Berita Harian: Hip |
Posted: 17 Mar 2011 03:49 PM PDT Hip Yuna berjaya lancar album di AS, bakal hiburkan peminat pada malam kemuncak ABPBH 2010SEMPURNA sudah pelancaran album EP penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna, berjudul Decorate, pada 15 Mac lalu di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS). Malah lebih membanggakan, seperti yang diceritakan sendiri oleh Yuna kepada Hip, album memuatkan lima lagu itu juga boleh dimuat turun menerusi iTunes. Suatu pencapaian yang cukup dihargainya. Selain Decorate, lagu lain yang disenaraikan dalam album terbabit ialah Deeper Conversation, Someone Out Of Town, Coffee dan Fears and Frustrations. Bersandarkan bakat yang dimiliki, kini bukan lagi mimpi buat anak Malaysia sepertinya untuk melebarkan pengaruh di pentas antarabangsa, selepas berjaya menawan kelompok peminat muzik di tanah air sendiri.Peluang berharga menyertai naungan syarikat Fader Label yang beroperasi di New York dilihat sebagai pembuka jalan untuk calon kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 ini merealisasikan impian yang semakin jelas terbentang di depan mata. Menurut laman web label berkenaan, selepas Decorate, album penuh penyanyi ini akan menyusul kemudian. "Saya amat bersyukur dengan kesempatan indah ini. Sekalipun saya perlu bermula dari bawah, ia bukan satu alasan untuk saya mengeluh. Sebaliknya ia menjadi pengalaman terbaik, sekali gus memastikan misi untuk berkongsi muzik saya terus berjalan," ungkapnya yang dihubungi menerusi e-mel baru-baru ini. Selain berdebar menantikan keputusan kategori yang turut mencalonkan namanya, Yuna juga antara artis popular yang bakal mengadakan persembahan pada malam gemilang itu. Tahun lalu, Yuna membuktikan dirinya mula diterima peminat apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular. Tahun ini, penyanyi lagu Dan Sebenarnya ini melihat fasa popularitinya meningkat setapak lagi dengan pencalonan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, bersaing dengan Alyah, Stacy, Adira dan Ana Raffali. "Saya dimaklumkan, 1 April ini saya akan terus memulakan latihan, diikuti persembahan raptai di Genting Highlands. Ia bakal menjadi persembahan sulung saya untuk ABPBH. Saya juga berdebar untuk menunggu keputusan siapa yang bakal memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular. "Saya yakin perasaan gementar itu turut dirasai semua finalis. Menang sudah tentu menjadi bonus terbaik buat kami. Tapi yang paling jelas di sini, ABPBH terus menjadi penanda aras dunia hiburan tanah air. ABPBH antara sebuah acara yang ditunggu-tunggu ramai peminat dunia seni," katanya yang dijangka kembali semula ke Los Angeles sekitar Mei. Ditanya dia melihat reaksi dan maklum balas orang luar terhadap muziknya, Yuna menjelaskan, perjalanan seninya di luar negara bagaikan direstui, apatah lagi dengan sokongan diberikan pihak syarikat Fader Label kepadanya yang tidak berbelah bagi. "Alhamdulillah setakat ini, maklum balas yang diterima amat bagus daripada pihak dan individu yang berpengaruh dalam liga muzik di sini. Rata-ratanya mereka menyukai muzik saya. Itu sudah cukup bagus untuk permulaan langkah saya di AS. "Paling mengharukan, mereka tidak menjadikan imej saya sebagai satu isu besar. Saya bertuah sebab mendapat sokongan sepenuhnya daripada Fader Label. Syarikat ini dianggap sebagai entiti yang amat menghargai muzik. Apabila dapat tawaran menjadi artis di bawah naungan mereka, gembira saya tiada kepalang," katanya sambil menyifatkan Fader Label sebagai syarikat yang sangat cool. Rindukan Qi BIARPUN terpisah jauh daripada keluarga, teman tersayang dan peminat di Malaysia, Yuna tidak sesekali menjadikannya sebagai penghalang. Lihat saja melalui laman sosial Twitter dan Facebook, penyanyi Cinta Sempurna ini begitu aktif berkongsi perkembangan diri bersama mereka. Malah, Yuna juga tidak segan meluahkan isi hati terhadap jejaka yang kini bertakhta di hatinya, Qi. Sejak berkawan dengan pengacara Jalan Jalan Cari Makan yang turut bergelar pelakon itu, darjah keterbukaan Yuna terhadap soal peribadi juga kian ketara. Contohnya pada 15 Mac lalu, Yuna menulis sebuah kenyataan berbunyi "I Miss Qi (Saya rindukan Qi)". Kata Yuna, Qi yang kini berada di Buenos Aires, Argentina, untuk merakamkan rancangan Disney, Art Attack, sangat menyokong kerjaya seninya. "Qi seorang yang sangat positif dan dia sentiasa membakar semangat saya untuk melakukan yang lebih baik. Kerjaya memang antara agenda penting buat saya pada masa sekarang dan mujur dia seorang yang cukup memahami, sekalipun kami berjauhan. Yang penting kami gembira. "Saya pun sudah biasa dengan hubungan jarak jauh. Tak kiralah dengan keluarga, kawan mahupun Qi. Sejak zaman sekolah lagi, saya sering ke luar negara. Contohnya, ke Itali untuk program pertukaran pelajar selama beberapa bulan. "Saya tidaklah terlalu demam rindu dengan Malaysia. Kalau rindu sangat, saya akan manfaatkan teknologi terkini yang hanya boleh dicapai di hujung jari. Selain Twitter serta Facebook, saya boleh menggunakan Skype untuk mengubat kerinduan," ungkapnya menamatkan bicara. INFO: - Anugerah Shout! 2010 (Popstar Award, Break Out Award (Artis Baru), Ultimate Shout! Award) - Anugerah Industri Muzik ke-17 (Artis Baru Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation), Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya) dan Lagu Terbaik (Dan Sebenarnya) - Anugerah Juara Lagu 24 (Naib juara menerusi lagu Dan Sebenarnya) - Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (Artis Baru Wanita Popular). |
Posted: 17 Mar 2011 03:33 PM PDT Hip Seluruh jiwa raga Hans Isaac kini diserahkan kepada muzikal Kampung BoySAAT kaki melangkah ke ruang latihan yang terletak di aras dua Istana Budaya, baru-baru ini, kelihatan pelakon utama pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal, Awie dan Atilia khusyuk menjalani latihan. Di satu sudut lain, dua lelaki yang wajahnya cukup dikenali serius memerhatikan kedua-dua pelakon tadi menghayati watak. Sesekali mereka berdua berkata sesuatu sebelum menghentikan sesi latihan yang berlangsung. Mana yang tidak kena di mata serta tidak sesuai mengikut skrip yang terletak di atas mejanya, si pengarah, Hans Isaac dan Harith Iskandar tidak teragak-agak untuk memperbetulkan secara spontan kesilapan yang berlaku. Manakala si pelakon, Awie dan Atilia akur pada setiap arahan diberi, lantas menyambung kembali sesi latihan yang sudah pun berlangsung sejak hampir dua bulan lalu. Begitulah sedikit gambaran yang dapat diberikan ketika Hip membuat tinjauan sesi latihan pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal yang dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya, bermula 16 Mac, selama dua minggu. Sesi latihan petang itu membabitkan babak perkenalan antara Faezah (Atilia) dan juga Lat (Awie) yang terjalin di sebuah kedai kopi.Biarpun masih belum sempurna sepenuhnya, namun apa yang dilihat di depan mata, situasi itu cukup menghiburkan kerana Awie dan Atilia memang serasi dan melucukan. Usai berdialog, mereka menyanyi sambil diiringi pelakon sokongan yang lain. Bukan saja dari aspek lakonan, tetapi ketelitian pengarah turut merangkumi soal muzik latar yang kesemuanya hasil ciptaan komposer terkenal, Michael Veerapen. Duduk bersembang dengan Hans ketika sesi latihan berehat seketika, pengarah dan juga pelakon ini mengakui kreativitinya cukup tercabar ketika mengarahkan muzikal ini. Jelas Hans, seluruh jiwa dan raganya diletakkan kepada pementasan ini. Tidur dan jaganya, waktu makan dan apa saja yang dilakukannya semuanya kini hanyalah untuk pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal. Perasaan resah, berdebar, teruja dan bimbang bercampur baur dalam lubuk hatinya. "Berbeza dengan karya sebelum ini, kali ini saya diamanahkan untuk menghasilkan muzikal berkenaan seorang tokoh kartun terkenal iaitu Datuk Lat. Jadi saya kena pastikan semuanya kena berjalan mengikut seperti yang dirancang. Berbulan-bulan kami membuat persiapan sebelum teater ini berada pada tahap sekarang. Saya beruntung kerana Datuk Lat memberikan kerjasama yang baik sepanjang kami menjalankan projek ini. "Dia banyak membantu untuk menguatkan lagi jalan cerita. Walaupun berkali-kali skrip asal dirombak, tetapi kami tak kisah asalkan hasilnya memuaskan hati," cerita Hans. Kata lelaki itu, ada banyak perkara menarik dan kejutan yang cuba ditampilkan dalam teater ini. "Ramai juga kawan yang menelefon saya, bertanyakan perihal teater ini. Adakah teater ini nanti boleh menandingi teater muzikal Cuci sebelum ini. Namun saya enggan mengulas sebarang pertanyaan itu. Saya tak mahu mereka tahu dari mulut saya sendiri. Biarkan mereka menonton sendiri apabila teater ini dipentaskan dan mereka boleh nilai sendiri hasil usaha saya itu," ujar Hans. Mengulas mutu lakonan dan komitmen yang diberikan setiap pelakon, Hans menegakkan ibu jarinya sebagai isyarat dia berpuas hati dengan apa yang ditonjolkan pelakonnya. "Sejak sesi latihan di KLPac lagi, mereka memberi kerjasama tidak berbelah bagi. Kami di sini bagaikan sebuah keluarga. Malah, ada pelakon yang tidak mempunyai latihan pada hari itu, sanggup turun untuk melihat rakan lain berlatih. "Dari segi mutu lakonan, saya tak nafikan mereka yang dipilih memang bersesuaian dengan karakter masing-masing. Awie bagi saya ialah pilihan tepat untuk membawakan watak Lat. Sekarang ini cabaran terletak di bahunya kerana semuanya dia perlu lakukan sendiri tanpa boleh bergantung dengan pelakon lain. Tidak seperti dalam teater Cuci The Musical, di mana masing-masing boleh tokok-tambah dialog apabila perlu. Teater ini tak boleh nak ad-lib sebab dialognya adalah fakta," katanya. Mahu arahkan teater muzikal Rejang BELUMPUN hasil kerjanya yang terbaru ini dipentaskan, Hans sudah pun mempunyai perancangan untuk mengarahkan sebuah lagi muzikal berkonsepkan epik berjudul Rejang. Menurut Hans, sudah menjadi kebiasaan baginya untuk membuat perancangan lebih awal setiap produk keluarannya. "Untuk teater Lat Kampung Boy ini pun memang sudah berbulan-bulan kami membuat perancangan sebelum semuanya menjadi kenyataan. Selepas selesai pementasan ini, saya akan memulakan peringkat pos produksi muzikal Rejang pula. Dalam masa yang sama, saya juga akan terbabit dalam pembikinan drama bersiri. Jadual saya memang padat sehinggalah hujung tahun ini," ujarnya yang sebelum ini pernah memberitahu Rejang akan menjadi filem epik pertama arahannya. Bukan saja merancang untuk menghasilkan muzikal berkenaan, syarikat produksi Tall Order Production juga bercadang mementaskan kembali teater Cuci The Musical. "Bagaimanapun teater ini bukan seperti yang penonton pernah saksikan sebelum ini. Jalan ceritanya akan diubah. Apapun, maklumat selanjutnya nanti akan saya berikan dari masa ke semasa. Harap peminat akan terus menyokong muzikal ini nanti," katanya penuh optimis. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |