Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Grup lawan soloSETELAH berhempas pulas sehingga minggu yang ke-10, ternyata tuah telah berpihak kepada kumpulan R2 dan Balas serta Man yang menjadi pilihan penonton untuk beraksi di pentas final. Kini, ketiga-tiganya hanya tinggal selangkah sahaja lagi sebelum berjaya mengikut jejak beberapa pelawak seperti Yus, Nabil, kumpulan Sepah dan Kechik yang pernah bergelar juara sebelum ini. Peserta yang mendapat undian tertinggi pada minggu lalu, kumpulan Balas mengakui meskipun mereka berada di tangga teratas, tetapi itu masih belum menjamin untuk mereka muncul sebagai pemenang. Dianggotai dua orang anak muda iaitu Mohammad Shukri Mohamed Sahar dan Fandi Muhammad, kumpulan berkenaan dilihat menjadi pilihan ramai penonton untuk meraih takhta Raja Lawak 5. Menurut Shukri, rahsia kejayaan mereka adalah keyakinan yang cukup kuat dan mengelakkan daripada perasaan gugup setiap kali beraksi. "Setiap kali berada di atas pentas, kami telah bertekad untuk melakukan persembahan yang mantap dan memasang impian untuk beraksi di pentas final. "Setelah impian itu terlaksana, kini kami memang berharap untuk menang. Bagaimanapun, kami juga tidak boleh memperkecilkan kemampuan dua lagi peserta," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Bagi kumpulan R2 yang dianggotai pasangan adik-beradik, Rahim dan Ridhzuan Mat Ali menyifatkan kejayaan mereka untuk beraksi di pentas final merupakan satu pencapaian terbaik mereka setakat ini. Menurut Rahim, sebelum ini dia telah menyertai sesi uji bakat untuk rancangan Raja Lawak semenjak dari musim pertama lagi dan hanya berjaya pada percubaan yang kelima. "Ketika sesi uji bakat pada musim pertama hingga keempat, saya tampil secara individu. Hanya pada musim kelima ini barulah saya berpasangan dengan adik saya. "Sering kali gagal dalam sesi uji bakat telah menyebabkan semangat saya semakin luntur. Kemudian adik saya mengajak untuk cuba lagi pada musim ini dan bergabung dengannya sehinggalah berjaya ke peringkat akhir," ujarnya. Menurut Rahim, menyedari kedudukan mereka yang berada di tangga ketiga pada minggu lalu, mereka bertekad untuk berusaha dengan lebih gigih lagi agar hasrat untuk bergelar juara tercapai. KUMPULAN Balas, R2 dan Man mempunyai impian untuk bergelar juara Raja Lawak 5. Sama seperti Rahim, seorang lagi finalis iaitu Abdul Rahman Kasim atau lebih dikenali dengan panggilan Man turut menyertai sesi uji bakat Raja Lawak sejak dari musim yang pertama. Menurut peserta yang bertugas sebagai penyelia operasi di pejabat pos Shah Alam sebelum ini, hasratnya untuk menyertai Raja Lawak tidak pernah luntur meskipun selalu gagal dalam sesi uji bakat. "Pada musim pertama sehingga ketiga, saya tampil sebagai peserta solo ketika uji bakat. Kemudian pada musim keempat, saya cuba berpasangan dengan seorang rakan tetapi tetap tidak berjaya. "Bagaimanapun, saya menyedari bahawa kekuatan sebenar saya adalah melalui solo dan mencuba lagi pada musim ini dan sudah ditakdirkan menjadi rezeki saya untuk terpilih," ujarnya. Jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu lagi, dia sangat bertuah kerana penglibatannya dalam rancangan berkenaan turut mendapat sokongan daripada majikannya. Lucah Satu hakikat yang ketara dilihat pada setiap minggu, kumpulan Balas adalah antara peserta yang begitu gemar membuat lawak yang ada kalanya mengandungi unsur-unsur lucah. Jelas Fandi, mereka tidak berniat mahu menarik perhatian penonton dengan cara lawak sebegitu, sebaliknya apa yang disampaikan itu sebenarnya bergantung kepada tafsiran masing-masing dan tidak semestinya berunsur lucah. "Tidak dinafikan tema muzikal dan bebas untuk saingan final nanti memang agak mencabar buat kami. Namun, idea itu sudah ada dan harus diperkembangkan lagi dalam tempoh masa latihan yang cukup terhad. "Memandangkan ramai yang memberi respons kurang baik terhadap peserta yang membuat persembahan double meaning, seboleh-bolehnya kami akan cuba elak untuk berbuat demikian," ujarnya. Bagaimanapun, Fandi menolak dakwaan yang mengatakan kemerosotan undi yang diraih oleh mereka minggu lalu adalah berpunca daripada membuat persembahan yang sebegitu. Sebaliknya, dia dan pasangannya menganggap persembahan dua lagi finalis pada malam itu semakin baik dan mendapat perhatian penonton serta pujian daripada juri. "Sebab itu kami perlu berusaha dengan lebih keras lagi sekiranya hasrat untuk menjadi juara terlaksana. Segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang menyertai rancangan ini akan dipraktikkan dengan sebaik mungkin," ujarnya. Menangis Tentunya ramai penonton yang perasan ketika kumpulan R2 diumumkan layak ke peringkat akhir, Ridzuan dilihat mengalirkan air mata di atas pentas. Menurut Ridzuan yang begitu menggemari pelawak Harith Iskandar, pada masa itu perasaannya ketika itu bercampur baur iaitu gembira kerana segala usaha mereka selama ini telah membuahkan hasil. "Pada masa yang sama, saya berasa terlalu sedih kerana kejayaan kami ini tidak dapat dikongsi oleh ibu dan ayah yang telah pun meninggal dunia sejak 10 tahun yang lalu. "Untuk menyertai Raja Lawak ini juga saya terpaksa membuat pengorbanan yang besar iaitu terpaksa berhenti kerja setelah cuti saya tidak diluluskan oleh pihak majikan," ujarnya. Sementara itu, untuk persiapan bagi persembahan di gelanggang final malam ini, Rahim menjelaskan mereka berdua banyak menonton persembahan sendiri di minggu yang sebelumnya untuk memperbaiki lagi segala kelemahan yang ada. "Sewaktu mula-mula menyertai rancangan ini, memang kami berdua langsung tiada pengalaman dan tidak pandai melawak di hadapan orang ramai. Tetapi kami telah diberi latihan yang begitu baik dan tunjuk ajar untuk menjadi pelawak dengan cara yang betul. "Begitu juga dengan bimbingan dan nasihat yang telah diberikan oleh beberapa orang otai lawak seperti Mr. Os dan Saiful Apek juga banyak membantu kami dalam setiap persembahan yang dilakukan," ujarnya. Serius Ketika ditemui beberapa hari sebelum pentas akhir Raja Lawak 5 membuka gelanggang, Man memberitahu segala persiapan yang dilakukannya berjalan dengan lancar. Menurutnya, kekuatan seseorang peserta yang bersaing dalam rancangan ini bergantung kepada bahan lawak yang dipersembahkan, latihan serta cara penyampaian yang mampu menarik minat penonton. "Sudah tentu matlamat setiap peserta yang menyertai rancangan Raja Lawak ingin menang. Begitu juga dengan saya dan setelah layak beraksi di pentas final nanti, semangat untuk muncul juara semakin berkobar-kobar. "Biarpun saya merupakan satu-satunya peserta solo, tetapi saya tidak merasa terlalu tertekan kerana apa yang lebih penting adalah berusaha bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh tumpuan ketika membuat persembahan nanti," ujarnya. Sesuatu yang menarik mengenai peserta yang berasal dari Kuala Lumpur itu, di sebalik lawaknya yang mampu membuat ramai yang ketawa setiap kali menonton persembahannya, tetapi di luar dia bukanlah seorang lelaki yang kelakar. Ujarnya, sebagai seorang ketua di pejabat, dia sememangnya dikenali sebagai seorang yang berpewatakan serius. Malah, di rumah juga dia kurang membuat lawak kepada isterinya. "Dengan memiliki wajah sebegini, mungkin ada yang sangka saya seorang individu yang sombong. Tetapi setelah mengenali saya, sebenarnya saya tidaklah seperti yang mereka sangkakan," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Konsert kekeluargaan AznilOleh MALIAH SURIP INILAH keluarga besar Aznil yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan seni ahli keluarga kebanggaan mereka. ADA air mata yang tumpah usai konsert sulung miliknya selesai. Namun ia adalah air mata gembira dan terharu yang dikatakan oleh Aznil Nawawi sebagai lambang jutaan terima kasih atas sokongan peminat yang hadir pada malam Konsert Hore! Hore! Aznil Nawawi, Sabtu lalu. "Saya tahu saya bukan penyanyi, tapi Alhamdulillah, ramai peminat yang datang menyokong. Itu yang buat saya sangat terharu," katanya sambil mengesat air mata. Sementelah katanya lagi, konsert malam itu memang tidak sempurna. Masalah teknikal seperti bunyi dan mengaku vokalnya juga tidak menyerlah, namun apa yang membanggakannya, peminat tetap setia, tidak seinci berganjak hanya untuk memberi sokongan kepadanya. Sokongan padu tersebut telah membuat dia terfikir jika mempunyai peluang, dia tidak menolak konsert yang diadakan di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur anjuran RYE Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Astro itu dibawa jelajah negara bagi mendekati lebih ramai peminatnya. "Insya-Allah jika ada kepercayaan dan permintaan daripada peminat, mungkin saya boleh melakukan konsert jelajah. Hanya, ia akan menjadi konsert jelajah berbayar, bukan percuma. Sebagai seorang hos yang membuat konsert, saya tidak mahu mengajar orang menonton konsert percuma kerana ia akan menutup periuk nasi barisan penyanyi kita," katanya bersungguh-sungguh. Namun yang lebih bermakna pada malam konsert berdurasi lebih dua jam itu adalah tanpa sedar, Aznil sekali lagi telah mencipta rekod tersendiri apabila dia berjaya mengumpulkan seisi keluarga untuk berkumpul bersama-sama memberi sokongan kepadanya. Ia jelas dapat dilihat apabila kebanyakan penonton yang hadir, datang bersama keluarga besar termasuk anak-anak kecil. Aznil sendiri buat julung kalinya mendedahkan keluarga besarnya kepada umum pada malam tersebut. Menurut Aznil sengaja dia membawa seisi keluarga kecuali ibunya kerana sedang uzur, hadir ke konsert tersebut. BIJAK. Aznil bersama anaknya, Firdaus yang lincah bermain tabla mengiringinya untuk lagu Cari Jodoh daripada kumpulan Wali Band. Katanya: "Ia sebagai tanda terima kasih saya kepada keluarga yang selama ini tidak pernah jemu menyokong saya walaupun ada masa mereka terpaksa menanggung malu kerana berita-berita negatif tentang saya." Lebih daripada itu, dalam konsert yang sama, Aznil masih sempat berbuat amal apabila bersama grup ciptaannya, Hero Malaya, mereka berjaya mengumpul lebih RM40,000 untuk diberikan kepada seorang kanak-kanak kurang bernasib baik yang menghidap penyakit jantung kronik. Dalam konsert yang sama, Aznil juga sebenarnya telah berjaya mengatasi ketakutan apabila mencabar diri sendiri menjadi penyanyi, sedangkan dia tahu itu bukan kepakarannya. Persembahan dibagikan dalam beberapa segmen termasuk segmen khas buat penghibur sanjungannya, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang menyaksikan Aznil mendendangkan lagu-lagu seperti Hujan, Apa Khabar Orang Kampung, Aku Penganggur dan Salam Terakhir. Menariknya, pada segmen tersebut, Aznil tampil dengan pelbagai kostum termasuk baju bendera Malaysia seperti yang pernah digayakan oleh Sudirman dalam konsert yang dilakukannya dulu. Selain segmen tersebut, Aznil turut berduet dengan rakan-rakan artis seperti Ana Raffali, Azlan and The Typewriter serta Zahid. Malah lebih mengejutkan dirinya sendiri, dia mampu memegang haiwan yang paling ditakutinya selama ini iaitu ular. Justeru, apabila Konsert Hore! Hore! Aznil Nawawi usai pada malam itu, ia sebenarnya membawa sarat makna sekadar hanya ingin menghiburkan peminat setianya. Sebaliknya, konsert tersebut telah menjadi medan ukhuwah keluarga. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Buble tak sabar mahu kahwinOleh AQMAR ALLADAD BUBLE menawan hati peminatnya pada malam konsert jelajah Asia, Crazy Love World Tour yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor minggu lalu. BIBIRNYA tidak jemu mengukir senyuman. Mungkin perasaan penyanyi berprofil tinggi, Micheal Buble, 35, tidak sabar menanti penerimaan audiens di konsert jejalah Asia, Crazy Love World Tour In Asia yang berakhir di Stadium Melawati Shah Alam, Ahad lalu. Keterujaan jelas terpancar sewaktu berlangsungnya sidang akhbar di Hotel Ritz Carlton, Buble cukup bijak menyesuaikan diri dengan wartawan. Sikapnya tidak menyombong bahkan bersedia berkongsi perkembangan terbarunya dengan panjang lebar. Boleh diramalkan bahawa Buble merupakan seorang jejaka atau selebriti yang senang didampingi. Memulakan bicara bukannya lebih kepada persiapan konsertnya kali ini. Mungkin sikap profesional Buble di dalam industri muzik tidak menyebabkan dirinya berasa gusar untuk mengadakan persembahan. Sebaliknya, penyanyi kelahiran Kanada itu, tanpa kekok mengumumkan dirinya bakal disatukan dengan tunang tersayang, Luisana Loreley Lopilato de la Torey, 23, pada 2 April ini. Patutlah, dari awal lagi Buble dilihat cukup gembira dan tidak sabar untuk berkongsi sesuatu dengan peminatnya di sini. "Sejujurnya saya tidak sabar menanti detik paling bahagia dalam hidup saya. Kami akan meraikannya di dua lokasi berbeza. Majlis pertama akan diadakan di Buenos Aires, Argentina. "Kemudian di kampung halaman saya di Vancouver, Kanada pada 20 Mei akan datang. Ia mungkin dihadiri oleh 500 tetamu," katanya yang memilih untuk berbulan madu di Afrika Selatan. Memilih bakal isteri yang berkerjaya sebagai model dan aktres berasal dari Argentina, merupakan keputusan yang cukup bermakna dalam perjalanan hidupnya. Ini kerana sebelum ini, Buble mengakui dirinya pernah menjalani rawatan terapi setelah hubungan cinta yang terjalin selama tiga tahun bersama Emily Blunt hancur berkecai. "Pengalaman lalu amat perit untuk saya hadapi tetapi bila tanya perasaan sekarang, jawapannya sudah tentu saya gembira kerana bakal mengahwini wanita yang mencintai diri saya," akui Buble bersungguh-sungguh. Hubungan Buble dan Luisana difahamkan bermula sejak tiga tahun lalu ketika dipertemukan pada konsert penyanyi berkenaan di Buenos Aries. Rancak memberi jawapan ke atas soalan yang diajukan, Buble turut menyatakan dia menerima sekiranya perkahwinan itu dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat asalkan ia tidak mengganggu kerjaya bakal isterinya. "Ya memang saya mahukan anak tetapi Luisana masih muda dan perkara itu terlalu awal baginya. Lagipun, dia mempunyai pelbagai perkara yang perlu difikirkan untuk kerjayanya itu. "Namun, saya tidak kisah kerana ramai di antara krew saya, sering membawa anak mereka di belakang pentas," luahnya yang merupakan seorang anak kepada nelayan. Bercerita lanjut serba sedikit mengenai bakal isterinya itu, Buble gelak seketika apabila mengenangkan beberapa peristiwa lucu yang berlaku dalam dirinya. Disebabkan dirinya tidak begitu terkenal di Amerika Selatan berbanding Luisana, dia didatangi dengan cara agresif oleh seorang peminat bakal isterinya itu. "Bayangkan ada seorang peminat berusia menolak saya ke tepi. Lalu, dia menghulurkan kamera kepada saya dan menyuruh untuk mengambil gambarnya bersama Luisana. "Disebabkan kerana dia peminat Luisana, saya ikut arahan lelaki itu," jelasnya sambil ketawa kecil. Jeritan audiens Hujan lebat yang membasahi bumi Shah Alam, Selangor baru-baru ini tidak membantut kehadiran peminat Buble. Kebanyakan daripada mereka terkejar-kejar untuk memasuki ruang dalam stadium bagi mengelak daripada basah kuyup. Sekitar pukul 8 malam, tempat duduk masih lagi tidak dipenuhi mungkin penonton 'tersangkut' akibat hujan lebat dan jalan raya pastinya sesak. Pembuka tirai Crazy Love World Tour In Asia disempurnakan oleh penyanyi jazz tanah air, Najwa. Selesai mendendangkan beberapa buah lagu dengan alunan muzik dan suara sungguh gemersik, penonton bagaikan tidak sabar menunggu kemunculan Buble. Seperti dijangkakan lebih awal, memang benar Buble akan menghiburkan seramai 9,000 penonton yang setia menantinya. Tepat pukul 9 malam, jeritan sebilangan penonton bagaikan dirasuk apabila Buble tampil dengan memakai sut kelabu. "Terima kasih kepada semua penonton yang sudi mengeluarkan belanja untuk datang menyaksikan konsert saya. Makanan Malaysia sedap, wanita cantik dan negara cantik," jerit Buble dengan bersahaja. Dia menyanyikan 20 buah lagu termasuk beberapa lagu popular antaranya Everything, Georgia, Home dan lagu yang dituju khas kepada Luisana iaitu Haven't Met You Yet. Gayanya yang rileks tanpa sebarang rasa gemuruh membuatkan Buble kelihatan sungguh profesional. Apatah lagi, dia juga bijak mengajak penonton supaya tidak terleka dan menikmati setiap persembahannya. Selingan lawak jenaka tidak pernah sunyi menyebabkan penonton tidak sedar hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi konsert itu akan melabuhkan tirai. Komitmen yang diberikan Buble dan kesungguhannya jelas terpancar apabila sut yang dipakainya basah. Tetapi dia tidak menghiraukannya. Sebagai hadiah istimewa kepada seluruh peminat, Buble menguji kekuatan vokalnya dengan mendendangkan lagu Song For You tanpa menggunakan mikrofon untuk lagu terakhir. Suasana pelosok stadium sunyi seketika kerana penonton tergamam sekali gus menghayati suara lunak penyanyi itu. Dan biar ia bukan konsert pertama, juga barangkali bukan yang terakhir buat Buble di Malaysia, pasti kedatangannya pada masa akan datang kelak akan terus disambut hangat. Semuanya kerana pesona luar biasa yang telah dibiaskan Buble. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |