Adsense

Ahad, 13 Mac 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Pengorbanan empat finalis AQ5

Posted:

Pengorbanan empat finalis AQ5

Pengorbanan empat finalis AQ5

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JAMEELFEERDAUS ZAMZURI


FINALIS AQ5 (dari kiri) Suhaila Zulkifli, Mohd Syahrian Syah, Muhamed Nasir Mohamad Salleh dan Mohamed Husaini Mahmur.


KADEMI al-Quran sama juga seperti rancangan-rancangan realiti televisyen (TV) lain yang memerlukan setiap pesertanya memberi komitmen, tumpuan dan sekali gus berusaha merebut gelaran juara pertandingan itu.

Empat finalis Akademi al-Quran musim kelima (AQ5) iaitu Suhaila Zulkifli, Muhamad Nasir Mohamad Salleh, Mohd. Syahrian Syah dan Mohamed Husaini Mahmur tidak terkecuali melalui pengalaman yang sama.

Malah, para peserta rancangan realiti TV terbitan TV9 itu juga terpaksa mengorbankan masa dan tenaga mereka sepanjang 12 episod pertandingan itu bagi meneruskan ke peringkat akhir AQ5 yang akan diadakan pada 26 Mac ini.

Suhaili Zulkifli misalnya, terpaksa mengambil cuti selama tiga bulan daripada meneruskan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semata-mata mahu memberi tumpuan dalam pertandingan mengaji al-Quran tersebut.

"Saya tidak menyangka akan berjaya hingga ke final AQ5. Ini kerana, saya menjangkakan hanya mampu meneruskan saingan hingga ke minggu yang ketiga sahaja. Tetapi tidak diduga pula saya layak bertanding hingga ke final.

"Walau bagaimanapun, sewaktu menyertai pertandingan ini saya telah memohon cuti tiga bulan bagi memudahkan saya jika layak bersaing hingga ke final," katanya sewaktu sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut siswazah jurusan al-Quran dan Sunnah di UIAM itu, dia sanggup menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu bagi merebut peluang bertanding dalam program realiti TV yang disifatkannya sukar untuk dilepaskan.

Apatah lagi, kata gadis berusia 22 tahun ini, penyertaannya dalam AQ5 bukan setakat mendapat dorongan daripada ibu bapa dan keluarganya tetapi teman-teman sekuliah di UIAM juga memberi sokongan padu.

"Bukan senang untuk menyertai AQ5 kerana setiap pesertanya hebat-hebat belaka. Jangankan hendak bertanding, mahu menyertai sesi uji bakatnya juga terpaksa bersaing dengan ramai ramai peserta yang lain.

"Itu tidak termasuk saingan yang harus ditempuhi sewaktu bertanding dalam AQ5 di mana ia mencabar kredibiliti saya terutamanya apabila berdepan dengan panel juri yang mengadili pertandingan ini.

"Semua itu adalah cabaran saya dan rakan-rakan yang lain. Cabaran itu semakin kuat kerana saya satu-satunya peserta wanita yang bersaing di peringkat akhir AQ5 ini. Itu adalah perjuangan yang harus saya tempuhi," ujarnya.

Mendalami ilmu

Bagi Mohamed Nasir, dia juga seperti Suhaila yang terpaksa mengambil cuti belajar selama tiga bulan tetapi turut berkorban dengan mempelajari lebih terperinci bacaan ayat-ayat al-Quran daripada bapanya, Mohamad Salleh.

Meskipun mula mempelajari bacaan al-Quran sejak berusia enam tahun tetapi siswazah Universiti Malaya (UM) ini masih mendalami ilmu itu sehinggalah di saat-saat dia terpilih menyertai AQ5 yang bermula 8 Januari lalu.

"Pengorbanan saya untuk menyertai AQ5 ialah saya masih terus belajar membaca al-Quran daripada bapa saya sehinggalah kini. Segala pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya bertanding dalam pertandingan ini.

"Saya lebih berminat dengan bacaan taranum tetapi dalam AQ5 saya juga diajar kaedah bacaan qiraat yang lebih sukar bacaannya. Saya harus lebih banyak berkorban untuk mempelajari kaedah-kaedah bacaan itu.

"Kalau di UM saya berkorban masa untuk lulus pengajian, tetapi di AQ5 saya juga terpaksa berkorban masa bagi mendalami bidang bacaan qiraat yang asing bagi saya. Ini kerana, saya tidak pernah belajar qiraat sebelum ini," jelasnya.

Siswazah jurusan Usul dan Fiqh berusia 21 tahun ini yang akan menamatkan pengajiannya empat tahun lagi itu berharap penyertaannya dalam AQ5 akan menambahkan lagi pengetahuannya dalam bacaan al-Quran termasuklah qiraat.

Memberi bimbingan

Disebabkan persaingan yang semakin sengit menjelang final AQ5, Mohamed Husaini Mahmur juga sama seperti para peserta lain tidak terkecuali berkorban lebih masa bagi memantapkan lagi bacaan al-Quran.

Bekas pelajar Maahad Ahmadi di Gemencih, Negeri Sembilan ini, sanggup mencari semula guru-guru lamanya bagi memberi bimbingan tambahan menjelang pertandingan akhir program realiti TV tersebut.

"Saya berjumpa semula dengan ustaz-ustaz dan guru-guru lama saya sewaktu zaman persekolahan dulu bagi mengingat serta memantapkan lagi bacaan al-Quran saya. Mereka banyak memberi tips kepada saya.

"Sebagai bekas pelajar jurusan bahasa Arab, saya rasa lebih mudah untuk membaca dan memahami bacaan al-Quran yang saya pelajari selama ini. Saya harap semua pengorbanan saya itu dapat membantu saya bertanding kelak," katanya.

Persiapan terakhir

Sementara itu, bagi Mohd. Syahrian Syah pula, dia lebih banyak melakukan persiapan terakhir daripada segi vokal dan kawalan suara beberapa minggu sebelum bertanding pada pertandingan yang ditonton 1.5 juta penonton itu.

Katanya, cuti selama tiga bulan sebagai pelajar jurusan Pendidikan Islam di UM akan dipergunakan sepenuhnya bagi memantapkan gaya bacaan terutamanya daripada segi vokal dalam usahanya mahu bergelar juara AQ5.

"Sejak empat minggu sebelum ke final AQ5 lagi saya sudah mula berlatih vokal di mana ada kalanya saya mengaji al-Quran sehingga empat jam sehari. Selain membaca, tumpuan saya daripada segi latihan vokal.

"Ia banyak membantu saya bertaranum kerana selama ini saya mempelajari kaedah itu secara tidak formal. Kombinasi bacaan yang betul dan lontaran vokal yang mantap boleh memperelokkan lagi bacaan saya pada final AQ5 nanti," tuturnya.

Empat finalis AQ5 itu akan meneruskan saingan bagi meneruskan kesinambungan AQ yang sebelum itu pernah dijuarai oleh Abdullah Fahmi Che Nor (AQ1), Anuar Hasin (AQ2), Fakhrul Radzi Khamaruddin (AQ3) dan Ahmad Tirmizi Ali (AQ4)

AQ5 menampilkan dua pengacaranya iaitu Mohd. Zhafran Zainuldin yang merupakan adik kepada hos Mari Mengaji, Ustaz Mohd. Zamri Zainuldin serta Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga pernah muncul naib juara AQ3.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KRU bawa

Posted:

KRU bawa <i>HMM</i> ke <i>Academy Award</i>

KRU bawa HMM ke Academy Award

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM


YUSRY Abdul Halim (tiga dari kiri) bersama para pelakon dan karyawan di sebalik tabir Hikayat Merong Mahawangsa selepas pratonton filem itu di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


FILEM Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) merupakan filem tempatan yang paling mahal kos penerbitannya iaitu mencecah RM8 juta dan ketiga termahal selepas Puteri Gunung Ledang (RM20 juta) dan Hanyut (RM11 juta).

HMM juga bukan setakat menjadi filem terbitan KRU Studios Sdn. Bhd. yang termahal kos pembikinannya tetapi ia turut mencatatkan kejayaan yang membanggakan apabila ia akan diedarkan di 72 buah negara.

Malah, Penerbit KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, dia bercadang mahu mempertandingkan filem itu di Academy Awards, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan.

"Dengan kualiti dan jalan cerita HMM yang berdasarkan epik kerajaan Melayu pertama di Langkasuka, saya yakin filem ini mampu pergi jauh bukan sahaja ditayangkan di luar negara tetapi juga dipertandingkan di Academy Awards.

"Justeru saya bercadang untuk mempertandingkan HMM di Academy Awards pada tahun depan. Kalau boleh biarlah HMM disenaraikan dalam kategori filem-filem luar dan ditayangkan pada festival tersebut.

"Ini kerana, sebelum ini filem Puteri Gunung Ledang pernah dicalonkan dalam Top 50 filem-filem dari luar AS," katanya sewaktu ditemui selepas pratonton HMM di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Perancangan itu mampu menambahkan lagi pencapaian HMM yang mencatat sejarah perfileman tanah air apabila ia akan ditayangkan di 72 negara seperti AS, Jerman, Eropah, United Kingdom, Russia, Kanada, China dan Australia.

HMM yang mula ditayangkan mulai 10 Mac lalu turut membanggakan Norman apabila pada hari pertama tayangannya di 67 pawagam seluruh negara termasuk dua di Brunei mengutip kutipan tiket RM500,000.

Menurut anggota kumpulan trio KRU ini, rekod yang dicapai melalui HMM lebih bagus berbanding filem-filem KRU Studios yang pernah diterbitkan sebelum ini terutamanya daripada segi kutipan tiket hari pertama ia ditayangkan di pawagam.

"Sebelum ini, filem Cicak-Man 2 mencatatkan filem KRU Studios yang paling banyak mengutip kutipan tiket hari pertama tayangannya iaitu RM300,000.

"Malah, saya jangkakan HMM juga akan mencapai kutipan tiket RM2 juta sehingga Ahad (semalam). Secara keseluruhan pula saya jangkakan filem ini mampu mengutip kutipan tiket sehingga RM8 juta," jelasnya.

Tambah Norman, HMM hanya akan diedarkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) di luar negara selepas filem arahan Yusry Abdul Halim itu tamat tayangannya di seluruh negara bagi mengelakkan gejala cetak rompak.

Kata anak sulung daripada empat beradik ini, pendekatan itu dilakukan berdasarkan pengalaman KRU Studios menerbitkan filem berjudul Deadline pada tahun 2008 di mana ia menjadi mangsa gejala tersebut.

"Sewaktu menerbitkan Deadline kami terlebih dahulu memberi kebenaran pengedaran filem itu di luar negara terutamanya di AS sebelum ia ditayangkan di Malaysia menyebabkan ia menjadi mangsa cetak rompak.

"Akibatnya filem kami yang keenam dengan kos AS$2.4 juta (RM6.1 juta) itu tidak dapat ditayangkan kerana DVD cetak rompak sudahpun berada di pasaran. Bagi mengatasi masalah itu, tumpuan kami melalui jualan DVD sahaja.

"Untuk DVD Deadline yang menjalani penggambaran di Louisiana, AS kami telah mengedarkannya ke 40 buah negara antaranya Filipina, Mexico dan United Kingdom. Kami bernasib kerana filem itu tidak rugi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.