Utusan Online - Hiburan |
Posted: Demam K-Pop
GELOMBANG kegilaan remaja Malaysia terhadap pelakon dan penyanyi Korea semakin memuncak sehingga mencetuskan fenomena khususnya di kalangan remaja perempuan. Fenomena Korea bermula beberapa tahun lalu dengan pengaruh besar drama Korea, Winter Sonata yang mengisahkan pengorbanan dan cinta sejati lakonan hebat Kang Joon-sang (Bae Yong Joon) dan Jung Yu-jin (Choi Ji Woo). Drama itu membuatkan ramai suri rumah dan wanita khususnya, sanggup meninggalkan tugas lain semata-mata untuk duduk di depan televisyen untuk menontonnya. Bukan setakat menonton, malah menjiwai dan menangis meratapi nasib watak dalam drama tersebut. Selepas itu pula, tercetus kegilaan anak-anak muda kepada lagu-lagu pop Korea atau disebut K-Pop. Daripada 'kewajipan' menyaksikan konsert dan membeli cakera padat (CD), cakera video digital (DVD), baju atau cendera mata sehinggalah menghafal lirik lagu-lagu popular mereka. Tidak cukup dengan itu, bagi yang memiliki telefon bimbit, wang belanja sekolah habis atau sebahagian gaji bulanan digunakan untuk menambah nilai kad prabayar. Ia semata-mata bagi membolehkan mereka memuat turun nada dering atau wallpaper dan gambar-gambar artis Korea. Menerusi laman web sosial seperti Facebook dan Twitter, mereka mewujudkan kumpulan atau rangkaian peminat artis Korea dan K-Pop. Ruang status mereka dalam Facebook misalnya, dipenuhi gambar-gambar artis Korea selain lagu-lagu popular K-Pop yang dikongsikan daripada web Youtube. Selain peminat K-Pop di Malaysia menyerbu kedai-kedai muzik, mereka juga mencari CD dan DVD secara online. Begitulah kuatnya penangan artis-artis Korea ini. Kenapa mereka sanggup berhabis wang semata-mata untuk tanda sanjungan kepada artis Korea? Bagi edisi pertama S3 ini, wartawan ROSALINDA MD. SAID dan jurugambar SHAHRIL AZMAN ZAIN mengupas isu menyingkap fenomena kegilaan kepada artis Korea dan K-Pop yang sedang berlaku di negara ini. | ||
Posted: K-Pop makin digilai
Mereka teruja menantikan aksi artis-artis Korea yang menjayakan DiGi Live K-Pop Party 2011. Kehadiran kumpulan Beast yang dianggotai enam artis lelaki dan kumpulan lima gadis, 4Minute serta artis solo, G.Na telah menyemarakkan fenomena K-Pop di Malaysia. Jeritan lebih 3,000 penonton sebaik melihat kelibat penyanyi kesayangan mereka, menggambarkan tahap kegilaan remaja masa kini terhadap artis-artis Korea. Kebanyakannya mengenakan fesyen artis-artis Korea. Semestinya gaya rambut dan pakaian ala gaya jalanan memainkan peranan penting membangkitkan aura Korea. Ada yang berhabis ratusan ringgit untuk aksesori pelengkap gaya K-Pop. Ini termasuk aksesori mengandungi nama artis pujaan seperti tag nama, baju, skaf dan lain-lain. Apabila ditanya mengenai persiapan menjelang konsert itu, bermacam-macam jawapan diperoleh. Antaranya, Nur Nasyima Mohd Sidek, 18, mengaku tidak nyenyak tidur sepanjang malam bahkan datang seawal pagi ke stadium. "Mana tidaknya, sibuk membuat 'ulang kaji' menghafal lirik lagu, fikir fesyen pakaian dan macam-macam lagi," kata peminat dari Seremban itu. Majoriti peminat yang hadir menyaksikannya ialah golongan remaja berusia 13 ke 25 tahun. Ia turut disertai ibu bapa yang 'sporting' menemani anak-anak mereka sehinggalah konsert itu berakhir. Seorang ibu, Rosni Md. Din, 49, langsung tidak segan berkongsi kegilaan kepada artis Korea dan K-Pop. Baginya, minat yang sama itu merapatkan hubungan sesama ahli keluarga. Itu cerita konsert pada 13 Januari lalu. Beberapa konsert penyanyi Korea sebelum itu turut mendapat sambutan hangat, termasuk konsert Super Junior di Stadium Putra, Bukit Jalil pada tahun lalu yang dihadiri lebih 15,000 peminat. Dan, fenomena Korea dan K-Pop kini telah merebak hampir ke segenap kehidupan anak-anak muda Malaysia khususnya remaja perempuan. Fenomena itu membuatkan mereka benar-benar 'gila'. Ramai yang menghabiskan wang belanja sekolah bukan di kantin tetapi membeli majalah, buku, poster dan baju berkaitan artis Korea. Tidak cukup menyerbu kedai-kedai muzik, peminat fanatik K-Pop mencari CD dan VCD secara online. Mereka sanggup berhabis wang membeli CD semata-mata mahu memastikan artis kesayangan mereka memenangi Anugerah Daesang, iaitu anugerah tertinggi dunia hiburan di Korea. Mereka dinobat berdasarkan jumlah jualan album. Peminat juga asyik memuat turun lagu dan ringtone bagi memastikan lagu penyanyi kesayangan di tangga teratas carta lagu. Antaranya adalah carta Inkigayo yang dapat disaksikan menerusi saluran Astro 393 dan carta Music Bank di saluran Astro 391. Begitulah hebatnya fenomena Korea dan K-Pop di negara ini. Ia membuatkan peminat menangis dan ketawa tiba-tiba mendengar lagu mahupun menonton drama lakonan idola mereka. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |