Adsense

Khamis, 3 Februari 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Erra enggan melatah

Posted:

Erra enggan melatah

Erra enggan melatah

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my
Gambar MUHAMAD IQBAL ROSLI


ERRA pada sidang akhbar pengumuman aktiviti Erra Art Club di Borders, The Curve, Damansara, baru-baru ini.


SEJAK bergelar artis hampir tiga dekad lamanya, kehidupan peribadi aktres jelita, Erra Fazira atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 36, ini bagaikan tidak sudah dilanda gosip liar.

Sekalipun bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu cekal berhadapan dengan gosip, namun sejak akhir-akhir ini semakin kerap pula khalayak mempersoalkan tentang kisah rumah tangganya yang dikatakan sedang dilanda krisis.

Semuanya gara-gara dakwaan kononnya si suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin mempunyai hubungan rapat dengan seorang wanita di tempat kerja.

Gosip yang diperkatakan itu bukanlah baru kerana sebelum ini Erra sendiri pernah berulang kali menafikan apa yang dihebahkan, sekali gus menyangkal kebenaran khabar angin tersebut.

Mungkin khabar angin itu reda seketika. Tetapi baru-baru ini, dalam satu ruangan gosip yang ke udara di sebuah stesen radio swasta, timbul perihal rumah tangga seorang pelakon dan penyanyi popular yang sedang dilanda masalah kerana suaminya mempunyai hubungan dengan rakan sekerja.

Sinonim dengan gosip yang pernah melanda Erra, ramai membuat telahan gosip di radio itu ada kaitan dengan rumah tangga Erra - Emran.

Buat kesekian kalinya, sewaktu Hits berkesempatan bertemu dengan Erra di majlis pengumuman aktiviti Erra Art Club di Borders, The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini, sekali lagi soalan yang sama terpaksa diajukan.

"Saya tidak ambil kisah dengan gosip itu. Memang kalau diikutkan bunyinya seperti gosip yang pernah melanda saya dahulu tetapi mungkin yang dimaksudkan dalam gosip kali merujuk kepada orang lain.

"Kita sebenarnya tidak tahu siapakah yang mereka maksudkan di sini, oleh sebab itu saya tidak mahu ambil serius mengenai perkara itu.

"Saya juga tidak menafikan bahawa saya pernah terdengar gosip yang mengaitkan suami saya. Namun seperti yang pernah saya nyatakan dahulu, selagi tiada bukti yang sahih, saya tidak akan ambil peduli," kata Erra dalam nada tenang.

Erra sedar, apabila dia berkecimpung dalam dunia yang penuh glamor ini, dirinya memang tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai gosip yang kadang kalanya menimbulkan fitnah.

Namun, katanya, untuk apakah dia cepat melatah andai akhirnya nanti hanya akan mempamerkan kebodohan diri sendiri.

Erra dengan nada gurau menjelaskan, dia pernah menyuarakan tentang gosip tersebut kepada suaminya, namun dia tidak mahu memandang perkara yang samar sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan amarah.

Sebelum bernikah dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, Erra yang pernah mendirikan rumah tangga dengan salah seorang anggota KRU, Yusry Abdul Halim menjanda selama dua tahun.

Bersama Yusry, anak didik Pengarah Six Million Dollar Man, Datuk Yusof Haslam itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Apabila berkahwin buat kali kedua, Erra dan Engku Emran dikurniakan seorang puteri, Engku Aleesya yang bakal menginjak ke angka usia dua tahun pada 30 Mac ini nanti.

Natijah dilanda gosip liar terus menyelubungi Erra sehingga membuatkan dia terpanggil untuk menyangkal dakwaan yang kononnya pernah mendapatkan khidmat kaunseling berikutan krisis yang melanda rumah tangganya.

Mungkin sudah menjadi lumrah aktres cantik ini, apa sahaja yang dilakukannya mendapat perhatian.

Maka itulah, apabila tidak kelihatan kelibat suami, Engku Emran sewaktu Erra mendukung watak sebagai Tun Dr. Siti Hasmah dalam pementasan di Istana Budaya tahun lalu, kisah nista rumah tangganya terus dijaja.

Kata Erra, apa lagi yang mampu dilakukannya selain daripada berdoa agar gosip yang tidak berasas itu cepat reda dan senyap begitu sahaja.

Pasak dalam minda

Bukan itu sahaja, malah Erra juga mengharapkan apa-apa sahaja gosip yang melanda dirinya selepas ini, biarlah mempunyai bukti yang kukuh.

"Hal sebegini bagi saya tidak sepatutnya menjadi isu sehingga memberi tekanan dalam hubungan kami suami isteri. Bukankah ia hanya membuang masa.

"Dalam hidup ini kita perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan kerana kehidupan ini hanyalah bersifat sementara.

"Walau macam mana sayangnya kita kepada seseorang itu, jika bukan kita yang akan pergi meninggalkan dia, mungkin dia yang tinggalkan kita.

"Itu adalah kata-kata yang saya pasak dalam minda sebab itu kita tidak boleh kata, tidak bersedia dengan sebarang kemungkinan," tegas Erra.

Bercerita tentang ramai artis yang mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelamatkan rumah tangga mereka, kata Erra, itu merupakan langkah yang baik demi menyelamatkan sesebuah rumah tangga.

"Bagi saya, tidak salah kalau ada pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling bagi menjernihkan hubungan dalam rumah tangga.

"Kalau cara itu terbaik, apa salahnya. Ini bermakna mereka ada niat untuk pulihkan kembali keadaan dan berbaik-baik semula," kata Erra yang pernah dua kali dinobatkan sebagai Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia menerusi filem Soal Hati (2001) dan Hingga Hujung Nyawa (2005).

Ditebak pula dengan soalan, bagaimanakah pandangan Erra jika sesi kaunseling yang dihadiri dihebahkan kepada orang ramai sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi negatif dan terkesan kepada pasangan tersebut?

Kata pelakon filem Sembilu itu, tidak seharusnya tindakan pasangan berjumpa kaunselor bagi mendapatkan khidmat nasihat disalahertikan oleh khalayak.

Ini kerana, katanya, apabila orang kecoh melihat mana-mana pasangan artis menghadiri sesi kaunseling, secara tidak langsung mereka akan jadi takut untuk ke sana lagi.

"Apa pun, semuanya terserah kepada individu. Bagi Erra, yang penting sekarang fokus kepada kerjaya di samping melihat tumbesaran anak.

"Aleesya pun sudah banyak ragam. Malah dia sudah pandai main deram. Masa inilah dia perlukan perhatian daripada ibunya.

"Andai kata Tuhan mahu mengurniakan seorang lagi cahaya mata dalam waktu terdekat ini, saya tak akan menolak malahan menerimanya dengan penuh kesyukuran," kata Erra pasrah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

IPT disambut baik

Posted:

<i>Apakah Dosaku</i> IPT disambut baik

Apakah Dosaku IPT disambut baik

Oleh ZAMZURINA AHMAD dan M.SHAHRINNAHAR AB. LATIB
utusanpahang@utusan.com.my
Gambar MAHATHIR ALI


Persembahan menghiburkan dari Ramli Sarip pada majlis pelancaran kempen Kami Prihatin 'Apalah Dosaku' peringkat IPT
di UMP, Kuantan, baru-baru ini.


SUKAR untuk diterjemahkan oleh pemikiran kita sebagai manusia yang waras mengenai isu pembuangan bayi yang begitu membimbangkan kini. Apa lagi perkataan yang sesuai hendak dilontar kepada si polan yang sanggup membunuh darah daging sendiri.

Mengapa tegarnya mereka membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa hasil dari kerakusan nafsu sendiri. Mana hilangnya sifat kemanusiaan yang dipupuk selama ini? Mana hilangnya nilai kasih dan sayang sehingga sinar keimanan dijiwa padam tiba-tiba.

Atas dasar kemanusiaan, selain memaparkan berita-berita mengenai kes pembuangan bayi yang sering berlaku saban hari, Utusan Malaysia mengambil inisiatif mengadakan kempen Kami Prihatin 'Apakah Dosaku 'di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).

Dengan kerjasama Astro, Persatuan Karyawan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), maka pelancaran kempen berkenaan dijayakan dengan rasminya pada 24 Januari lalu di UMP, Jalan Gambang, Pahang.

Cukup membanggakan, kempen Kami Prihatin 'Apakah Dosaku' turut mendapat sokongan daripada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang hadir merasmikan majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

Turut hadir Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sepanjang kempen sehari itu, pertandingan lagu puisi yang disertai 13 IPT berjaya menyemarakkan semangat khalayak yang hadir untuk berjuang habis-habisan demi menangani isu pembuangan bayi yang bagai tiada kesudahan ini.

Setiap peserta yang mewakili IPT masing-masing begitu kreatif menghasilkan lirik yang terbaik agar mesej disampaikan dengan berkesan.

Kemuncaknya, lagu puisi berjudul Takut berjaya mengangkat Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai juara keseluruhan.

Karya hasil nukilan ketua kumpulan tersebut Nazirul Mu'izz Azmi, 23, berjaya menambat hati lima juri yang diketuai oleh penggiat seni terkenal, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin.

Kumpulan tersebut berjaya memenangi wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Tiga lagi ahli kumpulan mereka ialah Muhammad Hafeez Zakaria, 23, Mohd Shairi Baharuddin, 23, dan Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar, 21.

Menurut Nazirul Mu'izz mereka hanya ditubuhkan sebulan sebelum pertandingan ini dan hanya kira-kira tiga minggu sahaja berlatih.

"Kami memang bergiat aktif di UUM namun tidak pernah memasuki pertandingan seperti ini. Ini merupakan kali pertama kami bertanding dan berjaya memenanginya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Walaupun di UMM mereka agak aktif katanya, namun mereka tidak digabungkan bersama-sama untuk menjadi satu kumpulan.

"Saya memang suka mencipta puisi lebih-lebih lagi puisi kemanusiaan seperti tema pertandingan puisi kali ini.

"Kami lebih tema kemanusiaan sejagat kerana dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pelbagai masalah di dunia sekarang," jelasnya.

Tambah beliau, sajak ini merupakan hasil nukilannya sendiri dan lirik lagu direka bersama-sama kumpulannya.

Katanya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang agak serius di dalam negara.

"Kebanyakan yang membuang bayi ini adalah remaja. Jadi kami sebagai remaja berasa bersemangat untuk bersama-sama dengan Utusan Malaysia untuk menangani masalah ini.

"Harapan kamia adalah dengan lontaran puisi oleh kami ini akan menyemarakkan semangat para mahasiswa untuk menangani masaalah ini," katanya.

Manakala tempat kedua menjadi milik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan karya bertajuk Seperti inikah dunia?

Karya hasil nukilan Faiz Aziz, 25, dan melodi yang dicipta khas oleh Mohd. Juhairi Mohd. Junaidi, 20, berjaya meruntun hati khalayak.

Gabungan empat pelajar daripada Kelab Kebudayaan USIM ini ternyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.

Mohd. Junaidi, Alauddin Yahaya, 25, Mohd. Shukri Sahari, 22, dan Hakimi Mohamad, 21, tidak menyangka akan beroleh kemenangan melalui percubaan pertama ini.

Menurut Mohd. Junaidi, mereka hanya berlatih seminggu sebelum hari pertandingan dan tidak meletakkan kemenangan sebagai keutamaan.

"Sebaliknya, kami hanya mahu menyampaikan mesej kepada penonton terutama remaja agar mereka berfikir dengan sebaik-baiknya sebelum bertindak terutama dengan gejala pembuangan bayi yang begitu serius pada masa kini.

"Saya nak mereka rasai melalui lagu puisi yang kami sampaikan bagaimana rintihan seorang bayi dari dalam perut ibunya yang dambakan kasih sayang," ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah ini.

Tambahnya yang berasal dari Sabah, mereka mahu masyarakat tahu bahawa bayi yang dilahirkan terlalu berharap dapat hidup sempurna bersama ibu dan ayah.

"Bayi juga punya perasaan yang hanya dizahirkan melalui tangisan. Mereka perlu dibelai dan dikasihi dengan sebaik-baiknya.

"Bukannya mencampakkan mereka ditempat yang tidak sepatutnya seperti tong sampah, mangkuk tandas atau di dalam semak samun," tegasnya.

Katanya, dia berharap melalui lagu puisi yang dipersembahkan, masyarakat akan lebih peka dan lebih prihatin terhadap fenomena yang melanda muda-mudi kini.

Sementara itu, Universiti Malaya berjaya menduduki tempat ketiga dengan lagu puisi bertajuk Suratan Lara dengan membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.

Antara IPT yang bertanding ialah UMP, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.