Adsense

Ahad, 27 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Watak berharga Liz Taylor

Posted:

Watak berharga Liz Taylor

Watak berharga Liz Taylor

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


AURA dan karisma Elizabeth Taylor telah meletakkan dirinya sebagai salah seorang seniwati unggul dalam abad ke-20.


SAYA suka untuk tidak menjadi diri saya sendiri. Bukan sebagai Elizabeth Taylor tetapi menjadi isteri Richard Burton."

Itulah kata-kata yang pernah dilontarkan oleh seniwati handalan dunia, Elizabeth Rosemond Taylor atau lebih dikenali sebagai Elizabeth Taylor saat ditanya tentang peranannya sebagai seorang isteri.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Taylor selama dia menjadi seorang primadona di Hollywood, memang tidak dinafikan berita perkahwinannya lebih banyak diperkatakan daripada kariernya sendiri.

Sudah pasti, perkahwinannya dengan Richard Burton dianggap sebagai satu skandal terbesar di Hollywood sekitar tahun 60-an apabila dia tekad untuk meninggalkan suaminya ketika itu, Eddie Fisher semata-mata untuk meraih cinta Burton.

Sebelum menjalinkan hubungan dengan Burton, Taylor sememangnya mempunyai reputasi yang buruk apabila merampas Fisher yang ketika itu masih lagi menjadi suami kepada kawan baiknya, Debbie Reynolds.

Tetapi adakah Taylor ambil peduli dengan segala apa yang diperkatakan tentangnya berhubung isu panas itu? Sudah pasti jawapannya tidak.

"Taylor tidak kisah apa orang sekeliling mahu katakan tentang dirinya apabila dia melibatkan diri dengan Burton yang pada ketika itu masih lagi menjadi suami kepada Sybil Burton.

"Dia tahu apa yang dia lakukan dan mahu hidup dengan cara yang dia sendiri telah tetapkan. Begitu juga dengan lelaki yang hadir dalam hidupnya. Hanya dengan memetik jarinya, dia pasti akan dapat lelaki pilihannya," kata seorang penulis gosip Aileen Mehle yang juga dikenali sebagai Suzy apabila memperkatakan tentang kehidupan peribadi pelakon terkenal itu.

Taylor yang cukup terkenal dengan kejelitaannya itu mengakui jatuh cinta pada Burton apabila kali pertama bertentang mata dengan aktor itu sewaktu menjalani penggambaran filem Cleopatra di Rome, Itali pada tahun 1963.

Burton pada ketika itu juga merasakan getaran yang sama sebaik sahaja dia berjabat tangan dengan wanita kelahiran Hampstead Garden Suburb, London, England itu walaupun dia sudah memiliki seorang isteri, Sybil.

Sebaik sahaja berita itu mula tersebar dan didedahkan di media massa, pasangan itu dengan pantas menjadi buruan pihak media sehingga mendapat perhatian pihak kongres dan institusi keagamaan di Vatican.

Percaya atau tidak, kehangatan skandal Burton dan Taylor sendiri telah mencetus budaya baru dalam dunia media apabila muncul istilah paparazzi yang diguna sehingga ke hari ini.

"Kisah hubungan mereka itu telah menggegarkan industri hiburan di Hollywood dan meraih perhatian meluas di seluruh dunia. Harus diakui, impak mereka berdua telah mengubah dunia media secara keseluruhan dan membuatkan setiap jurufoto tidak mahu melepaskan lensa mereka terhadap Burton dan Taylor ke mana sahaja mereka pergi," ulas Nancy Schoenberger yang merupakan salah seorang penulis buku, Furious Love yang dipasarkan tahun lalu.

Tempias kontroversi itu juga telah memberikan rezeki yang melimpah-ruah kepada pemilik restoran Le Perigord, Georges Briguet.

Bayangkan restoran yang menyediakan makanan Perancis itu tidak membawa keuntungan kepada pemiliknya sejak mula beroperasi sehingga tersiarnya sekeping gambar Burton dan Taylor yang baru sahaja keluar daripada restoran itu di sebuah akhbar.

Hasilnya, restoran itu serta-merta menjadi perhatian dan serbuan serta penuh sesak dan setiap pelanggan perlu menunggu giliran.

Briguet, ketika menceritakan detik-detik indah itu menyifatkan Burton dan Taylor telah mengubah hidupnya secara total. Jika bukan kerana mereka kata Briguet, memang mustahil untuk restorannya akan maju sehingga ke hari ini.

Malah, masih segar ingatannya apabila terbayangkan momen romantis pasangan itu sewaktu berkunjung ke restorannya.

"Mereka berpakaian cukup kemas dan masing-masing kelihatan cukup anggun dan segak sekali. Meja pilihan mereka akan berada jauh daripada pandangan orang ramai dan akan memesan makanan kegemaran mereka, cassoulet," katanya sambil ketawa.

Restorannya itu juga telah menerima kunjungan pasangan popular, Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk beberapa kali untuk menikmati hidangan ayam organik yang menjadi kegemaran mereka.

Namun, Briguet menjelaskan, walupun Jolie dan Pitt yang digelar Brangelina itu mempunyai nilai bintang yang sangat tinggi namun, tidak mampu menandingi kuasa Burton dan Taylor.

"Apabila memperkatakan tentang glamor, tiada siapa mampu menidakkan pesona Taylor yang saya gelarkan Ratu Glamor," kata Briguet ringkas.

Selepas setahun memadu kasih, akhirnya Burton dan Taylor mendirikan rumah tangga pada tahun 1964 di Montreal, Kanada. Perkahwinan itu hanya bertahan selama 10 tahun sebelum masing-masing mengambil keputusan untuk bercerai pada tahun 1974.

Pakar sejarah hiburan Hollywood melihat perkahwinan sedekad pasangan sensasi itu memiliki baik dan buruknya. Sisi positif yang membawa kebaikan kepada Burton dan Taylor apabila mereka sama-sama dapat mencipta kekayaan, populariti serta kecantikan.

Di sebaliknya pula, dalam tempoh sedekad itu juga memperlihatkan permasalahan besar yang berlaku dalam perkahwinan itu apabila ia melibatkan perkara buruk yang berpunca daripada alkohol dan pergaduhan.

Ini diceritakan sendiri oleh Mehle, 86, yang dapat melihat sendiri sisi gelap perkahwinan mereka dalam satu majlis yang dianjurkan oleh seniman legenda, Frank Sinatra di kediamannya di Palm Springs, California.

Ketika itu, Mehle tinggal serumah dengan Truman Capote dan Sinatra telah menghubungi mereka untuk menjemput ke majlis makan malam di rumahnya yang turut dihadiri Burton dan Taylor.

Namun, Sinatra awal-awal lagi sudah menasihati mereka agar bersiap-sedia dengan perangai buruk pasangan itu yang cukup galak menikmati pelbagai minuman beralkohol tanpa henti.

"Sinatra memberitahu dia sudah tidak tahan lagi untuk melihat Burton dan Taylor dalam keadaan yang memabukkan itu. Masing-masing dengan gelas minuman sehingga gelagat mereka menjadi jelik dan tidak enak untuk dipandang," kata Mehle yang akhirnya membuat keputusan untuk tidak pergi ke majlis itu.

Sepanjang mendirikan rumah tangga, pasangan itu pernah membintangi hampir sedozen filem bersama. Namun, ada di antaranya sukses dan selebihnya, menghampakan.

Salah satu yang dikenang sehingga ke hari ini adalah filem Who's Afraid of Virgina Woolf? yang ditayangkan pada tahun 1966.

Keberkesanan lakonan Taylor yang membawa dirinya jauh daripada penampilan glamor sehingga sanggup menambahkan berat badannya untuk filem itu membuahkan hasil apabila dia memenangi Oscar keduanya untuk Pelakon Wanita Terbaik.

Malah, lakonan berkesan Burton dalam filem itu juga sepatutnya dianugerahkan Oscar namun, dia tewas kepada Paul Scofield yang memenanginya untuk filem A Man For All Seasons.

Seperti mana yang didedahkan dalam buku Furious Love, Burton mencintai Taylor sepenuh hatinya dan telah menulis berpucuk-pucuk surat cinta untuk isterinya itu.

"Mungkin kamu tidak sedar E.B. (panggilan untuk Taylor yang membawa maksud Elizabeth Burton) betapa cantiknya kamu setiap masa dan istimewanya kamu di mataku. Sukar sekali untuk aku mendapat cinta sehebat kamu," demikian antara luahan rasa Burton dalam surat-surat cinta itu.

Kerana cinta agung mereka itu juga, Burton dan Taylor kembali menyambung ikatan perkahwinan mereka pada tahun 1975 namun hanya mampu bertahan selama setahun saja.

Kemudian, masing-masing membawa haluan sendiri dan mendirikan rumah tangga dengan pasangan pilihan. Taylor, selepas itu berkahwin sebanyak dua kali manakala Burton bertemu jodoh dengan Sally Hay dan kekal sehingga ke akhir nafasnya.

Dikhabarkan juga, sebelum Burton meninggal pada tahun 1984 akibat pendarahan otak, dia masih sempat mengirimkan sepucuk surat cinta kepada bekas isterinya itu untuk kali terakhir.

Pakar sejarah filem, Leonard Matlin menyifatkan ia adalah sesuatu yang 'memalukan' apabila hasil kerja Taylor tidak dikenang sebaiknya walaupun pernah membintangi filem-filem hebat seperti Giant, Cat on a Hot Tin Roof dan National Velvet yang telah menyerlahkan bakat luar biasa Taylor.

"Dia merupakan salah seorang jelitawan dalam abad ke-20. Kemudian, dia dikenang sebagai salah seorang selebriti hebat dengan personaliti yang menawan dan barulah orang melihatnya sebagai seorang aktres.

"Walaupun hakikat itu sukar diterima, tetapi itulah fakta sebenarnya apabila memperkatakan tentang Elizabeth Taylor," kata Matlin tentang seniwati yang meninggal dunia pada usia 79 tahun kerana sakit jantung, Rabu lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Apabila Awie menjadi Lat

Posted:

Apabila Awie menjadi Lat

Apabila Awie menjadi Lat

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar HAFIZH KHOSMAT


JALIL Hamid (bertopi) melakonkan watak bapa Lat dan Daniel (kanan) yang melakonkan watak Lat sewaktu kecil.


SELAMA bergelar kartunis sejak berusia 13 tahun, Datuk Lat telah melukis pelbagai watak masyarakat berbilang kaum di Malaysia menerusi karya-karya kartunnya.

Namun, selepas 47 tahun melakar watak-watak orang lain, kini tibalah masanya karakter kartunis berusia 60 tahun itu dilakonkan pula oleh orang lain di atas pentas teater.

Lat atau nama sebenarnya Mohd. Nor Khalid menyaksikan Awie melakonkan karakternya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dari 18 Mac hingga 5 April ini.

Dengan judul Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM) ia merupakan naskhah yang memaparkan perjalanan hidupnya dari kecil sehingga bergelar kartunis terkenal tanah air.

Menurut Lat, dia bukan sahaja memberi kebenaran Awie melakonkan wataknya, tetapi turut menghormati gaya vokalis kumpulan rock itu melakonkan karakternya.

"Saya pun tidak tahu bagaimana mahu mengajar Awie supaya dia boleh menyerupai gaya atau karakter saya. Semua itu saya serahkan kepada daya imaginasi dan pemerhatian Awie untuk menghidupkan watak saya," katanya seusai pementasan malam pertama LKBSM di Panggung Sari, IB baru-baru ini.

Bukan setakat watak atau karakternya, malah anak kelahiran Kota Baru, Perak ini turut menyerahkan kepada Hans Isaac dan Harith Iskander selaku pengarah muzikal itu.

Jelas Lat, dia menceritakan tentang perjalanan hidupnya kepada dua pengarah itu sebelum ia diolah menjadi sebuah skrip dan terpulang kepada mereka bagaimana ia hendak dipersembahkan.

"Saya menceritakan tentang kisah hidup saya sejak kecil hingga sekarang kepada Hans dan Harith sewaktu mereka berkunjung ke rumah saya di Ipoh pada tahun lalu.

"Ia berdasarkan pengalaman hidup saya yang sebenar dari zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa. Kebanyakan adegan yang dipaparkan adalah antara yang penting dalam hidup saya.

"Antara adegan kegemaran saya ialah sewaktu bertugas sebagai wartawan di New Straits Times di bawah Allahyarham Pak Samad (Tan Sri Samad Ismail) sebelum saya menjadi kartunis," ujarnya.

Semua adegan itu bukan sahaja mengimbau nostalgianya, malah ia turut membabitkan individu-individu lain yang masih hidup seperti yang digambarkan dalam naskhah tersebut.

Antaranya, watak bekas guru bahasa Inggerisnya, Mrs. Hiew yang masih hidup dan hadir menyaksikan pementasan itu pada 23 Mac lalu serta beberapa bekas teman sekelasnya.

"Watak sebenar Mrs. Hiew itu masih hidup dan ketika ini umurnya sekitar 75 tahun. Dia antara guru yang banyak memberi galakan kepada saya dalam lukisan kartun.

"Ada juga kawan-kawan sekelas dengan saya yang masih hidup tetapi ramai yang uzur dan tidak dapat datang menyaksikan pementasan teater muzikal ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.