Adsense

Sabtu, 26 Mac 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Simpati Yoyo, cinta Sapta

Posted:

Simpati Yoyo, cinta Sapta

Simpati Yoyo, cinta Sapta



ROSSA tampil polos pada temu janji makan malam kami Isnin lalu. Dia yang memilih lokasi temu janji iaitu Restoran Tesate Plaza Senayan, Jakarta, Indonesia.

"Saya suka makanan di sini. Ia masakan asli Indonesia," katanya pada pertemuan malam itu. Pertemuan malam itu sebenarnya diatur secara mengejut selepas kami bertemu pada majlis akad nikah teman baiknya, Krisdayanti dan Raul Lemos hujung minggu lalu.

Usai menjamu selera, penyanyi genit dengan nama lengkap Rossa Roslaina Sri Handayani yang memang cukup mesra dan mudah ketawa ini mula berbagi cerita. 

Katanya, pertemuan kami pada malam itu adalah untuk temu bual mengenai mantan suaminya, pemain drum grup Padi, Surendro Prasetyo atau Yoyo, yang ditahan kerana disyaki memiliki dadah pada awal bulan ini.

Ada simpati dalam bicara kami tentang lelaki yang pernah singgah dalam hatinya itu. Beritahu Rossa, dia kaget dengan berita penangkapan tersebut. Ini kerana, sehari sebelum mantan suaminya itu ditangkap, Yoyo berada di rumahnya, bertemu anak mereka yang menginjak usia empat tahun. Rizki Langit Ramadan.

"Saya terkejut dengan berita itu kerana sehari sebelumnya, Yoyo datang ke rumah bermain dengan Rizki, sementara saya sibuk dengan agenda konsert saya. Tidak sangka pula ini terjadi.

"Tapi, jujurnya, dia memang sudah memakai (mengambil) dadah sejak sebelum kami berkahwin. Namun saya tidak sangka, sehingga kini rupanya dia masih lagi memilih untuk berdamping dengan benda itu," katanya yang mengetahui berita Yoyo ditangkap melalui BlackBerry dan Twitter.

Namun akui penyanyi yang terkenal dengan untaian lagu indah seperti Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies ini, dia tahu kalau mantan suaminya itu bergelut untuk lari daripada ketagihannya itu.

Sewaktu menjadi isteri kepada Yoyo, dia selalu menjadi orang kuat yang menyokong usaha suaminya untuk menjadi 'orang baru'. Katanya: "Sebetulnya, dia mempunyai keinginan yang tinggi untuk sembuh. Tapi susah jika masih berada di lingkungan yang sama dan sudah terlalu lama memakainya. Kecuali dia mempunyai keazaman yang cukup jitu."


ROSSA bersyukur walaupun Yoyo mempunyai masalah ketagihan dadah, tapi dia tetap melunaskan tanggungjawab sebagai bapa yang baik kepada anak mereka, Rizki Langit Ramadan.


Belum berkesempatan melawat lelaki berusia 36 tahun yang kini ditahan di sebuah balai polis, kata Rossa dia sengaja untuk melewatkan sesi lawatan itu. 

"Saya tidak mahu pemergian saya ke sana menjadi bahan berita sensasi. Jadi biar semuanya reda dan saya akan pergi melawat dia. Saya akan pergi sendiri tanpa Rizki," ujarnya yang bercadang melawat Yoyo sehari selepas pertemuan kami tanpa membawa Rizki.

Ditanya mengapa tidak mahu membawa Rizki bersama, kata Rossa, dia tidak mahu mengheret anaknya sama dalam masalah orang dewasa.

Sementelah, Rizki tidak mengetahui bapanya itu kini ditahan polis. Selain tidak membenarkan anaknya menonton saluran infortainment, kesibukan Yoyo yang jarang melawat Rizki membuat anaknya itu tidak menyedari 'kehilangan' bapanya.

Jelas Rossa: "Rizki tak tahu Yoyo sedang ditahan polis. Sejak dulu, saya tidak benarkan Rizki menonton infortainment kerana ia tidak bagus untuk minda anak-anak. Pada masa yang sama, dia juga tidak sedar Yoyo tidak ada kerana kesibukan Yoyo sebelum ini membataskan masa untuk mereka bertemu." 

Namun jelas Rossa, biar Yoyo jarang menghabiskan masa dengan anaknya, lelaki itu tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bekas ketua keluarga yang pernah mengemudi bahtera rumah tangga mereka. Yoyo juga disifatkan Rossa sebagai seorang bapa penyayang.

Lantas saat disua jika Yoyo seorang lelaki yang budiman, mengapa mereka berpisah, Rossa dalam senyum manisnya menjawab: "Punca perceraian kami biarlah rahsia kami berdua sahaja. Tetapi apa yang boleh saya katakan, keputusan kami untuk berpisah adalah jalan yang terbaik. Daripada hancur semuanya, lebih baik kami berpisah."

Cinta Sapta


ROSSA (tengah), Krisdayanti (kanan Rossa) bergambar dengan kami usai makan malam.


Ada rona merah pada wajah mulus penyanyi ini saat diusik tentang hati yang telah dimiliki lelaki baru bernama kekasih. Sebenarnya Rossa mempunyai kekasih hati bukan lagi rahsia. Ia telah menjadi bualan hangat sejak setahun lalu. Namun yang menjadi misteri adalah siapa gerangan yang berjaya menawan hati wanita yang pernah rapuh kerana cinta lalu.

Lantas saat nama Raja Sapta Oktohari, putera ahli politik terkenal Indonesia, Oesman Sapta, saya ajukan, Rossa berteriak kecil. Ketawanya panjang berekor. Apabila terus didesak, Rossa akhirnya kalah. Hanya satu anggukan kecil tanda setuju, namun tidak mahu dipanjangkan dengan penjelasan.

Lalu apabila saya bawa persoalan lebih mendalam tentang persediaan dia berkahwin dengan Sapta, mengikut jejak langkah kawan baiknya, Krisdayanti yang baru sahaja menikahi Raul, Rossa menggeleng.

Katanya: "Kami jalani saja dulu percintaannya. Tapi kalau untuk berkahwin, saya fikir belum lagi. Bukan untuk masa terdekat ini. Atau tahun ini. Ya, memang belum saya fikirkan bila ya. Namun saya juga tidak berani berkata lebih dari itu kerana jika akhirnya ia terjadi (berkahwin), pasti terjadikan. Biar saja, doakan yang baik-baik saja ya."

Ditanya adakah dia masih trauma atau bersikap berhati-hati kerana sejarah keruntuhan rumah tangga yang lalu, Rossa memberitahu dia tidak sesekali berasa trauma. Sebaliknya, tekan Rossa sekali lagi, dia hanya berasa belum mahu berkahwin lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Resipi Jaguh Kampung

Posted:

Resipi Jaguh Kampung

Resipi Jaguh Kampung

Oleh NOOR ASHREEN ISMAIL
hiburan@kosmo.com.my


DARI kiri: Mohamad Ismadi Ismail, Jaafar Onn, Ogy Ahmad Daud dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani dan Aidil Abdul Ghafar.


SEJAJAR dengan tagline Macam-macam Ada, Astro kini tampil menyajikan program realiti masakan baru yang menampilkan konsep berbeza daripada program masakan yang lain.

Jaguh kampung adalah taruhan terbaru pihak Astro Prima yang mana program ini ingin mencari pasukan juara memasak antara kampung di seluruh Malaysia.

Di dalam Jaguh Kampung, menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, program realiti ini bukanlah semata-mata mahu mencari chef bertaraf antarabangsa, akan tetapi konsepnya lebih kepada memberi keseronokan.

"Bagi saya program ini bukan bertujuan untuk mencari tukang masak profesional, akan tetapi untuk bersuka ria dan pada masa yang sama juga boleh berkongsi resipi dengan penonton," ujarnya.

Kelainan yang ditampilkan Jaguh Kampung adalah setiap kumpulan yang bertanding akan mewakili zon masing-masing iaitu Utara, Selatan, Timur dan Barat.

Peserta yang mempunyai gabungan tiga orang sekumpulan akan melalui detik uji bakat di mana mereka harus mempamerkan satu hidangan masakan dan akan disoal jawab.

"Peserta yang kami pilih ini bukan semata-mata hanya punyai bakat memasak, mereka turut memiliki perwatakan yang menarik. Kita tidak mahu peserta yang hanya tahu masak, tetapi tidak berwatakan menarik. Mereka perlu ada dua gabungan ini," tambah Nizam yang walaupun begitu, skil memasak masih lagi menjadi keutamaan bagi program realiti ini.

Program ini juga gamat dengan kehadiran dua selebriti tanah air iaitu Ogy Ahmad Daud dan Jaafar Onn sebagai pengacara merangkap juri tetap yang akan mengadili setiap pasukan mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

"Apa yang akan menjadi cabaran peserta ialah mereka harus menyiapkan hidangan dalam tempoh 60 minit sahaja," jelasnya sambil memberitahu 16 pasukan telah dipilih mewakili kampung masing-masing.

Empat kumpulan akan berentap mewakili zon masing-masing pada peringkat separuh akhir serta peringkat akhir pula akan menyaksikan dua kumpulan sahaja akan dipilih bagi merebut peluang mengangkat gelaran juara Jaguh Kampung dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000.

Apa yang menarik mengenai program ini adalah, pelbagai jenis masakan yang datang dari pelbagai negeri dapat dipelajari dan dicuba.

"Mungkin sesetengah orang yang menyukai masakan kampung tetapi tidak tahu bagaimana penyediaan atau bahan-bahannya. Mungkin dengan adanya program ini, penonton boleh mempelajarinya sendiri," kata Nizam mengenai program 16 episod ini.

Menambah tarikan terhadap program ini, selain mendapat resipi yang mungkin tidak pernah diketahui, penonton juga dapat bergelak ketawa melihat teletah peserta yang bekerja di dalam berkumpulan.

"Saya rasa penonton juga sudah lama tidak disajikan dengan program masakan berkonsepkan sebegini. Kerana inilah, pihak Astro Prima terbitkan program Jaguh Kampung untuk menarik minat semua golongan menontonnya," jelas Nizam mengenai kemunculan program baru ini di layar kelak.

Jaguh Kampung mula menemui penonton setiap Sabtu pada pukul 7.30 malam bermula hari ini, 26 Mac.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Man buru RM300,000

Posted:

Man buru RM300,000

Man buru RM300,000

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my


PENGURUS Saluran Astro Prima, Nizam Sani (depan, kanan) bergambar bersama Man (depan, kiri), dua anggota R2 iaitu Rahim (tengah) dan Ridhzuan (paling kanan) serta dua anggota kumpulan Balas, Fandi (belakang, kiri) dan Muhammad Shukri (belakang, kanan).


BARU sahaja diumumkan sebagai juara, namun dia akan kembali memasuki gelanggang pertandingan! Pada 1 April nanti, bermulalah episod baru seorang juara pelawak yang baru sahaja dilahirkan daripada program realiti lawak popular anjuran Astro, Raja Lawak musim kelima Raja Lawak 5) dikenali sebagai Man.

Ini kerana sebagai juara Raja Lawak 5, Man atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Kasim, 33, secara automatik telah melayakkan dirinya untuk turut bertanding dalam sebuah program realiti baru berjudul Maharaja Lawak yang bakal disertai hampir kesemua finalis Raja Lawak dari musim pertama hingga kelima.

Maharaja Lawak yang bakal bersiaran di saluran Astro Warna dalam Pakej Mustika pada setiap Jumaat, pukul 10 malam itu, bermula 1 April ini menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM300,000 untuk sang juara!

Sehubungan itu, petugas di pejabat Pos Shah Alam yang membawa pulang hadiah kemenangan juara Raja Lawak 5 iaitu wang tunai RM100,000, barangan elektrik selain trofi sumbangan Astro itu melahirkan keterujaan dirinya kerana layak memasuki Maharaja Lawak.

"Saya mahu memberi fokus kepada persaingan di gelanggang Maharaja Lawak dan akan berbincang dengan pihak majikan dan Astro tentang perjalanan karier saya selepas ini," ujarnya.

Mampukah Man menjuarai Maharaja Lawak dan bersaing dengan peserta lain yang termasuklah empat juara Raja Lawak musim terdahulu iaitu juara Raja Lawak musim pertama, Yus (yang akan bergabung dengan Tauke), juara Raja Lawak 2, Nabil, juara Raja Lawak 3, kumpulan Sepah dan juara Raja Lawak 4, Kecik (yang akan bergabung dengan Idlan), selain finalis Raja Lawak yang lain antaranya Jihan, Amir dan Alex?

Sesungguhnya ia suatu perkembangan yang menarik untuk diikuti.

Ini kerana kemenangan Man pada final Raja Lawak 5 yang berlangsung Jumaat lalu sebenarnya suatu kejutan memandangkan dia berada di tangga ketiga berbanding dua lagi finalis iaitu kumpulan R2 (yang dianggotai pasangan adik-beradik Rahim dan Ridhzuan Mat Ali) dan kumpulan Balas (dianggotai Mohammad Shukri Mohamed Sahar dan Fandi Muhammad).

Pilihan ramai

Pada pertandingan akhir yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) menyaksikan Man yang berasal dari Kuala Lumpur itu berjaya meraih undian peminat sebanyak 45 peratus, sementara R2 di tempat kedua undian 32.5 peratus dan di tempat ketiga ialah Balas dengan undian sebanyak 22.5 peratus. Tidak pulang dengan tangan yang kosong, R2 dan Balas masing-masing berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000, selain barangan elektrik serta trofi. Pertandingan akhir pada malam itu dihakimi oleh tiga orang juri tetap iaitu David Teo, Sathiya dan Afdlin Shauki, sementara keputusan pula ditentukan oleh penonton seratus peratus menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS).

Tidak dinafikan, Man telah menjadi pilihan ramai peminat yang mengundinya berdasarkan kedua-dua persembahan mantap menerusi tema bebas dan muzikal komedi yang telah ditetapkan.

"Ketika diumumkan sebagai pemenang, saya memang tergamam dan seperti tidak percaya dengan kemenangan tersebut. Saya anggap kejayaan yang diperolehi ini seperti satu keajaiban.

"Namun saya juga tetap bersyukur kerana setelah lima musim mencuba, barulah kali ini berjaya dan saya sangat berterima kasih kepada keluarga dan pengundi yang menyokong," ujarnya.

Sementara itu, bagi kumpulan R2 pula mereka tetap berpuas hati meskipun sekadar muncul naib juara kerana ini adalah percubaan pertama mereka sebagai kumpulan.

Menurut Rahim, dia juga sama seperti Man sebelum ini yang pernah mencuba sejak dari musim pertama lagi sebagai peserta solo sehinggalah adiknya, Ridhzuan mengajaknya bergandingan bersama untuk musim ini.

"Pada saya ini adalah kejayaan tertinggi kami berdua setakat ini. Malah, saya sangat terharu dengan keberanian adik saya yang mengajak kami berdua bergandingan kerana saya tidak sangka dia turut mempunyai bakat melawak," jelasnya.

Sementara Shukri yang mewakili Balas berkata: "Kami sangkakan akan muncul naib juara, tetapi apabila nama kumpulan R2 yang diumumkan sebagai pemenang naib juara, kami sudah mengagak yang kami hanya sekadar berada di tempat ketiga.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.