Adsense

Sabtu, 26 Mac 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Miera berhati-hati, Fathiya sibuk belajar

Posted: 25 Mar 2011 07:06 AM PDT

BERWAJAH cantik dan berperwatakan menarik memberi laluan mudah kepada dua artis muda ini mengukir nama dalam dunia hiburan tanah air. Walaupun masih muda, apabila berbicara ternyata Miera Leyana Kasmi atau Miera, 18, dan Nur Fathia Abd Latiff atau Fathiya, agak matang serta tahu mengawal keadaan.

Buktinya, sewaktu dipilih menggayakan barang kemas tajaan Rafflesia Pearl Centre bakal dimenangi pembaca bertuah akhbar Berita Harian dan calon Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) baru-baru ini, Fathiya serta Miera tenang berdepan dengan wakil media meskipun diajukan soalan panas dan 'tajam'.


Sudah tentu pada hari itu paling menjadi perhatian wartawan yang hadir membuat liputan adalah pelakon utama filem Apokalips, Miera yang kini hangat dengan isu gambar seksinya yang menampakkan sebahagian payu dara. Perkara itu berlaku sewaktu Miera menghadiri satu majlis meraikan pelakon popular dan muda dan gambar terbabit turut disebarkan di beberapa laman portal hiburan.

Menjelaskan perkara itu, Miera berkata, ia berlaku tidak disengajakan. Dia juga tidak menyalahkan Wan Huzairil, pereka fesyen yang mereka pakaian digayakan malam itu.


"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada pihak yang berasa kurang sedang dengan gambar yang tersebar. Percayalah bukan sengaja saya mahu berpakaian atau beraksi sedemikian rupa. Ia berlaku tanpa saya sedari. Segalanya bermula apabila tema majlis ditukar daripada merah kepada warna emas.


"Wan Huzairil terpaksa menghasilkan sehelai baju baru tanpa mengacu di tubuh saya memandangkan waktu itu dia berada di luar negara. Pada hari majlis berlangsung, penerbangannya sampai lewat dan sebaik tiba kami bersiap. Saya pula dijelaskan penganjur tidak perlu membawa apa-apa kerana segalanya sudah disiapkan.

"Sebagai orang baru, saya cuba bersikap profesional dengan tidak menimbulkan masalah kepada pihak lain terutama penganjur majlis. Memang apabila menyarungkan baju itu, ia kelihatan terdedah sedikit.

"Bagaimanapun, dengan kreativiti yang ada, Wan Huzairil cuba menutup sebahagian baju dengan pin di bahagian hadapan agar ia sedikit ketat dan tidak terlurut dari tubuh," katanya.


Begitupun, kerana asas baju terbabit daripada kain lembut ia tidak dapat menggenggam kejap pin yang dipasang menyebabkan ia sedikit melurut dari tubuh.

Sewaktu bergambar, kata Miera dia tidak menyedari potongan sisi baju digayakan mendedahkan sebahagian daripada payu daranya sehinggalah ditegur rakan artis lain. Insiden itu memberi ruang kepada jurugambar untuk merakamkannya. Apabila ditegur tiada apa dapat dilakukan selain cuba menutup sisi payu dara yang kelihatan dengan lengannya kerana waktu itu dia sedang menjayakan sesi fotografi.

"Saya artis baru, kurang mahir dengan situasi berlaku. Bagaimanapun banyak perkara yang saya belajar daripada apa yang sudah terjadi. Pertamanya, walaupun penganjur mengatakan 'bawa' badan saja, tetapi sebagai artis, barang asas perlu dibawa sama seperti baju dalam atau 'tube', seluar ketat (tide) dan kasut," katanya.


Dalam berhadapan dengan situasi itu, jelas Miera sudah tentu dia berasa malu apatah lagi sebagai wanita. Katanya, kalau berdepan dengan gosip cinta dia masih boleh menerimanya, tetapi tidak untuk gambar yang sedang tersebar dan hangat diperkatakan kerana ia membabitkan tubuhnya serta cukup peribadi.


"Dalam berhadapan situasi ini, keluarga banyak menenangkan saya. Mujur mereka faham dan tidak melatah. Namun, saya secara peribadi berasa sangat malu. Ibarat dibogelkan di hadapan khalayak. Sekali lagi saya memohon maaf kepada pihak di luar yang kurang senang dengan kejadian itu," katanya.

Berbeza dengan Fathiya, gadis yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan Perundangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), bijak mengelak apabila ditanya mengenai soal teman lelaki mahupun cinta.

Malah apabila dikaitkan dengan Remy Ishak, dalam nada bergurau dia sempat menyatakan bimbang akan dimarahi teman wanita aktor sedang meningkat naik itu. Apatah lagi mereka sama-sama membintangi drama Mek Klate yang baru saja selesai menjalani penggambaran di Kelantan.


"Teman lelaki yang mana satu? Saya ada ramai teman lelaki," katanya sambil ketawa. Ternyata gadis kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang ini pandai mematahkan pertanyaan dan mengalih topik. Ketokohannya sebagai peguam terserlah.


Jelas Fathiya, pembabitannya dalam dunia lakonan berlaku secara tidak sengaja apabila dilamar Kabir Bhatia untuk membintangi drama Nur Kasih. Ceritanya, pihak TV3 meminta produksi pengarah filem Cinta dan Sepi itu melamarnya selepas melihat iklan Sunsilk yang dibintanginya.


"Saya bukanlah pelakon yang bagus. Tidak dinafikan perjalanan saya dalam bidang ini masih jauh. Banyak perkara yang perlu dipelajari. Waktu sama, saya juga sibuk dengan pengajian. Maaflah, kesibukan juga menyebabkan saya tiba lewat pada majlis ini kerana baru saja selesai menjalani ujian di UiTM Shah Alam," katanya.


Jelas Fathiya, dia tidak menaruh harapan tinggi apabila bergelar anak seni, kerana tahu dia punya pilihan. Bidang perundangan juga turut menarik minatnya dan jika boleh dia mahu melakukannya sebagai kerjaya tetap. Apatah lagi kebanyakan saudara-maranya turut mempunyai firma sendiri.


"Macam mana susah pun saya akan cuba melakukan kedua-dua perkara ini sebaik mungkin. Tapi saya tahu dugaan dunia lakonan besar dan pada waktu sama banyak muka baru muncul.

"Saya sendiri masih baru, tetapi yang di bawah saya ada lagi orang baru muncul. Sekiranya satu hari saya tidak lagi diterima dalam bidang ini saya tidak bimbang kerana kerjaya dalam bidang guaman menunggu. Sebab itulah susah macam mana pun saya akan tetap menghabiskan pengajian dan memastikan menggenggam segulung ijazah," katanya.

>PROFIL
Nama Penuh : Miera Leyana Binti Kasmi
Panggilan komersial: Miera Leyana
Tarikh lahir: 28 Ogos 1993
Umur: 18 tahun
Asal: Johor Bahru, Johor
Karier: Pelakon dan model
Keluarga: Anak kedua daripada tiga beradik
Hobi: Membeli-belah, berenang dan menari
Drama: Luna Fantasiku, Ceria-Ceria Cikgu Rubina, Bio-Nik, Kecuali Cintamu, Apa Itu Cinta, Ada Ubi Ada Batas, Kamelia Katrina, Aalia, Sejambak Bukan Serumpun, Kecuali Cintamu, Kekasih Yang Suci dan Nana Naruto.
Filem: Apokalips

>PROFIL
Nama sebenar: Nur Fathia Abd Latiff
Panggilan komersial: Fathiya
Tarikh lahir: 1 September 1987
Umur: 23 Tahun
Asal: Ayer Hitam, Pulau Pinang
Keluarga: Anak sulung daripada empat beradik
Kerjaya: Pelakon, model dan pelajar
Cita-cita: Seniwati yang dihormati dan peguam
Drama: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani dan Mek Kelate.
Iklan: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua dan Panasonic

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lupakan persaingan

Posted: 25 Mar 2011 07:00 AM PDT

WALAUPUN bakal bersaing pagi ini, semangat setiakawan tetap tidak akan dilupakan. Malah pembabitan artis dan juga penyampai lima stesen radio terkemuka tempatan dalam acara sukaneka berlangsung di Dataran Merdeka sempena sambutan ulang tahun ke-20 akhbar Harian Metro mahu dijadikan medan untuk mengeratkan kembali silaturahim sedia terjalin sebelum ini.

Penyampai radio Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau Deejay Lin menjelaskan, dia bangga dengan inisiatif Harian Metro apabila cuba menghimpunkan semua penyampai radio dan artis untuk bersama-sama kakitangan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) menjayakan acara diatur, sekali gus ia bakal menjadi kenangan penuh bermakna.


Apatah lagi acara seperti ini yang menghimpunkan penggiat dunia hiburan termasuk wartawan, artis dan penyampai radio jarang dilakukan mana-mana pihak.

"Bagi pihak kami, Suria FM sudah mula menguar-uarkan mengenai acara sukaneka dijalankan. Lebih menarik apabila pelakon filem Cun! juga mengesahkan mahu bersama-sama pasukan Suria FM. Selain itu, kami turut mempunyai gerai dengan beberapa aktiviti lain turut dijalankan.


"Penyampai Suria FM yang lain juga turun padang untuk bersama-sama pendengar antaranya Halim Othman, Tuah Zulkarnain, Zizi, Bob dan Naim untuk menjayakan acara sukaneka," katanya.


Penyampai radio KLFM, Raymey Zain mewakili rakan setugas menjelaskan, kesempatan menjayakan acara sukaneka dianjurkan akan digunakan untuk memperkenalkan stesen radio itu sebagai satu-satunya 'anchor' stesen di Kuala Lumpur.

"Selain itu, kami mahu menghargai pendengar. Menariknya, pasukan KLFM disertai pasukan sorak terdiri daripada pendengar setia. Selain itu, di gerai kami disediakan persembahan artis yang turut bersama pasukan KLFM iaitu Arora Salwa dan Ameer. Pemain Golf Kebangsaan, Ahmad Fadhly juga turut menyertai kami," katanya.


Selain Raymey, pasukan KLFM turut dianggotai penyampainya yang lain iaitu Nini, Zulastree, Salma, Raen dan Nordin Sallah (NB).

Pasukan mewakili stesen Era FM pula sudah tentu ditunjangi dua jejaka kacak yang mengendalikan rancangan Pagi Di Era iaitu Ray dan Hanif di samping disertai Ira Mohd Amin (Era).


Mereka turut mengimport bintang Akademi Fantasia, Shahir, Aril dan Hafiz. Penyampai lain pula yang turut terbabit dalam acara lain seperti Adi Fasha mengendalikan Konsert Terima Kasih dan Dina Nazir pula menyertai senamrobik poco-poco yang akan diadakan pada Ahad, jam 9 pagi.


Skuad Radio Era juga turut berkunjung ke Dataran Merdeka sepanjang majlis berlangsung untuk menghadiahkan kemeja-T khas kepada pengunjung bertuah.


Hanif berkata, semua warga kerja di Era gembira apabila dijemput menjayakan sukaneka kerana baginya secara peribadi menganggap ia bakal menjadi medan untuk penggiat industri radio bertemu dan bermesra antara satu sama lain.


"Walaupun kita bersaing sesama sendiri, tetapi percayalah ia akan dipenuhi dengan gelak tawa dan gurauan. Antara kami sudah lama tidak bertemu, jadi dengan adanya acara yang dianjurkan Harian Metro sempena majlis ulang tahun ke-20 membabitkan stesen radio popular di Malaysia membolehkan kami bertemu rakan lain.


"Walaupun sama-sama duduk di Kuala Lumpur tetapi kerana sibuk dengan tugas, saya sendiri sudah lama tidak bertemu rakan yang kini sudah bertugas di stesen radio lain seperti Kieran dan Zizi. Saya rasa penyampai radio lain juga merasai perkara sama," katanya.


Penyampai popular di Hot FM, Fara Fauzana sewaktu dihubungi berkata, pembabitan stesen radio itu dalam acara dianjurkan Harian Metro sebagai tanda sokongan dan terima kasih di atas sokongan yang diberikan akhbar nombor satu ini sepanjang lima tahun ia beroperasi.


"Selain itu, ia turut menjadi medan kepada kami bertemu pendengar. Selalunya, kami sibuk di konti tetapi apabila menyertai acara sukaneka, penyampai Hot FM berpeluang beramah mesra. Acara yang diadakan juga sudah kami beritahu kepada pendengar setia sebelum ini.


"Menariknya, apabila ia menjadi medan untuk penyampai radio bertemu. Pada saya, secara peribadi apabila bersama-sama menjayakan acara dianjurkan, stesen mana kami bertugas bukanlah perkara utama kerana apa yang penting, tugas kami adalah menyampaikan maklumat dan hiburan kepada pendengar.


"Sudah tentu saya mahu mengambil kesempatan ini bergembira dengan rakan penyampai daripada stesen lain yang turut sama menyertainya," katanya.


Selain Fara, Hot. FM disertai penyampai lain iaitu Kieran, Leya, AG dan Din. Sementara artis pula yang mewakili mereka adalah Black dan Nubhan.


Jamal Jamaluddin pula berasa seronok apabila berpeluang menyertai acara diadakan dan mengharapkan pendengar setia turut bersama-sama berada di padang Dataran Merdeka untuk memberi sokongan bukan saja kepada stesen tempatnya bertugas iaitu Sinar FM, tetapi juga kepada Harian Metro yang banyak memberi sumbangan kepada pembacanya.


"Pastinya penyampai Sinar FM akan turun padang dan ada antara kami turut terbabit dengan beberapa aktiviti lain dijalankan seperti Raja Azura yang turut tampil dalam senamrobik poco-poco," katanya.


Jamal juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Harian Metro yang muncul akhbar mempunyai jumlah pembaca paling ramai dan diharapkan sokongan pembaca akan berterusan.


Pasukan lain daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kakitangan sisipan hiburan Rap, Harian Metro, sisipan hiburan Selebriti, Metro Ahad, sisipan hiburan HIP, Berita Harian dan sisipan hiburan Life & Times, akhbar New Straits Times (NST).


Juara Sukaneka akan menerima hadiah netbook sumbangan Primeworks Studios, tempat kedua bakal menerima pemain cakera DVD mudah alih sumbangan Skop Productions Sdn Bhd sementara tempat ketiga akan menerima kamera digital sumbangan Tayangan Unggul Sdn Bhd. Hadiah sagu hati pula berupa wang tunai yang disumbangkan Global Station Sdn Bhd.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.