob kerana sikapnya yang menjauhi publisiti terutamanya berkaitan peribadi.

Biarpun pernah dikaitkan bercinta dengan artis popular, jarang sekali dia buka mulut menggembar-gemburkan cerita itu kerana mahu menjaga nama baik tempatnya bekerja.

Namun situasinya begitu berbeza sekarang buat gadis bernama Nur Syahirah Aiyob yang kini intim bercinta dengan pelakon kacak bertahi lalat, Zahiril Adzim.

Mahu atau tidak, gadis berusia 25 tahun ini akan terkena tempias populariti kerana Zahiril sudah mengesahkan akan mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat. Apatah kini Shera dikenali pula sebagai pelakon apabila membintangi filem seram Karak terbitan KRU Studios.


Bercerita mengenai percintaan mereka, Shera berkata, segala-galanya berlaku tanpa dirancang. Biarpun pernah jadi pengacara untuk sidang media drama Merah Putih lakonan Zahiril sebelum ini, dia tidak kenal 'populariti' bakal tunangnya itu.

Bahkan mereka pernah berlakon bersama dalam filem Sesuatu Yang Tertinggal terbitan Primeworks Studios. Namun ketika itu masing-masing masih belum akrab.

"Filem itu menjalani penggambaran pada awal tahun lalu. Zahiril pegang peranan utama dalam filem mengenai kehidupan di rumah anak yatim itu. Memang ada babak membabitkan kami berdua tapi tak banyak. Kami jarang bersembang dan tak rapat kerana dia pendiam orangnya.


"Lepas habis penggambaran, rakan-rakan yang turut berlakon filem itu ajak kami keluar beramai-ramai. Akhirnya hujung tahun lalu, barulah kami betul-betul rapat. Kalau dikirakan ianya berlaku lebih enam bulan.

"Sebenarnya kami jarang keluar berdua kerana masing-masing sibuk dengan karier. Kalau keluar makan pun beramai-ramai dengan rakan-rakan lain.

"Masa mula-mula memang tak terfikir pun nak bercinta dengan dia, tapi inilah namanya ketentuan jodoh. Saya sukakan Zahiril kerana sikapnya yang semula jadi dan pendiam, sedangkan saya suka bercakap. Zahiril jenis orang yang bersuara apabila perlu. Tapi dia juga ada sisi kelakar tersendiri," katanya.


Shera akui sudah dibawa bertemu keluarga bakal mentua. Katanya, dia terkejut juga apabila Zahiril meluahkan hasrat untuk mengikat pertunangan kerana hubungan mereka masih baru.

"Keluarga merestui niat suci itu dan menyerahkan segala keputusan di tangan saya. Mereka kata, kalau selesa dengan Zahiril, terpulanglah. Saya dah kenal Zahiril dan dia juga dah kenal keluarga saya, jadi mereka tak menghalang hasrat kami untuk bertunang.

"Saya anak sulung daripada tiga beradik manakala Zahiril anak ketiga daripada lima beradik. Persoalan mengenai tempoh hubungan kami tak perlu diungkitkan kerana pasangan yang kenal lama pun tak tentu juga rumah tangga mereka.

"Walaupun hubungan masih baru, Zahiril yang meluahkan hasrat untuk meminang dan itu sangat baik kerana jarang ada lelaki sebegini sekarang. Insya-Allah majlis akan berlangsung pada Mei ini. Mengenai kenyataannya untuk berkahwin dalam tahun ini juga, saya ikut saja kerana lagi cepat lagi bagus.


"Lagipun saya takut dugaan bertunang lama-lama kerana macam-macam boleh berlaku. Bertunang dan berkahwin tak semestinya bermakna karier saya yang baru nak bermula akan berhenti.

"Zahiril juga tidak menghalang minat saya. Malah dia sendiri akan aktif berlakon biarpun sudah bergelar suami. Kami mengharapkan kebahagiaan dalam hubungan ini. Zahiril nampaknya matang dalam usia 27 tahun," katanya.

Shera sendiri menyasarkan berkahwin pada usia 27 tahun namun bersyukur kerana jodohnya dipercepatkan. Dia menafikan memilih Zahiril kerana sama-sama anak seni, sebaliknya memilih lelaki itu kerana keperibadian memikat.

Mengenai persiapan bertunang, mereka sudah memulakannya dan hampir 50 peratus sudah siap. Pakaian pula disediakan Hatta Dolmat yang sering bekerjasama dengannya.


Menyentuh lakonannya dalam Karak, Shera yang bermula sebagai penyampai My TV3, penyampai School Attack, pengacara TV3 dan kini bertindak sebagai pembantu penerbit berkata, ia adalah lakonan keduanya selepas filem Sesuatu Yang Tertinggal.

Dalam Karak arahan Yusry Abdul Halim, Shera membawakan watak Zura, gadis lemah lembut dan kuat pegangan agama serta bergelar juara qariah membaca al-Quran.


Ia mengisahkan empat pelajar kolej iaitu Zura dan kawan-kawannya, Jack (Along Ezeyndy), Ida (KilaFairy) dan Nik (Shahir) yang ingin ke Kuantan. Disebabkan kesesakan luar biasa di Lebuh Raya Karak, mereka mengambil keputusan mencari jalan alternatif iaitu jalan lama tanpa menyedari keputusan ini bakal merubah kehidupan mereka selama-lamanya.


"Sebenarnya produksi panggil untuk 'casting' tapi saya tak nak kerana takut cerita hantu. Masa pergi 'casting' pun saya tak fikir akan dapat, tapi tiba-tiba lepas itu mereka hubungi suruh saya berlakon.

"Saya akhirnya terima tawaran itu kerana nak cabar diri sendiri. Saya sebenarnya tak pandai berlakon. Di lokasi penggambaran baru saya tahu susah berlakon tapi tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat.


"Watak saya memang mencabar kerana ada babak di kubur yang memerlukan saya menangis sambil baca ayat Kursi dalam bahasa Arab dan rumi. Saya juga ditarik masuk dalam kubur. Ketika babak itu, kru produksi tarik saya betul-betul dan berasa juga saya pengalaman berada dalam liang lahat.


"Saya sebenarnya senang menangis kalau di luar tapi susah menangis ketika di set. Saya kena duduk seorang diri untuk dapatkan 'feel' sedih. Sepanjang penggambaran saya tak alami apa-apa kejadian buruk kerana sentiasa amalkan membaca ayat-ayat suci al-Quran," katanya.

>PROFIL
NAMA: Nur Syahirah Aiyob
PANGGILAN KOMERSIAL: Shera Ayob
TARIKH LAHIR: 21 Disember 1986
ASAL: Ipoh, Perak
KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengajian Media, Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), Kuala Lumpur
KARIER: Pengacara dan pembantu penerbit
PROGRAM: Kapsul My TV3 dan Wanita Hari Ini (WHI)
PENCAPAIAN: Iklan komersial Double Mint dan Walls Kena Durian Runtuh, pelakon filem Sesuatu Yang Tertinggal dan Karak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ada senyum, ada sesak nafas!

Posted: 08 Apr 2011 08:10 AM PDT

KERANCAKAN jumlah filem yang dihasilkan oleh produser tempatan terus menampakkan petanda positif. Atas sebab itu juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengorak langkah membuka laluan bagi konsep tayangan satu minggu, satu filem.

Tirai pawagam bermula Mac lalu dibuka dengan tayangan empat filem iaitu Hikayat Merong Mahawangsa pada 10 Mac lalu, diikuti, Ratu The Movie (17 Mac), ...Dalam Botol (24 Mac) dan Cun! (31 Mac). Namun setakat ini, hanya Hikayat Merong Mahawangsa yang nampaknya meraih kejayaan paling menyerlah.


Menewaskan kutipan filem lain, Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios sehingga kini meraih lebih RM6 juta di pawagam manakala Ratu The Movie hanyalah sekitar RM200,000, ... Dalam Botol dan Cun! masing-masing melebihi RM500,000 dan terus meningkat. Angka kutipan ini adalah mengikut apa yang dikemaskinikan pihak Finas sehingga 6 April lalu. Bagaimanakah pula dengan nasib empat filem baru iaitu Dilarang Masuk mulai 7 April, Senjakala (14 April), Penunggu Istana (21 April) dan Seru (28 April)? Mampukah kesemua filem bergenre seram ini membuatkan produsernya senyum atau sesak nafas. Tentunya setiap pembikin mahukan kutipan pecah panggung yang diimpikan. Kemudian menyusul sepanjang Mei ini karya terbaru seperti filem Momok Jangan Panggil Aku pada 5 Mei, Kongsi (12 Mei), Nur Kasih The Movie (19 Mei) dan Karak (26 Mei).

Pengarah Cun!, Osman Ali ketika dihubungi RAP berkata, setakat ini kutipan filem arahannya berada dalam situasi sederhana saja. Ujarnya, majoriti penonton masih tidak menyeluruh barangkali juga ramai yang mungkin tidak sedar mengenai tayangan Cun!.


"Apapun, berdasarkan maklum balas penonton yang diterima sangat positif. Bagi mereka yang sudah menonton Cun!, kebanyakannya berpuas hati dengan jalan cerita diketengahkan dalam filem ini. Mereka boleh menerima filem saya dengan baik sekali dan terhibur.


"Namun, saya juga sedar persaingan filem tempatan di pawagam kini cukup sengit. Dalam seminggu, satu filem ditayangkan, memberi ruang kepada penonton memilih cerita diminati. Mereka adalah penonton yang sama tetapi perlu membuat pilihan filem mana yang mereka suka.

"Dalam soal ini, kita tiada hak memaksa penonton datang ke pawagam menyaksikan mana-mana filem pun. Cuma, saya harus berusaha memikirkan strategi lebih gah agar lebih ramai penonton datang menonton Cun! di pawagam.


"Sebagai pengarah, saya sudah berusaha menggarap filem ini sebaik yang mungkin mengikut acuan dan kehendak penonton. Melihat kepada maklum balas positif peminat, ia menguatkan semangat saya bahawa Cun! boleh lebih berjaya di pawagam," katanya.

Cun!, filem gandingan Maya Karin dan Remy Ishak mengisahkan Luna Latisya, seorang pengacara TV program gosip Meletops menjalin cinta dengan pelakon terkenal Ryan Hidayat. Sayangnya, Luna mendapat 'kejutan' pada hari lahir Ryan apabila terbongkar dia mempunyai skandal dengan pelakon baru, Siti Senjakala.


Geram, kesal dan merajuk, Luna terus membawa diri ke kampung juru soleknya, Tom, di Kedah.


Di kampung itu, Luna bertemu Atan, saudara Tom yang kacak dan jujur. Lama kelamaan timbul bibit cinta di antara mereka dan Luna sendiri sukakan kehidupan keluarga Tom dan Atan yang saling menyayangi.


Namun kehadiran Bedah Tonggek yang dengkikan hubungan Luna dan Atan menyebabkan suasana menjadi haru biru. Filem ini turut dilakonkan Faezah Elai, Kartina Aziz, Jehan Miskin dan Mislina Mustaffa.


"Setakat ini, Cun! masih ditayangkan di pawagam dan saya mengharapkan penonton tidak melepaskan peluang menyaksikannya dan terus menyokong filem Melayu. Selaku penggiat seni, saya takkan sekali berputus asa dalam berkarya. Sekarang, saya bercadang untuk terus giat mempromosikan untuk Cun!," katanya.


Selain Cun! Osman juga sudah menyiapkan filem Ombak Rindu dan Bara Jiwa. Terdahulu, dia pernah mengarahkan filem seram, Puaka Tebing Biru dan Anak Halal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.